KEMBALINYA, Ketua Dewan Ulama
Pas, Datuk Harun Taib ke rahmatullah pada awal pagi kelmarin, bermakna bukan
sahaja parti itu malah keseluruhan umat Islam tanpa mengira apa juga fahaman
politik kehilangan seorang tokoh pejuang dan pembela Islam sejati. Biarpun
berada di pentas politik, namun Allahyarham tidak melihat medan tersebut
sebagai usaha untuk merebut kekuasaan semata-mata, sebaliknya bagi menegakkan
syariat Islam di muka bumi Allah ini khususnya di Malaysia.
Dalam mempertahankan prinsip
tersebut yang selaras dengan perjuangan asal Pas, Allahyarham yang belajar di
Universiti Islam Madinah dan kemudian menyambung peringkat sarjana siasah
syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir tidak pernah bertolak ansur dan sentiasa
tegas memberikan pandangan serta melahirkan pendiriannya.
Bagi Allahyarham, tidak kira
kawan mahupun lawan, sekutu ataupun tidak, apabila mereka melakukan tindakan
atau membuat kenyataan yang bertentangan dengan perjuangan Islam, Allahyarham
akan tampil menyanggah. Justeru bukanlah menghairankan apabila Allahyarham
bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan kecaman atau kritikan rakan-rakan
sekutu Pas tetapi juga dalam Pas sendiri berikutan ketegasannya.
Dua isu yang paling mendapat
perhatian umum ialah ketegasan Allahyarham dalam soal tahaluf siyasi Pas dengan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan
Islam.
Isu pertama tercetus pada Multaqa
Ulama SeMalaysia di Alor Setar pada 14 September lalu apabila Allahyarham
secara terbuka menyatakan pengaruh Pas dalam pakatan pembangkang semakin lemah.
Allahyarham menegaskan, kajian semula berdasarkan kepada garis panduan Majlis
Syura Ulama Pas wajar ekoran berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas
selain merosakkan hubungan dalam tahaluf siyasi.
Namun niat murni Allahyarham
disalahtafsirkan, Allahyarham 'diserang' kiri dan kanan bukan sahaja oleh
sekutu Pas tetapi juga di dalam Pas sendiri apabila golongan ulama dituduh gila
kuasa dan menjejaskan hubungan parti itu dengan rakan-rakan dalam pakatan
pembangkang.
Bagaimanapun Allahyarham ternyata
tidak berundur biar pun setapak sebagai pejuang Islam, apabila dalam Muktamar
Tahunan Dewan Ulama Pas Ke-52 di Shah Alam pada November lalu, Allahyarham
secara tegas menyatakan,
"Kami tidak gila dan tamak
kuasa, tapi Pas ialah parti Islam, maka sesiapa yang memahami dasar parti,
mereka lebih faham kedudukan ulama dalam Islam. Rahsia kekuatan Pas adalah
hidupnya Pas sejak 1951 adalah berdasarkan kesungguhan ulama, tidak ada
percanggahan yang lain iaitu mahu mewujudkan sebuah negara Islam, negara yang
aman dan makmur dan indah. Perjuangan kita sangat berbeza dengan parti lain.
Tahaluf syasi (kerjasama politik) perlu disemak dari semasa ke semasa bagi
mengkaji setakat mana pelaksanaan Islam boleh dilaksana di ngeri yang kita
perintah." katanya.
Konsisten
Dalam perjuangan politiknya, biar
pun mempertahankan kerjasama Pas dengan sekutunya, namun Allahyarham tidak mahu
melihat Pas menjadi 'pak turut' semata-mata.
Oleh itu Allahyarham akan
bersuara apabila melihat sesuatu perkara yang bertentangan dengan prinsip
perjuangan Islam. Ini terbukti apabila Allahyarham pernah menegur Kerajaan Pas
Kelantan kerana menjemput bintang Akademi Fantasi (AF), Mawi mengadakan konsert
di Kota Bharu, Kelantan pada 2005. Ia kerana Mawi bukanlah seorang penyanyi
hiburan Islam sebenar, sebaliknya hasil produk sebuah rancangan realiti yang
jelas menyimpang daripada ajaran Islam.
Seorang pemimpin muda Pas
memberitahu penulis, Allahyarham adalah antara pemimpin yang paling konsisten
dalam perjuangan Islam dan mempertahankan perjuangan asal Pas.
''Sebab itulah dalam isu kalimah
Allah, sehingga akhir hayatnya Allahyarham tetap mempertahankan pendirian
beliau dan Majlis Syura Ulama bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan
kalimah suci tersebut," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur.
Sememangnya, isu kalimah Allah
membuktikan Allahyarham adalah pejuang dan pembela Islam sejati apabila sanggup
berhadapan dengan sesiapa sahaja bagi mempertahankan pendirian Majlis Syura
Ulama.
Pada 10 Januari lalu, ketika
majoriti pemimpin-pemimpin Pas dan pemimpin Islam dalam pakatan takut tampil
untuk mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas
kitab Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mempunyai kalimah Allah,
Allahyarham secara lantang mengeluarkan kenyataan membela jabatan itu.
Allahyarham mahu JAIS tidak tunduk kepada desakan dan arahan supaya kesemua
kitab itu dipulangkan.
Isu kalimah Allah menjadi bukti
ketegasan dan sikap konsisten Allahyarham dalam memelihara kesucian Islam,
malah Allahyarham merupakan satu-satunya pemimpin Pas yang menggesa umat Islam
bersatu bangkit mempertahankan kalimah suci itu dengan tidak membenarkan bukan
Islam menggunakannya. Atas sikap itu jugalah, Allahyarham pernah menempelak
Karpal Singh kerana memperkecilkan peranan Majlis Syura Ulama apabila Pengerusi
DAP itu mengatakan majlis tersebut bukan suara majoriti dalam Pas.
Karpal berhujah demikian kerana
Pas telah mencapai persetujuan dengan PKR dan DAP bahawa kalimah Allah boleh
digunakan bukan Islam asalkan ia tidak disalahkan gunakan. Membalas keceluparan
Karpal itu, Allahyarham menganggap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tidak tahu
apa-apa tentang Pas dan kehabisan modal.
Bukan sahaja dengan Karpal, malah
Allahyarham juga pernah menempelak Azmin Ali dalam isu yang sama apabila
Timbalan Presiden PKR itu mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama.
Allahyarham berkata, "Dia cakap tak pakai akal, jadi tak payah ambil kira
pendapat atau pendirian dia. Tak apalah dia hendak kata apa pun, kita tak ada
masalah. Tak jejas apa-apa pun. Apa sahaja yang dia kata, walaupun dia tak
setuju tetapi kita tetap dengan keputusan asal.''
Begitulah sikap Allahyarham dalam
mempertahankan kesucian kalimah Allah dan Allahyarham juga secara lantang mahu
pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak yang cuba meminda Enakmen Agama
Bukan Islam yang diguna pakai di negara ini.
''Jangan sesekali beri muka dan
layan tuntutan atau desakan mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukan Islam
sebagai agama rasmi negara ini.'' tegas Allahyarham pada 4 Januari lalu kepada Mingguan
Malaysia.
Semangat
Sememangnya jika mahu dicatatkan
terlalu banyak jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam membela agama Islam di
negara ini. Oleh sebab, sikap istiqamah dalam memperjuangkan Islam itulah yang
memungkinkan biar pun mengalami keuzuran dari segi kesihatan sejak 2010,
semangat Allahyarham tidak pernah luntur biarpun suatu ketika terpaksa
berkerusi roda ke muktamar Pas.
Bagi merumuskan kegigihan
Allahyarham ini, berikut penulis paparkan pandangan seorang pemimpin Pas, Dr.
Azman Ibrahim;
''Insan hebat sepertinya, bukan
setakat berkerusi roda, kalau terbaring di tempat tidur pun, kita masih
perlukan buah fikirannya sekalipun jasadnya sudah tak berdaya. Lemahnya sekujur
jasad seorang pejuang di jalan Allah adalah kerana tenaga yang telah dicurahkan
demi untuk melihat syariat Allah ditinggikan.
''Buat Almarhum Tuan Guru Datuk
Harun Taib… Pulanglah ke pangkuan Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai.
Dengan rahmat Allah, kamu adalah dalam kalangan hamba yang soleh dan tempatmu
adalah di syurga.''
Sememangnya, umat Islam
kehilangan seorang lagi pejuang dan pembela Islam sejati di tanah air kita
manakala Pas pula kehilangan seorang ulama yang tegas mempertahankan prinsip
perjuangan asal parti itu.
Semoga roh Allahyarham dicucuri
rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama orang beriman dan beramal
soleh - AL FATIHAH.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/