Sabtu, 20 Julai 2013

Tabung Haji pastikan jemaah selesa

MADINAH - Tabung Haji (TH) akan memastikan jemaah haji Malaysia tahun ini akan dapat beribadat dalam keadaan selesa walaupun kota Mekah menjalani proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan.
  
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismee Ismail berkata TH kini telah bersiap sedia dengan tempat tinggal jemaah haji di Mekah dan Madinah selain persiapan makanan untuk para jemaah yang akan tiba awal September ini.
  
Katanya bagi penginapan di Madinah, jemaah akan tinggal di tempat penginapan dalam jarak 150 meter dari Masjid Nabawi manakala di Mekah, yang kerja-kerja pembangunan sedang pesat dijalankan, jemaah akan tinggal dalam jarak 600 hingga 950 meter dari Masjidil Haram.
  
"Kita cuba elakkan jemaah untuk tinggal di hotel lebih satu kilometer. Ketika ini banyak kerja pembangunan dijalankan di Kota Mekah dan banyak bangunan dan hotel berdekatan masjid dirobohkan tetapi kita masih dapat kekalkan dalam jarak tak lebih 950 meter," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya seperti tahun-tahun lepas, 800 petugas TH terlibat pada tahun ini termasuk petugas yang menjaga kebajikan dan perubatan bagi memastikan keselesaan para jemaah.

"Kita akan kekalkan jumlah itu walaupun terdapat pengurangan jemaah tahun ini (oleh kerajaan Arab Saudi). Kita ambil peluang kekurangan jemaah untuk beri lebih keselesaan kepada jemaah," katanya.
 
Ismee berkata jemaah turut dimaklumkan tentang kerja-kerja pembangunan yang sedang dijalankan di Mekah yang memungkin keadaan lebih sesak dan berhabuk, memerlukan jemaah mengambil langkah lebih berhati-hati dan memakai topeng muka.
  
Mengulas mengenai keputusan kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji jemaah Malaysia 20 peratus daripada 27,900 kepada 22,320, katanya TH  akur dan menerima keputusan itu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 19 Julai 2013

Misi terancang hina Islam

Kuala Lumpur : Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam semalam berpandangan siri penghinaan agama Islam yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab semacam sudah dirancang dan sengaja dila-kukan lebih-lebih lagi ketika Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan kepada BERNAMA, kecewa terhadap perlakuan pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

Beliau berkata, perbuatan yang dilakukan golongan itu melampaui batas kesabaran umat Islam.

“Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadab dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Bertindak segera

Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang, selain menjadi pengajaran buat semua.

Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf menjadi mainan pihak berkaitan dan ini tidak harus dibiarkan berlaku.

Abdul Shukor berkata, muzakarah khas itu menggesa orang Islam bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak biadab itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat di negara ini.

Sementara itu, di Kuala Lumpur; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya sedang memantau individu, kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba memainkan sentimen keagamaan untuk diambil tindakan tegas seperti Akta Hasutan 1948 bagi memastikan keharmonian negara.

KDN pantau aktiviti

Beliau berkata, KDN melalui Bahagian Penerbitan dan Pencetakan al-Quran serta Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam memantau semua aktiviti itu.

“Kelmarin, saya mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mengenai isu sensitif yang dibangkitkan melalui media sosial.

“Mana-mana agama yang cuba dikutuk adalah perkara sensitif yang boleh merosakkan keharmonian kepelbagaian agama di negara kita. Akta Hasutan masih wujud dan berkuat kuasa,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Masjid Bukit Aman, di sini, semalam.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 13 Julai 2013

Visa haji diperketat


Arab Saudi larang golongan tua, pesakit kronik elak penyebaran MERS-CoV

Riyadh : Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan peraturan baru tidak mengeluarkan visa haji kepada golongan tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik tahun ini bagi mengelak penyebaran Sindrom Pernafasan Asia Barat - Virus Korona (MERS-CoV).

Menurut pengumuman Kementerian Kesihatan negara itu, peraturan itu akan berkuat kuasa pada musim haji tahun ini dan musim umrah berikutnya.

Kami juga mahu mendapatkan maklumat mengenai usia warga emas yang tidak diberikan visa kerana mengikut takrifan Tabung Haji golongan terbabit adalah dalam kalangan mereka berusia 75 tahun ke atas,” Anis Zuhani Ahmad, Pengurus Besar Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji

Bagaimanapun jurucakap kementerian, Khalid Al-Mirghalani tidak menetapkan had umur namun berkata, golongan tua yang lemah dan tidak sihat dari segi perubatan tidak akan dipertimbangkan mendapat visa.

Beliau memberitahu Arab News, Kedutaan Arab Saudi di luar negara akan mematuhi arahan tegas kementerian yang dihantarnya menerusi Kementerian Luar itu.

Di Kuala Lumpur,  Pengurus Besar Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima surat daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai arahan terbaru itu.

“Kami juga mahu mendapatkan maklumat mengenai usia warga emas yang tidak diberikan visa kerana mengikut takrifan Tabung Haji golongan terbabit adalah dalam kalangan mereka berusia 75 tahun ke atas,” katanya.

Selain itu, Arab Saudi juga tidak akan mengeluarkan visa haji dan umrah kepada mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, jantung dan buah pinggang.

“Jemaah lain dikecualikan adalah pesakit kecacatan imun, penyakit serius, wanita hamil dan kanak-kanak,” kata jurucakap itu.

Virus baru korona itu menjangkiti 66 orang, termasuk 38 kematian sejak September tahun lalu di negara pentadbiran diraja itu.

Kementerian Kesihatan negara itu katanya, mengambil semua langkah pencegahan bagi memerangi penyebaran penyakit itu dengan bantuan pakar perubatan tempatan dan antarabangsa termasuk pihak berkuasa daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebagai tambahan kepada syarat itu, katanya kementerian menggariskan peraturan kuarantin di negara ini.

Ia termasuk sijil sah vaksinasi meningitis, 10 hari sebelum jemaah berangkat ke bandar suci Makkah dan Madinah serta vaksinasi polio oleh jemaah dari negara di mana penyakit itu berleluasa.

Ada juga syarat pilihan vaksin ke atas influenza sebagai langkah berjaga-jaga ke atas serangan selesema, tambahnya.

Katanya, kementerian menegaskan jemaah supaya menjaga kebersihan diri dengan betul. Mereka juga perlu memastikan masakan bersih, simpanan, pengangkutan dan kaedah hidangan bagi mengelak cirit-birit, muntah, keracunan makanan, disentri, demam kepialu dan taun. - AGENSI