Khamis, 25 November 2010

KELALAIAN MANUSIA PENYUMBANG BENCANA

Wabak dan malapetaka sebagai amaran umat abai kebersihan, jalani hidup melewati batas

APABILA ditimpa bencana penyakit dan wabak yang menguji manusia, ia bukan bertujuan menghukum atau mendera atas kesalahan yang dilakukan tetapi sebagai amaran bahawa kita sudah melewati batas serta harus sentiasa beringat ujian adalah untuk menguji keimanan.

Namun, kesombongan juga adalah sebab membuatkan manusia menghadapi bencana di dunia sebagai tanda bahawa kita harus akur dan mematuhi perintah-Nya serta insaf terhadap perilaku yang mencabar kekuasaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia: Timbulnya demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” – (Surah Ar-Ruum, ayat 41)

Kerosakan dan bala bencana di muka bumi yang berpunca daripada kelalaian manusia menjaga aturan dan fitrah alam boleh dilihat di mana-mana saja. Sumber air tercemar, daratan kontang serta penempatan dan bangunan dipenuhi sampah-sarap boleh dilihat di depan mata.

Ada kala, ia bagai menjadi sajian istimewa kerana ‘keseronokan’ mata yang melihat. Ini adalah kerana tiada usaha yang dilakukan untuk menjadikan alam ini dan isinya bersih seperti kejadiannya yang asal.

Yang paling menyedihkan apabila rumah ibadat turut menjadi tempat pembuangan sampah. Tandas di masjid digunakan orang awam yang ‘singgah’ contohnya, menjadi tempat paling jijik dan kotor berbanding tandas awam di tempat lain.

Ini mungkin kerana pengguna boleh memanfaatkan kemudahan itu tanpa bayaran, maka mereka tidak menghargai kebajikan tersedia, manakala pihak pengurusan pula tidak menjadikan pembersihan sebagai rutin harian kerana tiada siapa yang diupah untuk melakukan tugas berkenaan.

Apa pun alasan, ia sangat mengaibkan apatah lagi tandas di rumah ibadat selalunya digunakan mereka ingin menunaikan solat, yang sepatutnya berwaspada dengan najis dan kotoran yang mungkin mudah terkena pada pakaian.

Begitu juga tandas awam di negara ini, walaupun pelbagai langkah diambil bagi meningkatkan kebersihan tandas awam, audit menunjukkan 3,000 daripada 5,764 tandas di seluruh negara adalah kotor.

Mutakhir ini, pelbagai wabak merbahaya seperti kencing tikus dan denggi begitu rakus menyerang dan ia adalah penyakit yang boleh menyebabkan kematian serta tidak mengenal usia. Sesiapa saja boleh terdedah kepada virus penyakit itu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengelak ia berlarutan.

Itulah akibat tidak menjaga kebersihan dan tidak adil terhadap imbangan alam, sedangkan ia boleh dielakkan dengan langkah pencegahan seperti mengelakkan kekotoran, tidak memakan makanan memudaratkan kesihatan serta mengamalkan tabiat hidup berhemah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin.” (Surah At Taubah, ayat 108)

Selain kebersihan fizikal, kita juga harus membersihkan diri daripada dikotori nafsu yang bersifat zalim kepada diri sendiri dan orang lain. Nafsu yang jahat sering kali memusnahkan hidup manusia dan membuatkan mereka ketagih kehidupan yang sia-sia.

Wabak dan bencana yang menghancurkan umat Islam pula boleh dielak dengan menjaga kebersihan akal daripada pemikiran terlalu bebas hingga mengentepikan wahyu dan sunnah yang diutus sebagai panduan cara hidup di dunia.

Ada penyakit yang menimpa jasad manusia akibat mengamalkan cara hidup seiring perintah agama, tetapi amalan hidup yang tidak sensitif kepada kebersihan adalah salah satu kecenderungan yang akan membinasakan alam dan isinya termasuk manusia.

Kemusnahan ke atas manusia dan alam bukanlah berlaku tanpa sebab, tetapi sebagai hamba, tiadalah upaya kita melainkan memohon pertolongan Allah supaya segala-galanya berakhir segera.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka telah ditimpa kepapaan, kemusnahan harta benda dan serangan penyakit serta digoncangkan oleh ancaman bahaya musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersertanya. Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 214)

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 13 November 2010

PENGERTIAN & HUKUM IBADAH QURBAN

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunnah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.

Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

HIKMAH BERQURBAN
  • Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.
  • Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yan melimpah-ruah.
  • Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

KEPADA SIAPA IBADAH QURBAN DISUNATKAN

1. Menurut Mazhab Syafie, ibadah disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji.

2. Manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah qurban.

SYARAT SAH QURBAN

  • Haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yan nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.
  • Ianya dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah qurban.
  • Ibadah qurban hendaklah disertakan dengan niat.

JENIS HAIWAN YANG BOLEH DIJADIKAN QURBAN

Ulama' bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan qurban hanyalah binatang yang diketegorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina.

UMUR BINATANG QURBAN

  • Unta - berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun.

  • Lembu/kerbau/kambing - 2 tahun masuk ke 3 tahun.

  • Biri-biri/kibas - Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi 6 bulan.

KECACATAN YANG MENGHALANG SAHNYA QURBAN

Hendaklah ia sejahtera daripada sebarang kecacatan seperti tiada telinga atau terpotong ekor, gila, kudung, sangat kurus, buta dan sebagainya.

Ada 4 kecacatan utama yang telah disepakati oleh Ulama'yang menghalang sahnya qurban iaitu berdasarkan hadis riwayat Barra' bin Azib iaitu sabda Rasullah Sallahallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya : "4 jenis kecacatan yang tidak harus diperbuat qurban iaitu buta sebelah mata, berpenyakit, tempang dan terlalu kurus".

Daripada hadith di aras Ulama' telah mengqiaskan kepada kecacatan yang seumpamanya atau lebih teruk daripada kecacatan tersebut. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:

  1. Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang terpotong ekornya.

  2. Gila

  3. Berkudis walaupun sedikit.

  4. Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.

  5. Tersangat kurus.

  6. Buta sebelah mata atau kedua-duanya.

  7. Berpenyakit

  8. Tersangat tempang

Tetapi, jika telah bernazar untuk qurban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut, wajarlah dia melaksanakannya.

Haiwan yang tiada ekor, tiada gigi atau patah setengah giginya, tiada zakar, haiwan yang dikasi zakarnya boleh dijadikan binatang qurban.

Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya begitu juga haiwan yang terbelah atau bertebuk telinganya.

KEHARUSAN BERKONGSI HAIWAN QURBAN

  1. Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.

  2. Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor korban itu.

  3. Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.

  4. Berkorban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.

  5. Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.

  6. Yang utamanya binatang qurban itu adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang qurban yang berwarna merah bulunya.

WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

  1. Bermula daripada terbit matahari pada Hari Nahr (10 Zulhijjah)

  2. Waktu yang afdhal melakukannya ialah ketika matahari telah naik sekadar 7 kaki dari ufuk.

  3. Berkekalan waktu qurban ini sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.

ORANG YANG MENYEMBELIH BINATANG QURBAN

Para ualama menganjurkan agar yang melakukan penyembelihan ialah orang yang berqurban itu sendiri, sekiranya dia pandai menyembelih. Tetapi mereka juga sependapat mengatakan harus mewakilkannya kepada orang lain. Afdhalnya wakil itu adalah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

Adalah afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir dan menyaksikan penyembelihan ke atas binatang qurban tersebut.

Makruh hukumnya mewakilkan qurban kepada kanak-kanak atau orang buta.

NIAT IBADAH QURBAN

Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.

Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.

Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.

HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN

Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.
Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.

PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.

Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :

  1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim

  2. Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

  3. Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.

  4. Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.

  5. Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."

Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.

HUKUM DAGING QURBAN

1. Qurban Wajib dan Qurban Nazar :
Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

2. Qurban Sunat :
Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).

Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.

3. Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

4. Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit (MENURUT MAZHAB AS-SYAFIE).

5. Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.

6. Haram ke atas orang yang melaksanakan korban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Maksudnya:

"Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)

7. Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

WALLAHUA'LAM

Sumber : http://ustaznaim.blogspot.com/

Jumaat, 12 November 2010

Cara sembelih haiwan ikut peradaban Islam

Oleh Ariff Fahmi b Mohd Yusoff

Binatang korban tak boleh dizalimi, diseksa


TANGGAL 10 Zulhijah yang bakal menjelang tidak lama lagi sentiasa dinanti umat Islam di seluruh dunia kerana bermula hari itu diikuti tiga hari tasyrik, ibadat korban dilakukan dengan penyembelihan haiwan seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara paling sempurna, tajamkan pisau kamu supaya haiwan itu cepat dan mudah mati. (Hadis riwayat Muslim).

Islam ialah agama peradaban yang bukan hanya menggariskan prinsip moral dalam interaksi sesama manusia malah mencakupi interaksi dengan makhluk lain termasuk haiwan.

Menjelang ibadat korban yang bakal dilakukan nanti, sudah tentu ribuan atau jutaan haiwan korban akan dikeluarkan dari ladang serta pusat penternakan haiwan bagi memenuhi kehendak pasaran melalui darat, udara, air menggunakan kenderaan seperti lori, kapal terbang dan kapal laut.

Islam menitikberatkan kebajikan haiwan sewaktu dibawa menempuh perjalanan. Haiwan yang dibawa menaiki kenderaan perlu dipastikan keselamatannya. Haiwan tidak boleh dibiarkan dalam kenderaan bersesak-sesak hingga menimbulkan ketidakselesaan yang membawa kecederaan.

Jika perjalanan itu menempuh masa panjang, haiwan itu perlu diberi makan dan minum secukupnya. Begitulah indahnya adab dan ihsan dalam ajaran Islam walaupun kepada haiwan.

Amalan mengambil berat kebajikan dan melayani haiwan secara wajar ini dijanjikan pahala oleh Allah. Sahabat bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah, adakah kami mendapat pahala dengan melayani dan menyayangi haiwan ini? Rasulullah menjawab: Menyayangi setiap makhluk hidup itu berpahala. (Hadis riwayat Muslim).

Sementara itu, dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan kemurkaan Allah terhadap perbuatan seorang wanita yang menganiaya seekor kucing dengan mengurungnya serta tidak memberi makan, minum dan tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri. (Hadis riwayat Muslim)

Islam menetapkan adab sembelihan yang melambangkan kemurnian Islam sebagai agama kasih sayang. Rasulullah SAW melarang sahabat menajamkan pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih.

Dalam satu riwayat lain, Saidina Ali melarang penyembelihan seekor biri-biri di hadapan sekumpulan biri-biri lain. Peristiwa ini membuktikan ajaran Islam mengambil berat kebajikan haiwan dengan menjaga emosi mereka daripada ketidakselesaan walaupun di saat akhir hayat.

Penyembelihan dalam Islam juga ialah untuk mematikan haiwan dengan cara yang meminimumkan kesakitan. Kajian saintifik diketuai Profesor Wilhelm Schulze dari Jerman mendapati kaedah sembelihan dalam Islam terbaik kerana haiwan tidak mengalami kesakitan sewaktu disembelih berbanding kaedah stunning yang digunakan beberapa negara Barat.

Hasil pemerhatian Profesor Temple Grandin dari Universiti Negeri Colorado, juga mendapati haiwan yang disembelih menggunakan pisau yang tajam dengan kaedah betul memberikan reaksi tenang dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika sedang disembelih.

Hikmah di sebalik amalan sunat sewaktu penyembelihan juga menunjukkan ihsan ajaran Islam terhadap haiwan. Amalan memalingkan haiwan sembelihan ke arah kiblat serta bacaan bismillah dan selawat ke atas nabi ialah penghormatan diberikan Islam kepada makhluk Allah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 6 November 2010

Kelebihan 10 Hari Pertama di Bulan Zulhijjah


Sepuluh hari yang pertama di bulan Zulhijjah jarang-jarang sekali diperkatakan mengenai kelebihannya. Sedangkan tempoh ini mempunyai nilai yang sangat besar kemuliaannya berbanding dengan masa-masa yang lain. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fajr, ayat 1-3 :

وَالْفَجْرِ . وَلَيَالٍ عَشْرٍ . وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ

yang bermaksud : Demi fajar, Dan malam yang sepuluh, Dan yang genap dan yang ganjil

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil tersebut ialah hari arafah.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Nabi SAW telah bersabda :

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام (يعني العشر)، قالوا: “يا رسول الله، ولا الجهاد في سبيل الله؟” قال -صلى الله عليه وسلم-: “ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء”.

Yang bermaksud :

Tidak ada amalan soleh yang lebih disukai oleh Allah SWT lebih daripada (amalan) pada hari-hari ini (iaitu sepuluh hari bulan zulhijjah). Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, sekalipun dengan jihad di jalan Allah?”. Rasulullah SAW menjawab, ”Sekalipun dengan jihad. Kecuali jika seseorang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak kembali lagi (mati syahid)”

Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah ini sehingga tidah dapat ditandingi oleh mana-mana amalan pun kecuali mati syahid.

Manakala kelebihan hari arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah SAW ketika menafsirkan ayat ke 3 dari Surah al-Buruj :

الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ

Yang bermaksud : Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat. (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Di dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda :

أفضل الأيام يوم عرفة

Yang bermaksud : Sebaik-baik hari ialah hari arafah (Riwayat Ibnu Hibban di dalam sahihnya)

Di dalam hadis yang lain pula, sabda baginda SAW lagi :

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Yang bermaksud : Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SAW akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari arafah. (Riwayat Muslim)

Bagaimana beribadat pada 10 Hari Pertama Zulhijjah Ini?

Di antara ibadat yang boleh diperbanyakkan pada tempoh ini ialah puasa sunat khususnya pada hari wukuf di arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Yang bermaksud : Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang (Riwayat Muslim)

Selain itu, seseorang muslim digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, bacaan al-Quran, qiyam dan sebagainya untuk mendapatkan ganjaran sebanyak mungkin di dalam tempoh yang amat berharga ini.

Sumber : (http://ahmadfadhli.wordpress.com/)