Sabtu, 26 Mac 2011

Mohd. Syahriansyah Apin, Juara Akademi al-Quran musim kelima (AQ5)


Mohd. Syahriansyah Apin


Mohd. Syahriansyah Apin, 25, berasal dari Sabah muncul juara pertandingan akhir program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran musim kelima (AQ5) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Mohd. Syahriansyah membawa pulang wang tunai RM30,000 dan senaskhah al-Quran bertinta emas.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini turut membawa pulang pakej pelancongan ke Syria, perabot jati, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper dan sebuah trofi yang bernilai kira-kira RM150,000.

Mohd. Syahriansyah turut mendapat tajaan biasiswa bagi melanjutkan pengajiannya ke mana-mana cawangan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU).

Sementara itu, ketiga-tiga peserta lain, Mohamad Husaini Mahmur, 19, Suhailah Zulkifly, 22, dan Muhamad Nasir Muhamad Salleh, 21, membawa pulang sagu hati berupa wang tunai RM2,000, biasiswa menyambung pengajian di MEDIU, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper serta trofi.

Hadiah pemenang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Johan Jaafar.

AQ merupakan program realiti TV tempatan pertama yang memerlukan peserta memperdengarkan bacaan al-Quran mengikut kaedah tertentu.

Semua hadiah adalah tajaan daripada TV9, Yayasan Restu, MEDIU, Gemilang Travels & Tour, Al-Fajr Travel, Wan Manang, Jatimas, TH Global, Hiraq Marketing & Trading.

Jumaat, 25 Mac 2011

Vandalisme manifestasi tak mensyukuri nikmat


Oleh : Wan Muhamad Ruzlan Wan Omar

SETIAP tahun kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk menyediakan pelbagai prasarana. Namun, pada setiap tahun jugalah banyak peruntukan terpaksa dikeluarkan untuk membaik pulih segala kemudahan yang dirosakkan sesetengah golongan.

Budaya vandalisme adalah perlakuan gejala sosial yang mengakibatkan kesusahan kepada masyarakat dan perlu dibendung.


Islam menggariskan panduan akhlak luhur dan ini termasuk tidak melakukan perbuatan menyusahkan orang lain. Ini sebahagian didikan akhlak yang difokuskan dalam Islam. Masyarakat yang sentiasa tertanam rasa bersyukur atas segala nikmat dikurniakan Allah pastinya tidak akan melakukan kerosakan di muka bumi ini, lebih-lebih lagi apabila kerosakan itu akan menyebabkan orang lain menanggung kesukaran.

Mukmin yang bersyukur pasti akan terkesan pada perbuatannya. Nikmat dikurniakan pancaindera tidak akan disalahgunakan ke arah memudaratkan orang lain. Jadi, dalam hal vandalisme itu perlu dibendung dengan didikan rasa syukur kepada Allah.

Dalam Surah Ibrahim ayat 7 Allah menegaskan yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” Ini satu amaran Allah kepada setiap hamba-Nya supaya mengelak daripada perbuatan mengingkari nikmat yang dikurniakan-Nya. Rasa syukur adalah akhlak hati yang mulia, tetapi ia seharusnya diterjemahkan melalui perbuatan nyata.


Justeru, dalam menghargai dan menjaga segala kemudahan prasarana yang disediakan juga terangkum dalam ruang lingkup erti mensyukuri nikmat Allah dan apabila kita dapat memanfaatkannya dengan baik serta tidak menyalahgunakan atau merosakkannya dianggap hamba Allah berakhlak syukur yang tinggi.

Orang yang merosakkan harta benda awam atau terjebak dengan budaya vandalisme adalah golongan kufur nikmat dan tidak mempunyai nilai rasa malu kepada Allah. Atas sebab itulah Islam meletakkan nilai malu di puncak akhlak seseorang mukmin. Dalam Islam malu adalah cabang iman yang mesti sentiasa dipelihara setiap umatnya.

Dalam memperkatakan aspek malu ini, Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya di syurga, sedangkan buruk akhlak itu bahagian daripada kekerasan hati dan tempatnya di neraka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi )

Nabi kita berpesan yang bermaksud: “Malu dan iman kedua-duanya tidak terpisah. Jika salah satu daripada kedua-duanya terangkat, maka yang lain pun terangkat.” (Hadis riwayat Hakim)
Oleh demikian, orang mukmin yang kental rasa malunya kepada Allah sudah tentu tidak tergamak untuk merosakkan harta benda kemudahan orang ramai kerana mereka tahu apa saja yang dilakukan diperhatikan Allah. Mungkin manusia tidak nampak apa kita lakukan, tetapi akhlak buruk tidak terlepas daripada pandangan Allah.

Sebenarnya apabila seseorang itu sudah tercabut rasa malu kepada Allah, ia satu azab dunia yang ditimpa ke atas hamba-Nya itu. Ini kerana dengan sebab tiada lagi perasaan malu dengan mudahnya mereka lupa kepada Allah dan tidak lagi dapat menzahirkan akhlak yang baik. Maka akan berlakulah pelbagai gejala negatif seperti budaya vandalisme itu.

Seseorang mukmin yang beriman pasti takut pada apa saja perbuatan yang dilakukannya di dunia ini kerana apa saja yang dilakukan akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Tidak ada satu perbuatan yang dilakukan anggota tubuh kita yang akan terlepas daripada perhitungan Allah di akhirat. Ingatlah peringatan Allah dalam Surah Yasin ayat 65 bermaksud: “Pada hari itu Kami tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dulu mereka usahakan.”

Jadi, bagaimana dengan salah laku merosakkan harta awam sehingga menyusahkan masyarakat untuk menggunakannya? Tidakkah ini juga dipersoalkan dan dibalas dengan azab Allah?

Seseorang yang cermat menggunakan segala kemudahan yang disediakan dengan niat kerana Allah agar ia dapat digunakan orang lain adalah amal soleh yang mulia. Inilah amalan hati yang baik yang diterjemahkan melalui anggota zahir.

Kita jangan memandang ringan aspek berbuat kebaikan kerana Rasulullah berpesan kepada kita setiap kebaikan akan diberikan 10 kali ganda pahala di sisi Allah. Justeru, apabila menggunakan prasarana yang disediakan dengan niat untuk memelihara daripada rosak juga terangkum dalam pengertian amal kebaikan.


Demikian juga sebaliknya, kita dianggap melakukan kemungkaran akhlak kerana menyebabkan kesusahan kepada pihak lain. Ingatlah pesanan Rasulullah: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melapangkan manusia dengan harta kamu, maka lapangkanlah mereka dengan keceriaan wajah dan kebaikan akhlak.” (Hadis riwayat Al-Haitsami dan Abu Ya’la )

Oleh itu, dengan pembinaan akhlak yang baik akan mampu menjana kehidupan sejahtera. Mukmin yang beriman mampu mempamerkan watak hati dan zahir dengan akhlak baik yang akan menyenangkan orang lain. Ingatlah segala amal perbuatan baik adalah busana hati orang beriman. Jadi, lakarkanlah panorama sahsiah yang cemerlang.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Selasa, 22 Mac 2011

5 TIP KHUSYUK SOLAT


i. Membuat persiapan awal seperti pakaian, wuduk dan menunggu waktu solat. Dengan ini tidak ada istilah tergesa-gesa melakukan solat.


ii. Tomakninah (berhenti sejenak dari rukun ke rukun sampai salam). Kelakuan Rasulullah ketika solat contoh terbaik tomakninah. Rasulullah SAW ketika solat baginda melakukan tomakninah sehingga semua anggota badan baginda kembali pada tempatnya. (Hadis riwayat Abu Daud)


iii. Sentiasa ingat mati kerana mengingati mati akan memperelok solat dan menganggap solat yang dilakukan itu yang terakhir.


iv. Tadabbur (menghayati) ayat al-Quran, zikir dan bacaan lain yang dibaca ketika solat menjadikan hati diserap kekhusyukan.


v. Beranggapan ketika solat kita sedang menghadap Allah. Dengan demikian, seseorang akan menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan Allah, lalu mendorongnya mengerjakan solat secara bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Sabtu, 19 Mac 2011

IKTIBAR DARIPADA MUSIBAH

T1

Sidang Jumaat yang dirahmati sekalian

Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal :

T2


Maksudnya :

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.


Sidang Jumaat yang dirahmati sekelian.

Firman Allah Ta’ala:

T3

“Telah berlaku kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia.” (QS. Ar-Rum: 41)


Hubungan langsung di antara maksiat dan kebinasaan berupa bencana alam samada gempa, ombak tsunami, letusan gunung berapi, tanah runtuh, banjir besar, ribut dan taufan dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT. Malangnya manusia sekular termasuklah di kalangan umat Islam yang sudah tidak berpandukan kepada petunjuk dan hidayah seringkali mengaitkan bencana dengan fenomena alam semata-mata. Mereka menggunakan fakta Sains untuk menerangkan kejadian gempa. Gempa itu dikatakan goncangan akibat dari tolakan dan desakan kepingan-kepingan tektonik yang desak mendesak di antara satu dengan lain. Akibat dari desakan dan tolakan ini maka satu plate tektonik akan menolak plate tektonik yang berlawanan dengannya. Akibatnya berlakulah gegaran. Jika epicentrenya terletak di dasar laut maka terbentuklah gelombang besar yang dikenali sebagai tsunami. Memang benar semua bencana bumi bolih diterangkan dengan penjelasan saintifik kerana semua kejadian di alam ini adalah menurut sunatullah. Namun pemikiran manusia tidak sampai kepada mencari jawapan kepada kenapa dunia ini bertindak sedemikian sehingga berlakunya kejadian seumpama gempa dan tsunami.


Dari Anas bin Malik, beliau mengatakan pada Qatadah, “Sungguh aku akan memberitahu kepada kamu satu hadis yang tidak pernah didengar orang-orang sesudahku. Kemudian Anas mengatakan,

T4

“Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah: sedikitnya ilmu dan tersebarnya kebodohan, minum arak dan merebaknya perzinaan.” (HR. Bukhari dan Muslim)


Abdullah bin Mas’ud, berkata, “Tidaklah muncul perzinaan di sebuah negeri, kecuali Allah mengumumkan kehancurannya.”


Abu Hurairah radhiyallah ‘anhu berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “tidak terjadi hari kiamat sehingga dihilangkannya ilmu, banyak gempa bumi, . . . .” (HR. Bukhari, no. 978).


Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam duduk-duduk bersama para sahabatnya, lalu baginda bersanda; “Sebelum terjadinya kiamat akan terjadi kematian-kematian yang mengerikan, dan sesudahnya akan terjadi tahun-tahun di mana berlakunya gempa bumi.” – dari Salamah bin Nufail RA (Musnad Imam Ahmad)


Ibnul Qayim rahimahullah dalam kitabnya Ad-Da’ Wa Ad-Dawa’ menyalin pelbagai riwayat tentang kejadian gempa dan perbuatan zina. Di antaranya seperti berikut:


Yang pertama,

Ibnu Abi Ad-Dunya rahimahullah meriwayatkan dari Anas bin Malik radhiallahu anhu, bahwasanya beliau dan seorang lagi masuk menemui ibunda ‘Aisyah radhiallahu anha, lalu orang tersebut berkata: “Wahai Ummul Mukminin! Beritahukanlah kepada kami tentang gempa.” Ibunda ‘Aisyah menjawab: “Apabila mereka telah memperbolehkan perzinahan, meminum khamer, memainkan alat musik, maka Allah subhanahu wa ta’ala marah di langit-Nya dan berfirman kepada bumi: ‘Bergoncanglah atas mereka!’ Jika mereka bertaubat dan meninggalkan perbuatan tersebut (berhentilah), jika tidak, maka hancurkanlah mereka!” Orang tersebut berkata: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah itu adzab atas mereka?” Beliau menjawab: “Itu adalah peringatan dan rahmat bagi orang-orang beriman, dan hukuman, adzab serta murka atas orang-orang kafir.”


Yang kedua,

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah meriwayatkan dari Shafiyyah radhiallahu ‘anha, beliau berkata: “Bumi bergoncang di Madinah pada masa Umar radhiallahu anhu, lalu beliau berkata: ‘Wahai manusia! Ada apa ini? Alangkah cepat penyimpanganmu! Kalau sekiranya bumi telah kembali seperti semula aku tidak akan tinggal bersamamu di sana.’”


Yang ketiga,

Berkata Ka’ab rahimahullah, “Sesungguhnya terjadinya gempa bumi adalah apabila dilakukan kemaksiatan di atasnya, lalu bumipun bergetar takut apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala mengetahuinya.”

Riwayat-riwayat yang disebutkan Ibnul Qayim di atas diperkuat dengan hadis berikut:


Dari Aisyah radliyallaahu ‘anha berkata, Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, perubahan muka (menukar ciptaan Allah) dan kerusuhan.” Aisyah berkata, “saya bertanya, wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa padahal di tengah-tengah kami masih ada orang-orang shalih?” Beliau shallallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, “ya, yaitu apabila telah tersebar keburukan.” (HR. Tirmidzi. Dishahihkan Al-Albani dalam Shahih Jami’ al Shaghir 6/358 no. 8012)


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Tidakkah apa yang berlaku sebelum ini menimbulkan keinsafan kepada manusia? Amat malanglah sekiranya manusia masih lagi mencari-cari alasan untuk tidak mahu mengambil iktibar. Cakap-cakap berupa Negara kita berada di luar zon gempa, kita berada di luar lingkaran api Pasifik, kita berada di pelantar Sunda yang paling tohor di rantau ini dan paling stabil, sedang jiran-jiran kita di Sumatera dan Jawa berada di pertemuan dua kepingan tektonik yang sentiasa bergerak iaitu plate tektonik India dan Australia. Di selatan pulau Jawa pula terdapat jurang Jawa yang sangat dalam mencecah lebih 30,000 kaki dalamnya. Sebab itu Pulau Sumatera, Jawa, kepulauan Sunda Kecil sehingga Sulawesi dan Kepulauan Maluku terdapat lebih 500 gunung berapi aktif. Jangan lupa Gunung berapi Krakatoa di selat Sunda pernah meletup pada tahun 1883 dan membunuh tidak kurang dari 40,000 nyawa akibat tsunami yang tingginya mencecah 30m tingginya (melebihi 100 kaki) sedang tsunami yang berlaku di Jepun adalah pada ketinggian 10m (30 kaki). Danau Toba adalah bekas gunung berapi mega (caldera) yang pernah meletus 70,000 tahun lalu sehingga bumi dilitupi salji selama seribu tahun dan tidak ada hidupan yang dapat bertahan.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Orang yang merasa selamat dari azab Allah adalah orang yang amat malang. Kita amat bimbang kemakmoran yang dikecapi oleh kita selama ini merupakan istidraj, satu ujian dari Allah untuk terus menjadikan kita leka dan alpa. Di masa yang sama harta melimpah ruah dan manusia semakin tenggelam dalam maksiat dan keseronokan tanpa batas. Akhirnya apabila Allah menurunkan azabnya, kita langsung manjadi manusia yang berputus asa, Nauzubillahi minzalik.


Tidak ada sebab kini kita merasa selesa. Perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bilangan anak-anak zina yang didaftarkan pada tahun lepas mencecah 70,000 orang. Berdasarkan kepada hadis-hadis Nabi yang diutarakan tadi, kita termasuk di kalangan mereka yang berisiko akan ditimpa oleh bala. Jangan sekali-kali merasa selesa kerana berada di luar zon gempa. Bumi ini milik Allah SWT dan bolih memerintahkan mana-mana bahagian bumi ini dengan kehendaknya.


Allah Ta’ala berfirman:

T6

“Lalu Dia (Allah) berkata kepadanya (langit) dan kepada bumi, ‘datanglah kamu berdua menurut perintah-Ku dengan suka hati atau terpaksa’. Keduanya menjawab, ‘kami datang dengan suka hati’.” (QS. Fushilat: 11).


Bumi tidak bergerak dan bergeser sehingga terjadi musibah gempa kecuali dengan perintah dan izin dari Allah Ta’ala, penguasa alam semesta.

T7

Sumber : http://johor.ikram.org.my

Isnin, 14 Mac 2011

Solat, doa mesti dijiwai, difahami sepenuh hati supaya diterima

Oleh Azizah Jabar

KOMUNIKASI membolehkan penyampaian maklumat antara manusia berada di kutub utara dengan kutub selatan berlaku dalam beberapa saat walaupun dipisahkan jarak beribu kilometer. Interaksi tanpa sempadan ini memudahkan urusan harian manusia yang semakin bijak dan rancak mengurus kehidupan.

Bagaimanapun, manusia sering lupa kepada Yang Maha Pencipta kepada komunikasi dan interaksi. Sesungguhnya alam ini diurus dan ditadbir oleh Sang Pencipta Yang Maha Hebat tetapi manusia lupa untuk berkomunikasi dengan Pencipta.

Jika kita kehilangan telefon bimbit dan tidak dapat mengakses internet pasti hidup rasa kekurangan kerana tidak lagi dapat berhubung dengan ahli keluarga dan rakan yang jauh. Apatah lagi jika kita adalah ahli perniagaan atau pengurus kepada sesebuah organisasi.

Tidak kurang juga ada sebahagian manusia bagai ‘cacing kepanasan’ apabila tidak dapat berkomunikasi di laman sosial dunia internet atau tidak dapat menghantar pesanan ringkas (SMS). Era globalisasi tidak dapat memisahkan manusia dengan peralatan komunikasi.

Namun, manusia yang tidak pernah cuba mengenali kepentingan komunikasi dengan Tuhan Pencipta Sekalian Alam akan berasa ‘tidak apa’ apabila lewat atau terus meninggalkan komunikasi dengan Allah Taala yakni melalui doa dan solat.

Berapa ramai antara kita merasakan kepuasan selepas mengadu dan berkomunikasi dengan Allah Taala? Paling malang apabila solat dan doa dibuat sebagai kelaziman fizikal saja tetapi tidak terkesan oleh rohani.

Maka tidak hairan jika orang yang bersolat tapi masih berbuat kejahatan dan kemaksiatan. Bacaan dalam solat tidak difahami maknanya dan doa pula jika dibuat secara berjemaah hanya diaminkan mengikut imam.

Doa bahasa Arab dan ramai yang memang tidak faham langsung. Alangkah baik berdoa dalam bahasa Melayu dengan penuh penghayatan dan pengharapan kerana ia lebih berpotensi dimakbulkan Allah.

Maka, muncullah rungutan sudah penat berdoa tapi Allah tidak memakbulkan, walhal bagaimana doa mahu diperkenankan sedangkan hati dalam keadaan tidak bersungguh-sungguh dan lalai.

Allah berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina.” (Surah al-Mu’min, ayat 60)

Apabila seseorang hamba berkomunikasi dengan Allah tetapi tidak difahami dirinya mengenai apa yang diperkatakan itu, ia ibarat meminta tolong dengan orang di depan tetapi kita tidak menyebut namanya.

Apakah orang itu akan menolong? Namun Allah tidaklah bersifat seperti sifat manusia kerana Allah Maha Mengetahui perihal setiap hambanya melebihi apa yang diketahui hamba itu sendiri. Cuma, Allah ingin melihat usaha hamba-Nya walau Dia tahu keperluan hamba-Nya.

Oleh itu, jika kita pernah kegelisahan apabila kehilangan telefon dan tidak dapat berhubung dengan rakan, periksa diri semula pernahkah atau selalukah kita merasai kegelisahan apabila kurang berdoa kepada Allah atau apabila terlewat menunaikan solat?

Jadikan pengaduan segala permasalahan kita walau sekecil-kecil masalah terlebih dulu kepada Allah sebelum kita mengadu kepada manusia kerana sesungguhnya Dia telah menciptakan jalan penyelesaian dan kesembuhan.

Kita juga sering lupa melihat Dia mendatangkan pertolongan dan jalan keluar melalui sebab manusia lain lalu menyebabkan kita terus lupa kerana menyangka manusia jugalah yang membantu bukan meletakkan segala sesuatu atas keizinan Allah.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari, beliau menjelaskan: “Ketika kami bersama Rasulullah SAW dalam satu peperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir.

Kemudian Baginda mendekati kami dan bersabda: “Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa (menyeru) kepada Tuhan yang tuli (pekak) dan jauh, akan tetapi kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu melebihi dekatnya seseorang dari kamu dengan leher binatang tunggangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Daripada Anas, bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman, Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 9 Mac 2011

Gerakan Islam alternatif pemikiran tradisional

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my

Generasi muda ketepi propaganda murahan kerana mahukan masa depan lebih dinamik

RUSUHAN berdarah 13 Mei 1969 memberi impak besar terhadap gerakan Islam di Malaysia. Jika sebelumnya urusan agama dianggap sekadar warisan keluarga, kejadian yang berlaku pada masa singkat memberi kesedaran betapa Islam cara hidup terbaik dan menjadi penyelesai masalah ummah.

Ketika kemuncak rusuhan, ada bangsa Melayu yang menjadi golongan minoriti di Kuala Lumpur berlindung di Masjid Negara dan masjid Kampung Baru yang dianggap kawasan selamat. Mereka yakin pertolongan Allah di samping mengharapkan tindakan segera pasukan keamanan.

Siswa di institusi pengajian tinggi tempatan juga mula menjadikan aktiviti agama sebagai sebahagian daripada aktiviti harian. Keadaan ini amat berbeza sebelumnya kerana cara hidup yang disemai oleh penjajah hampir mengubah kehidupan segelintir Melayu di bandar, khususnya yang mendapat didikan sekular.

Jika kita membaca karya Asas 50 dan menonton filem Melayu era Studio Jalan Ampas, cara hidup Islam kurang ketara. Watak utama yang menghidupkan budaya Islam agak terbatas. Watak wanita bertudung dan menutup aurat hampir tidak menonjol. Tema yang mengutamakan cara hidup ummah hampir tiada. Ia berlanjutan sehingga dekad 60-an dan keadaan jauh berubah pada 1970-an, apabila gerakan Islam sejagat memberikan impak besar terhadap generasi muda di Malaysia.

Di negara Arab, gerakan Islam muncul mendadak selepas Perang Arab-Israel pada 1967. Generasi muda yang mendapat pendidikan Barat menggunakan disiplin keilmuwan di Barat untuk menggerakkan perjuangan di negara sendiri.

Mereka meneladani perjuangan Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, An Nahdah dan Mili Salamat untuk mencabar sistem sekular yang sudah lama bertapak di negara umat Islam. Perjuangan Sheikh Abdul Qader al-Jazair (Algeria), Sheikh Umar Mukhtar (Libya), Sheikh Uthman Den Fodio (Nigeria), Sultan Hassanuddin dan Imam Diponegoro (Indonesia), Hassan Munas (Tok Janggut) dan Abdul Rahman Limbong (Tanah Melayu) menjadi inspirasi menggerakkan ummah. Jika pejuang sebelumnya menuntut kemerdekaan, generasi 70-an pula menjadi pendesak idea penubuhan negara Islam yang masih terbengkalai.

Perjuangan Sheikh Muhammad Abduh, Jamaluddin al Afghani dan Rashid Ridho menjadi idola reformis Islam. Kebangkitan pemikiran Hassan al Banna yang menggerakkan Ikhwaanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada 1928 menjadi inspirasi penubuhan persatuan belia Islam di seluruh dunia. Mereka mula mendesak dan bersuara selepas menyedari ideologi ciptaan manusia gagal menyelesaikan isu sejagat. Sistem komunisme, sosialisme, nasionalisme dan liberalisme gagal menyelesaikan masalah ummah. Mereka mengkaji jati diri Islam yang menjadi penyelesai masalah universal.

Revolusi Iran pada 1978 menyemarakkan kesan perjuangan generasi muda sejagat. Kehidupan mewah Shah Iran terdedah dengan pelbagai variasi siasah. Gerakan Islam menjadikan perjuangan dan kejayaan golongan mullah di Teheran sebagai alternatif kepada sistem monarki sekular.

Di Malaysia pula, perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memberikan kesan tersendiri. Jika sebelumnya pertubuhan belia tidak lebih daripada sekadar penganjuran majlis sukaria dan penganjuran lawatan, ABIM meletakkan gerakan belia sebagai wadah pembentukan generasi pemimpin masa depan. Beberapa tokoh ABIM menjadi penggerak parti politik utama. UMNO, PAS dan BERJASA pernah dibayangi gerakan ABIM.

Pusat pengajian tinggi juga tidak terkecuali dengan gerakan ABIM yang tentunya lebih menjadi cabaran kepada persatuan siswa yang agak liberal sebelum ini.

Ketika gerakan pelajar pada 1974, pengaruh gerakan Islam mewarnai ruang kampus dan medan siasah. Malahan, pembentukan Akta Universiti dan Kolej (AUKU) juga dikaitkan dengan perjuangan pelajar yang didakwa militan.

Mereka juga dikaitkan sebagai kabel gerakan komunis antarabangsa walaupun pada dasarnya Islam dan komunisme dua ideologi saling bercanggah. Pada hari ini gerakan belia dan Islam tidak dapat dipisahkan. Teknologi maklumat dan media baru menjadi perayaan sejagat yang dimanfaatkan generasi muda. Ketika media tradisional semakin terpinggir, media baru menjadi wadah terkuat untuk menyuarakan hasrat generasi muda. Jika insiden 13 Mei 1969 dikaitkan sebagai perjuangan perbezaan antara dua kelas ekonomi yang dibentuk oleh ras dan agama, kini gerakan belia Islam menjadi medan alternatif terhadap sistem yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat.

Cara berfikir dan bersiasah mengikut acara lama sudah ketinggalan. Generasi muda Islam lebih melihat kepada masa depan yang lebih dinamik. Mereka mengharapkan suasana hidup yang lebih selesa dan suara propaganda murahan perlu diketepikan.

Jika ada dalam kalangan kita yang mengabaikan suara yang tercatat pada laman blog, Facebook, Twitter dan e-mel, sesuatu yang drastik mungkin terjadi.

Gerakan anak muda dan gerakan Islam semakin mewarnai suasana politik di seluruh dunia. Merekalah pelengkap siasah sejagat masa kini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 5 Mac 2011

Islam tapi tidak beriman


TENTU ada antara kita yang pernah tertanya-tanya pecahan penduduk dunia mengikut agama. Wikipedia mencatatkan bahawa jumlah penganut agama Kristian adalah antara 2 hingga 2.2 bilion, Islam 1.570 hingga 1.650 bilion, Hindu 828 juta hingga 1 bilion dan Buddha 400 juta hingga 1.5 bilion. Lain-lain agama lebih kecil angkanya.

Itu kata Wikepedia. Sudah tentu sebarang perangkaan boleh dipertikaikan. Maka Islamic population.com pula menegaskan bahawa jumlah orang Islam di planet bumi ini ialah 1.82 bilion pada 2009.

Di sebalik tidak muktamadnya perangkaan, yang pasti ialah jumlah orang Islam cukup ramai. Mungkin lebih ramai daripada penganut Kristian, yang agama asalnya dibawa oleh Nabi Isa lebih 500 tahun sebelum Islam.

Perangkaan ini sepatutnya menjadi kebanggaan umat Islam, tetapi realitinya tidak begitu. Kita akan menundukkan kepala apabila membandingkan kualiti sebilangan besar umat Islam pada hari ini dengan bukan Islam, dan umat Islam dahulu.

Dari sudut sejarah, seabad selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam berkembang pesat hingga ke Eropah dan menjadi pembimbing kepada ketamadunan manusia sejagat. Pada zaman kegemilangan Islam, lahirlah empayar demi empayar - Ummayah, Abassiyah, Fatimiyah , Mughal dan Othmaniyah - yang bukan sahaja perkasa dari segi kuasa ketenteraan, malah amat ke depan di bidang ekonomi, sains dan teknologi.

Amat kita ketahui bahawa pusat-pusat ketamadunan Islam pada masa itu telah melahirkan para saintis, ahli matematik, ahli falak, ahli falsafah dan doktor yang terkemuka pada zaman tersebut. Mereka adalah pelopor kepada ketamadunan dunia moden.

Bagaimanapun zaman kegemilangan itu berakhir bersama kemusnahan Empayar Othmaniyah pada 1923. Sejak itu, orang Islam bukan lagi jadi bangsa penakluk, tetapi ditakluki hingga ke zaman sekarang. Umat Islam jadi bangsa yang dihina, dizalimi dan dianiayai bukan sahaja oleh bukan Islam, malah sesama Islam.

Pelbagai pandangan diberikan oleh tokoh-tokoh reformis Islam, tetapi keadaan ummah pada zaman pasca kegemilangan tetap tidak banyak berubah. Diseru supaya bersatu, tetapi tetap berpecah. Disuruh pantas maju di bidang sains, inovasi dan teknologi, sebilangan besar umat Islam lebih senang hati sekadar menjadi masyarakat pengguna.

Malah pada era pra-peristiwa pengeboman New York 9/11, umat Islam yang kaya di rantau Arab sangat kalut kerana segala pelaburan mereka mengalir ke Barat. Begitu juga mereka sangat bergantung kepada kemahiran Barat untuk membangunkan negara masing-masing dengan upahan wang petrol mereka.

Teknokrat dari lain-lain negara Islam Islam ditakrif ‘kelas kedua’ sekalipun mempunyai kepakaran yang dihormati oleh rakan-rakan mereka dari Barat. Jika diambil bekerja, gaji mereka terlalu kecil berbanding teknokrat Barat.

Nah, ada baiknya bagi kita di Malaysia. Selepas peristiwa 9/11, semakin ramai pelabur dan pelancong Arab bertukar haluan ke sini walaupun angkanya patut lebih besar.

Di ruangan ini minggu lalu telah dibangkitkan persoalan - umat Islam sepatutnya memimpin, kenapa tidak nampak sebarang tanda yang kita akan kembali menjadi umat yang memimpin?

Pelbagai seminar dan forum telah diadakan bagi mencari penyelesaian, tetapi kita masih belum bertemu jawapan yang benar-benar boleh menjamin umat Islam kembali ke zaman kegemilangan seperti dulu.

Tidak terfikirkah kita apa rahsia kejayaan Nabi Muhammad SAW yang berjaya mengembangkan Islam sehingga umatnya berjumlah hampir dua bilion sekarang. Rasulullah yang buta huruf mengembangkan Islam hanya dengan berbekalkan keyakinan (iman) dan ketaatan (takwa) kepada Allah S.W.T. Sumber ilmu ialah wahyu-wahyu yang tersusun sebagai kitab al-Quran.

Petunjuk

Al-Quranlah yang menjadi petunjuk kepada Nabi Muhammad, para sahabat baginda dan umat pada zaman khalifah sehingga Islam mencapai zaman kegemilangannya. Apakah kehancuran zaman kegemilangan itu gara-gara umat Islam tidak lagi menjadikan al-Quran sebagai petunjuk? Ayat-ayat Quran lebih hebat didendang daripada dihayati dan dipatuhi.

Atau barangkali mereka tidak lagi memahami segala petunjuk dan mengingkari perintah-perintah dalam Quran.

Dan al-Quran ini adalah suatu kitab yang mempunyai berkat yang telah kami turunkan, maka mengapakah kamu mengingkarinya? - 21:50

Maka jadilah orang Islam seperti umat-umat sebelumnya yang melupai petunjuk dan perintah Allah sekalipun diturunkan beberapa kitab dan nabi demi nabi yang tugas utama mereka menyeru umat manusia supaya beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Berkuasa.

‘‘Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (negara bangsa) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” - 7:96

Cerminlah diri kita, apakah umat Islam kini juga tidak lagi beriman dan bertakwa, tetapi sekadar beragama Islam sahaja.

Sehingga bertemu lagi di minggu depan, renungilah hadis riwayat Tarmizi ini yang cukup jelas maksudnya.

“Dari Tsauban ia berkata: Rasulullah Saw bersabda: “Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain) akan berebut kamu semua seperti orang-orang sedang makan yang berebut makanan di atas dulang”. Kemudian ada sahabat yang bertanya: “Apakah masa itu kita (kaum Muslimin) berjumlah sedikit?"

Rasulullah S.A.W. menjawab: “Sebaliknya, jumlah kamu ketika itu banyak, namun kamun hanyalah bak buih di atas air bah [yang dengan mudah dihanyutkan ke sana ke mari]. Dan Allah SWT akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh kamu terhadap kamu, sementara Dia meletakkan penyakit wahn dalam hati kalian.” Ada sahabat yang bertanya lagi: “Wahai Rasulullah S.A.W, apakah wahn itu?" beliau menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

Tentulah kita amat arif tentang masa atau zaman yang Rasulullah bayangkan lebih 1400 tahun lalu itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 3 Mac 2011

Persediaan Sebelum Tidur

Hadith:

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW.

Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (at-Tirmizi)

Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur.

Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.

Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula.

Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia