Rabu, 14 November 2012

Hijrah memperkasa fikrah dan maslahah


Oleh : PROF DATO' DR. SIDEK BABA

HIJRAH Rasulullah SAW sentiasa diingat sebagai titik anjakan dalam pemikiran dan strategi umat Islam sepanjang zaman. Di samping perintah daripada Allah, ia membayangkan perancangan manusia secara strategik cuba melepasi cabaran besar dalam memperkembangkan Islam kepada perjuangan lebih besar dengan melakukan hijrah.

Dimensi ihsan dan insan

Perintah Allah kepada Rasulullah SAW supaya hijrah berlaku adalah hubungan menegak antara Allah dan pesuruhNya sementara perancangan Rasulullah SAW dan para sahabat adalah dimensi merentas menghubungkan perancangan sesama manusia dengan mengambil pertimbangan Allah.

Dimensi ihsan (hablum minallah) dan hubungan merentas (wahablum minannas) menarik untuk dijadikan ibrah atau sumber ikutan dalam melakukan sesuatu maslahah atau strategi.

Ihsan memberi fokus hubungan Allah dengan manusia dan insan berkait rapat hubungan manusia sesama manusia. Talian rohaniah yang terhubung antara manusia dan Allah ialah membangun jiwa muttaqeen. Rasulullah SAW dalam hadisnya menyatakan "setiap ibadah yang baik dilakukan, meski kita tidak melihat Allah tetapi ahli abid tetap yakin Allah melihat kita".

Kata Pendita Zaaba dalam syairnya, " Berbuat baik ayuhai rakan. Kalau tidak dikenal insan. Dalam laut ia dicampakkan. Kalau tidak dikenal ikan. Tuhan tahu iakah bukan".

Kebaikan yang dilakukan dan terhubung dengan Allah memperlihatkan keikhlasan yang tinggi dan barakahnya adalah hebat sekali. Kepatuhan Rasulullah SAW kepada perintah Allah berhijrah membawa makna yang besar dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah dan seterusnya ke seluruh alam ini.

Risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk insan. Insan memerlukan pedoman dan petunjuk supaya terpandu melakukan ibadah dan peranan sebagai khalifah supaya natijah akhirnya terbentuk watak insan soleh dan solehah berperanan untuk diri dan umat manusia.

Hijrah memperkasa fikrah

Suatu aspek yang sangat penting dalam episod hijrah ini ialah tercetusnya pemikiran yang lebih segar dan strategik bagaimana melepasi halangan penyebaran risalah Islam di Mekah supaya dengan melakukan hijrah ia memberi kesan terbaik kepada Islam untuk berkembang.

Merancang supaya Rasulullah SAW keluar pada waktu malam, Saidina Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW. Berlindung sementara di Gua Thur. Abu Bakar as-Siddiq menjadi teman setia. Terbina sarang labah-labah di permukaan. Yang bukan Islam memimpin jalan ke Madinah. Terbenamnya kaki kuda di pasir apabila mengejar Rasulullah SAW adalah gambaran eratnya hubungannya dengan peranan Allah dan perancangan insan.

Menjadikan hijrah Rasulullah SAW sebagai pedoman keperluan untuk mengambil pertimbangan Allah dan perancangan manusia adalah amat penting dalam meleraikan kebuntuan dan cabaran supaya jalan keluarnya ditemui. Isu perpecahan di kalangan umat hari ini adalah contoh terbaik bagaimana semangat hijrah al Rasul ini dijadikan pedoman. Golongan kafir Mekah sentiasa mengatur strategi menyekat gerak kerja Rasulullah SAW dalam berdakwah di Madinah. Tetapi Allah SWT Maha Mengetahui cita-cita kafir Quraish itu. Lalu Allah memerintahkan hijrah itu berlaku dengan perancangan bijaksana Rasulullah SAW. Di Madinah Rasulullah SAW dan rombongannya diterima dengan baik.

Strategi bijaksana dan sepadu ini membolehkan Rasulullah SAW membina pangkalan baru bagi perkembangan Islam sehingga akhirnya berlaku Futhul Makkah atau kembali semula ke Mekah untuk mengembangkan risalah Ilahiah di sana.

Hijrah adalah jalur strategi

Umat Islam di sepanjang zaman sering menghadapi masalah dan jatuh-bangun dalam binaan tamadun. Jalur strategi atau masalah adalah sesuatu yang amat penting dilakukan untuk meleraikan cabaran. Kehebatan tamadun Islam pada masa lalu terlihat kepada empat faktor. Pertama berlakunya sinergi antara ulama' dan umara'. Al Makmun, al Mansor, Harun al Rashid umpamanya menerima dukungan ulama dan menyebabkan zaman pemerintahannya terserlah.

Kedua, sifat ilmunya berkembang dan sepadu. Bermula dengan ilmu diniah yang dipelajari, berkembang ke arah takhasus atau pengkhususan dalam pelbagai bidang kepakaran. Ibn Sina, Al Biruni, Al Khuwarizmi, Abu Qasim Az Zahrawi menjadi huffaz di awal umur dan menguasai ilmu astronomi, ilmu hisab, perubatan dan ilmu bedah hingga menyebabkan tamadun lahir.

Ketiga, tradisi penyelidikan, penulisan dan kecendekiawanan yang berkembang. Ilmuan Islam pada waktu itu mampu menghasilkan ratusan karya-karya besar dalam pelbagai disiplin ilmu. Ia akhirnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin, Ibrani, Hebrew dan lain menyebabkan Eropah mendapat manfaat pencerahan dari tamadun Islam dan akhirnya Eropah melalui proses reformasi dan renaissance dan menyebabkan Eropah menjadi kuasa penakluk dan tamadunnya digunakan oleh umat Islam sehingga kini.

Keempat, kesediaan Islam menerima manfaat berbanding dari tradisi, budaya dan tamadun orang lain. Sejak awal selepas Perang Badar lagi para sahabat mencadangkan kepada Rasulullah SAW supaya tawanan perang mengajar kepada anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis sebagai syarat pembebasan. Al Biruni menjelajah ke India dan belajar bahasa Hind untuk menyelak sumber ilmu yang terdapat di sana. Rasulullah SAW (setengah orang mengatakan ia adalah athar) menganjurkan supaya menuntut ilmu walaupun ke negara China.

Hari ini anak-anak di kalangan negara Islam dihantar belajar pelbagai bidang ilmu pengetahuan di Barat dan di Timur. Ia adalah langkah terbaik dengan syarat ilmu itu dikembalikan dalam kerangka tasawwur Islami. Islamisasi ilmu adalah suatu hijrah dalam jihad ilmu supaya ilmu-ilmu dari Barat itu dapat memberi manfaat dan tidak bercanggah dengan maqasid syariah.

Umat Islam secara strategi harus memberikan fokus kepada jihad ilmu dan pendidikan. Ilmu yang harus dikembangkan tidak saja dalam bidang diniah atau agama tetapi harus disuburkan dalam bidang ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi.

Kecenderungan suka berbalah di kalangan ulama dan ilmuan hatta kepada hal-hal furuk atau ranting, kesukaan kepada menyalahkan orang lain tanpa memikirkan apa sumbangan yang patut diberi, sikap taksub dan tidak terbuka untuk mendengar pandangan orang lain, rasa fanatik melulu yang tinggi terhadap tokoh dan jamaah menyebabkan hijrah tidak boleh berlaku. Ia menyebabkan krisis terus terjadi, umat Islam hilang prioriti atau keutamaan dan akhirnya warga umat hilang fokus dan menyebabkan penjajahan pemikiran dari pihak lain terus terjadi.

Sifatnya adalah bijaksana

Hijrah al Rasul mengambil perspektif bijaksana dalam mengurus krisis dan cabaran. Berundurnya Rasulullah SAW bukan bermakna tewas dalam perjuangan. Berundur lima tapak ke belakang dan melonjak 10 tapak ke hadapan adalah suatu maslahah. Apabila maslahah itu mengambil pertimbangan Allah dan strategi manusia dalam melakukannya ia adalah sesuatu yang bijaksana.

Episod penghijrahan Rasulullah SAW ini perlu dikaji oleh para strategis hari ini. Pertimbangan hijrah menuntut prioriti atau keutamaan, fokus terhadap isu dan agenda, persiapan fikir dan zikir, persiapan ilmu dan keterampilan, binaan peribadi wibawa diri adalah antara prasyarat yang penting supaya idealisme dapat diimbangi dengan pemahaman terhadap realiti, keupayaan membaca senario supaya ahli strategi mempunyai upaya futuristik yang tinggi.

Musuh-musuh Islam terus merancang dan umat Islam juga perlu merancang dengan keyakinan bahawa Allah bakal memenangkan perancangan mereka yang memiliki ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian. Keupayaan menyerap kesabaran adalah kunci terhadap perjuangan. Kegopohan dan suka menyalahkan orang lain adalah musuh kepada kejayaan.

Falsafah Sahifah Madinah dan Futhul Makkah

Di Madinah dengan latar masyarakat yang berbilang, Rasulullah SAW amat futuristik menyantuni kelompok Nasrani, Yahudi dan lain-lain dengan suatu ikatan Sahifah Madinah. Rasulullah SAW melakukan usaha tersebut dengan terlebih awal mengukuhkan ikatan ukhuwah antara Muhajirin dan Ansar. Asas kekuatan jamaah ini membolehkan pihak lain menghormati orang-orang Islam.

Falsafah dari Sahifah Madinah ini memberi umat terkemudian mengenai betapa pentingnya kekuatan umat terbina sebelum usaha tahalluf (kerjasama) terhadap pihak lain terjadi. Kalau usaha tahalluf ini dalam keadaan Muhajirin dan Ansar berpecah-belah tidak mungkin orang lain memiliki rasa hormat terhadap kepimpinan Rasulullah SAW.

Meski akhirnya orang Yahudi ingkar dari Shafiah ini, Rasulullah SAW tidak mengambil sikap pasif malah memerangi mereka. Hal ini amat penting direnungkan lantaran menolak tahaluf menegakkan negara Islam di Madinah tidak didekati dengan kompromi.

Hal yang sama apabila berlaku Futhul Makkah iaitu hasrat Rasulullah SAW untuk kembali ke Mekah terhalang dengan kisah Hudaibiyyah. Sekali lagi faktor maslahah terjadi walaupun pembatalan usaha itu amat tidak disenangi Saidina Omar.

Hikmah di sebalik penangguhan itu ialah penerimaan kelompok Mekah terhadap Rasulullah SAW sebagai suatu entiti yang dihormati. Ia ternyata benar apabila Rasulullah SAW melakukan Futuhul Makkah pada tahun berikutnya ia berlaku tanpa halangan. Tidak seperti dakwah awal Rasulullah SAW di Mekah sentiasa tercabar dengan ujian yang menyakitkan. Dengan kehadiran Rasulullah SAW di Mekah ia membuka lembaran baru terhadap perjuangan Islam hingga asas yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para sahabat memberi kesan yang amat hebat terhadap kelanjutan perjuangan Islam itu sendiri.

Penulis ialah Profesor Pendidikan Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 13 November 2012

Kewajipan taat, nasihati pemerintah


Oleh : ROSDI LONG

Polemik mengenai kedudukan mentaati pemerintah merupakan antara topik yang hangat dibincangkan. Bahkan terdapat parti politik yang berhasrat menganjurkan wacana bagi membincangkan perkara tersebut. Justeru dengan sedikit pengetahuan, Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS) merasakan eloklah dikongsi pandangan ini untuk tatapan.

Kewajipan taat kepada pemerintah merupakan salah satu prinsip Islam yang agung. Namun di tengah carut-marutnya kehidupan politik di negeri-negeri Muslim, prinsip ini menjadi bias dan sering dituding sebagai bagian dari gerakan pro status quo. Padahal, agama yang sempurna ini telah mengatur bagaimana seharusnya sikap seorang Muslim terhadap pemerintahnya, baik yang adil mahu pun zalim.

ALLAH SWT memerintahkan kepada kaum Muslimin untuk taat kepada pemerintahnya betapa pun jelik dan zalimnya mereka. Tentunya dengan syarat, selama para pemerintah tersebut tidak menampakkan kekafiran yang nyata. Daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata: ”Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melihat sesuatu yang tidak dia sukai daripada penguasanya, maka bersabarlah! Kerana barang siapa yang memisahkan diri dari jamaah sejengkal saja, maka ia akan mati dalam keadaan mati jahiliyyah.” (Shahih, HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Kewajipan taat kepada pemerintah ini, sebagaimana dijelaskan Rasulullah SAW adalah terhadap setiap penguasa, meskipun jahat, zalim atau melakukan banyak kejelikan dan kemaksiatan. Kita tetap bersabar mengharapkan pahala ALLAH dengan memberikan hak mereka, iaitu ketaatan walaupun mereka tidak memberikan hak kita.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud rad., dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: "Akan muncul setelahku atsarah (orang-orang yang mengutamakan diri mereka sendiri dan tidak memberikan hak kepada orang yang berhak) dan perkara-perkara yang kalian ingkari’. Mereka (para sahabat) bertanya: "Apa yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?”

Beliau berkata: “Tunaikanlah kewajipan kalian kepada mereka dan mintalah hak kalian kepada ALLAH.” (Shahih, HR Al-Bukhari dan Muslim dalam Shahih keduanya).

Berkata Ibnu Hajar : “Wajib berpegang dengan jamaah Muslimin dan penguasa-penguasa mereka walaupun mereka bermaksiat.” (Fathul Bari Bi Syarhi Shahihil Bukhari)

Meskipun penguasa tersebut cacat secara fisik, Rasulullah SAW tetap memerintahkan kita untuk tetap mendengar dan taat. Walaupun hukum asal dalam memilih pemimpin adalah laki-laki, dari Quraisy, berilmu, tidak cacat, dan seterusnya, namun jika seseorang yang tidak memenuhi kriteria tersebut telah berkuasa - apakah dengan pemilihan, kekuatan (kudeta), dan peperangan - maka ia adalah penguasa yang wajib ditaati dan dilarang memberontak kepadanya. Kecuali, jika mereka memerintahkan kepada kemaksiatan dan kesesatan, maka tidak perlu mentaatinya (pada perkara tersebut) dengan tidak melepaskan diri daripada jamaah.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar RA bahawa dia berkata: “Telah mewasiatkan kepadaku kekasihku agar aku mendengar dan taat walaupun yang berkuasa adalah bekas budak yang terpotong hidungnya (cacat).” (Shahih, HR Muslim dalam Shahih-nya, 3/467, cetakan Daru Ihya-ut Turats Al-Arabi, Beirut. HR. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad, hal 54)

Juga diriwayatkan daripada Suwaid bin Ghafalah. Dia berkata: “Berkata kepadaku ‘Umar : ‘Wahai Abu Umayyah, aku tidak tahu apakah aku akan bertemu engkau lagi setelah tahun ini..., jika dijadikan amir (pemimpin) atas kalian seorang hamba dari Habsyah, terpotong hidungnya maka dengarlah dan taatlah! Jika dia memukulmu, sabarlah! Jika mengharamkan untukmu hakmu, sabarlah! Jika ingin sesuatu yang mengurangi agamamu, maka katakanlah aku mendengar dan taat pada darahku bukan pada agamaku, dan tetaplah kamu jangan memisahkan diri daripada jamaah!” - Wallahualam.

 * Penulis ialah Presiden IKDDAS

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/