Jumaat, 22 Mac 2013

PERGINYA SEORANG ULAMA'

Asy Syahid Dr Ramadhan Al-Buti

Kata Al-Habib Ali-Al-Jufri "Aku telah menelefonnya dua minggu lepas dan beliau (Dr Ramadhan Al-Buti) berkata pada akhir kalamnya...

"Tidak tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku sedang mencium bau syurga dari belakangku. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku".

Pada beberapa hari sebelum kewafatannya, beliau berkata "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas daripada  ganjaran ijtihad" (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)

*Sheikh Ramadhan Al-Buti Syahid setelah dibom beberapa jam lepas di dalam Masjid Iman di Dimasyq. Beliau akhir-akhir ini mendoakan kehancuran kepada rejim Syiah Nusairiah, dan sedang dikawal ketat oleh pihak tentera. Dalam usahanya untuk keluar dari Syria beliau bersama pengikutnya dibom dan mendapat ganjaran Syahid.

Moga Allah merahmati dan memberi ganjaran yang sebanyak-banyaknya kepada Guruku dan Mujtahid Ummah Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti. Hidupnya sebagai ulama, matinya sebagai syuhada. AL-FATIHAH.

Sumber : http://hajiarshad.blogspot.com/

Jumaat, 15 Mac 2013

Hukum menceroboh menurut Islam



Oleh : IBRAHIM ABDULLAH

Wujudnya negara kerana ada tanah, wujudnya tanah kerana adanya rakyat atau penduduk. Justeru rakyat dan negara berkewajipan mempertahankan tanah airnya daripada serangan pencerobohan atau musuh. Islam mengajarkan umatnya: “Cinta tanah air itu sebahagian daripada iman.”

Menurut perspektif Islam, pengertian penjenayah atau penceroboh ialah seseorang yang menyerang Muslim, begitu juga seseorang yang  zimmi, dengan tujuan mencederakan atau memudaratkan, sama ada pada tubuh badan, maruah, dan harta. (Dr Mustafa al-Bugha, Ali as-Syirbaji, al-Fiqh al-Manhaj).

Hukum mempertahankan diri berbeza mengikut keadaan, ada kala hukumnya wajib, dan ada kala bersifat harus (dibolehkan), mengikut keadaan tertentu, berserta syarat-syarat tertentu.

Hukum mempertahankan diri dan membalas serangan penjenayah diharuskan adalah kerana darurat (perkara yang tidak dapat dielak), dan kaedah fekah ada menyebutkan bahawa, darurat hendaklah ditentukan dengan kadarnya yang perlu sahaja (tidak lebih). - (Dr.Wahbah az-Zuhaily, al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuh).

Firman ALLAH SWT bermaksud : “Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan (penganiayaan) terhadap kamu, maka balaslah pencerobohannya itu secara seimbang (adil/sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu, dan bertakwalah kamu kepada ALLAH serta ketahuilah, sesungguhnya ALLAH berserta orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah : 194).

Makna ayat di atas menjelaskan bahawa membalas penindasan atau pencerobohan dan serangan yang diharuskan, adalah dilakukan dengan cara yang adil, iaitu sama kadar dan tidak berlebihan. Tindakan mangsa yang dibenarkan syarak adalah sekadar untuk melepaskan dirinya atau mangsa serta menghentikan serangan penjenayah, tidak lebih dari itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia adalah syahid.” (Imam Muhammad al-Mubarakfury, Tuhfat al-Ahwadzy).

Rasulullah SAW menyebutkan lagi sabdanya bermaksud : “Bantulah saudaramu yang zalim atau dizalimi.” Para sahabat bertanya: "Ini kami membantunya kerana dizalimi, bagaimana pula membantu orang yang zalim?" Jawab Baginda, “Kamu ambil kekuasaannya.” (sekat dan halang kezalimannya). (Soheh Bukhari).

Sabdanya lagi bermaksud: “Sesiapa yang mendapati seorang mukmin dihinakan (dizalimi) sedangkan dia mampu membela/menolongnya, akan ALLAH hinakan (malukan) dia di hadapan sekalian makhluk pada hari kiamat.” (Musnad Imam Ahmad Ibnu Hanbal).

Jika serangan jenayah ke atas nyawa, sama ada bertujuan membunuh atau membahayakan tubuh mangsa seperti memukul, menumbuk, melukakan dan lain-lain, hukumnya menurut Mazhab Syafie, jika penjenayah bukan seorang Muslim, mangsa wajib mempertahankan dirinya. Begitu juga hukumnya jika seseorang diserang oleh binatang buas, dia tidak boleh membiarkan dirinya menjadi mangsa.

Manakala serangan jenayah ke atas maruah, iaitu sama ada pemerkosaan atau bentuk-bentuk gangguan seksual (muqaddimah zina seperti mencium, meraba dan lain-lain), hukumnya wajib mangsa mempertahankan diri walau apa jua keadaan sekalipun, semampu mungkin, sekalipun dibunuh atau membunuh. Pendapat ini disepakati fuqaha. (Dr Wahbah az-Zuhaily, al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuh).

Justeru, kita harus mempertahankan diri  dan membalas serangan penjenayah kerana ia satu bentuk jenayah atau kezaliman, iaitu melakukan sesuatu tanpa hak.

Fitrah manusia yang normal sentiasa inginkan hidupnya aman tenteram dan sejahtera. Setiap orang tidak suka diri, keluarga, apa lagi tanah airnya diganggu atau diceroboh. Islam datang bagi memastikan setiap individu dan negara mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama, lebih-lebih lagi ia diiktiraf oleh hukum antarabangsa bagi sesebuah negara.

Firman ALLAH bermaksud: “Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu, sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Mai’dah : 3).

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 14 Mac 2013

Indahnya wahdah, ukhuwah Islam


Oleh : PROF DR. SIDEK BABA

ALLAH itu indah dan suka akan keindahan. Islam itu agama indah dan bernaung di bawahnya menjadikan hidup ini indah. Kunci keindahan itu adalah wahdah dan ukhuwah Islami.

Al-Quran memberikan kita pertunjuk bahawa “umat Islam itu bersaudara” (innamal mukminu nai’khwah). Asas ini adalah penting dalam kehidupan Islam kerana tanpanya sengketa dan konflik boleh terjadi.

Ramai kalangan warga umat terdedah dengan hasutan iblis dan syaitan. Memfitnah sesama seagama, sangka buruk tanpa hujung pangkal, tidak mempunyai jiwa pemaaf, enggan menyantuni yang bermasalah, memiliki dendam kesumat dan kebencian tinggi kerana salah faham dan salah tanggap menyebabkan binaan wahdah dan ukhuwah menjadi kabur dan lesu.

Islam tidak menegah warga umat berada dalam perbezaan pendapat, pemikiran malah tafsiran asal saja ia akhirnya memberi manfaat. Rasulullah SAW menganggap bahawa perbezaan pandangan itu adalah suatu rahmah kerana daya kreativiti menjadi subur dan menghasilkan manfaat lebih baik.

Ia harus didukung dengan keinsafan bahawa adanya batas terhadap perbezaan itu. Perbezaan yang terizin didukung dengan etika adab al-ikhtilaf mampu menjadi warga umat mempunyai daya tasamuh yang tinggi dan menyebabkan ukhuwah tidak terhakis.

Dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan fikirkan dulu kebaikannya untuk umat secara jangka pendek dan panjang. Jangan biarkan nafsu amarah mendukung pendirian kerana boleh membawa akibat tidak baik. Menghindarkan bencana bagi umat adalah dituntut. Kebijaksanaan dan kematangan adalah kata kunci yang amat penting dipertahankan.

Islam amat mendukung warga umatnya yang berfikiran waras dan rasional serta mampu menjangkau akibat hari depan akan apa yang dipilihnya. Fikirkan tentang nasib Islam dan umat serta generasi penerus yang menuntut warga umat membuat keputusan yang betul.

Gagal berbuat demikian dibimbangi akibatnya adalah besar. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Jangan jadi kata pepatah , “dah terantuk baru nak tengadah” kerana apabila “nasi menjadi bubur” menyebabkan kita “sesal tak sudah”.

Wahdah dan ukhuwah sewajarnya menjadi agenda utama membangunkan umat Islam kini kerana perpecahan dalam pendirian dan pertimbangan boleh memberi kesan buruk terhadap kelangsungan umat. Lebih-lebih lagi apabila keputusan dibuat berasaskan nafsu amarah yang tinggi dan ghairah inginkan kuasa sehingga menyebabkan umat Islam terpinggir.

Atas nama wahdah dan ukhuwah umat Islam harus bijak membaca senario di hadapan mata. Jangan kita dihanyutkan impian yang belum tentu jadi dan janji-janji manis yang pada hakikatnya payah untuk terjadi.

Reflektif terhadap apa yang dicapai pada masa lalu, insafi apa sedang terjadi sekarang dan futuristik terhadap apa bakal berlaku pada masa depan menjadi pedoman terbaik untuk membuat pertimbangan dan keputusan.

Keindahan Islam ialah warga umatnya adalah matang dalam membuat keputusan. Meski ada perkara tidak puas hati terjadi namun ia menjadi bijaksana bagi menentukan Islam terus berada dalam paras yang boleh dikembangkan lagi.

Malaysia umpamanya ibarat rumah Islam yang memerlukan perlindungan daripada warganya. Kealpaan melindungi rumah ini boleh membawa tersingkirnya warga umat dari rumah itu. Meski terdapat kekurangan pada rumah ini tetapi telah sekian lama kita dapat berteduh dan mengharapkan anak cucu kita akan dapat berteduh juga.

Di sini penting kedewasaan dan kematangan membuat keputusan supaya satu-satunya rumah dimiliki tidak terlepas ke tangan orang lain. Warga umat telah sekian lama memiliki rumah ini dan menjadi tuan rumahnya yang bersedia untuk berkongsi dengan orang lain.

Politik adalah kuasa dan politik adalah penentu dasar negara. Sekiranya warga umat berpecah jumlah yang tidak dominan bakal menyebabkan keterpinggiran tadi. Sekali keputusan sudah dibuat ia bakal menentukan hari depan umat kerana sesama umat tidak ada kesediaan langsung untuk mencari kejernihan dan permuafakatan. Natijah akhirnya warga umat akan pecah dan kita akan kehilangan sesuatu yang amat berharga iaitu wahdah dan ukhuwah yang membawa kepada kehilangan maruah dan kehilangan wibawa Islam itu sendiri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/