Isnin, 21 Mei 2012

FACEBOOK MEDIUM DAKWAH MODEN



Oleh : Muhamad Farid Yusof


Facebook (FB) merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja sekarang. Ada sokongan bagi menguatkan kenyataan ini adalah, 34 peratus daripada jumlah pengguna FB di Malaysia adalah generasi muda yang berumur antara 18 hingga 24 tahun. Di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB sebagaimana dilaporkan oleh laman www.socialbakers.com. FB yang dilancarkan pada 2004 diilhamkan oleh Mark Zuckerberg, ketika berumur 21 tahun seorang lulusan Harvard umumnya bertujuan memudahkan penggunanya untuk bersosial secara aktif dengan kenalan mereka serta menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu secara cepat dan berkesan. Oleh demikian, FB mempunyai kelebihan yang perlu digarap oleh umat Islam untuk meluaskan jaringan dakwah serta menerokanya dalam ertikata untuk memperbaiki persepsi terhadap Islam itu sendiri.

Namun, persoalannya, sejauh mana laman sosial popular seperti FB ini boleh digunakan sebagai medium dakwah dalam kalangan umat Islam dan bukannya sebagai satu alat yang melekakan dan mengurangkan produktiviti masyarakat? Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya memanggil pendakwah zaman moden kini berdepan dengan cabaran baru yang jauh lebih sengit daripada era media massa tradisional yang terbatas kepada radio, televisyen dan akhbar sahaja apabila sesetengah masyarakat tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mula memikirkan jawapan kepada cabaran baru ini agar Islam tidak ketinggalan dalam peredaran zaman globalisasi kini.

Antara langkah utama setiap muslim dalam menyebarkan dakwah di FB adalah setiap informasi mestilah bersandarkan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar mencetuskan perubahan kepada diri manusia sebagaimana mafhum daripada Surah An Nahl ayat 125. Sebagai contoh, dakwah boleh disebarkan dengan kita mendisiplinkan diri semasa 'berFB' iaitu menulis status menggunakan perkataan dan gaya bahasa yang baik. Justeru, setiap muslim haruslah mengambil faedah dengan menggunakan segala kelengkapan yang ada pada FB tersebut seperti Wall Post, Notes, Pictures Sharing sebagai medium untuk menyampaikan fikrah dakwah kepada pengguna Facebook.

Selain itu , kita boleh kongsikan aktiviti harian dan pengalaman berbentuk pengajaran yang disulami dengan ayat-ayat Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW sebagai bahan dakwah yang berkesan kerana ia boleh di likes dan di-share kan oleh semua pengguna FB serata dunia hanya dalam beberapa saat. Contohnya, status FB berunsur dakwah yang diselitkan mafhum ayat al-Quran dan hadis oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di-likes dan di-share oleh beribu-ribu pengguna laman sosial itu. Bahkan "page Dr.Maza.com di-likes hampir 111 ,000 pengguna laman sosial itu. Ini menunjukkan bahawa dakwah melalui FB juga mendapat tempat di hati masyarakat namun ia memerlukan kaedah dan metod yang sesuai.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman dalam laporan Utusan Malaysia Online yang bertajuk "Capaian dakwah maya lebih meluas" berkata bahawa media baru kini umpama ribut tsunami kerana ia berupaya mempopularkan seseorang serta menyebarkan pengaruh dalam masa yang amat singkat. Beliau juga berkata hampir, semua orang mempunyai akaun FB sendiri, semestinya mereka mempunyai jumlah rakan tersendiri dalam laman sosial tersebut. Oleh itu, setiap status yang dikemas kini akan dibaca oleh setiap rakan maka pendakwah perlu segera merancang dan mengambil kesempatan daripada kemudahan ini untuk menyebarkan Islam melalui pendekatan yang santai dan digemari tersebut. Strategi yang digunakan untuk menyampaikan dakwah perlulah bersifat fleksibel dan praktikal agar relevan dengan peredaran semasa.

Sekiranya kita sebagai pendakwah mampu memanfaatkan FB dengan memaksimumkan kreativiti, pengisian serta gaya penulisan yang baik, maka ia akan menjadi tarikan kepada pembaca serta medium berguna untuk kita sebarkan link blog dan mempromosikan artikel dakwah yang ditulis. Sebagai contoh, laman web iluvislam.com mempunyai pengikut hampir satu juta di laman sosial FB, bahkan setiap artikel dan hasil penulisannya sering di-likes dan di-copy serta di-share oleh pengguna FB dalam masa beberapa minit ia dikeluarkan. Kini, ia menjadi tempat rujukan utama oleh pengguna FB untuk mendapatkan bahan-bahan dakwah. Penguasaan FB oleh umat Islam mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber.

Jika hal ini menjadi kenyataan, maka aktiviti-aktiviti yang 'menjolok mata' dan melemahkan minda seperti kenyataan yang melampaui batas, penyebaran hadis-hadis palsu, penyebaran fitnah dan kongsi gambar-gambar yang bersalahan dengan syariat yang berlaku dalam pengisian FB dapat dikurangkan. Sewajarnya, FB boleh dijadikan medium untuk merapatkan lagi hubungan interaksi sesama kaum serta mendekatkan masyarakat bukan islam dengan Islam itu sendiri. Buktinya, banyak 'status' tentang hukum-hukum Islam tersebar dalam laman FB mereka, bahkan ia turut dikongsi oleh mereka. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas dalam akaun laman sosial seseorang yang mempunyai rakan pelbagai kaum sama ada Cina, India mahupun Melayu dimana hubungan interaksi antara kaum menjadi semakin rapat dalam FB, walaupun secara lumrahnya masing-masing segan untuk bertegur sapa. FB menjadi tunjang dalam menyebarkan dakwah di era millennium ini.

Penulis ialah Pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 20 Mei 2012

Benarkah keislaman kita?



Kalam Maulana Arrif

SECARA spontan ditanya kepada seorang anak muda, apakah makna Islam? Pemuda yang berakhlak baik dan tidak pernah meninggalkan solat lima waktu itu tidak memberikan jawapan apabila ditanya ketika berada dalam kereta hamba ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Melihat dia terus mendiamkan diri, lalu hamba syorkan supaya dia mencari dan memberikan jawapannya pada minggu berikutnya. Dia masih menuntut di sebuah kolej dan sering menumpang kereta hamba ke masjid. Pada minggu berikutnya, pemuda itu memberikan jawapan di atas kertas hasil cariannya dalam Internet. Beginilah definisi  bertulis yang diberikannya.

''Perkataan Islam bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim, bermaksud "seorang yang tunduk kepada Allah."

''Islam adalah berserah diri kepada Allah dengan tauhid dan tunduk kepada-Nya dengan taat dan berlepas diri dari perbuatan syirik dan pelakunya. Barang siapa yang berserah diri kepada Allah saja, maka dia adalah seorang Muslim. Dan barang siapa yang berserah diri kepada Allah dan yang lainnya, maka dia adalah seorang musyrik. Dan barang siapa yang tidak berserah diri kepada Allah, maka dia seorang kafir yang sombong.

''Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu salam dan aslama. Salam bermakna selamat, sejahtera, harmoni dan aman damai, manakala aslama bermakna tunduk dan patuh kepada perintah Allah dengan keredaan atau menyerah diri hanya kepada-Nya semata-mata.''

''Tepat sekali definisi ini,'' jawab hamba kepadanya. Dia meminta hamba memberikan huraian, tetapi masa perjalanan ke masjid yang singkat tidak mengizinkan. Hamba berjanji akan menulis mengenainya. Ini juga satu perkara yang elok direnungi oleh setiap orang yang mengaku Islam.

Adakah kita sekadar Islam pada nama dan keturunan sahaja, atau lebih daripada itu?

Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi - Ali-Imran 3:85

Amat benar bahawa makna Islam ialah berserah diri kepada Allah. Apa itu berserah diri kepada Allah mungkin berbeza pengertiannya. Umumnya kita beranggapan, jika seseorang bukan Islam melafazkan dua kalimah syahadat, maka Islamlah dia. Dan jika dilahirkan oleh ibubapa Islam, maka Islamlah dia. Kemudian, masyarakat beranggapan bertambah Islamlah seseorang apabila dia menyempurnakan lima rukun Islam.

Pada Jumaat lalu, Utusan Malaysia menyiarkan rencana berjudul ''Doa baik Allah makbulkan'' oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Datuk Dr Aziz Jamaluddin. Antara lain tulisannya itu menyebut:

''Seorang memuji ahli ibadat yang lain dan berkata: ''Tentulah si polan itu ahli syurga kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah ditinggalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam untuk beribadat.'' Rasulullah SAW kemudian menjawab: '' Tidak! Dia ahli neraka! Seluruh ibadahnya hancur kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka merosakkan orang dengan lidahnya.''

Memang benar, beribadat dan kuat beribadat sahaja tidak menjamin seseorang masuk syurga.

Terlalu banyak penegasan Allah di dalam Quran bahawa yang masuk syurga adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Dan salah satu ciri keimanan ialah ''berserah diri.''

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka berserah diri (bertawakkal). - Al Anfaal 8:2

Ertinya orang Islam mestilah memiliki iman. Salah satu ciri keimanan ialah berserah diri. Apa itu berserah diri? Memadaikah sekadar bercakap bahawa ''saya berserah diri kepada Allah.'' Berikut ini adalah satu analogi mudah yang boleh dikaitkan dengan definisi berserah diri.

Menjadi kelaziman termasuk di Malaysia, sesiapa yang mengalami sakit kepala akan menelan ubat yang mengandungi bahan aktif paracetamol. Sesiapa sahaja akan membeli pil paracetamol untuk sakit kepala kerana kemujarabannya terbukti.

Tetapi para ulama telah mengatakan bahawa apa jua bentuk rawatan mestilah disertai dengan penyerahan diri kepada Allah. Kita tidak boleh menganggap pil paracetamol yang menyembuhkan kita, tetapi Allah yang mengizinkan ubat itu berkesan.

Lalu ada sebilangan umat Islam yang membaca bismillah dan berdoa pendek sebelum menelan pil paracetamol. Ada juga yang hanya membaca bismillah dan tidak berdoa. Tetapi percayalah bahawa lebih ramai yang menelan pil paracetamol tanpa bismillah, apatah lagi berdoa. Bagi mereka ini, perlu apa bismillah atau doa kerana orang kafir pun sembuh daripada sakit kepala jika makan pil paracetamol.

Nah, siapakah yang lebih berserah diri di antara tiga kategori penelan pil paracetamol itu?

Tetapi ada satu lagi kategori orang Islam. Jika orang lain bersusah payah ke kedai mencari pil paracetamol apabila mengalami sakit kepala, mereka ini bertindak lebih mudah. Jika tiada pil paracetamol di rumah, mereka menelan air kosong sahaja. Mereka ini yakin bahawa jika Allah mengizinkan, air sejuk pun boleh dijadikan ubat. Tentulah didahului dengan bismillah dan doa.

Nah, siapakah yang lebih berserah diri di antara empat golongan pesakit kepala itu?

Mereka yang paling berserah diri ini juga sangat khusyuk dalam sembahyang, ibadat yang paling utama. Apabila membaca al-Fatihah ketika bersolat, mereka benar-benar berharap Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus sebagaimana maksud ayat 6 dan 7 surah berkenaan:

''Tunjukkan kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.''

Ketika bersolat, berapa ramaikah umat Islam yang benar-benar berharap Allah tunjukkan mereka ke jalan yang lurus? Pada hal inilah anugerah yang terhebat daripada Allah kepada manusia. Tiada yang lebih baik. Jalan inilah yang membolehkan manusia terus bertemu dengan-Nya tanpa hisab pada hari pembalasan kelak. Malangnya kita hanya membaca al-Fatihah sekadar untuk memenuhi syarat sah sembahyang. Bukan satu doa yang dilafazkan dengan penuh harapan, disertai dengan rasa takut kalau-kalau tidak dimakbulkan.

Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan).

Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. - Al Araaf 7:56

Sudah tentulah orang-orang yang berserah diri kepada Allah ini amat takut kepada-Nya. Mereka tidak akan membuat kerosakan dalam apa bentuk sekalipun, termasuk kerosakan yang berpunca daripada lidah. Sesungguhnya paling banyak kerosakan pada hari ini, termasuk di Malaysia adalah berpunca daripada lidah yang suka memfitnah, berbohong, mencerca, mengadu-domba, mengumpat dan pelbagai lagi.

Mereka yang berserah diri sentiasa berdoa, sekalipun untuk hajat dan urusan kecil, apatah lagi urusan besar. Sekalipun sesuatu yang dihajati amat pasti akan diperoleh, mereka tetap berharap kepada ketentuan terbaik dari Allah. Amat ikhlas dan benar ikrar penyerahan diri mereka dalam doa iftitah di awal solat yang bermaksud ''solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah.''

Dalam ruangan yang terhad, inilah jawapan hamba kepada si pemuda yang meminta huraian definisi Islam itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 12 Mei 2012

Impian pejuang berani mati Palestin



OLEH : RAZLAN RASHID

JIKA Britain mempunyai British Special Air Service (SAS), Amerika Syarikat dengan Navy Sealsnya dan Israel dengan Shayetet 13, Palestin mempunyai kelas tersendiri dengan tentera penggempurnya yang berani mati, Briged Ezzedeen Al-Qassam atau lebih dikenali sebagai Al-Qassam yang amat digeruni oleh rejim Zionis.

Al-Qassam, sebuah sayap tentera Hamas, dipelopori penubuhannya oleh pejuang Palestin seperti Sheikh Ahmad Yassin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema dan Sheikh Salah Shehada pada tahun 1984.
Nama Al-Qassam adalah sempena nama pejuang yang syahid berdekatan Jenin pada tahun 1935, Ezzedeen Al-Qassam.

Baru-baru ini, penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri dokumentari dijemput oleh kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi menyaksikan satu demonstrasi latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan, peluang itu jarang sekali dibuka kepada rakyat Palestin apatah lagi orang luar.

Penulis diberi taklimat oleh komander yang tidak mahu dikenali atas tujuan keselamatan. Beliau berkata, briged elit itu dianggotai oleh pemuda berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.

"Objektif utama penubuhan Al- Qassam adalah mempertahankan tanah suci Palestin daripada penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah Palestin dan seluruh tanahnya yang dirampas di Tebing Barat serta memantapkan semangat jihad dalam kalangan orang Palestin," katanya.

Apabila ditanya jumlah tentera Al-Qassam pada masa ini, komander tersebut yang pada mulanya enggan menjawab memberitahu, bilangannya dalam lingkungan 25,000 orang.


Peraturan

"Peraturan kami yang paling ketat ialah setiap tentera mesti solat lima waktu sehari secara berjemaah," ujarnya.

Tambah beliau, Al-Qassam juga mempunyai skuad wanita tetapi bukanlah barisan yang paling penting.
"Kami menggunakan wanita apabila keadaan memaksa. Contohnya, pernah sekali tentera kami dikepung oleh tentera Israel dalam sebuah masjid. Kami menghantar tentera wanita untuk masuk ke dalam masjid bagi menyerahkan baju lain kepada anggota yang terperangkap. Kemudian mereka berlakon keluar seperti orang biasa.

"Walaupun kami kehilangan tiga wanita dalam operasi itu, kami tetap berjaya kerana begitu ramai askar yang dapat diselamatkan," katanya.

Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi tembakan di Gaza bukan kerana serangan tentera Israel sebaliknya sesi latihan Al-Qassam.

"Di daerah Al-Zaytun, tentera Israel hanya memerlukan 10 minit untuk memasuki tanah Gaza dengan kereta kebal. Oleh itu, kami terpaksa bersedia setiap masa," kata seorang tentera Al-Qassam.

Briged ini juga terkenal dengan roket Al-Qassam, roket artileri buatan sendiri yang dikeluarkan dalam tiga model sepanjang tahun 2001 hingga 2011. Roket itu ditembak dari Gaza dan sering membawa kemusnahan yang dahsyat sehinggakan media Israel menggelarkan setiap roket yang memasuki Semenanjung Barat sebagai Qassam.

Penulis disajikan dengan satu demonstrasi selama lima minit dengan 20 tentera yang memainkan pelbagai peranan. Demo teknikal itu membabitkan dua kumpulan yang menyerang sebuah rumah kosong manakala sebuah kumpulan lain bertindak sebagai pasukan bantuan. Satu lagi pasukan akan memastikan tiadanya bantuan daripada tentera musuh (Israel).

Demonstrasi itu menggunakan peluru hidup, bom tangan, mesingan, senapang AK-47 dan roket grenad. Demonstrasi itu cukup membuktikan betapa hebatnya generasi muda ini dan wajarlah tentera Israel seramai 700,000 orang cukup gerun dengan Al-Qassam.

Sesudah sesi latihan itu, kesemua askar tersebut berkumpul dan bersujud syukur - satu amalan penting setiap kali sesudah satu peperangan melawan tentera Zionis.

Penulis juga dibawa berjumpa dengan beberapa tentera Al-Qassam sebelum mereka bergegas untuk menunaikan solat Asar. Namun, penulis diberitahu rakaman gambar tidak dibenarkan kerana ingin merahsiakan identiti setiap anggota mereka.

Penulis terkejut apabila mereka membuka topeng hitam mereka, kesemuanya mempunyai muka bersih dan bersinar, jelas nampak keikhlasan untuk menjadi tentera Islam yang tidak takut mati.

Salah seorang tentera bertanyakan negara asal penulis dan apabila disebut Malaysia, beliau menjawab: "Tanah ini milik kamu juga."

Jawapannya membuat penulis terkedu kerana maknanya sangat mendalam.

Sejak Intifada pada tahun 2000, seramai 800 askar Al-Qassam telah mati syahid. Bahkan apabila seseorang tentera Al-Qassam pulang daripada peperangan, mereka sering akan bertanyakan kepada diri sendiri - 'Mengapakah saya tidak syahid?

Khamis, 10 Mei 2012

Jauhi bohong melalui perbuatan, perkataan


Oleh Nik Salida Shuhaila
salidasuhaila99@yahoo.com

Perlakuan ditegah agama boleh gugat nama baik umat, masyarakat Islam

HARI ini dunia komunikasi yang luas dan pantas memudahkan penyampaian berita serta maklumat. Ia menjadi sebahagian medium perantara yang berkesan serta mengeratkan hubungan saudara sesama insan.

Malangnya, kemajuan teknologi maklumat turut disalah guna untuk menyebarkan berita palsu dan pembohongan bertujuan memfitnah serta memecahbelahkan manusia. Rasulullah SAW tidak mengiktiraf orang yang berbohong sebagai seorang Muslim.

‘Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Shafwan bin Sulaim berkata, Rasulullah SAW ditanya: “Adakah seseorang Muslim itu penakut? Jawab Nabi: Mungkin. Ditanya lagi: Adakah mungkin ia bakhil? Nabi menjawab: Mungkin. Ditanya lagi: Adakah mungkin ia dusta? Jawab Nabi: Tidak.”

Tidak dapat dipastikan tujuan manusia berbohong sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Ada yang berdusta kepada diri sendiri, sekali gus menunjukkan kehinaan dan gambaran tingkah laku yang kotor dan jijik, sedangkan sifat dituntut agama ialah sifat ‘siddiq’ iaitu benar.

Sifat benar adalah salah satu sifat Allah seperti mana yang disebut dalam firman yang bermaksud: “Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya selain daripada Allah?” (Surah al-Nisa’, ayat 87)

Antara sifat siddiq ialah benar pada niat, tidak terdorong untuk berbuat baik melainkan kerana Allah SWT; benar pada lidah dengan menyampaikan sesuatu berita yang betul, tepat serta benar pada janji dan amanah.

Sifat benar mampu memberi ketenangan kepada jiwa yang mulia dan sifat mereka-reka cerita atau berbohong akan menggelisahkan hati, selain menjadikan seseorang itu resah serta kebingungan.

Muslim yang baik tentunya tahu semua setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan ke atasnya kelak di mahkamah Allah SWT dan tahu dirinya selalu diawasi Allah SWT, setiap amalnya mempunyai catatan dan nilai di sisi-Nya.

Ia selalu berusaha untuk jujur dan benar dalam segala perbuatannya, bahkan ia lebih memilih diam daripada mengucapkan sesuatu yang tidak baik, merugikan diri sendiri serta orang lain.

Sungguhpun begitu, berkata benar boleh juga menjadi sesuatu yang tidak dianjurkan Islam, jika siddiq tidak membawa maslahat mulia, sebaliknya mendatangkan mudarat lebih besar. Dalam hal ini, berbohong adalah dibolehkan, bahkan ia wajib untuk dilakukan.

Walau bagaimanapun, ia tidak mudah kerana ada syarat tertentu yang membolehkan pendustaan. Jika sesuatu yang mulia ingin dilakukan dan ia dapat diraih atau dicapai tanpa berdusta atau berbohong, maka berdusta dalam keadaan ini haram hukumnya.

Tetapi jika sebaliknya, iaitu tidak ada cara lain dapat mencapai tujuan yang mulia dan terpuji serta kebaikan lebih besar melainkan dengan berdusta, maka dusta pada keadaan seperti ini adalah dibolehkan.

Bahkan ulama menjelaskan hukum dibolehkan berdusta iaitu jika maksud ingin dicapai adalah sesuatu yang mubah (boleh dikerjakan atau ditinggalkan), maka dusta saat itu hukumnya mubah. Jika maksud ingin dicapai adalah sesuatu yang wajib, maka dusta saat itu pun menjadi wajib.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Ummu Kultsum, yang bermaksud: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dikatakan pendusta orang yang mendamaikan manusia (yang berseteru), melainkan apa yang dikatakan adalah kebaikan.” (Hadis Muttafaq 'Alaih)

Tetapi sebahagian ulama antaranya al-Imam an-Nawawi Rahimahullah dan Syaikh Ibnu Utsaimin Hafizhahullah berpendapat, sikap lebih hati-hati dan utama dalam hal ini adalah melakukan ‘tauriyah’ iaitu pada zahir lafaznya dusta, tetapi sebenarnya tidak berdusta jika disandarkan kepada maksudnya.

Walau bagaimanapun, meninggalkan tauriyah dan tetap dengan ungkapan dusta tidak diharamkan dalam keadaan yang membolehkan dusta.

Contoh ‘tauriyah’ ialah kisah diriwayatkan Bukhari ketika Rasulullah SAW membonceng kenderaan Abu Bakar, di tengah perjalanan ada seseorang bertanya Abu Bakar mengenai Rasulullah SAW, lalu beliau menunjukkan kepada Rasulullah SAW dan mengatakan, ini adalah penunjuk jalanku.

Maka orang yang bertanya itu menganggap jalan yang dimaksudkan adalah makna hakiki, padahal maksud Abu Bakar adalah jalan kebaikan, semata-mata demi kemaslahatan Rasulullah SAW daripada ancaman musuh Baginda.

Justeru, yang terbaik ialah menjauhi pembohongan, baik melalui perkataan mahupun perbuatan kerana ia boleh menggugat nama baik agama dan umat Islam seluruhnya. Islam bukanlah agama yang menganjurkan penipuan, melainkan dalam keadaan sangat terdesak dan menjauhi kemudaratan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 26 Mac 2012

Akidah, akhlak baik wujudkan kebahagiaan rumah tangga


Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SEMUA mendambakan rumah yang aman damai ibarat syurga tanpa gangguan dan ketakutan. Segala kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan, suka dan ceria terangkum dalamnya. Hal ini dilukiskan dalam sebuah harapan, ‘Rumahku Syurgaku’.

Syurga tidak disediakan Allah untuk syaitan, tetapi disediakan untuk orang beriman, yang sentiasa menyucikan dirinya dan membersihkan jiwanya dengan taat kepada Allah.

Pada awal penciptaannya, iblis bapa syaitan tinggal dalam syurga. Disebabakan sikap iblis yang sombong dan bongkak, maka Allah melaknat dan menghalaunya dari syurga berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barang siapa di antara mereka (manusia) mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahanam dengan kamu semuanya.” (Surah al-A'raaf, ayat 18)

Dalam kitab Buyut laa tadkhuluha asy-syayathin (Rumah yang tidak dimasuki syaitan) karangan ulama Asia Barat, Ahmad As-Sayim, menerangkan ada dua kriteria penyebab rumah tidak akan ditembusi syaitan dan tidak akan dirasuk jin iblis.

Kriteria pertama kerana ibadat diamalkan dan aqidah dipegang orang yang berada dalam rumah itu, manakala kedua, kerana akhlak dan perilaku penghuninya. Penghuni rumah itu terdiri daripada orang yang sentiasa menjaga akhlak, kelakuan dan perilaku ketika berinteraksi sesama anggota keluarga, rakan taulan serta jiran tetangga.

Ciri rumah mereka yang menjaga ibadat:

# Penghuni rumah yang sentiasa menyucikan dirinya dan sentiasa ingat kepada Allah, mereka menjaga kesucian badan, membersihkan diri selepas buang air besar atau kecil dengan cara yang betul, tidak membuang air besar di dalam air.

Kebersihan diri menjadi budaya dan sebagai ibadat dalam bentuk mandi kerana hadas besar seperti mandi junub, haid dan nifas, menggosok gigi dengan siwak, memotong kuku, mencukur bulu, merapikan janggut dan lain-lain.

Mereka juga menjaga kebersihan batin. Hatinya suci daripada dendam dan hasad dengki. Lidahnya dijaga supaya tidak menyakiti orang lain serta tidak menuturkan kata kotor dan tidak berfaedah. Fikiran dan lidahnya hanya mengingat dan menyebut Allah sepanjang waktu.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri?” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

# Rumah dipenuhi alunan bacaan al-Quran dan zikrullah. Orang yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah perumpamaan mereka seperti digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Mereka itu ialah : Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakan orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah at-Taubah, ayat 112)

# Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap benar, jujur dan memenuhi janji.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dan hanya mengambil yang halal saja. Makanan halal dari segi penyediaannya menurut syariat, tidak diambil daripada harta anak yatim, bukan hasil rampasan, penganiayaan, penipuan, bukan hasil rasuah dan bukan hasil riba.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan tali silaturahim. Rumah yang dipenuhi kecintaan, kasih sayang, kelembutan, tolak ansur, sabar adalah orang yang menjaga silaturahim. Menghubungkan silaturahim wajib mendapat pahala dan memutuskannya haram dan berdosa.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Mereka menyayangi kedua ibu bapanya, tidak derhaka kepada keduanya, menghormati keduanya, mendengar nasihat mereka dan bermesyuarat dalam sebarang keputusan yang akan diambil. Apabila ibu bapa sudah tua, berikan perhatian terhadap diri dan emosi, kesihatan, kewangan dan apa juga keperluan mereka.

# Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang salih dan salihah, saling faham memahami, bekerjasama serta bertolak ansur.

# Rumah yang penghuninya melaksanakan hak dan kewajipannya. Suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak masing masing. Bukan suami curang dan isteri derhaka.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Sumber : http://coretan2ku.blogspot.com/

Jumaat, 16 Mac 2012

Nama anak bukan eskperimen ibu bapa


RAMAI pasangan yang bakal menjadi ibu bapa tercari-cari nama bersesuaian untuk si permata hati. Ada yang gemar menggabungkan nama dan tidak kurang juga menggunakan nama panjang, asal sedap dipanggil biar berjela-jela pun tidak mengapa.

Islam menitikberatkan pemilihan nama kepada bayi yang baru dilahirkan kerana nama adalah lambang identiti seseorang dan akan digalasnya sepanjang hayat sehingga akhirat nanti.

Tanggungjawab ibu bapa

Naib Yang Dipertua (1) Persatuan Ulama Malaysia (Pum), Prof Madya Dr Fauzi Deraman berkata, nama adalah terjemahan kepada perkataan al-Ism daripada akar kata al-Wasm yang bermaksud tanda, akan diketahui dan dikenali seseorang serta menjadi tanda banginya. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal daripada perkataan al-Sumuz yang bermaksud tinggi sekali gus memberi gambaran ketinggian dan keluhuran empunya nama.

"Memberikan nama yang baik kepada bayi antara kewajipan kedua ibu bapa terhadap anaknya, nama menjadi hak milik anak yang mesti dipenuhi sang ayah. "Dalam satu kisah di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khatab, seorang anak datang menemui beliau dan bertanya mengenai hak anak ke atas bapanya dan Umar menjelaskan memilih ibunya, memperelokkan namanya dan mengajar mengenai al-Quran," katanya.

Abu Darda turut meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-namamu”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Menurutnya, Rasulullah sendiri apabila dikurniakan anak daripada salah seorang isterinya, Juwairiyyah al-Qibtiyyah telah berkata: “Saya telah dikurniakan seorang anak lelaki semalam lalu saya namakan dengan nama bapa saya, Ibrahim.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maksud yang baik

Nama dikategorikan elok dan indah ialah nama yang sedap disebut, mempunyai pengertian yang baik, ianya terhindar daripada makna dan sifat yang dilarang Islam atau sekurang-kurangnya nama-nama asing serta mengelirukan.

Fauzi berkata, panggilan yang baik memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemiliknya untuk berkelakuan baik. Walaupun nama itu lebih kepada aspek maknawi, tetapi pengaruhnya terhadap luaran juga besar. Ada sesetengah orang sanggup menjaga dan mempertahankan namanya lebih daripada menjaga harta supaya tidak terjejas namanya.

“Timbul persoalan apabila berdepan dengan individu yang memiliki nama, tetapi mempunyai pengertian buruk dan tidak elok, adakah perlu dia menukar nama tersebut?

Berdasarkan apa yang dilakukan Rasulullah, Baginda telah menukar nama yang tidak baik. Aishah berkata: “Rasulullah telah menukar nama-nama yang buruk (Riwayat Tirmizi).

Ibn Umar berkata: Anak perempuan Umar dinamakan dengan nama Asiah (wanita yang derhaka), lalu dinamakan oleh Rasulullah dengan Jamilah. (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah).

“Ada kes berlaku di zaman Rasulullah , Baginda menukar nama seorang yang bernama Abdul Hajar (hamba batu) kepada Abdullah. Ada yang bernama Asi (yang derhaka) lalu ditukar kepada Muti` (yang taat),” tambah beliau lagi.

Garis panduan


Dalam pemilihan nama terdapat garis panduan yang perlu diikuti kerana ia adalah hak seseorang. Dengan itu ia perlu dilakukan sebaiknya. Jangan bertindak sesuka hati tanpa sebarang panduan. Jika perlu dapatkan penjelasan daripada mereka yang mempunyai pengetahuan.

Perkara sedemikianlah dilakukan sahabat Rasulullah, mereka merujuk perkara tersebut kepada Baginda. Rasulullah bersabda: “Berikanlah nama dengan nama para nabi, dan nama yang paling disukai ALLAH iaitu Abdullah dan Abdul Rahman.”(Hadis riwayat Abu Daud dan al-Nasaii)

“Nama bukanlah faktor yang menyebabkan seorang itu menjadi baik. Ia hanya langkah pertama dan permulaan yang disusuli dengan langkah seterusnya iaitu mendidik anak dengan pendidikan yang sebaiknya.

“Tugas ibu bapa tidak selesai dengan memberi nama yang baik sahaja. Ia hanyalah permulaan yang disusuli dengan asuhan dan didikan yang berpanjangan. Persekitaran keluarga dan masyarakat yang kondusif juga mempunyai pengaruh yang besar. Tidak berbangkit soal nama itu berat atau ringan!,” katanya.

Menurutnya, tradisi memberi nama timangan terkenal sejak awal Islam lagi, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya bertajuk Tarbiah al-Awlad menyebut beberapa kebaikan daripada nama timangan ini, antaranya untuk memulia dan menghargai yang empunya diri, mengembangkan personalitinya dan melihatkan kegembiraan untuknya bila dipanggil dengan nama timangan selain melatih untuk berinteraksi dengan orang yang lebih tua.

Nabi pernah memangil Abu Hurairah dengan gelaran Aba Hir, Aishah dengan Aishi, Usamah dengan Usaim, Miqdad dengan Qudaim dan sebagainya, namun ia tiada kaitan dengan nama itu berat untuk dirinya.

Beliau berpandangan, ditegah menamakan bayi dengan nama yang dilarang seperti nama khusus bagi ALLAH atau sembahan-sembahan lain. Abdul Rahaman bin Auf berkata, nama saya sebelum Islam ialah Abdul Ka`bah lalu ditukar oleh Nabi kepada Abdul Rahman, begitu juga nama mereka yang melambangkan kekufuran dan yang terkenal dengan kejahatannya, nama-nama yang memberikan maksud tidak baik. Seperti nama-nama yang tidak beridentitikan Islam.

“Perubahan kepada yang baik dan lebih baik adalah digalakkan. Mungkin hasil daripada kesedaran kedua ibu bapa betapa mustahaknya nama-nama yang baik. Apalah maknanya kombinasi nama ibu dan bapa kalau ia tidak memberikan apa-apa makna. Nama anak bukanlah eksperimen yang kononnya lambang kasih sayang suami dan isteri dengan mengabadikan sebahagaian daripada nama mereka.

“Gambarkanlah situasi di mana semua orang berhimpun di Padang Mahshar nanti dengan menyebut nama yang tidak diketahui usul asalnya. Ada baiknya jika ibu dan bapa menyebut nama anaknya dengan penuh dan bukan ringkas atau nama manja, lebih malang jika diringkaskan dengan menggunakan panggilan-panggilan asing,” akhiri beliau lagi.

(Sumber: http://pum.org.my/)

Sabtu, 10 Mac 2012

Ikhlaskan ibadah kepada Allah


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: "Penjelasan yang berikut merupakan cerita penjelasan jin dan mungkin firman Allah SWT dari awal lagi yang menerangkan sujud atau tempat sujud iaitu masjid hanya untuk-Nya sahaja."

Di sanalah ditegakkan tauhid yang bersih dan di sanalah lenyapnya bayang (kebesaran dunia). Seluruh suasana dan perhambaan di sana hanya untuk Allah sahaja.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah. (al-Jin: 18)

Maksud perkataan masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah ada empat pendapat:

* Iaitu solat kerana Allah seperti pendapat Ibnu Syajarah.

* Segala anggota yang digunakan untuk sujud kerana Allah SWT seperti pendapat al-Rabi'.

* Semua masjid merupakan rumah Allah untuk didirikan solat seperti pendapat Ibnu Abbas.

* Setiap tempat yang dilakukan solat kerana ia untuk sujud. Justeru, dinamakan masjid.

Ibnu Kathir berkata: "Dahulu, jika orang Yahudi dan Nasrani memasuki gereja dan biara mereka, lalu menyekutukan Allah SWT. Lantas Dia memerintahkan nabi-Nya agar mereka mengesakan-Nya."

Sufian meriwayatkan daripada Khusaif daripada Ikrimah: "Ayat berkenaan turun dengan seluruh masjid."

Sa'id bin Jubair mengatakan ayat ini berkenaan dengan anggota sujud, iaitu semuanya milik Allah SWT sehingga tidak boleh menggunakannya untuk bersujud kepada selain-Nya.

Menurut Qatadah, orang Yahudi dan Nasrani apabila memasuki gereja dan kuil, mereka mempersekutukan Allah SWT dengan sembahan mereka yang lain. Menerusi ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada kita agar mengikhlaskan ibadah kepada Allah SWT semata-mata setiap kali kita memasuki masjid.

Al-Hasan berkata: "Masjid-masjid yang dimaksudkan di sini ialah setiap tempat yang menjadi tempat sujud di seluruh bumi, sama ada tempat itu disediakan untuk sujud atau tidak, sebab seluruh bumi adalah masjid bagi umat ini."

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya. (al-Jin: 19)

Al-Hasan dan Qatadah berkata: "Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah agar menyeru manusia kepada Allah SWT (yang bertentangan dengan orang musyrik dalam bentuk peribadatan mereka kepada berhala-berhala), lalu orang kafir pun bekerjasama dan tolong-menolong untuk memusuhi Nabi Muhammad SAW secara berkumpul atau berpuak-puak."

Muqatil berkata: "Sesungguhnya orang kafir Mekah mengatakan kepada Nabi SAW: "Sesungguhnya kamu telah membawa urusan yang besar dan kamu juga telah memusuhi semua manusia, maka kembalilah kamu daripada yang demikian ini."

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan sesuatupun dengan-Nya. Katakanlah: Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan pun kepadamu dan tidak (pula) suatu kemanfaatan. (al-Jin: 20-21)

Ibnu al-Jauzi berkata: "Orang-orang kafir Mekah berkata kepada Nabi SAW sesungguhnya apa yang kamu bawa adalah amat besar kesannya yang tidak pernah didengar sebelumnya. Justeru, kembalilah kepada asal. Lantas turun ayat ini."

Al-Mawardi dalam menafsirkan tidak memiliki mudarat dengan tiga pendapat;

* Azab yang tiada kenikmatan.

* Kematian yang tiada kehidupan.

* Kesesakan yang tiada petunjuk

Al-Maraghi berkata: "Di sini terdapat ancaman besar kepada mereka dan perintah bertawakal kepada Allah SWT kerana hanya Dia sahaja yang mampu memberi balas kebaikan dan keburukan terhadap perbuatan mereka."

Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa Baginda tidak meninggalkan tugas menyampaikan risalah (tabligh) sekalipun mereka bekerjasama untuk memusuhinya.

Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang mampu melindungi aku daripada-Nya, jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Kemudian Allah SWT menjelaskan perihal orang yang menderhaka Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku sekali-kali tiada seorang pun dapat melindungiku daripada (azab) Allah dan sekali-kali aku tiada akan memperoleh tempat berlindung selain daripada-Nya. Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) daripada Allah dan risalah-Nya. Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sehingga apabila mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya. (al-Jin: 22-24)

Berkenaan dengan sebagai penyampai daripada Allah dan risalah-Nya ada tiga pendapat;

* Aku tidak memiliki kemudaratan dan petunjuk kecuali menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat al-Kalbi.

* Tiada seseorang yang dapat menyelamatkanku daripada Allah jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Inilah pendapat Muqatil.

* Tatkala jin berbai'ah kepada Rasulullah pada malam tersebut yang jumlah mereka melebihi 70,000 dan selesai bai'ah ketika hampir menyingsing fajar. Inilah pendapat Makhul.

Sayid Qutub berkata: "Ini satu amaran dan ancaman terbuka kepada orang-orang yang sampai dakwahnya kepada mereka tetapi menentang dan tidak mengikutinya walaupun diberitahu kepadanya bebanan yang akan ditanggung."

Andainya kaum musyrikin berbangga dengan kekuatan dan bilangan yang ramai dibandingkan dengan kekuatan Nabi SAW dan yang bersama dengan Baginda, maka di akhirat mereka ini akan diseksa dan diazab bagi menjelaskan yang mereka sememangnya sangat lemah dan puak yang telah tewas.

Hamka berkata: "Oleh itu telah dijelaskan oleh Nabi SAW kewajipan dia menghukum bukan mencaci dan memaki hamun. Kewajipan padanya ada dua; Pertama, menyampaikan dan kedua, melaksanakan misi dan visi dengan menunjukkan teladan dan akhlak yang mulia."

Ia semuanya terdapat dalam risalah yang dibawa olehnya dan sifat tersebut merangkumi sidiq, amanah, tabligh, fatanah. Apabila semuanya diaplikasikan, maka mustahil untuk Baginda menjadi pendusta.

Mereka menganggap orang yang beriman lemah dan menghinanya sehingga mereka melihat pelbagai azab yang diancam kepada mereka. Kemudian akan jelas bagi mereka siapakah sebenarnya orang yang lemah itu? Sama ada orang yang beriman mengesakan Allah SWT atau orang musyrik yang tidak mempunyai penolong dan pelindung?

Kesimpulannya, orang musyrik itu tidak mempunyai penolong. Jumlah mereka lebih sedikit jika dibandingkan dengan tentera-tentera Allah SWT.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa mengikatkan hubungan hablun mina Allah dan hablun mina an-Nas.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/