Jumaat, 29 Jun 2012

Syaaban bulan latihan persediaan Ramadan


HASAN AL- BANNA MOHAMED

Rejab adalah satu daripada Bulan Hijriah dalam kalendar Islam yang sering dijadikan tanda bagi umat Islam untuk belajar dan berlatih puasa sunat.

Walaupun puasa sunat ini sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kecuali pada hari yang dilarang dalam Islam.

Namun, secara tidak sedar sekarang mula memasuki Syaaban dan akan tiba pula Sayyidul Syahri (Penghulu Segala Bulan) yang penuh dengan keberkatan daripada Ilahi iaitu Ramadan.

Sebenarnya Syaaban juga sering dijadikan satu lagi penanda aras untuk mula melakukan ibadat khususnya puasa sunat.

Ramailah kalangan umat Islam berpuasa sebagai persediaan dan latihan untuk melakukan ibadat yang ditunggu-tunggu hampir setahun yang lalu.

Tidak dinafi kan ramai juga yang beristiqamah dalam Rejab dan diteruskan serta dilipatgandakan lagi ibadat sunat apabila menjelmanya Syabaan.

Bulan ini juga mula berkumandanglah sebuah hadis yang popular sejak dahulu lagi iaitu: “Rejab adalah bulan ALLAH, Syabaan adalah bulan ku (Rasulullah SAW) dan Ramadan adalah bulan umat ku”.

Walaupun ditegaskan oleh Ibnu Jauzi bahawa hadis ini adalah hadis mauduk (ciptaan) semata-mata, namun, umat Islam masih tetap dengan penghayatan amalan tersebut pada Syaaban.

 Apa pun, amalan ibadah tersebut seharusnya tidak terikat untuk pada bulan tertentu sahaja, tetapi pada bulan yang lain bergelumang dengan dosa dan noda terhadap ALLAH SWT.

Perkara yang paling penting, umat Islam wajib bertingkah laku sebaik mungkin dengan sifat Mahmudah melalui contoh teladan Rasulullah SAW pada setiap masa.

Sebenarnya banyak lagi sunah Rasulullah SAW boleh diikuti sepanjang Syaaban ini dan Ramadan yang bakal tiba nanti.

Diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim RA iaitu: Sayidatina Aisyah RA berkata: “Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak melainkan ketika Syabaan (selain Ramadan). Sesungguhnya Baginda SAW telah berpuasa sebulan penuh”.

Kemudian Imam Ahmad dan Imam al-Nasaie meriwayatkan bahawa daripada Usman bin Zaid pernah menceritakan bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada bulan-bulan lain seperti Syaaban.

Lalu Baginda SAW menjawab: Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu bulan di antara bulan Rejab dan Ramadhan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu, saya amat suka sekiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa”.

Riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Yusof juga menceritakan bahawa Sayidatina Aisyah RA meriwayatkan: “Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sehinggakan saya mengatakan Baginda tidak berbuka, dan Baginda berbuka sehinggakan saya mengatakan Baginda tidak berpuasa, dan saya tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya satu bulan melainkan dalam bulan Ramadan, dan saya tidak melihat Baginda berpuasa dalam satu-satu bulan melebihi dari puasa Baginda dalam Syaaban”.

Kesemua anjuran yang dinyatakan tersebut sebenarnya mendorong umat Islam agar sentiasa melakukan ibadat bersungguh-sungguh dengan sifat Ihsan hanya kepada ALLAH SWT.

Maka Syaaban inilah boleh dijadikan sebagai bulan latihan dan persiapan rapi untuk menggandakan ibadat umat Islam demi menjelangnya Ramadan nanti.

Janganlah sekarang ini sibuk bersengkang mata, berjaga malam dan tidur lewat untuk menonton perlawanan bola sepak Euro 2012, tetapi apabila datangnya Ramadan, ada yang tewas dan tidak mampu berbuat sedemikian demi Qiamullail, bertadarus membaca al-Quran, mengeluarkan zakat, berpuasa pada siangnya dan menjaga nafsu daripada dugaan duniawi.

Selain itu, Syaaban juga terkenal dengan satu peristiwa besar dalam Sirah Nabawiyah iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat umat Islam.

Sesungguhnya kiblat pertama dalam Islam ialah Baitul Maqdis di Palestin yang didakwa orang Yahudi bahawa ajaran Islam ini sebenarnya menyamai dan turut mengiktiraf kebenaran agama mereka.

Fenomena seperti ini merisaukan Rasulullah SAW sehinggakan Baginda memandang ke langit beberapa kali menanti wahyu daripada Ilahi agar ditukarkan arah kiblat kembali kepada Kaabah seperti pada zaman Nabi Ibrahim AS.

Akhirnya ALLAH SWT menurunkan ayat suci al- Quran sebagai arahan pindaan kiblat dari Baitul Maqdis ke arah Baitullahil Haram di Mekah.

Bermula saat itu, seluruh umat Islam sehingga kini bersatu arah hanya menghadap Kaabah sahaja sebagai syarat utama bagi sesuatu ibadat seperti solat fardu dan sebagainya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai.

Oleh itu palingkanlah muka mu ke arah masjid al- Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan ALLAH tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”. (Surah Al-Baqarah : 144)

Secara tuntasnya, marilah sama-sama menghayati iktibar peristiwa yang besar pada Syaaban ini agar umat Islam sentiasa hebat, berkualiti dan cemerlang dalam segala aspek duniawi mahupun ukhrawi. Jadilah insan Muslim sejati yang mempunyai nilai ajaran Islam yang sebenar, tidak terpengaruh dengan hedonisme dan materialistik seperti anjuran Yahudi dan Nasrani.

Tetap teguh memperjuangkan Sinar Nur Islam dengan memperbanyakkan ibadat kepada ALLAH SWT, menjauhi segala Maksiat, gandakan ibadat Qiamullail, puasa sunat, dan solat taubat apabila menjelangnya malam Nisfu Syaaban.

Selain itu, kukuhkan silaturahim antara sesama Muslim, buangkan perbezaan yang ada serta mencari persamaan dan perkukuhkan perpaduan antara kita. Di samping, terus beristiqamah memohon keampunan ke hadrat ILAHI melalui doa, perbuatan amal kebaikan dan kebajikan serta yang paling penting jauhilah daripada sifat fi tnah-memfi tnah khususnya pada bulan yang mulia nanti iaitu Ramadan al-Mubarak.

Hadis Rasulullah SAW juga menegaskan agar jauhi dari perbuatan fi tnah-memfitnah kerana ia lebih dahsyat daripada dosa membunuh!

Bersedialah umat Islam dengan sepenuhnya untuk menyambut ketibaan Ramadan yang ada di dalamnya satu malam yang dikenali Lailatul Qadr. Lafazlah dengan ucapan selamat datang Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan al-Mubarak.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 8 Jun 2012

Muhamad Anuar, Che Minah Diumum Qari, Qariah Terbaik Kebangsaan 2012



JOHOR BAHRU: Qari dari Kelantan, Muhamad Anuar Ghazali dan Qariah dari Wilayah Persekutuan, Che Minah Che Awang masing-masing diumumkan johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 di sini Jumaat.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan ibadat haji beserta cenderamata dan sijil penyertaan.

Muhammad Anuar, 36, seorang guru pendidikan Islam memperoleh markah 93.66 peratus manakala Che Minah, 57, guru al-Quran pula memperoleh 84.33 peratus.

Negeri Pahang pula diumumkan sebagai johan keseluruhan majlis tilawah tersebut.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sementara itu, naib johan pula ialah qari dari Pahang, Zul-Hasyimi Mohamed Yunus (87.99 peratus) dan qariah dari Sabah, Nur Faten Izzati Rablin (79 peratus).

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM7,000, pakej menunaikan ibadat haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula qari dari Sabah, Mohamad Raffe Ghalil Abbas (86.68 peratus) dan qariah dari Kedah, Marzian Mohd Deli (78.67 peratus).

Mereka menerima wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim dan kerabat diraja lain turut berkenan berangkat ke majlis tilawah itu yang berlangsung di Persada Johor di sini.

Selain itu majlis tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta isteri Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin.

Seramai 27 qari dan qariah menyertai tilawah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu dan bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'. - BERNAMA

Hayati al-Quran sebagai panduan hidup bina jati diri



ALLAH SWT mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya berbanding kitab lain. 


Ia juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta kitab kecemerlangan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 9 bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang beriman yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”


Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, sudah pasti akan membuahkan kesejahteraan dan kecemerlangan.


Justeru, bagi mengekalkan al-Quran dalam kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap Muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” 

Kedatangan Islam yang bersumberkan al-Quran mengubah pola kehidupan masyarakat sehingga berjaya membina sebuah tamadun yang gilang gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak lain kerana disuluh al-Quran. 

Atas sebab itu, sekiranya kita sebagai umat Islam ingin mencipta kejayaan sama ada dalam aspek kehidupan, kerjaya, keperibadian dan masa depan hendaklah menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan. 

Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi, rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur memahami al-Quran dan beramal dengannya. 


Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi orang Islam, bahkan ia juga dikagumi orang bukan Islam. Sebahagian daripada mereka yang bukan Islam memeluk Islam selepas memahami dan meneliti maksud ayat al-Quran. 

Sebagai contoh Dr Gary Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang teologi agama Kristian. Pada 1978 beliau dihadiahkan kitab al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris. Selepas membaca terjemahan al-Quran itu dan memahaminya, beliau memeluk Islam. 

Demikian juga dengan Dr Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Injil dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata: “Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran dan ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam.” 

Sebagai umat yang beriman, maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dalam sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. 

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. 

Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dalam kalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat al-Quran sebagai hiasan di rumah. 

Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sekadar ‘kitab berkat’. Mereka membaca al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu dengan membaca atau mengamalkan beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah rezeki, mempercepat dapat jodoh dan lain-lain tujuan tertentu. 

Marilah kita menjadikan budaya ilmu di dalam al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. 

Berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama, wujud tiga golongan manusia yang mengabaikan al-Quran. Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari membacanya. Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya serta memahami maksud al-Quran dan ketiga: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya. 

Bersempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-55 di Johor Baharu, Johor bermula 4 hingga 8 Jun ini, mimbar menyeru jemaah bersama-sama membudayakan al-Quran dalam kehidupan. 

Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. 

Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: ‘Sesiapa membaca satu huruf dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi ‘alif’ satu huruf dan ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ satu huruf.” (Riwayat Tirmizi).


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 5 Jun 2012

Amalan Rejab : Palsu atau tulen



ABD RAZAK MUTHALIB

ALLAH SWT mengutus rasul dan menurunkan kitab serta disediakan batas arahan dan larangan kepada manusia. Inilah yang disebut sebagai syariat. Ini bertujuan supaya manusia mengabdikan diri dan mentauhidkan ALLAH SWT dalam semua keadaan dan tingkah lakunya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (Surah Al-Zariyat : 56) Segala bentuk ibadah tidak akan diterima ALLAH melainkan ia dilakukan dengan  penuh keikhlasan serta menepati cara yang dilakukan Rasulullah SAW. Ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak diterima ALLAH apatah lagi untuk diberi ganjaran.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadah kepada  Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi : 110) Imam Ibn Kathir (wafat 774 H) ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan: “Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat ALLAH, dan hanya kerana ALLAH (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya.

Inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada ALLAH dan menepati syariat yang dibawa Rasulullah SAW”.  (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al- ‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).

Perlu ikut syariat

Menjadi kebiasaan sebahagian umat Islam untuk menghidupkan bulan Rejab dengan amalan tertentu. Persoalannya, adakah amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunah Rasulullah untuk  melayakkan amalan tersebut diterima?

Menyentuh persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah? Justeru,  menjadi kewajipan ke atas Muslim untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara Rasulullah SAW.

Antara amalan pada Rejab yang tidak menepati sunnah Rasulullah SAW ialah:

1) Menghidupkan malam ke- 27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mikraj.
Sememangnya peristiwa al- Isra’ wa al-Mi’raj adalah antara peristiwa  besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ia bukti kebesaran ALLAH SWT dan kebenaran Nabi Muhamad SAW serta risalah yang dibawa baginda.

Sebahagian umat Islam menyambut dan menghidupkan malam tersebut dengan  amalan khusus dengan mengharapkan fadilat tertentu. Tetapi pendapat ini tidak tepat sepertimana yang disebut Syeikh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: “Malam ini (27 Rejab) yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al- Mi’raj, tidak ada satu hadis sahih pun yang menyebut mengenai tarikh peristiwa ini secara khusus. Di sisi ulama hadis, semua pendapat yang menyebut tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak benar daripada  Rasulullah.

Kepada ALLAH jua diserahkan segala hikmah di sebalik kerahsiaan ini kepada manusia. Sekiranya terdapat hadis sahih yang menjelaskan tarikh peristiwa ini pun, kita tetap juga tidak dianjurkan untuk menghidupkan malam ini dengan amalan khusus. Tidak juga untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah dan Sahabat tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus.

Sekiranya menghidupkan atau  merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi SAW akan menunjukkan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya.

Sekiranya amalan ini pernah dilakukan Baginda SAW, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan golongan Sahabat kepada kita”. (Rujuk: Abdullah bin Abd al- Aziz bin Baz, al-Tahzir min al- Bida’, cetakan ke-3,  Uni. Islam Madinah, m/s 7).

2) Solat Raghaib
Solat ini dilakukan berdasarkan kepada hadis maudu’ (palsu) yang diriwayatkan Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Rejab bulan ALLAH, Syaaban bulan ku, dan Ramadan bulan umat ku... Dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada Khamis yang pertama dalam Rejab kemudian melakukan solat antara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat  sebanyak 12 rakaat... - Hadis ini dimasukkan Ibn al-Jauzi, dalam kitabnya al- Maudhu‘at, jilid 2, m/s 124-125. Kemudian, Ibn al-Jauzi menyebut: “Hadis ini adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW. Di dalamnya terdapat seorang  rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Golongan rawinya majhul (tidak dikenali) dan disemak mengenai peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak  kutemui mengenai mereka”.

3) Berpuasa penuh Rejab
Sebahagian umat Islam akan berpuasa penuh sepanjang Rejab dan menganggap ia mempunyai fadilat yang khusus. Tetapi malangnya, fadilat khas amalan ini tidak  bersumberkan al-Quran atau hadis yang sahih. Bahkan ia diambil daripada hadis yang maudu’ (palsu).

1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan daripada riwayat Muhamad bin Abdul -  Baqi daripada Abu Bakar Muhamad bin al-Hassan al - Naqqasy, daripada Abu Said RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rejab adalah bulan ALLAH, Syaaban bulan ku dan Ramadan bulan umat ku, maka siapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari ALLAH, maka dia wajib mendapat keredaan ALLAH Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al- Firdaus yang tertinggi... - Ibnu al-Jawzi menyatakan hadis ini adalah palsu.

2. Ibnu Shahin meriwayatkan daripada  Ali RA daripada Harun bin ‘Antarah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Rejab adalah bulan yang agung, maka sesiapa yang berpuasa sehari Rejab nescaya ALLAH menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang  berpuasa dua hari Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua  ribu tahun... - Menurut Ibnu ‘Arraq: Hadis ini adalah palsu tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadis. Al-Hafiz Ibn Hajar  dalam menyentuh perkara ini berkata: “Tidak terdapat hadis yang boleh dijadikan hujah yang menyebut mengenai fadilat khusus Rejab, atau fadilat berpuasa (sepenuhnya) pada bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau  enghidupkan malamnya yang khusus”. (Rujuk: Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).

Selain itu, terdapat amalan “Istighfar Rejab” yang disebutkan fadilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau  membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80,000 pahala Nabi.

Ada juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini kerana dianggap mempunyai fadilat yang khusus jika dilakukan. Demikian sebahagian amalan yang biasa dilakukan umat Islam dalam Rejab yang tidak bersumberkan daripada Rasulullah SAW. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan tersebut akan diterima oleh ALLAH  dan mendapat ganjarannya? Atau ia tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja.

Semoga ALLAH SWT mengampunkan kesalahan yang dilakukan atas kejahilan kita. Marilah sama-sama untuk membanteras kegiatan penyebaran hadis palsu dalam kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang dilakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah SAW dan diiringi dengan keikhlasan kepada ALLAH SWT.

*Penulis ialah pensyarah di International Islamic  College (IIC)
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/