Sabtu, 20 April 2013

Seruan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) Menjelang PRU-13 Malaysia



MURSHID adalah perkumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat Islam dalam kehidupan mereka. Bertitik tolak daripada  kesedaran para ilmuwan merupakan guru dan pembimbing masyarakat, MURSHID  terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi menjelang PRU-13 sebagai sebahagian daripada  usaha mendidik dan menasihati masyarakat.

Berpegang kepada prinsip-prinsip fundamental yang telah digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam berkaitan politik, kepimpinan, hak warga yang dipimpin dan juga peranan segenap anggota masyarakat seumpama:

1. Prinsip Amanah

Al-Quran: “Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58).

Al-Quran (Ali Imran, (3): 103): “Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga berpesan: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas gembalaanmu” (HR al-Bukhari)

2. Prinsip ‘Adl wal Ihsan

“Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58)

Rasulullah Sallaallahu’alaihi wasallam, di antara lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (HR Muslim)

Di dalam hadis lain, baginda juga ada menyebutkan: “Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (HR Muslim);

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hurayrah: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim);

3. Prinsip Amar Ma’ruf Nahy Munkar (Mengajak kepada kebaikan melarang kemungkaran)

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam yang menyentuh persoalan tersebut, antaranya: “Barangsiapa yang nampak kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan, dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia menggunakan lisannya, dan jika tidak mampu hendaklah dia merubahnya dengan hatinya, maka itu adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim.)

Di dalam hadis yang lain pula, Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ketua para syuhada di syurga ialah Hamzah, dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim dan menasihatinya, dan kemudian dia dibunuh” (Hadis riwayat al-Hakim.)

Baginda juga menyatakan di dalam makna yang sama: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim” (Hadith riwayat al-Tarmidhi, Abu Daud dan Ibn Majah)

4. Prinsip Islah

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang menjadi Syuhada (saksi dan pemberi keterangan) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (al-Baqarah (2): 143)

Islah juga merupakan tema asasi perutusan para Nabi dan Rasul. Pendekata, Islam sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tawhid mereka. Tanpa Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun temurun .

5. Prinsip Akhlak Mulia

Allah SWT menegaskan: “Bantu-membantulah kamu di dalam hal kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bantu-membantu di dalam hal maksiat dan permusuhan…” (Al-Maidah (5): 2)

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia (makarim al-akhlaq)” (Riwayat Malik b. Anas.)

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam kepada Abu Bazrah ketika ia berkata kepada baginda : Wahai Rasululah, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepadaku.’ Baginda bersabda: “Lihatlah sesuatu yang menyakiti manusia, maka singkirkanlah daripada jalan mereka.” (Riwayat Ahmad di dalam Musnad.)

Bertitik tolak daripada kesedaran dan prinsip-prinsip yang telah disebutkan, maka MURSHID menyeru:

1) Kepada Para Warga Malaysia Muslim Yang Layak Mengundi, agar:

a) Menjalankan tanggungjawab mengundi dan hak yang dijamin oleh perlembagaan untuk memilih pemimpin pilihan anda melalui saluran demokrasi yang ada.
b) Membuat pilihan yang tepat berdasarkan maklumat yang lengkap dan adil terhadap calon-calon, parti-parti yang bertanding serta manifesto mereka.
c) Tidak menjadikan sentimen, fitnah, kebencian dan juga hasutan sebagai asas di dalam membuat pilihan ketika membuang undi.
d) Mengeji dan mengelakkan diri daripada memberikan sebarang sokongan kepada usaha meraih undi melalui cara siaran gambar atau video berunsur lucah dan tidak bermoral sama ada ia melibatkan ahli atau pemimpin daripada apa parti sekalipun. Dilarang juga menyebarluaskan video dan gambar terbabit hatta kalau ia benar sekalipun. Pihak berkuasa yang terlibat juga boleh membuat siasatan seadilnya berdasarkan undang-undang. Hal ini terpakai kepada seluruh warga Malaysia daripada semua parti dan bangsa.
e) Memilih mereka yang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang boleh menunaikan amanah, bersikap mesra-Islam dan juga mempunyai ciri-ciri pemimpin yang telah disebutkan di atas.
f) Memilih parti yang boleh memartabatkan Islam, berusaha ke arah tadbir urus yang baik (good governance), keadilan dan juga amalan politik yang sihat.
g) Memilih calon yang kuat berpegang dengan agama dan tinggi moralnya, hatta dalam kalangan bukan Islam sekalipun, kerana pegangan agama dan moral akan lebih menjamin keadilan, amanah dan integriti.
h) Mempertahankan harga diri dengan tidak mengambil rasuah politik, sama ada, duit, material dan dalam bentuk seumpamanya.
i) Berusaha mencari keyakinan terhadap seseorang calon yang bertanding, partinya dan gabungan bersamanya itu mampu dari sudut 'track record' untuk membawa lebih manfaat lebih baik kepada kebajikan awam. 'Track record' adalah faktor penting bagi menilai kebolehan dan skill calon, parti dan gabungannya untuk mentadbir negara Malaysia.
j) Memahami konteks politik di Malaysia yang mana terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, parti dan juga memahami jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan di Malaysia adalah 112 kerusi parlimen dari 222 seluruh kerusi parlimen. Justeru, pengundi disarankan agar tidak membazirkan undi masing-masing kepada parti atau calon yang kurang faedah kepada penubuhan kerajaan yang baik dan ditegah daripada sengaja merosakkan undi.
k) Menjauhkan diri daripada terjebak dalam aktiviti kafir mengkafir secara spesifik kepada orang Islam tertentu, ini kerana klasifikasi murtad atau jatuh kafir secara pasti tidak layak diberikan oleh orang awam tanpa perbicaraan yang lengkap.
l) Menggesa agar semua pengundi yang berbeza kecenderungan politik dan parti yang disokong agar tidak (sekiranya tercipta) memanjangkan 'permusuhan', 'sengketa' dan dendam ingin memusnah kepada pihak yang berbeza. Sebaliknya, kembali berbaik dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu juga, MURSHID juga ingin mengingatkan para pengundi sekalian bahawa pilihan yang anda lakukan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di padang Mahsyar. Maka, pastikan pilihan anda itu bertitik tolak daripada keimanan dan ketaqwaan.

2) Kepada Parti-Parti Yang Bertanding, agar:

a) Tidak berbohong, fitnah, keji, mencaci, politik kebencian dan kotor.
b) Tidak merasuah dan tidak mengamalkan politik wang untuk mendapatkan undi dan kuasa.
c) Tidak menyalahgunakan hak rakyat, wang pembayar cukai, fasiliti milik rakyat yang sepatutnya bukan milik parti, media dan pengaruh sepanjang kempen pilihanraya.
d) Meletakkan calon yang terbaik, berkarisma, mempunyai ciri-ciri yang disebutkan pada (1.e, f dan g) dan meletakkan sifat beragama sebagai asas, hatta di kalangan bukan Islam.
e) Meletakkan kepentingan agama, negara, masyarakat dan alam sekitar sebagai matlamat mendapatkan kuasa dan bukannya demi keuntungan individu, parti ataupun sesetengah kaum dan bangsa semata-mata.
f) Menawarkan tawaran dan manifesto kepada rakyat Malaysia yang mampu dilaksanakan secara realistik.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan parti-parti yang bertanding bahawa kuasa adalah amanah, tanggung jawab dan bebanan, anda akan dipersoalkan di akhirat nanti. Maka, pastikan tindakan anda semuanya dan bertitik tolak daripada keimanan dan ketaqwaan.

3) Kepada Pihak Media Penyiaran Dan Media Cetak, agar:

a) Bersikap adil dan memberikan hak dan peluang yang sama kepada setiap parti tanpa pilih kasih serta tidak menzalimi pihak yang lain.
b) Mengamalkan sikap bertanggungjawab dan jurnalisme beretika dengan menjauhi segala fitnah dan adu domba samada untuk tujuan pemasaran mahupun untuk memberikan kelebihan kepada satu pihak dengan menzalimi pihak yang lain.
c) Mengamalkan sikap profesionalisme yang tinggi dan merealisasikan jurnalisme berhemah serta menjaga akhlak dan moral yang tinggi di dalam membuat liputan, laporan dan juga penilaian.
d) Menjadi mata, telinga dan juga suara rakyat sepanjang membuat liputan mengenai pilihanraya, serta mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti-parti tertentu.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak media bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti atas apa yang anda laporkan. Maka, pastikan tindakan anda semuanya bertitik tolak daripada keimanan dan ketaqwaan.

4) Kepada Pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), agar:

a) Menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat dengan adil, bertanggungjawab, penuh integriti, telus dan bersih.
b) Tidak berpihak, hatta kepada parti yang berkuasa dan sentiasa ingat bahawa akauntabiliti anda adalah kepada rakyat dan bukannya kepada parti yang memerintah sebelum parlimen dibubarkan.
c) Mengutamakan masa depan negara, kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia dan bukannya pihak-pihak tertentu sahaja.
d) Melakukan perkara-perkara yang patut seperti pembersihan senarai pemilih dan bersikap responsif terhadap tuntutan rakyat demi memperbaiki  kredebiliti dan imej SPR yang semakin calar dan dipertikaikan.
e) Bertanggungjawab untuk menggembeleng segala usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada fungsi asal SPR yang bukan sekadar tidak berpihak, tetapi juga wajib dilihat sebagai tidak berpihak.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti  atas tanggungjawab yang anda jalankan. Maka, pastikan perlaksanaan tugas anda semuanya bertitik tolak daripada  keimanan dan ketaqwaan.

Daripada  Kami :

Tuan Guru Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Pengerusi Shura)
Dr Zaharuddin Abd Rahman (Presiden & Ahli Shura)
Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Ahli Shura)
Dr Zahazan Mohamed (Ahli Shura)
Ustaz Roslan Mohamed (Timbalan Presiden & Ahli Shura)
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahman (Naib Presiden)
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha Agung)
Ust Muhd Ramadhan Fitri Ellias (Bendahari Agung)

Ahli Jawatankuasa

Dr Maszlee Malik
Dr Ahmad Wifaq Mokhtar
Dr Mohd Sukki Othman
Ustaz Mohd Asyraf Mohd Ridzuan
Ustaz Fauwaz Fadzil
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Ustaz Mohd Aizam Mas’od
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim
Ustaz Mohd Zamri bin Haji Mohd Zainuldin
Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang
Xifu Abdul Naser Abdul Rahman

13 April 2013

Jumaat, 19 April 2013

Meraih keberkatan dalam berkempen


Oleh : A RAZAK MUTHALIB

PENGUMUMAN pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri tanggal 3 April yang lalu telah menghentikan seribu satu tanda tanya dan keresahan di hati rakyat. Pengumuman tersebut ibarat tiupan semboyan bahawa “peperangan” akan bermula.

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini dianggap “peperangan” yang paling mendebarkan. Maka, seluruh jentera parti yang berhasrat untuk bertanding di dalam pilihan raya ini ditingkatkan persiapan dan gerak kerjanya. Masing-masing dengan satu tujuan yang sama. Berlawan untuk menang!

Peperangan memerlukan strategi. Memasuki medan peperangan tanpa strategi ibarat menghulurkan leher kepada musuh untuk dipancung. Begitu juga dengan “peperangan” di dalam medan PRU13 ini. Semua parti pasti mempunyai strategi tersendiri.

Justeru, dalam keghairahan ingin meraih kemenangan, hal yang penting dan tidak boleh diabaikan ialah pastikan juga untuk meraih keberkatan dalam kemenangan.

Keberkatan

Antara faktor yang membuka pintu keberkatan ialah bersikap jujur, amanah dan menyatakan kebenaran. Kempen yang dijalankan dengan jujur, disampaikan pula fakta-fakta yang benar, inilah kempen yang mengundang keberkatan.

Manakala kempen yang diseliputi dengan pendustaan, fitnah, membuka keaiban peribadi, penafian hak, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya merupakan kekotoran yang mencemarkan keberkatan.

Apa ertinya jika kemenangan yang diraih hasil daripada penipuan dan fitnah yang ditaburkan. Apa nilainya sesuatu kemenangan ,tetapi ia sangat jauh dari rahmat dan keberkatan Tuhan.

Kepada semua parti politik yang akan bertanding, elakkan kempen anda dicemari dengan fitnah dan kata-kata dusta.

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Islam yang sentiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan.

Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain.

Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah menjawab: ”Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya”.

Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”.

Baginda menjawab: ”Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya”. (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).

Syaikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:

Pertama: Dusta terhadap ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman ALLAH SWT (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap ALLAH SWT untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim)) (al-An’am:144).

Pendustaan

Dusta terhadap ALLAH SWT dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:

Menyandarkan kepada ALLAH SWT atau kepada Rasulullah SAW sesuatu yang bukan daripada firman-Nya atau pun sabda Baginda SAW. - Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.

Mentafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang salah lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya.

Rasulullah SAW  memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang bermaksud: (Sesiapa yang melakukan dusta ke atasku siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka).(Muttafaqun’alaihi).

Cukuplah amaran ALLAH SWT dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.

Ada juga yang menjadikan hadis-hadis Nabi sebagai hujah untuk membenarkan kata mereka. Perkara ini jika dilihat secara kasar adalah amat baik, malahan sangat dituntut. Tetapi, malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis tersebut dengan tidak memastikan terlebih dahulu tahap kesahihannya.

Maka, digunakan  hadis-hadis daif dan palsu sebagai hujah dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.

Kedua: Dusta terhadap manusia. Dusta terhadap manusia ini juga boleh berlaku dalam dua keadaan. Pertama; seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman, beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir yang tidak bersikap sedemikian.

Golongan inilah yang digelar sebagai munafik. ALLAH SWT menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: ((Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada ALLAH SWT dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman)).(Al-Baqarah:8) Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu dalam kalangan masyarakat.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah SAW menerangkan tentang empat perkara jika terdapat pada seseorang, maka dia tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Di antara empat sifat tersebut adalah apabila bercakap dia berbohong.

Sesungguhnya perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu ini merupakan suatu sifat yang terkeji lagi terkutuk. Perbuatan ini merupakan punca berlakunya perselisihan pendapat yang tidak diizinkan, pertelingkahan, terputusnya hubungan silaturahim, malahan boleh membawa kepada pembunuhan.

Tetapi fenomena yang berlaku hari ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Fitnah dan dusta ditaburkan kepada masyarakat sama ada melalui percakapan, ceramah, media massa, tulisan dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada oleh individu tertentu demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih sokongan dan mendapat kemenangan.

Maka disebarkanlah berita-berita palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Harapannya supaya kepercayaan terhadap pihak tersebut akan terhakis. Kedudukannya akan tergugat. Dakwahnya tersekat. Perjuangannya akan singkat.

Kempen pilihan raya akan semakin meriah dan bertambah rancak. Berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya. ALLAH SWT berfirman (bermaksud): ((Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)). (Qaaf: 18)

Berkempenlah mengikut landasan syariat kerana yang kita mahukan bukanlah kemenangan dan pangkat, tetapi rahmat dan berkat agar kita selamat di akhirat.

Penulis ialah Perunding Latihan & Motivasi di RK Training & Management dan Pensyarah di International Islamic College

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/