Jumaat, 15 Oktober 2010

WASIAT KEPADA BAKAL HAJI


As-Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz

1. Wajib bagi seorang yang melaksanakan ibadah Haji dan Umrah untuk benar-benar mengikhlaskan niatnya kerana Allah semata-mata, dan mengharapkan balasan baik di akhirat nanti.

2. Berusaha semaksimum mungkin untuk menghindar diri daripada tujuan-tujuan yang bersifat duniawi atau riya dan sum’ah serta kebanggaan dalam melaksanakannya, kerana semua itu merupakan sifat yang jijik dan penyebab gugurnya pahala amal ibadah.

3. Segera bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya daripada seluruh perbuatan dosa.

4. Mengembalikan hak-hak orang lain yang pernah diambil atau dirosakkan, dalam bentuk harta, kehormatan atau yang lainnya.

5. Menggunakan harta yang halal dan baik dalam melaksanakan Haji dan Umrah.

6. Hendaklah ia belajar dengan benar tentang hal-hal yang disyariatkan dalam Haji dan Umrah, memahaminya dan bertanya jika ada permasalahan yang sukar baginya.

7. Mencari teman perjalanan yang baik, taat dan taqwa, serta faham dalam agama dan menjauhi orang-orang yang jahil dan fasik.

8. Dalam perjalanan hendaklah membanyakkan zikir, istighfar dan doa, serta merendahkan diri di hadapan Allah SWT, membaca Al-Quran, memelihara solat berjamaah, memelihara lisan daripada ucapan-ucapan yang tidak bermanfaat, seperti bergurau senda, berdusta, ghibah, mengadu domba dan sebagainya.

9. Sentiasa berbuat baik terhadap teman-teman, menahan diri daripada menyakiti mereka, melakukan amar makruf dan nahi mungkar dengan cara hikmah dan memberi peringatan yang baik semampunya.

Sumber: Kitab at-tahqiiq wal Idhah li Katsiiri min Masaa-ilil Hajj wal Umrah waz Ziyaarah ‘ala Dhau-il-Kitab was Sunnah

Sabtu, 2 Oktober 2010

Tip Menghilangkan Perasaan Was-was Dalam Sembahyang

Allah SWT berfirman dalam surah al-Naas, yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Aku berlindung kepada (Allah SWT) - Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Daripada kejahatan pembisik , penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

Surah ini mengajar kita memohon perlindungan daripada bahaya-bahaya batin, iaitu bahaya perasaan ragu-ragu. Was -was atau ragu-ragu adalah suatu perkara yang datangnya dari syaitan. Was-was ditimbulkan oleh syaitan untuk merosakkan aqidah, ibadat dan akhlak seseorang hamba. Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 200 bermaksud: “Dan jika dihasut oleh suatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah (iaitu dengan membaca A’uzu billahi minas syaitanir rajim), sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan akan datang kepada seorang kamu dan berkata: "Siapa yang mencipta ini? Siapa yang mencipta ini?" sehinggalah dia akan bertanya "Siapa yang mencipta Tuhanmu?” Kalau sudah sampai demikian maka hendaklah minta perlindungan dengan Allah SWT dan sudahkan.”

Apabila keraguan atau was-was timbul dari sudut keimanan maka hendaklah ia mengatakan seperti hadis ini iaitu: "Sesiapa yang mendapati was-was maka hendaklah dia berkata “Aku beriman dengan Allah SWT” pada satu riwayat ada tambahan “dan Rasulnya (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mungkin saja was-was timbul dalam ibadat seperti solat. Dalam solat sekiranya lupa itu berkaitan dengan sunat Ab’ad, maka hendaklah ia melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam. Sekiranya ia terlupa atau ragu-ragu dalam perkara berkaitan sunat Hai’at, maka ia tidak perlu melakukan sujud sahwi.

Contohnya terlupa untuk duduk tahhiyat awal dan hanya teringat selepas sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.

Contohnya lagi, terlupa bilangan rakaat kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau kurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau keempat.

Maka hendaklah ia mengambil yang yakin (iaitu yang tiga) dan cukupkan empat rakaat. Sebelum memberi salam, hendaklah ia melakukan sujud sahwi.

Sujud sahwi adalah sujud dua kali selepas selesai bacaan tahiyyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup kecacatan dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.

Apa yang paling penting dalam menunaikan setiap ibadat perlulah dengan ilmu. Ilmu hendaklah sentiasa ditingkatkan agar dapat melaksanakannya sesuatu ibadat dengan penuh keyakinan.

Yang kedua, hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kerana syaitan tidak mampu memperdayakan mereka yang ikhlas dalam melaksanakan ibadat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijir ayat 40 yang bermaksud: “Dan aku pasti akan memperdaya mereka semua kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.”

Yang ketiga, jangan dipedulikan was-was yang timbul dari bisikan dan berpeganglah pada yang yakin. Sekiranya bisikan tersebut menimbulkan keraguan mengenai zat Allah, maka cepat-cepatlah menyebut: "Aku beriman kepada Allah.”. Sekiranya was-was timbul dalam ibadat solat yang membabitkan sunat Ab’ad, maka hendaklah dilakukan sujud sahwi sebelum salam. Demikianlah. Wallahua’lam.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/