Isnin, 30 Mei 2011

Hikmah Solat untuk Kesihatan

Oleh Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim
Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya

Kebaikan solat terbukti dalam kajian yang telah dijalankan. Dianggarkan ramai kumpulan sasaran yang akan mendapat manfaat daripada klinik solat ini. Jelas terbukti membongkar kebaikan solat dari perspektif sains benar-benar melangkaui kemungkinan.

Rasullullah s.a.w memerintahkan kaum muslimin agar mengikut cara bersolat baginda seperti dalam hadis Rasulullah yang bersabda:"Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat" - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hikmah solat dalam kedudukan berikut:

Berdiri
* Pastikan badan berada dalam satu garis lurus, beban badan di letakkan di kedua-dua kaki.
* Otot atas belakang badan berada dalam keadaan rehat.
* Otot-otot kedua tangan berada dalam keadaan istirehat sepenuhnya.

Rukuk
* Merehatkan sepenuhnya otot bahagian bawah belakang.
* Meregangkan otot paha dan betis.
* Melembutkan otot-otot perut dan buah pinggang.
* Melembutkan ruas tulang belakang untuk mengurangkan kesakitan waktu bersalin.

Sujud
* Melancarkan aliran darah dan aliran limfa.
* Membantu proses pengepaman jantung dan mengelakkan (pengerasan salur darah).
* Menguatkan otot-otot dada.
* Melancarkan aliran darah ke otak.
* Memulihkan kedudukan rahim.

Duduk antara dua sujud
* Melancarakan aliran darah ke kawasan bawah badan.
* Mengurut otot bahagian bawah badan.
* Merawat otot-otot yang tercedera selepas bersalin.
* Merawat buasir.

Duduk tahiyat
* Posisi kaki seumpama rawatan akupunktur mengurut telapak kaki yang mewakili organ-organ dalam badan.
* Merawat buasir.
* Merawat penyakit berkaitan alat kelamin lelaki.

Memusing kepala untuk memberi salam
* Menguatkan otot leher.
* Menghilangkan sengal dan lenguh bahagian leher.

Solat Tarawih dan Puasa Terhadap Kompisisi Badan
* Menguatkan otot dan meningkatkan kadar pembakaran lemak.
* Lemak kurang dalam salur darah, kekenyalan salur darah meningkat dan rintangan berkurang.
* Puasa tidak akan mengakibatkan nyahhidrasi pada sel tubuh badan.
* Sebaliknya, kandungan air di dalam sel badan semakin meningkat.
* Pergerakan Solat Tarawih lebih selama 140 minit dalam satu sesi adalah konsisten dengan tahap senaman sederhana untuk melebihi 150 minit seminggu dan puasa pula merupakan diet yang baik.
* Aktiviti ini dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak sekaligus merendahkan lemak dan nilai glukosa.

Kesimpulan:

Solat umpama senaman ringan dan berpuasa umpama diet yang baik. Kegiatan ini boleh meningkatkan kadar pembakaran basal dan menurunkan kolestrol badan. Justeru ia dapat mengelakkan penyakit jantung, stres, kolestrol dan kegemukan. Pergerakan yang dilakukan semasa solat telah dibuktikan dapat memulihkan fungsi otot-otot dan merawati sakit pinggang. Postur dan pergerakan solat boleh digunakan sebagai salah satu rawatan pemulihan alternatif untuk menyembuhkan atau mengurangkan sakit pinggang, bukan sahaja kepada penghidap sakit pinggang kronik, tetapi juga disyorkan kepada wanita mengandung tanpa mengira bangsa dan agama.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg

Rabu, 25 Mei 2011

Sebab Allah menurunkan bencana atas manusia

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Umat Islam perlu sedar ia satu peringatan, amaran agar kembali ke pangkal jalan

TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.

Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang telah kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa kamu.”

Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik mafhum ayat di atas.

Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.

Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.
Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.

Dapat difahami daripada ayat di atas, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.

Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ sebagaimana ingatan Tuhan dalam surah al-Asr.

Allah Taala berfirman melalui surau Hud, ayat 52 yang bermaksud: “Wahai kaum-Ku, mintalah ampun dari Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.”

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda melalui hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.”

Daripada Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:

  • Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.

  • Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.

  • Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

  • Apabila anak menderhakai kedua ibu bapanya.

  • Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

  • Apabila suami terlalu mentaati isteri.

  • Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.

  • Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.

  • Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.

  • Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

  • Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.

  • Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.

  • Apabila ramai lelaki memakai sutera.

  • Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.

  • Apabila wanita mula bermain alat muzik.

  • Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    Sabtu, 14 Mei 2011

    11 IMAM DIBUNUH KEJAM


    BREGA - Kekejaman kuasa Barat terbukti apabila sekurang-kurangnya 11 orang imam dibunuh semasa sedang tidur dalam satu serangan udara oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di bandar Brega, Libya, kelmarin.

    Jurucakap kerajaan Libya, Moussa Ibrahim berkata, kesemua imam yang terbunuh adalah sebahagian daripada kumpulan imam-imam Libya yang berkumpul di bandar itu untuk menunaikan solat meminta keamanan di negara yang sedang bergolak itu.

    Namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila dibunuh dalam serangan ganas Nato yang menyasarkan tempat awam dan bukannya kemudahan tentera seperti yang didakwa sebelum ini.

    Kesemua mereka selamat dikebumikan di Brega, semalam.

    Selain itu, 50 orang awam yang lain turut cedera dalam serangan Nato itu yang jelas disasarkan ke rumah tumpangan yang menjadi tempat penginapan kumpulan imam tersebut.

    Menurut pegawai perubatan, jumlah kematian dijangka meningkat kerana mangsa yang cedera parah dalam serangan itu berada dalam keadaan kritikal.

    Nato mengakui melancarkan serangan di Brega, bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli tetapi tanpa rasa bersalah menegaskan kononnya rumah tumpangan itu adalah pusat kawalan dan arahan.

    “Kami sedar terdapat dakwaan ada orang awam terbunuh dalam serangan ini. Kami kesal sebarang kehilangan nyawa jika benar apa yang didakwa,” menurut Nato.

    Nato sejak akhir-akhir ini mempertingkatkan serangan udara di beberapa kawasan di Libya yang didakwa sebagai pusat ketenteraan Gaddafi, termasuk serangan di kediamannya di Tripoli.

    Tindakan tidak berperikemanusiaan itu mencabuli mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya membenarkan zon larangan terbang diwujudkan kononnya untuk melindungi rakyat Libya daripada serangan tentera Gaddafi.

    Sumber : http ://www.sinarharian.com.my/

    Wahai ibu, engkaulah ratu hatiku!

    oleh MASHITAH IBRAHIM

    "Ibu, engkaulah ratu hatiku”... demikian sebaris lagu Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Lagu ini mengingatkan kita akan jasa dan kedudukan ibu. Kasih sayang ibu terhadap anak adalah kurniaan Allah. Ayat 14 surah Lukman bermaksud: “Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu kepada-Ku tempat kembali”.

    Kejadian tragis di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan minggu lalu adalah satu bukti. Ibu malang Allahyarhamah Rafidah Ismail, 36, berlari masuk ke dalam rumah yang sedang marak terbakar untuk mengeluarkan tiga anak yang masih kecil. Anak-anaknya selamat, tetapi si ibu maut dalam kejadian menyayat hati itu. Rashidah Illyana Zamri, 7; Zaim Shahrul, 6; dan Zaim Iqbal, 2, mungkin belum memahami namun bila lebih dewasa nanti mereka akan mengerti nilai kasih sayang dan pengorbanan ibu mereka.

    Dalam Islam, ibu mempunyai kedudukan yang tinggi. Hadis sahih Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah saw, lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati? Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu kembali bertanya: Kemudian siapa? Nabi menjawab: Ibumu. Lelaki itu terus bertanya: Kemudian siapa? Nabi menjawab lagi: Ibumu. Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.

    Rasulullah meletakkan tingginya kedudukan seorang ibu sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda. Sebagai anak, kita mesti menghormati ibu untuk mendapat keredaan Allah. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad ada bersabda, keredaan Allah bergantung pada keredaan kedua-dua ibu bapa. Ini bermakna jika ibu bapa suka kepada kita, Allah turut meredai kita. Sebaliknya, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut memurkai kita. Benarlah syurga di telapak kaki ibu.

    Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu bapa. Hakikat ini perlu kita insafi. Oleh itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Semasa mereka masih hidup, layanlah mereka dengan sebaik mungkin. Jagalah mereka dengan baik, kasih sayang dan hormat. Jangan bersuara tinggi atau keras, atau membantah. Imam Al-Ghazali menyebut satu hadis berbunyi “Berbuat kebajikan kepada kedua ibu bapa lebih utama daripada solat, puasa, haji, umrah dan jihad fisabilillah.”

    Ibu bapa wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati kedua-duanya jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis. Ingatlah firman Allah: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang di antara keduanya telah mencapai usia tua, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya ‘cis’ dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanya dengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah mempelakukan dengan penuh kasih sayang semasa aku kecil.” (Al-Isra’: 23-24).

    Menderhaka kepada ibu bapa berdosa besar dan tidak akan mencium bau syurga, meskipun banyak beribadat. Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibu bapa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Riwayat Nasa’i, Bazzar dan al-Hakim).

    Ambillah iktibar daripada kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah semoga kita insaf dan tidak menjadi anak derhaka. Hanya kerana anaknya melebihkan isteri daripada dirinya, ibu Alqamah tidak mahu memaafkan anaknya hingga tertahan ketika sakratul maut. Rasulullah kemudian menyatakan sekiranya si ibu tidak mahu memaafkan anaknya yang sedang nazak itu, maka anak itu akan dibakar hidup-hidup. Membayangkan kesengsaraan anaknya yang akan dibakar hidup-hidup, hati si ibu menjadi luluh dan cair. Seterusnya, memaafkan dosa dan kesalahan anaknya. Akhirnya, Alqamah meninggal dunia dengan mendapat kemaafan ibunya dan mati dalam husnu al-khatimah.

    Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan bila tiba giliran, kita akan jadi ibu atau bapa pula. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita.

    Sebagai membalas jasa mereka, kita perlu sentiasa mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Kasihlah ibu tanpa berbelah bagi, kerana kasih sayang terhadap ibu itu dan sebaliknya akan membawa anda ke syurga. Tapi andainya ibu sudah tiada, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu. Selamat menyambut Hari Ibu.

    Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

    Khamis, 5 Mei 2011

    Makanan corak personaliti ummah

    Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

    Umat Islam mengamalkan disiplin pemakanan ikut syariat bantu bangunkan agama

    PEMAKANAN sihat dan tubuh yang kuat bukan saja mencorakkan gaya hidup cemerlang umat Islam, tetapi menjadikan jiwa dan fikiran selamat.

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai Allah berbanding seorang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Al-Imam Muslim.

    Mutakhir ini, banyak penyakit mengancam nyawa menyerang manusia. Ada yang boleh diubati dan dicegah. Ada juga merebak mengikut musim dan ada sentiasa menjangkiti tidak mengira usia.

    Paling utama, kita hendaklah sentiasa mencari penawar supaya penyakit tidak berlarutan sekali gus mengganggu urusan ibadat dan muamalah. Penyakit kronik bukan saja ancaman negara sedang membangun tetapi halangan global untuk menjadikan sesebuah negara itu gemilang dalam acuannya.

    Justeru, perhatian utama tidak sepatutnya dialih ialah iltizam memberi kesedaran kepada setiap individu mengenai langkah pencegahan penyakit kronik dan berjangkit sama ada menyerang tubuh atau jiwa manusia.

    Tidak dinafikan jika kita menjaga kesihatan, penyakit dapat dihindar, malangnya, tidak ramai komited menentang penyakit ‘jahat’ yang diundang melalui pemakanan, gaya hidup dan sikap.

    Penyakit jiwa menjengah sesiapa yang lemah daya tahan diri dan keimanan kepada Yang Maha Pencipta menyebabkan mereka tiada upaya menjerat nafsu jahat sehingga tewas kepada syaitan dan iblis.

    Untuk menjaga kesihatan fizikal, banyak saranan diberikan sama ada melalui pemakanan berkhasiat, senaman dan gaya hidup sihat.

    Selain memastikan makanan diambil mengandungi nutrien mencukupi untuk keperluan tubuh, kita hendaklah memastikan makanan diambil daripada sumber halal. Ia bukan saja menyelamatkan tubuh tetapi juga akal dan jiwa.

    Ada segelintir umat Islam tidak mengendahkan disiplin pemakanan. Malah rokok dijadikan santapan utama setiap hari. Selain membahayakan diri, ada ibu tidak berhati-hati hingga bayi dalam kandungan turut menerima bahana.

    Bukan sekadar mengancam organ dalaman badan, rokok juga merosakkan personaliti, akal, jiwa, sekali gus tidak membantu memajukan agama dan umatnya.

    Ada anak terikut-ikut menjadikan tabiat menghisap rokok sebagai rutin akibat teladan ditonjolkan ibu bapa. Apabila hal ini berlaku, ia berlarutan kepada generasi seterusnya sehingga sukar dibendung.

    Umat Islam diwajibkan mengambil makanan daripada sumber halal. Firman Allah bermaksud: “Dan Dialah menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka segala yang buruk.” (Surah Al-A’raf, ayat 157)

    Setiap yang tidak dihalalkan Allah tentulah mempunyai sebab. Makanan halal bukan saja baik untuk kesihatan, malah ia menjaga syariat. Sebagai Muslim, kewajipan mengambil makanan halal menjadi keutamaan walau di mana berada.

    Di United Kingdom contohnya, ada terpaksa memandu sejauh satu jam setengah untuk mendapatkan bahan mentah halal seperti ayam, dan keju. Makanan alternatif seperti roti, ubi kentang, sayur-sayuran dan buah-buahan menjadi keutamaan jika kehabisan bekalan, terutama ketika cuaca buruk membataskan perjalanan jauh.

    Ia tidak menjadi halangan untuk menuruti kehendak agama. Ketaatan kepada syariat sepatutnya menjadi keutamaan setiap umat Islam kerana ia membentuk personaliti, jiwa sihat dan fizikal yang kuat demi membangunkan agama.

    Islam menegah memakan makanan kotor dan membahayakan kesihatan. Paling baik ialah makanan dimasak sendiri, dipastikan penyediaan bersih dan sumber halal.

    Justeru, kemudahan di tanah air haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya, jangan pula sikap tidak peduli menjerat diri sendiri, sehingga halal dan haram menjadi santapan bersilih ganti.

    Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/