Sabtu, 23 Februari 2013

Kelebihan sunnah memanah, berkuda, berenang


Islam agama syumul yang mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal.

Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Hal ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Sunnah dan Faedah Memanah, Berkuda, Berenang

1. Memanah

Rasulullah SAW juga sentiasa menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, Baginda pernah menyertai sahabat yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.

Bersabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan ketika sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kebaikan Memanah termasuklah melatih emosi dan fizikal untuk menumpukan pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan keseimbangan badan. Maka, jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.

Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik.

Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.

2. Berkuda

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.

“Demi Allah! Sungguh Rasulullah SAW pernah bertaruh terhadap suatu kuda yang disebut sabhah (kuda pacuan), maka dia dapat mengalahkan orang lain, Baginda SAW sangat tangkas dalam hal itu dan menghairankannya.” (Riwayat Ahmad)

Taruhan yang dibenarkan, atau yang dimaksudkan ialah suatu upah (hadiah) yang dikumpulkan bukan dari orang-orang yang menunggang saja atau dari salah satunya saja, tetapi dari orang-orang lain juga.

Adapun hadiah yang dikumpulkan daripada penunggang, kemudian siapa yang unggul itulah yang mengambilnya, maka hadiah seperti itu termasuk judi yang dilarang. Dan Nabi sendiri menamakan tunggangan kuda seperti itu, iaitu yang disediakan untuk berjudi, dinamakan Kuda Syaitan. Harganya adalah haram, makanannya haram dan menungganginya juga haram.

Dan Rasulullah SAW bersabda, kamsudnya: “Kuda itu ada tiga jenis: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang digunakan untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan kuda manusia pula, adalah kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannya.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim

Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.

Bentuk lekuk badan belakang kuda – tempat di tunggang - baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.

Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik  pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.

Seluruh anggota - tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral – termasuklah sistem penghadaman, sistem  saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau tergelumang dengan tabiat-tabiat seks yang di luar tabie. Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.

3. Berenang

Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah berarti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara: Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah); Seorang yang mendidik kudanya; Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya; Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)

Semasa berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meransang stamina ( sistem kardiovaskular).
Berenang juga memberi peluang manusia untuk menguasai air serta menjadi berani.

Sumber : http://detikislam.blogspot.com

Jumaat, 22 Februari 2013

Pemerintah bukan pelacur


Oleh : PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN

CINTA adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul daripada lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil daripada keindahan cintanya. Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta.

Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.

Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata-mata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta. Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya. Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.

Pelacur

Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.

Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.

Pun begitu, pelacur kadangkala kurang buruk daripada sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah daripada hasil dirinya. Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan sesama sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah-olah wang tersebut daripada poket peribadi mereka.

Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian. Ia seperti sebuah kerajaan yang cinta akan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila. Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah. Pemerintah mengawal  negara daripada ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang kala lebih memusnahkan kekayaan negara dibandingkan mereka yang digelar ‘musuh’.

Isteri dan kroni

Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka. Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara daripada ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi SAW sabda: “Aku, demi ALLAH SWT tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah SAW) hanya seorang hamba ALLAH SWT, membahagikannya mengikut arahan ALLAH SWT. Dia meletakannya di mana yang ALLAH SWT perintahkan”. Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta ALLAH SWT (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka.

Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.” Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab R.A harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada ALLAH SWT, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51- 52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]

Teladan

Daripada jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah. Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat. Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotik dan setia kepada tanah air, sebahagiannya hasil daripada tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka.

Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung daripada kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodoh rakyat jelata.

Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi SAW dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi SAW hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad SAW dan kepimpinan negara umat Islam kita? Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera. Nabi SAW berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah.

Memandangkan kedudukan Nabi SAW dan mereka berdua lebih muda daripada Nabi SAW maka mereka meminta agar Nabi SAW sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi SAW kepada mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibandingkan kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).

Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka daripada  situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hiduplah kedua-dua pihak dalam keadaan cinta dan setia.

Pemimpin bukan “pelacur” yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipu rakyat dengan pemberian yang mengaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.

Sumber  : MINDA TAJDID  (DRMAZA.COM)

Khamis, 14 Februari 2013

Kalimah ALLAH: Istilah dan makna


Oleh : Prof Dr. Sidek Baba

Kalimah ALLAH adalah sesuatu yang khusus untuk Islam. Kalimah ini memberikan kita makna yang amat tersendiri dan merujuk juga kepada hakikat. Hakikat makna ALLAH itu mendukung konsep keesaan. Inilah landasan tauhid yang menghubungkan manusia dengan Pencipta.

 Orang Kristian menghubungkan Tuhannya dengan Yahweh, Elohim atau Adonai dan tidak boleh disamakan dengan ALLAH.

Keimanan kita kepada Kitab Injil yang mendukung maksud hunafa’ atau hanif adalah berbeza dengan maksud Trinity yang mengungkapkan Satu Dalam Tiga dan Tiga Dalam Satu.

Oleh itu menyamakan kalimah ALLAH dan segala macam implikasinya dengan konsep Trinity amat bercanggah kerana dalam Surah al Ikhlas dan Surah al Kafirun memberi asas yang jelas bagi penganut Islam. Jesus atau Nabi Isa dalam Islam adalah Nabi dan Rasul bukannya anak Tuhan.

Implikasi kalimah ALLAH dengan persoalan tauhid, ibadah, syariah dan akhlak adalah berkaitan. ALLAH, yang memberikan landasan tauhid tidak hanya pada nama tetapi terhubung dengan tasawwur bahawa ALLAH itu SATU dan terhubung dengan makna dan hakikat kesatuan.

 ALLAH dan penciptaan, ALLAH dan rahmah serta nikmah, ALLAH dengan ilmu dan kebenaran, ALLAH dengan planet dan galaksi berada dalam satu kesatuan. Ia memberi asas epistemologi (teori ilmu dan asal-usul ilmu) yang terhubung langsung dengan ALLAH.

Oleh itu kalimah ALLAH tidak boleh disamakan makna dan hakikatnya dengan istilah-istilah lain yang memberikan konotasi atau pengertian berbeza.

Al-Quran memberikan pedoman “Laqum Deenukum walyadeen- Kamu agama kamu, kami agama kami". Malah Rasulullah SAW menegah umatnya daripada menghina agama lain, dibimbangi orang lain akan menghina Islam.

Soal perbezaan dalam agama adalah sesuatu yang wujud terutama dalam bidang aqidah dan ibadah. Penganut agama-agama harus ada etika untuk berbeza (ethics of differences) supaya perbezaan tidak tercetus menjadi hal yang sensitif dan menyebabkan keresahan.

Pihak yang ingin memaksa penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu harus sensitif dengan perasaan orang Islam. Ia membawa implikasi dalam aqidah mereka. Malah undang-undang atau enakmen Islam negeri-negeri bagi banyak negeri sejak sekian lama memaktubkan perkara ini.

Memaksa penggunaan kalimah ALLAH itu bagi orang bukan Islam nantinya akan ditanggapi ada maksud yang tersurat dan tersirat. Ia menjadi tidak baik bagi masyarakat beragama di Malaysia.

Sifat saling memahami dan toleransi perlu ada di kalangan pihak lain supaya perkara yang diterima sekian lama sebagai sesuatu yang sah bagi Islam menimbulkan salah faham dan curiga.

Bagi tokoh-tokoh politik yang bukan Islam, apa hak mereka ini memaksakan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Pertama mereka harus belajar menghormati kuasa mufti, majlis fatwa, kuasa Raja-Sultan terhadap ehwal agama Islam dan enakmen atau undang-undang mengenainya yang sudah diputuskan oleh banyak negeri.

Kedua, mereka harus menghormati keputusan syarak yang dinyatakan oleh individu berwibawa mengenainya atau majlis syura Islami yang membuat keputusan mengenainya.

Seperti juga penganut agama lain berhak membuat keputusan mengenai agama mereka tetapi tidak memandai-mandai memaksa agama lain supaya menerima apa yang mereka putuskan.

Kalimah ALLAH adalah sesuatu yang unik dan khusus bagi penganut Islam. Ia tidak boleh disamakan dengan patung bagi orang Kristian dan berhala bagi orang Hindu kerana ia membawa implikasi lain. Justeru menghormati hak orang Islam seharusnya menjadi amalan.

Kalimah ALLAH membawa konsep tersendiri mengenai Tuhan. Ia sebagai tunjang akidah tauhid yang membentuk suatu tasawwur atau pandangan semesta terhadap Pencipta dan hasil ciptaannya.

Tasawwur yang Islami menjadikan aqidah tauhid sebagai landasan dalam beragama. Konsep ALLAH tidak boleh disyarikatkan dengan perkara-perkara lain yang mendorong kepada faktor syirik. Dosa syirik tidak ada keampunan daripada ALLAH.

Oleh itu umat Islam amat menjaga kalimah-kalimah penting yang ada dalam al-Quran termasuk wahyu, kitab, nabi, rasul, imam, makmum dan seumpamanya kerana kalimah-kalimah itu terhubung langsung dengan Islam.

Menyalahgunakan kalimah-kalimah ini akan membawa konotasi dan kesan yang berbeza dan ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kekacauan terhadap makna yang lari dari maksud Islami. Hal ini patut dihormati oleh pihak lain supaya Islam tidak dipersendakan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 8 Februari 2013

Membetulkan persepsi politik dakwah


Oleh : Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

HASAN al-Banna (1906-1949) seorang pendidik dan pengasas Ikhwanul Muslimin berjaya menterjemahkan intipati politik dalam perjuangan dakwah dengan menetapkan pendirian: ''Islam adalah sebuah sistem sejagat yang lengkap dan mencakupi seluruh aspek hidup dan kehidupan.

Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan kesaksamaan, bahan dan sumber kuasa alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih."

Keluasan sudut pandangan itulah menjadikan setiap tindakan yang dilaksanakan oleh Ikhwanul Muslimin cepat mendapat perhatian sehingga dalam masa yang begitu singkat ia telah menjangkau hampir ke seluruh Mesir.

Beberapa hari lagi, tentunya ramai penyokong Ikhwanul Muslimin akan mengingati tarikh kematian tragis pengasas mereka Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949. Ini kerana, walaupun Ikhwanul Muslimin pernah dibubarkan oleh pemerintah, sokongan dan perhatian masyarakat Mesir begitu besar sehingga pada Jun 2012, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) menang dalam pilihan raya Presiden.

Kemenangan itu memberikan sentuhan emosi kepada parti-parti politik pembangkang di Malaysia dan dijadikan sebagai membangkit semangat untuk menumbangkan kerajaan yang memerintah dalam PRU-13.

Jika meneliti sejarah perjuangan Hasan al-Banna, ternyata Ikhwanul Muslimin tidak pernah menggunakan kekerasan sehinggalah organisasi itu banyak dipengaruhi oleh Sayyid Qutb setelah kematian Hasan al-Banna.

Hasan al-Banna walaupun kemenangannya dalam pilihan raya di Ismailiyyah pernah dinafikan, organisasi Ikhwanul Muslimin dan sekolah-sekolah kendaliannya ditutup, manakala penerbitan akhbar dihentikan, beliau tidak pernah mengesyorkan penyokong-penyokong berhimpun dan melakukan tunjuk perasaan.

Pendekatan itu menyebabkan Ikhwanul Muslimin terus dihormati dan kaedah berpolitik yang diasaskan oleh Hasan al-Banna lebih menjuruskan kepada kehendak Islam berbanding perilaku pemimpin-pemimpin politik pembangkang di Malaysia.

Cara berpolitik yang diterjemahkan oleh Hasan al-Banna tidak mempengaruhi corak perjuangan sebuah parti pembangkang yang mendakwa perjuangan mereka adalah untuk memerintah berdasarkan prinsip syariah, kerana setiap kali bermasalah, parti itu sering menyalahkan parti lawan dan melancarkan serangan dengan melabelkan parti berkenaan "membuang Islam" manakala pentadbiran yang telah memberikan rakyat kebebasan serta mempertahankan keamanan negara sebagai zalim.

Belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia kemenangan parti lawan dinafikan dan kebebasan untuk memerintah disekat. Inilah yang berbeza secara jelas antara tekanan yang dihadapi oleh Ikhwanul Muslimin sehingga tertubuhnya Parti Kebebasan dan Keadilan setelah ramai calon Ikhwanul Muslimin bertanding atas platform bebas sebelumnya tidak disenangi oleh pemerintah Mesir.

Kebangkitan rakyat Mesir mendesak peletakan jawatan Hosni Mubarak pada akhir 2010 dan berjaya dilakukan pada 12 Februari 2011, seharusnya menjadi teladan terbaik bagi umat Islam di Malaysia. Meskipun FJP diisytiharkan menang dan Dr. Mohamed Morsi dilantik sebagai Presiden lebih enam bulan lalu, keadaan Mesir masih belum aman.

Dengan mengambil iktibar daripada Arab Spring, boleh dirumuskan bahawa kemenangan dalam sesuatu perjuangan bukan boleh menjamin keadaan selepasnya menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mesir terus dibelenggu ketakutan dan ketidakstabilan politik serta pertumbuhan ekonominya merudum.

Usaha Morsi untuk meneruskan perjuangan Ikhwanul Muslimin pada masa ini terus menerima tentangan hebat daripada kelompok liberal, saki-baki penyokong Hosni dan kumpulan politik berhaluan kiri Islam.

Hal seperti ini turut berlaku di Malaysia apabila parti-parti politik pembangkang berusaha meraih sokongan dengan mempertajamkan persepsi masyarakat dengan mengusung kekeliruan dan penafian peluang yang terbuka untuk mereka berpolitik secara budiman.

Politik adaptasi yang sedang berkembang dalam pakatan pembangkang misalnya menyebabkan pemimpin akar umbi mempersoalkan kewajaran penyebaran dakwah yang telah dilaksanakan dalam konteks tahaluf siyasi (kerjasama politik). Kerjasama yang terjalin tidak membuktikan adanya kompromi yang lebih baik, sebaliknya menjadikan satu pihak terpaksa akur dan bersetuju walaupun ia bukan memberikan kebaikan kepada Islam.

Apabila berlakunya "pelanggaran prinsip", kewajaran yang dianggap sebagai tragedi kepada umat Islam itu akhirnya cuba ditutupi dengan mudah oleh pemimpin parti yang pada mulanya pernah melabelkan parti lawan yang bekerjasama dengan bukan Islam sebagai kafir dan menimbulkan ketakutan rakyat. Persoalannya, itukah bentuknya perjuangan politik di jalur dakwah atau berdakwah melalui politik?

Ibnul Qayyim Al Jauzi yang menulis kitab Ath Thuruq al Hukmiyyah berpendapat, "Allah Ta'ala mengutus para Rasul dengan menurunkan kitab-kitab suci-Nya, dengan tujuan agar manusia dapat menegakkan keadilan sesuai dengan prinsip-prinsip langit dan bumi. Jika keadilan muncul dan terlihat dalam bentuk apa pun, maka itulah syariat Allah dan agama-Nya".

Kata Ibnul Qayyim lagi: "Bahkan Allah Ta'ala telah menjelaskan bahawa garis-garis yang telah ditetapkan itu dimaksudkan untuk menyemarakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan agar manusia berlaku adil di muka bumi. Dengan cara apa pun yang diambil, jika sesuai dengan garis- garis yang telah dijelaskan untuk mewujudkan keadilan, adalah sebahagian dari agama dan tidak bertentangan dengannya. Jadi tidak dapat dikatakan bahawa keadilan politik itu bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh syariah, melainkan ia sesuai dengan apa yang dibawa oleh syariah dan bahkan sebagian bersepadu dengannya."

Maknanya, apabila ada cadangan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dengan menyatukan kelompok politik yang berpecah, maka hasrat tersebut sepatutnya disambut dengan berlapang dada. Tetapi, lebih menyedihkan apabila usaha itu cuba dirintis, parti yang mempertahankan emosi marahnya terus menyatakan "pintu rundingan sudah tertutup" manakala kerjasama tidak boleh berlaku dalam bidang politik.

Maksudnya, parti berkenaan sendiri tidak mahukan perpaduan dan telah mencemari perspektif bahawa "politik dan agama tidak boleh dipisahkan" kerana Islam adalah addin dan bukannya boleh dipisah-pisahkan sebagaimana dilakukan oleh parti politik sekular.

Istilah politik atau siyasah tidak ditemui dalam al-Quran dan hadis tetapi beberapa keadaan dan konteks yang boleh memberikan gambaran bagaimana bentuknya berpolitik bagi memperkasakan dakwah dan dengan berdakwah, politik menjadi suatu kaedah yang terbaik dan bukan saling menyerang atau berperang.

Siyasah jika dikembangkan sebagai satu seni dan sekali gus kemahiran, ia mengandungi kebolehan mengurus, melakukan dan melaksanakan perubahan, membangunkan kebaikan awam, prihatin terhadap kehidupan dan masalah rakyat, dan yang lebih diutamakan ialah tidak mewujudkan sekumpulan pemimpin yang hanya tahu mencari salah, mengecam dam menyalahkan orang lain bagi menyembunyikan kelemahan sendiri.

Berpolitik seringkali dikaitkan dengan parti politik tetapi setiap kali melaksanakan aktivitinya, ramai yang lupa untuk mengaitkannya dengan dakwah. Dalam merumuskan hubungan itu, Hasan al-Banna berpendapat untuk mengatasi masalah kemunduran dan perpecahan umat, kita memerlukan terapi bersepadu dan komprehensif, ia sepatutnya diajukan dengan "gagasan memperbaiki kebaikan hubungan umat", agar mencapai kehormatan dan kemuliaan.

Maknanya, dalam berpolitik dakwah mestilah berhemah. Ketika berdakwah, politiknya mestilah beretika agar dapat melahirkan umat yang budiman, iaitu umat yang menghormati dan menghayati bahawa Islam dipenuhi elemen kasih sayang. Islam bukanlah kaedah berpolitik mengancam dan saling menyerang, walaupun berbeza ideologi. ia meletakkan kesatuan umat di tangga teratas.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 7 Februari 2013

Implikasi tauhid terhadap ibadah


Oleh : PROF DR  SIDEK BABA

Seseorang yang bernama Islam, aqidah tauhid merupakan perkara utama dalam kehidupannya. Ibarat sebatang pokok, kekuatan pokok itu bergantung kepada akarnya. Akar itu ibarat aqidah tauhid yang menyebabkan pokok itu hidup subur.

Kesuburan aqidah tauhid terkait rapat dengan isu ibadah kita. Yang kita sembah, amalkan dalam hidup, yang kita syukuri, yakini adalah ALLAH. ALLAH sebagai Pencipta satu-satunya bukan dua bukan tiga.

Aqidah tauhid merintis jalur kesatuan dalam ibadah. Apa saja ibadah yang dilakukan ia terhubung dengan ALLAH Yang Satu. Ibadah itu kita lakukan dalam satu kesatuan. Baik solat, siyam, fikir dan zikir dalam erti kata yang luas semuanya terhubung dengan ALLAH. Ia menjadikan manusia taqarrub ilallah atau dekat dengan ALLAH. Ia tidak boleh terpisah dan bergerak sendiri-sendiri.

Apabila ibadah itu terhubung dengan pekerjaan, kerja itu kita lakukan kerana ALLAH iaitu ikhlas. Apabila sesuatu kerja dan amanah kita lakukan dengan ikhlas, hikmahnya akan kembali kepada kita juga.

Umpamanya kita berjual beli sebagai sumber ibadah dengan jujur dan ikhlas, keuntungan yang diterima adalah sumber barakah. Bila ini terjadi sumber rezeki itu dimanfaatkan kepada keluarga dan keluarga mendapat manfaat dari rezeki yang halal dan tayyib.

Aqidah tauhid ini juga terhubung dengan syariah. Syariah ialah jalur pedoman supaya insan Islam berada dalam lingkungan hidup yang terizin dan sentiasa dalam reda ALLAH.

Faktor syariah ini sangat penting dalam menentukan pola perlakuan, tabiat, watak dan corak kehidupan manusia. Apabila manusia hidup dalam syariat ALLAH, dirinya sentiasa berada dalam keadaan maaruf dan sentiasa ingin menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan manusia.

Lebih-lebih lagi apabila maqasid syariah itu bermaksud memelihara kepentingan Deen atau agama sekali gus menjaga kemaslahatan agama dan kaitan dengan penganutnya supaya imej Islam perlu teguh dan utuh.

Oleh itu pancaran aqidah tauhid yang terlihat dalam keyakinan dan cara hidup menjadi asas penting pemeliharaan terhadap agama kerana pada diri orang-orang Islam terdapat sumber teladan untuk dijadikan ikutan.

Menjaga agama dalam maqasid syariah adalah terlalu penting dijadikan keutamaan kerana Islam itu agama dakwah. Ia mengajak, memanggil dan menyeru orang lain tentang tatacara dan tatahidup murni yang boleh dijadikan sumber teladan dan jalan ikutan.

Rasulullah SAW memiliki kualiti manusiawi yang tinggi. Daripadanya terdapat qudwah hasanah dan contoh terbaik bagaimana sunnahnya dijadikan pedoman dan ikutan. Apabila manusia memiliki sumber contoh dan ikutan ia tidak akan kehilangan arah hidup dan sentiasa dekat dengan ALLAH.

Aqidah tauhid juga amat rapat hubungannya dengan akhlak. Akhlak Rasulullah SAW dihubungkan sebagai khuluq al-Quran (akhlak al-Quran) di mana ia seolah-olah al-Quran yang hidup dalam diri, pernyataan dan amalan. ALLAH mengutus Rasulullah SAW atas maksud untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Apabila aqidah tauhid manusia mantap, menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai sumber ikutan, manusia memiliki sifat taat. Taat membawa asas kepatuhan dan ketundukan dan ia mendukung sifat kehambaan yang tinggi. Ia menjadi asas terbinanya sifat ibadullah dan ibadurrahman.

Sifat ini sangat penting kepada manusia kerana darinya memiliki kualiti ihsan yang tinggi. Ihsan atau 'God-Conciousness' meletakkan perbezaan antara Islam dan bukan Islam.

Sifat ihsan seperti disebut Rasulullah SAW menghubungkan amal manusia dengan Pencipta.

“Meski apabila kita melakukan amal baik, kita tidak melihat ALLAH, tetapi ada keyakinan di hati ALLAH melihat kita”. Inilah asas kekuatan bagi seorang muhsin yang sentiasa mendamba diri kepada ALLAH SWT dengan rasa kekudusan dan keikhlasan untuk mendapatkan reda-Nya.

Oleh itu kehebatan aqidah tauhid tidak saja dirasakan kepada keyakinan diri tetapi mampu diterjemahkan dalam amal.

Sebagai seorang Islam tidak saja produktiviti rohaniah kita tinggi dengan tahajjud, qiyam dan seumpamanya tetapi juga produktiviti amaliah dapat dimanifestasikan dalam proses keilmuan, dakwah dan tarbiyyah sehingga cemerlang dalam pengurusan diri dan juga sistem.

Hakikatnya apa yang kita lakukan ikhlas kerana ALLAH hikmahnya kembali kepada manusia semula. Kebaikannya adalah berpulang kepada manusia dan mensejahterakan orang lain.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/