Ahad, 8 September 2013

Amanat pengurusan LTH


Oleh  : DATUK SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN

IBADAT haji merupakan ibadat yang perlu dilaksanakan bagi setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa.

Hampir 3.5 juta umat Islam seluruh dunia berkumpul setiap tahun untuk melaksanakan ibadat ini. Mereka datang dari pelbagai pelosok dunia, bangsa dan budaya berhimpun pada satu waktu di Mekah al-Mukarramah.

Kepelbagaian budaya dan adat resam inilah menuntut keimanan yang tinggi, kesabaran yang jitu dan sifat pengorbanan serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain lahir daripada ketakwaan seseorang Muslim itu.

Kepada bakal haji yang terpilih bagi menunaikan haji, ini merupakan jemputan daripada Allah SWT sebagai tetamu-Nya.

Justeru, bakal-bakal haji perlulah membuat persediaan sama ada dari segi ilmu, rohani, jasmani dan spiritual. Bakal haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah melalui kursus dan bahan penerbitan TH.

Selain memahami proses-proses urusan haji di Tanah Suci dan menyediakan keperluan, sama ada daripada segi pakaian, peralatan dan memperoleh maklumat berhubung keadaan di Mekah dan Madinah agar dapat melakukan ibadat haji dalam keadaan tenang dan mengharapkan keredaan Allah.

Apabila bakal-bakal haji menjejakkan kaki di sana, mereka perlulah mengikut panduan dan arahan yang diberikan oleh petugas-petugas haji bagi memudahkan pergerakan mereka.

Bakal-bakal haji hendaklah mengambil berat akan maklumat yang disampaikan oleh petugas-petugas TH demi melancarkan pergerakan dan keselamatan jemaah haji.

Bergeraklah secara berkumpulan serta sentiasa memakai gelang dan lencana pengenalan haji sebagai pengenalan diri jika ada berlaku kesulitan seperti tersasar, sakit dan lain-lain.

Jika bakal haji ada keraguan tentang ibadat haji dan umrah pula, rujuklah pada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) supaya segala ibadat haji dapat dilaksanakan dengan betul dan sempurna sebelum kembali ke Tanah Air.

Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada jemaah haji daripada segi penyelesaian kemusykilan hukum-hakam ibadah haji, TH telah menyediakan satu Talian Ibadat di Tanah Suci atau ringkasnya TAIB dengan talian 02-5706161.

Talian ini memberi kemudahan kepada bakal-bakal haji untuk membuat pertanyaan mengenai hukum-hakam ibadat haji dan umrah melalui talian telefon pada ketika permasalahan timbul, tidak kira di mana mereka berada.

Selain itu, TH turut menyediakan Pusat Bantuan Tanah Suci. Jemaah haji boleh memohon bantuan jika menghadapi kesulitan dengan menghubungi Pusat Bantuan Tanah Suci di talian 02-5704433. TH dengan barisan petugas mereka yang ada akan cuba membantu para jemaah haji berkenaan.

Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan nama baik negara kerana jemaah dari Malaysia sangat dipandang tinggi oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji contoh.

Mereka hendaklah sentiasa mengikut peraturan dan nasihat daripada TH serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik negara seperti demonstrasi dan melanggar peraturan Kerajaan Arab Saudi.

Semasa berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina, jemaah haji hendaklah sentiasa bersabar, bertolak-ansur dan tolong-menolong sesama jemaah haji. Ilmu kendiri dan pengurusan diri amatlah berguna semasa di Masya'ir. Ini kerana pergerakan hampir 3.5 juta manusia pada masa yang sama dan menuju ke destinasi yang sama tentunya akan menyebabkan berlaku kesesakan di jalan raya dan masalah-masalah lain. Jemaah perlu berdoa agar perjalanan hajinya dapat dilakukan dengan sempurna dan dipermudahkan.

Di samping itu, kemudahan yang terhad di Mina memerlukan kesabaran, sikap bertolak-ansur dan pengurusan kendiri yang baik. Selain itu semasa aktiviti melontar, jemaah haji hendaklah keluar melontar mengikut jadual yang ditentukan oleh Kementerian Haji. Bergeraklah dalam kumpulan dan mengikut panduan daripada pengurus-pengurus maktab agar ia dapat berjalan dengan baik dan selamat.

Bagi mereka yang ingin menghantar barang mereka ke tanah air selain bersama dengannya dalam kapal terbang, jemaah haji boleh menggunakan kemudahan khidmat bagasi yang disediakan oleh syarikat-syarikat yang dilantik oleh TH.

Akhir kata, bakal haji perlulah bersiap sedia dengan maklumat perjalanan, barang-barang keperluan dan buku-buku panduan sebagai persediaan menghadapi perjalanan haji ini. Ingatlah perjalanan ini adalah perjalanan ibadat bukan perjalanan lawatan pelancongan. Satu perjalanan menuju Ilahi.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menunaikan haji. Semasa kembalinya tuan-tuan dan puan-puan nanti ke tanah air seolah-olah kembalinya itu seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya, suci bersih dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.


PENULIS ialah Pengurus Besar Kanan (Haji)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan