Rabu, 25 Julai 2012

Ramadan membangun jiwa muttaqeen


Oleh :  Prof Dr Sidek Baba

DALAM Surah al-Baqarah ayat 183 dinyatakan dengan jelas mengenai orang yang beriman dan kewajipan untuk melakukan siyam atau puasa. Ayat itu juga memberi perisyaratan hubungan siyam sebagai madrasah rohiyyah untuk membangun jiwa muttaqeen.

Jiwa muttaqeen adalah puncak kepada kemuliaan diri insan di sisi Allah (Surah al-Hujurat ayat 13). Isu takwa ini adalah isu pokok yang membezakan orang yang beriman dengan yang lainnya. Pancaran jiwa muttaqeen adalah gambaran hubungan rapat manusia dengan Allah (taqarrub Ilallah).

Kedekatan hubungan Khaliq-Makhluk ini menyebabkan seluruh pertimbangan manusia dalam percakapan, perbuatan dan amalnya mengambil pertimbangan Allah untuk mendapatkan redha-Nya.

Siyam dalam maksud yang luas bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi adalah madrasah rohiyyah yang melatih insan terhadap kawalan diri zahir dan batin. Latihan ini amat penting kepada manusia supaya jiwa abid (ahli ibadah) sentiasa dalam kehambaan dirinya dengan Allah.

Ia membangun jiwa ibadullah dan ibadurrahman yang membentuk watak abid menjadi orang yang berjiwa ruku' dan sujud. Asas ini amat penting bagi menghasilkan jiwa patuh, taat, akur dan tunduk dan pekerti taabudi yang tinggi kepada Allah.

MADRASAH ROHIYYAH

Rasulullah SAW dalam hadisnya memberi asas mengenai disiplin dan adab. "Ya Allah didiklah aku dengan didikan yang terbaik". Adab dan ta'dib adalah sesuatu yang amat penting dalam melakukan tarbiyyah terhadap rijal atau manusia.

Addaba membawa maksud adab merujuk kepada disiplin akal, hati dan amal. Perjalanan rijal membangun disiplin akal membolehkan penjanaan ilmu berlaku, ketangkasan hati terjadi dan kebaikan amal terlihat. Ia amat penting sebagai suatu proses pembangunan insan seutuhnya. Tanpa disiplin, adab tidak akan lahir.

Fokus pembangunan rijal ialah hati. Faktor dalaman diri manusia ini memerlukan tarbiyyah rohhiyyah supaya terhubung antara faktor akal dengan faktor naql atau wahyu yang menyerasikan fikir dan zikir supaya ia memberi makna kepada amalan.

Siyam yang dilalui adalah proses memperkukuh hati dengan kawalan diri yang tinggi. Siyam dalam ertikata yang luas tidak sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi ia juga mengawal pancaindera daripada terhubung dengan perkara-perkara yang mungkar dan menyalahi. Siyam juga meletakkan manusia memiliki daya ihsan yang tinggi dengan Allah kerana jiwa muttaqeen meletakkan Allah itu segala-gala.

AL-QURAN SEBAGAI PETUNJUK

Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 185 memberikan perisyaratan tentang al Quran ditanzilkan pada bulan Ramadan untuk memberi pertunjuk kepada manusia mengenai yang hak dan batil.

Maksud petunjuk dalam Islam amat luas maknanya. Al-Quran tidak sekadar memberikan manusia ilmu, maklumat, prinsip dan kisah tetapi terkandung hikmah yang tinggi membentuk pemikiran yang rohhiyy mengenai kebesaran Allah dan hikmah yang terdapat dalam kejadian-Nya.

Petunjuk tidak sekadar menjadikan manusia berilmu tetapi sekali gus membentuk akhlak karimah yang menjadi sumber teladan dan ikutan kepada manusia.

Al-Quran tidak sekadar ayat-ayat yang bersifat harfiah dibaca untuk mendapatkan fadhilat atau pahala tetapi ia sarat dengan ilmu sebagai sumber petunjuk memahami alam dan kehidupan dan bukti-bukti saintifik bagi keperluan manusia.

Ramadan yang dilalui diiringi dengan tilawah dan tadarus mendekatkan para abid dengan kalimatullah supaya al-Quran sentiasa dijadikan sumber petunjuk dalam proses pengilmuan dan kehidupan.

JIHAD AN NAFS

Rasulullah SAW selepas kembali dari Perang Badr yang berlaku dalam bulan Ramadan menyatakan kepada sahabat bahawa "Kita baru saja kembali dari perang yang kecil ( jihad al-asghar) dan akan berhadapan dengan jihad yang lebih besar (jihad al-akbar) atau jihad al- nafs iaitu jihad nafsu atau jihad diri.

Manusia yang memiliki nafsu adalah sebesar-besar cabaran dalam perjuangan hidup. Sesetengah ulama mengkategorikan nafsu dalam tiga tahap iaitu Nafs amarah bissuk iaitu nafsu haiwani, nafsul lawamah dan nafs al mutmainnah iaitu nafsu orang berjiwa tenang.

Faktor nafsu adalah sesuatu yang fitrah dikurniakan Allah kepada manusia. Tanpa nafsu manusia hilang keinginan, kemahuan dan perasaan. Daripada nafsu yang dimiliki manusia memerlukan tarbiyyah rohiyyah supaya nafsu dapat dikawal dan mencari ititk keseimbangan dalam melaksanakan amalan, keinginan dan perbuatan.

Contoh mudah nafsu ini ialah ibarat kuda liar. Kuda liar apabila ditunggangi boleh menyebabkan penunggang menghadapi masalah. Justeru kuda perlu dijinakkan dengan latihan dan kawalan tali kekang. Kuda yang jinak dan terlatih akan ikut cakap tuannya atau penunggang itu sendiri.

Nafsu manusia juga sedemikian. Ramadan yang dilalui dengan siyam sebagai intipati penjinakan hati dan pengawalan diri bakal meletakkan hati insan dalam jiwa muttaqeen. Disiplin hati ini amat penting kepada manusia kerana setiap amal bermula dengan niat.

Kalau niat manusia terbina dengan rasa taabudi yang tinggi rasa ketakwaan akan hadir dalam diri manusia dan ia menjadi asas bagi menatijahkan amal soleh dan solehah bagi insan.

KEMBALI KEPADA FITRAH

Sebulan Ramadan yang dilalui merupakan tazkiah an nafs bagi orang yang beriman dengan mengalami proses pengawalan diri, pembersihan jiwa dan hati supaya insaf ketuhanan berlaku dan ia adalah barometer yang memberikan daya kawalan hati dan amal.

Madrasah Rohiyyah yang dilalui ini dengan solat tarawih, qiyam dan tahajud membolehkan jiwa ruku' dan sujud terbina, berbuka dan sahur adalah tanda kesyukuran terhadap rahmat Allah dan ujian bangun pagi bagi yang beriman, menggunakan pancaindera secara makruf, selalu melakukan muhasabah diri di depan Allah supaya jiwa tawaduk mengambil tempat hingga para abid (ahli ibadah) sentiasa melakukan sesuatu dalam redha-Nya.

Asas ini sangat penting bagi mengembalikan semula orang yang beriman ke dalam fitrah diri. Diumpamakan sebuah kereta yang lalu di lebuh raya kehidupan memerlukan ia dibawa ke bengkel untuk digantikan minyak hitam atau pistonnya supaya kereta ini sentiasa dalam keadaan baik untuk menjalani lebuh raya kehidupan yang banyak cabarannya.

Aidilfitri yang dirayakan selepas sebulan melalui madrasah rohiyyah ibarat kelahiran anak kecil seputih kain untuk melalui perjalanan hidup yang fitrah. Manusia yang beriman akan melalui proses transformasi diri yang hebat.

Kalau dulunya para abid ini seorang sombong dan takabur, melalui Madrasah Ramadan ia menjadi seorang yang tawaduk dan menginsafi diri bahawa seluruh rahmah dan nikmah itu datangnya daripada Allah.

Dari seorang yang kedekut dan bakhil menjadi seorang pemurah dan memiliki ihsan yang tinggi terhadap manusia lain. Dari seorang yang gelojoh, melampau dalam cakap dan perbuatan menjadi seorang yang tenang dan sabar. Jika ini berlaku ia adalah tanda- tanda transformasi atau perubahan diri insan yang mengembalikan diri kepada fitrah.

Perubahan diri manusia boleh diukur apabila setiap proses tarbiyyah berlaku. Ukuran yang paling nyata ialah terhadap akhlak dan gelagat manusia. Kalau sebelum Ramadan amal-amal yang bersifat mazmumah nyata ada pada dirinya.

Tetapi selepas melalui proses tarbiyyah an nafs ini wataknya berubah dan memiliki kekuatan amal yang sifatnya mahmudah.

Sukakan hal-hal yang baik dan bermanfaat, tidak kedekut dan bakhil, baik sangka terhadap manusia lain, memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Sekiranya ini tidak terjadi bermakna tarbiyyah rohiyyah tidak terjadi dan ia tidak kembali ke fitrah dan ramadan tidak membentuknya menjadi orang yang berjiwa muttaqeen.

Muhasabah ini penting supaya melalui Ramadan mestilah dengan hati ikhlas dan suci bersih. Lantaran kembalinya insan kepada tuntutan fitrah adalah isyarat orang yang menerima redha Allah.

PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Selasa, 24 Julai 2012

RAMADHAN & BATALKAH PUASA KITA JIKA...


Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.  Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil  perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.

Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "

والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه

Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.

Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat

Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

 فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.  Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma  puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

15) Mengosok gigi ketika berpuasa

Sebelum kita melangkah dengan lebih mendalam bagi membahaskan tajuk ini, adalah wajar sekiranya ditinjau terlebih dahulu akan tujuan bersiwak. Sudah tentu tujuannya ialah untuk menjaga kebersihan mulut supaya tidak menganggu masyarakat di sekeliling kita di samping supaya kebersihan dan kesihatan mulut dan gigi terpelihara.

Inilah fokus utama mengapa Nabi bersabda ' Jika tidak menyusahkan umatku, pasti aku perintahkan mereka bersiwak (gosok gigi) setiap kali (berwudhu') untuk menunaikan solat'. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Justeru, persoalan sama ada menggukan kayu siwak, ubat gigi, berus gigi atau air tidak timbul. Kesemua ini hanyalah alat bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan oleh baginda iaitu kebersihan.

Saya menyedari kedaifan diri saya ini. Namun begitu, saya kurang bersetuju dengan ijtihad yang mengatakan bahawa menggunakan air atau ubat gigi adalah makruh kerana dikhuatiri akan tertelan. Istilah 'ter' telan menunjukkan perbuatan yang berlaku di luar jangkauan kita. Begitu juga dengan termakan, ia tidak membatalkan walhal si termakan tersebut sudah termakan dua pinggan nasi. Justeru, perbuatan yang tidak disengajakan adalah dimaafkan. Ini kerana ini berlaku di luar kawalan normal minda manusia. Lihatlah bagaimana ISLAM yang tulin menyediakan landasan yang kukuh dalam memudahkan urusan penganya kerana ALLAH inginkan kemudahan bagi hambaNya, bukannya kesukaran.

Saya berpandangan bahawa penggunaan ubat gigi, air atau berus gigi merupakan perkara yang dibolehkan bagi mencapai tujuan dan fokus saranan Nabi SAW iaitu kebersihan mulut.

Sumber : http : //www. zaharuddin.net/

Meraikan Penghulu Segala Bulan



Oleh : Siti Shamsiah Binti Md Supi

SAMA ADA ia dinanti atau kunjungannya disambut dengan hati sepi, ia tetap datang lagi. Namun, Baginda Rasulullah SAW mengatakan bahawa kita seharusnya menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Gembiranya hati menyambut kehadiran tetamu yang Allah SWT yang dimuliakan ini menandakan wujudnya iman di hati.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyebut, "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka sambutlah kedatangannya dengan penuh kegembiraan".

Sebagaimana asal kata Ramadan daripada perkataan 'ramida' atau 'ramad' yang bermaksud cuaca panas terik atau kemarau yang keterlaluan, yang membakar tanah. Suatu metafora rasa panas di dalam perut disebabkan menahan dahaga. Panasnya Ramadan kerana ia berfungsi membakar dosa-dosa lalu dengan memohon keampunan Allah SWT dan amalan-amalan soleh yang dilakukan sepanjang bulan ini.

Sesi yang disediakan Allah secara khusus ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform, malah darjat yang tinggi, pahala, kelebihan dan pelbagai keistimewaan turut disertakan sebagai pakej transformasi jiwa dan diri yang amat sempurna. Di hujungnya pula suatu pengijazahan pada yang berjaya sebagai insan sesuci bayi yang baru dilahirkan. Seperti mana bicara Rasulullah SAW yang antaranya menyebut pada awal bulan ini adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kemerdekaan dari api neraka.

Istimewanya ia sebagai latihan jiwa yang bersifat amat telus dan tulus kerana ujian-ujian yang terkandung di dalamnya hanya diselia oleh iman dan dilihat oleh Tuhan yang satu dan menjadikan puasa sebagai disiplin paling unggul. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda, "Allah berfirman, 'Setiap amalan anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku mengurniakan balasan bagi puasanya itu."

Pun begitu, bagi meraih pahala yang berlipat kali ganda, ia harus menterjemahkan sifat empati dalam bentuk tindakan. Sementelah fakir miskin gembira kerana pada waktu siang para Muslimin dan Mukmin yang berada dan kaya juga berlapar dan merasa dahaga seperti mereka, maka si fakir miskin juga menjadi sumber bagi golongan yang berada dan kaya untuk menambah pahala dengan berkongsi rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.

Sedekah itu tidak sekali-kali diukur mengikut kuantiti, tetapi diukur mengikut keikhlasan hati pemberi. Dalam bulan yang paling Allah muliakan ini setiap sedekah yang dilakukan dengan ikhlas, akan menyuburkan kasih sayang sesama insan.

Ujar Rasulullah SAW, "Wahai manusia, kamu kini hampir dengan bulan yang agung lagi penuh keberkatan. Bulan yang salah satu malamnya adalah lebih baik berbanding daripada seribu bulan".

Saban tahun kita menyambut dan menempuhinya. Saban tahun juga kita diperingatkan dengan keindahan dan keistimewaan yang mengiringi kedatangannya. Namun malangnya, di hujung-hujung lembaran waktu ketika ia mula meninggalkan umat manusia, kebanyakan dari kalangan kita menjadi lebih asyik untuk menyambut ketibaan Syawal dan tidak mengambil peluang untuk memanfaatkannya secara maksimum.

Saf-saf yang mengikuti solat tarawih akan susut bermula di pertengahan bulan dan menjadi lebih menyusut bila menuju ke penghujung Ramadan. Hanya sedikit yang beriman akan beristiqamah untuk meneruskan amalan-amalan yang digalakkan dalam Ramadan sehingga ke penghujungnya. Seperti bertadarus dan beriktikaf.

Sifat 'hangat-hangat tahi ayam' ini tentunya tidak menepati dengan apa yang dinyatakan Rasulullah SAW yang mengatakan pada awal bulan yang dimuliakan ini adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan dari api neraka.

Jika ini terus menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu Muslim, bermakna ia meninggalkan peluang keemasan untuk mempertingkatkan kedudukan puasanya.

Tentunya tidak sama kualiti puasa orang yang berlapar dahaga semata-mata jika hendak dibandingkan dengan puasa orang yang mengisinya dengan amalan lain seperti bertilawah al-Quran, menghidupkan malam dengan bersolat sunat dan membanyakkan sedekah.

Melakukan kebaikan dengan hati ikhlas tentunya mengundang kegembiraan di sisi Allah dan memberi pulangan pahala kepada pelakunya. Secara timbal baliknya pula, bagi mendidik hati supaya ikhlas tentulah kita harus mengusahakannya dengan melakukan amalan soleh.

Melakukan ibadah berpuasa secara berkualiti secara konsisten sehingga ke penghujungnya adalah usaha seorang individu Muslim untuk mempertingkatkan darjat puasa dari puasa umum kepada puasa khawwas dan seterusnya puasa khawasil khawwas. Iaitu dari puasa yang hanya menahan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa kepada puasa yang menambah penahanan deria dan anggota tubuh daripada melakukan dosa dan seterusnya kepada peringkat puasa yang terbaik iaitu menahan perasaan terhadap perkara yang bersifat keduniaan dan sebarang perkara yang tidak mempunyai hubung kait dengan Allah SWT.

Mudah-mudahan Ramadan pada kali ini akan diisi dengan sebaik-baiknya kerana tiada kepastian kita akan menemuinya lagi pada tahun hadapan.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 21 Julai 2012

Dulang pahala, borong amal Ramadan



Oleh : FATHUL BARI

Ramadan memiliki keutamaan yang banyak untuk diraih umat Islam. Ia adalah bulan diturunkan al-Quran. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Ramadan adalah bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara al-haq dan batil).” (Surah Al-Baqarah : 185)

Petunjuk Nabi SAW itu melihatkan Baginda SAW memanfaatkan Ramadan Al-Mubarak dengan banyak membaca al-Quran. Nabi SAW membaca dan mengkhatamkan al-Quran pada setiap tahun dalam Ramadan Al- Mubarak bersama dengan Jibrail AS.

Maka dengan itu antara amalan yang paling baik di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak selain daripada berpuasa adalah membaca al-Quran.

Dalam Ramadan terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan, Lailatulqadar. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.

Pada malam itu turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr : 1-5)

Manusia hari ini sibuk membanyakkan duit. Mereka bertanya berapa dividen atau gandaan wang yang akan diperoleh hasil pelaburan tersebut. Ini kerana ingin menggandakan harta dan wang ringgit masing-masing.

Barangan kosmetik digunakan untuk menggandakan kecantikan. Ini adalah fitrah manusia yang boleh dilihat dalam realiti kehidupan.

Manusia sukar berasa cukup dan sentiasa berusaha untuk mendapat lebih. Tetapi bagaimanakah usaha dalam menggandakan amalan kebaikan untuk mendapatkan keredaan dan syurga di sisi ALLAH SWT?

Hal ini perlu dijadikan muhasabah. Apatah lagi ketika Ramadan yang penuh keberkatan, ALLAH menyediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan untuk manusia yang beramal pada malam itu.

Maka sewajarnya kita perlu berusaha sepanjang Ramadan untuk mendapatkan malam tersebut. Kebiasaannya masuk minggu kedua, kita disibukkan dengan memenuhi jemputan majlis berbuka puasa di hotel yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa yang lazat.

Manusia juga dighairahkan untuk bersolat Tarawih di belakang imam import. Ada juga yang sanggup pergi mencari imam di masjid yang jauh untuk solat Tarawih di belakang imam pilihan semata-mata sehingga meninggalkan kewajipan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.

Masuk minggu terakhir mereka mula disibukkan dengan persiapan raya dan rancangan menarik di televisyen sehingga melupakan kelebihan yang ALLAH tawarkan kepada hamba-Nya yang menghidupkan Ramadan.

Manusia kadang-kadang tidak memahami keutamaan. Apa yang penting yang ingin saya sampaikan adalah berkaitan kelebihan bulan Ramadhan yang tidak wajar disia-siakan kerana Allah menyediakan di dalam bulan ini perkara-perkara yang sangat baik dan tidak akan bisa diperoleh pada bulan-bulan lain khususnya Lailatulqadar.

Sabda Nabi SAW, maksudnya: “Apabila datang Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan dibelenggu.” (Riwayat Imam Al Bukhari)

Jadi pada bulan ini syaitan diikat. Jika ditanya, mengapa masih ada manusia berbuat perkara jahat, mengapa masih ada orang yang tidak berpuasa, kata Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimi, syaitan di dalam tubuh badan manusia. Maksudnya si pelaku dosa itu sendiri adalah “syaitan” yang tidak mampu mengawal hawa nafsunya dan menyebabkan dia melaksanakan amalan yang bercanggah dengan syariat iaitu maksiat.

Ini adalah antara kelebihan Ramadan dan sebagai janji ALLAH SWT di mana ALLAH SWT tidak akan menzalimi seorang pun daripada kalangan hamba-Nya seperti firman-Nya yang bermaksudnya: “Dan Tuhan mu tidak menzalimi seorang pun.” (Surah Al-Kahfi : 49) Maka tawaran yang penuh dengan kepastian ini hendaklah kita berusaha untuk mendapatkannya.

Pada hari ini jika pergi ke restoran makanan segera, Kita melihat menu sahaja diberi gambaran sedap dan menyelerakan. Ini tawaran manusia kepada kita di atas muka bumi yang apabila sampai makanan itu kepada kita, kadangkala rasanya tidak seperti yang digambarkan. Ini kerana tawaran manusia bersifat tidak pasti.

Kadangkala juga kita melihat seseorang itu wajahnya cantik dan elok, tetapi sikap dan akhlaknya bukan seperti manusia yang normal. Akan tetapi tawaran Allah SWT adalah syurga. Tawaran Allah SWT adalah membebaskan kita daripada neraka. Tawaran Allah SWT bersifat pasti. Inilah hebatnya tawaran ALLAH SWT yang tidak akan menzalimi hamba-Nya dan segala-galanya kembali kepada kehendak dan ketentuan Ilahi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 17 Julai 2012

Siapkan 5B sebelum Ramadan


Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON

BULAN Syaaban kini semakin menghampiri penghujungnya. Ini bermakna tidak lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa wajib di bulan Ramadan al-Mubarak. Justeru segala persiapan bagi menemuinya wajar dilakukan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap- harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza.

Akhirnya setelah Ramadan sekali berlalu, tiada nilai takwa mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan. Justeru, umat Islam diseru melakukan persiapan bagi menemui Ramadan. Persiapan itu termasuklah;

Bersihkan zahir dan batin

Setiap Muslim disarankan menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan menghindari diri daripada melakukan perkara keji dan mungkar selain berniat untuk memenuhkan Ramadan dengan segala amalan kebajikan. Begitu juga segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan ibadah hendaklah dijauhi. Sikap negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk dalam kategori penyakit buruk yang perlu dijauhi.

Selain itu, amalan buruk berupa maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia selari dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.

Bersedia untuk berbuat amal ibadah

Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al- Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Di samping itu segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara yang baik.

Elakkan membazirkan masa dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah seperti bersembang mahupun tidur seharian. Peruntukan juga sebahagian wang untuk bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Ini termasuk membayar zakat fitrah bagi semua tanggungan jika memenuhi syarat diwajibkan. Kesemua ini jika dilakukan dengan ikhlas akan dibalas dengan ganjaran yang tidak ternilai di sisi Allah SWT.

Berpuasa dalam erti kata yang sebenar

Segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya pengertian puasa cukup luas. Selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru menghindari mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri mengurangkan pahala berpuasa.

Di samping itu pekerjaan seharian hendaklah diteruskan, kerana puasa tidak sepatutnya menjejaskan produktiviti dan kesungguhan bekerja. Ia juga termasuk aktiviti ibadah yang diberi pahala jika tidak melanggar ketetapan syariat. Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sendiri sibuk berjuang menentang Musyrikin Mekah dalam Perang Badar al-Kubra di saat mereka sedang berpuasa dan beroleh kemenangan dalam peperangan itu.

Berjihad mencari lailatul qadar

Ramadan tiba setahun sekali, begitu juga malam lailatul qadar yang didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini tidak patut dipersiakan. Malah setiap individu Muslim perlu menanam azam untuk berjihad dengan bersungguh- sungguh bagi mencari malam kemuliaan itu seraya beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat. Inilah saat segala doa dan permohonan sama ada bersifat duniawi dan ukhrawi akan diperkenankan lagi dimakbulkan oleh Allah SWT. Justeru Ramadan bukan masa untuk mencari pelbagai kuih-muih di Bazar Ramadan dan sibuk membuat persiapan Hari Raya.

Bersegera menyelesaikan hutang puasa

Bagi yang masih belum mengqada puasa yang ditinggalkan diharap bersegera berbuat demikian sebelum berakhirnya Syaaban.Jika tidak akan mendedahkan pelakunya kepada dosa yang dimurkai Allah SWT. Malah mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mengganti puasa dan membayar fidyah jika menjangkaui Ramadan tahun yang baru.

Selain itu, umat Islam turut digalakkan membersihkan kawasan sekitar rumah yang kemungkinan dipenuhi lalang dan sampah sarap bagi menyambut Ramadan. Kawasan dalaman rumah juga elok dihias dan dibersihkan. Begitu juga pakaian yang cantik disediakan dan dipakai menjelang ketibaan satu Ramadan.

Amalan seperti ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT supaya pintu-pintu Syurga dibuka luas dan bahagian dalamannya dihias rapi dan cantik bagi menyambut Ramadan.

Akhirnya bergembiralah untuk bertemu Ramadan dengan niat untuk berbakti kepada Ilahi. Peluang ini belum tentu akan dinikmati pada masa hadapan kerana hanya individu terpilih diberi kesempatan tersebut.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 14 Julai 2012

Qari Malaysia johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa


KUALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki). 

Anuar, yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus). 

Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94 peratus, sama seperti markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.

Hasnae menewaskan qariah Indonesia Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.

Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis itu.

Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.

Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu hati wang tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.  

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Sementara itu, Anuar ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur kerana penyertaan kali pertama di majlis tilawah amat bermakna apabila dinobatkan
sebagai juara.

"Saya amat cintakan ayat-ayat suci al-Quran sejak di tingkatan satu dan mengamalkan bacaan setiap hari dengan berjaga malam untuk mempraktikkan bacaan saya. Saya rasa tidak lengkap sekiranya satu hari tidak membaca al-Quran yang saya jadikan sebagai aktiviti harian," kata bapa kepada tiga anak dan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Cochrane ini.

Hasnae pula berkata beliau, yang pertama kali menjejak kaki ke negara ini, berasa sangat teruja serta berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan serta dorongan kepadanya.

"Semua ini ketentuan ALLAH serta berkat doa keluarga dan diri sendiri," kata pelajar tahun keempat Universiti Muhammad V jurusan pengajian Islam menerusi
penterjemah.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 bertema 'Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' yang berlangsung selama lapan malam mulai 6 Julai lepas, disertai 72 qari (44) dan qariah (27) dari 44 negara antaranya, Thailand, Brunei, Bosnia Herzegovina, Filipina serta Algeria. 

Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan bacaan yang bagus dengan memelihara hukum tajwid.  

Majlis tahun ini menyaksikan penyertaan kali pertama tiga negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania. - Bernama

Sabtu, 7 Julai 2012

Tiada alasan tidak laksana undang-undang Islam


SHAH ALAM – Malaysia mempunyai banyak kelebihan apabila Islam diangkat sebagai agama rasmi negara, justeru tiada alasan untuk melengahkan lagi pelaksanaan undang-undang Islam, kata Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz.

Menurutnya, Islam sebagai agama Persekutuan merupakan tunjang kekuatan umat Islam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu ini adalah Ketua Agama Islam dan ini juga adalah lambang keutuhan umat Islam di negara ini.

“Semua ini terletak di bahu kita sama ada mahu memulakan usaha ini, atau tunggu dan lihat dan menyebabkan kita terus ketinggalan berbanding dengan negara yang sebelum ini
dimomokkan seperti negara sekular Turki dan Mesir yang telah jauh ke hadapan,” katanya.

Wan Mohamad berkata, sekiranya analisis kekuatan negara kita dilakukan, ketua negara Muslim, Islam nama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, itu maknanya ALLAH menguji kita dan mengurniakan banyak kelebihan.

“Apabila ditanya pakar strategik, siapa ketua negara kita, muslim..siapa ketua kerajaan kita, muslim.. Hanya nama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, bila lagi kita mahu laksanakan. Tunggu atau lihat?,” katanya pada Seminar Kebangsaan Undang-Undang Syariah di Malaysia semalam.

Seminar sehari itu, dihadiri kira-kira 250 peserta anjuran Persatuan Ulama Malaysia dengan kerjasama Jabatan Mufti Selangor Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri di
Muzium Sultan Alam Shah.

Beliau turut mengambil contoh ketegasan Sultan Brunei, Sultan Hassanah Bolkiah yang bertitah pada Seminar Antarabangsa Perundangan Islam pada tahun ini.

“Titah Sultan, tidak boleh lagi berkata tidak atau tunggu dulu, sebab kita sudah cukup segalanya ada kemampuan dan ada kuasa dan cukup kemampuan untuk melaksanakannya.

“Kalau kita masih berkata tidak atau tunggu dulu, ini adalah tidak kena. Siapa kita di hadapan ALLAH untuk berkata tidak dan tunggu dulu, sedangkan undang-undang bukanlah baru digubal tetapi telah termaktub dalam al-Quran dan hadis semenjak 1400 tahun dahulu,” katanya yang membacakan semula titah tersebut.

Sehubungan itu katanya, walaupun isu hudud ini berbangkit sewaktu gendang pilihan raya hampir tiba, namun ia harus diterima sebagai petanda usaha ulama silam semakin berjaya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Guna lidah dengan cara baik

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Inilah kehebatan lidah, jika digunakan dengan baik akan baiklah hasilnya tetapi jika salah percaturan, disebabkan lidah tidak dipelihara, maka buruk padahnya.

Kemungkaran paling mudah dikaitkan dengan lidah ialah ghibah atau mengumpat, yang berakar dalam masyarakat hingga dianggap remeh dan perkara lazim. Anas bin Malik memberitahu Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Ketika aku dimikrajkan, aku lewati suatu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga, mencakari muka dan dada mereka. Lalu aku bertanya, Siapakah mereka itu, wahai Jibril? Kata Jibril: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (yang suka mengumpat) dan menjatuhkan martabat peribadi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, ghibah atau mengumpat masih ada kelonggaran dalam beberapa situasi. Imam an-Nawawi dalam kitab agungnya, ‘Riyadus Solihin’ bahagian Fekah Berjiran Tetangga mengemukakan beberapa keadaan membenarkan seseorang itu melakukan ghibah.

Ghibah apabila dalam keadaan dizalimi. Ini bermakna seseorang yang dizalimi maka dibenarkan mengadu kepada pihak tertentu supaya yang melakukan kezaliman itu menghentikan perbuatannya. Orang dianiaya tidak lagi tertakluk pada larangan ghibah kerana aduan itu termasuk pencegahan.

Ghibah apabila meminta pertolongan orang lain supaya melenyapkan kejahatan dan bertujuan memperingatkan mereka yang berbuat jahat. Ini dibolehkan jika seseorang itu tidak mampu menanganinya sendiri dan memerlukan bantuan orang lain yang berkemampuan menghentikannya.

Mengadu pihak tertentu yang lebih arif berhubung fatwa seperti dilakukan Hindun binti Utbah yang datang menemui Rasulullah SAW dan mengadu Abu Sufyan tidak memberikan belanja mencukupi.

Hindun tidak melakukan ghibah tetapi mengharapkan Rasulullah SAW memberikan hukum.

Memanggil atau menamakan seseorang mengikut gelaran tertentu yang sudah biasa digunakan kepadanya. Ini sebenarnya bukan menghina atau memburukkan seseorang lantaran nama gelaran itu sudah lazim disebut.

Ghibah apabila seseorang yang jelas menampakkan kefasikannya. Kata Ash-Shultu bin Thuraif, “Aku ada bertanya kepada Hasan al-Basri: Lelaki fasik yang menampakkan kemaksiatannya, apakah sebutanku kepadanya? Apakah ada pengumpatan itu kepadanya? Jawab Hasan al-Basri: Tiga macam manusia yang tiada pengumpatan terhadapnya, iaitu yang mengikut hawa nafsu, orang fasik yang menampakkan kefasikannya dan imam (penguasa) yang zalim.”

Justeru, walaupun perbuatan ghibah atau mengumpat suatu amalan negatif yang amat ditegah agama, namun pada situasi tertentu ia masih diberikan kelonggaran untuk berbuat demikian atas prinsip kepentingan individu dan menjaga maruah agama.

Sumber : http : //www.bharian.com/

Rabu, 4 Julai 2012

Hukum Solat Dan Doa Pada Malam Nisfu Sya’ban


Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum’ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi

Malam nisfu Sya’ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya’ban daripada hadis-hadis (nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).

Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya’ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.

Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : “فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ” – رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .

Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : “Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit.lalu baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb.”

-Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.

Seterusnya,

عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ” – رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .

Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang yang bermusuhan.”

-Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.

Seterusnya,

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ” – رواه ابن ماجه .

Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : “Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.”

-Riwayat Ibnu Majah.

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : “كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً” – متفق عليه .

Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan.”

-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :

Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan.”


Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :

Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.

Pertamanya : 

Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.

Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.

Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.” Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.

Keduanya :

Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.” -tamat

Kesimpulannya :

Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.

Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.

Sumber :

Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya’ban 1430, m/s 136.