Ahad, 21 Ogos 2011

Runtuhnya Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri

HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.

Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?

Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.

Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.

Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan

Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan.

Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3

Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).

Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan.

Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.

Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 17 Ogos 2011

Lailatul-Qadar dan I’tikaf

Oleh: Syeikh Ahmed Ahmed Gad

Dengan nama Allah, segala pujian bagi Allah, dan selepasnya .. Umat Islam sangat mengambil tentang Lailatul-Qadar; kerana di dalamnya terkandung kebaikan, keberkatan dan kerahmatan. Justeru, di sini kami akan menyebut tentang: kelebihan, ketentuan masa dan beramal padanya.

Kelebihan

Kami sebutkan antara kelebihannya seperti:

(1) Diturunkan Al-Quran pada malamnya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Al-Qadr: 1),

“bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al-Baqarah: 185).

(2) Pada malam ini Allah telah melantik para malaikat di Luh Mahfuz sebagai “penulis” tentang segala perkara yang ditakdirkan, dan segala perkara yang mengandungi ketetapan pada tahun-tahun akan datang tentang hidup atau mati, baik atau jahat.

(3) Malam Lailatul-Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (Al-Qadr: 3),

“dan sesiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti diharamkan baginya segala rupa kebajikan” (An-Nasai dalam bab puasa),

Surah Al-Qadr mengandungi lima ayat, namun lafaz al-Qadr diulang sebanyak tiga kali. Ini adalah bagi mengagungkan dan memuliakan kedudukannya; iaitu malam yang penuh kebaikan, kemuliaan dan kelebihan. Lafaz: "Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui " sebagai isyarat tentang kedudukannya.

(4) Nabi saw telah bersabda (bermaksud):

"Barangsiapa yang bangun mendirikan solat pada malam Lailatul-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka dosa-dosanya yang terdahulu akan diampuni" (Bukhari).

(5) Firman Allah SWT (bermaksud):

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)” (Al-Qadr:4)

Dari segala perkara telah ditakdirkan Allah dan dilaksanakannya pada tahun itu hingga kepada tahun akan datang.

“Sesungguhnya para malaikat pada malam itu lebih banyak turun ke bumi daripada jumlah pepasiran." (Ahmad, 2 / 519 dan al-Bayhaqi).

(6) Firman Allah SWT (bermaksud):

“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Al-Qadr: 5)

Ini kerana para malaikat mendoakan kesejahteraan kepada penghuni masjid sehingga waktu pagi.

Ketentuan masa

Sekiranya kita mengikuti riwayat-riwayat yang dikeluarkan berkenaan penentuan Lailatul-Qadar tentu kita akan temui pelbagai pendapat tentangnya, namun kebanyakan riwayat menyatakan bahawa ia pada malam-malam ganjil dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Di dalam sebuah hadith dari Ibnu Umar bahwa beberapa orang dari sahabat menceritakan tentang mimpi mereka Rasulullah saw bahawa Lailatul-Qadar berlaku pada tujuh malam terakhir. Bagi menjelaskan mimpi itu, Rasulullah saw bersabda,


"Aku melihat mimpi kalian bertemu pada tujuh malam terakhir. Kerana itu barangsiapa hendak mencarinya maka carilah pada tujuh malam terakhir.” (Al-Bukhari dalam tahajjud: 1158 dan diulang pada nombor 2015),

Bertepatan dengannya al-Bukhari mengadakan bab bertajuk "meneroka Lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir," dan kemudian Ibn Hajar berkata: Dalam memahamkan maksud ini satu fakta kukuh bahawa lailatul-Qadar terbatas dalam bulan Ramadhan dan pada sepuluh hari terakhir dan kemudian pada malam-malam ganjil, tidak pada malam tertentu .. (Fath al-Bari: 4 / 305 dan seterusnya) ..

Dalam satu huraian tentang hadith al-Tirmidhi No 792 al-Ahwazi berkata: Kemungkinan besar yang paling rajih dan paling kuat bahawa malam Lailatul-Qadar terbatas dalam bulan Ramadhan pada sepuluh hari terakhir dan kemudian pada malam-malam ganjil. Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari: Inilah yang dibuktikan melalui himpunan hadith-hadith yang dikeluarkan .. Hadith al-Tirmidhi bertaraf hasan sahih dan al-Bukhari: 2020, dan Muslim:. 1169 .. Ini yang disepakati para sahabat. Ibn Abbas berkata: Umar memanggil para sahabat Rasulullah saw dan bertanya kepada mereka tentang malam Lailatul-Qadar. Mereka bersetuju bahawa ia dalam sepuluh hari terakhir." (Fath al-Bari: 4 / 308).

Menentukan sepuluh hari terakhir

Lafaz sepuluh adalah antara lafaz-lafaz yang khusus, dan hukumnya tidak membawa maksud, kurang dan lebih banyak; ​​Dalilnya dalam hal ini adalah muktamad. Ramai orang mengira malam-malam ganjil berdasarkan bulan Ramadan selama 30 malam . Oleh itu, malam pertama ialah 21 dan ini adalah benar, tetapi bulan Ramadan kadangkala 29 hari. Inilah yang berlaku tahun ini menurut kiraan ahli falak, di mana malam pertama adalah malam 20; kerana sepuluh hari mestilah lengkap, tidak kurang dan tidak lebih, dan malam-malam ganjil selepasnya ialah malam 22,24, 26, 28. Menurut Ibn Hazm, sekiranya bulan itu adalah 29 hari, maka malam pertama sepuluh hari akhir, tidak syak lagi, ialah malam ke 20 itu. Oleh itu, malam Lailatul-Qadar berlaku sama ada pada malam 20, atau malam ke 22, atau malam ke 24, atau malam ke 26, atau pada malam ke 28; kerana ini adalah malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir ..Sekiranya bulan itu mengandungi 30 hari, maka malam pertama sepuluh hari akhir tanpa keraguan: ialah malam 21 .. atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29, (lihat: al-Muhalla, Masalah: 809).

Kerahsiaan malam Lailatul-Qadar

Jelasnya malam Lailatul-Qadar yang berlaku pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, tidak diketahui dengan tepat seperti yang kita lihat, dan ianya diketahui Nabi saw, kemudian telah dirahsiakan atau disembunyikan darinya lantaran hikmat yang dikehendaki Allah dan disebabkan baginda sendiri terlupa seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadith sahih, bahawa Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud):

"Aku telah bermimpi melihat lailatul-Qadar, kemudian sebahagian dari ahli keluarga ku mengejutkan aku, tetapi aku telah terlupa waktunya. Oleh itu kamu carilah ia pada sepuluh yang berbaki (sepuluh malam yang akhir). " (Muslim: 1166).

2 – Diantara sebab dirahsiakan lailatul-Qadar juga, bahawa Nabi saw bersabda (bermaksud):

"Wahai manusia, sesungguhnya begitu jelas kepadaku Lailatul-Qadar, dan aku keluar untuk memberitahu mereka, lalu datang dua orang lelaki yang menuntut hak mereka dan mendakwa bahawa ia lebih berhak di mana bersama mereka Syaitan, lalu terlupa, Oleh itu kamu carilah ia pada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadan. " (Muslim: 1167 / 217),

Dalam satu riwayat lain:

"Nabi saw keluar untuk memberitahu kami tentang Lailatul Qadar, tetapi dua orang lelaki Islam telah berkelahi.. maka ia telah dimaafkan, dan mudah-mudahan ianya terkandung kebaikan untuk anda .." (Bukhari: 2023).

Oleh itu, malam ini telah dirahsiakan kepada Rasulullah saw, atau dia terlupa, supaya tiada seorangpun yang boleh mendakwa bahawa dia tahu.

Zainab binti Ummu Salamah pernah ditanya: Adakah Rasulullah saw tahu tentang lailatul-Qadar? Beliau berkata: Tidak, kerana jika baginda mengetahuinya tentulah manusia tidak akan bangun selain dari malam itu. Lihat: Huraian hadith al-Bukhari yang lepas. Ibn Hazm berkata: Jika Rasulullah saw terlupa, adalah mustahil untuk diketahui oleh orang selepasnya, dan jika Rasulullah saw sendiri tidak memuktamadkan mimpi yang dilihat para sahabat, maka sudah tentu lebih jauh lagi bagi orang selepas mereka .. Jika dikatakan nabi saw menyebut bahawa matahari yang terbit pada ketika itu tidak mengeluarkan cahaya? Kami berkata: Ya, Baginda saw tidak berkata: Ia menunjukkan cahaya jelas kepada kita. Maka, kita tahu apa yang tidak diketahui baginda saw !! Jika dikatakan bahawa Nabi saw pernah menyatakan, baginda bermimpi melihat dirinya sujud di air dan lumpur di waktu pagi. Hal itu berlaku pada pagi malam dua puluh satu? Kami berkata: Ya, Keadaan yang sama telah berlaku pada pagi malam 23 di mana baginda bersujud di air dan lumpur. (Al-Muhalla: ibid).

Manakala sabda Nabi saw yang menyatakan sebab disembunyikan Lailatul-Qadar:

" dan mudah-mudahan ianya terkandung kebaikan untuk anda ."

seperti yang dinyatakan dalam hadith al-Bukhari yang lepas. Justeru, disembunyikan dan tidak ditentukan Lailatul-Qadar bertujuan untuk mengajak manusia supaya bersungguh-sungguh mendapatkannya dengan lebih banyak ibadat, tidak seperti jika mereka tahu bila Lailatul-Qadar, kerana orang yang lemah cita-cita dan semangat akan kurang untuk melakukan tugas mereka dan mendapatkan kemuliaan. Oleh sebab itu, Rasulullah saw beri'tikaaf pada sepuluh hari terakhir sehingga baginda meninggal dunia.

Ramai orang yang bersungguh-sungguh dan memberi perhatian pada malam-malam ganjil berasaskan 30 hari Ramadan dan mengabaikan malam lain yang berasaskan 29 hari Ramadan yang berkemungkinan Lailatul-Qadar berlaku seperti yang kita sebutkan. Jangan muktamad dengan pandangan ini tetapi ini kemungkinan, kerana nanti terlepas banyak kebaikan .. Barangsiapa yang terlepas Lailatul-Qadar, maka sememangnya diharamkan oleh Allah baginya. Nabi saw, seperti yang kita lihat berusaha bersungguh-sungguh mencari sepuluh hari terakhir, tanpa membezakan antara malam dan lain.

Beramal

Aishah berkata:

"Nabi saw apabila memasuki sepuluh malam terakhir baginda akan mengetatkan kain pinggangnya (berusaha bersungguh-sungguh dengan ibadah lebih banyak dari waktu yang lain) dan menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya." (Bukhari: 2024 dan Muslim: 1174),

Mengetatkan kain bermaksud: berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadah lebih dari waktu lain, dan juga bermakna memisahkan diri dari isteri dengan sibuk beribadah. Menghidupkan malamnya bermaksud: Menghidupkan malamnya dengan ibadah dan berjaga pada waktu malam; kerana tidur adalah saudara mati. Mengejutkan ahli keluarganya: untuk solat pada waktu malam .. Dalam ceramah tersebut:

"Rasulullah saw bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh malam terakhir yang tidak pernah dilakukan pada waktu lain." (Muslim: 1175 dan riwayat orang lain).

Kita berdoa kepada Allah untuk ditemukan dengan Lailatul-Qadar, dan janganlah kita dinafikan kebaikan dan pahala.

Hanya Allah yang memberikan taufikNya, dan akhirnya kita menyatakan bahawa segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.


Jumaat, 5 Ogos 2011

Puasa mampu membentuk sifat jiwa merdeka

BULAN Ogos sering dikaitkan dengan tarikh kemerdekaan negara. 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat negara kita mencapai kemerdekaan. Kita mengingati dan menghargai perjuangan pahlawan di masa lalu. Tanpa pengorbanan mereka, tidak mungkin negara dapat mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun jiwa yang merdeka bukan saja bebas daripada kongkongan kuasa penjajah tetapi juga bebas daripada sebarang penjajahan bentuk baru. Setakat bebas daripada penjajahan secara fizikal tetapi kehidupan masih terbelenggu dengan corak pemikiran Barat tidak dianggap merdeka dengan erti kata sebenar-benarnya.

Budaya Barat yang negatif, cara berfikir yang tidak berlandaskan wahyu, hiburan yang melampau, pakaian yang menjolok mata dan lain-lain adalah penjajahan dalam bentuk baru. Jangan dibiarkan sejarah penjajahan berulang kembali kerana pemahaman sempit kita tentang erti kemerdekaan.

Mereka yang berjiwa merdeka tidak mudah terikut-ikut dengan budaya orang lain yang kononnya dianggap moden. Bagi orang Islam merdeka bukan setakat bebas daripada penjajah, tetapi juga tidak cepat meniru budaya yang bukan berasal daripada agama Islam.

Bulan puasa yang sedang umat Islam jalani ini merupakan masa yang sangat sesuai untuk menguatkan jiwa. Dari segi bahasa, puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan dan minum. Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Di antara hikmah dan faedah puasa ialah ia menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.

Allah mengkehendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dantaqarrub kepada-Nya.

Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan. Puasa juga untuk membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 Allah berfirman maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa".

Mengikut Sayyid Qutb ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa iaitu untuk mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya.

Takwa itulah yang mengawal hati daripada merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati.

Pada bulan Ramadan umat Islam dianjurkan berebut-rebut mengejar pahala. Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim maksudnya: "Apabila datang Ramadan nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan".

Dalam hadis lain riwayat Ahmad, al-Bukhari, al-Nasa'i dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah maksudnya: "Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda mengikut kehendak Allah; firman Allah SWT: Kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya, dia meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku.

Dalam hadis lain riwayat Syaikhan dan al-Nasa'i maksudnya: "Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbukanya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi".

Oleh itu, kelebihan dan keistimewaan ibadah berpuasa mampu membentuk peribadi seseorang menjadi lebih sabar, kuat dan kental menghadapi cabaran dan ujian hidup. Sifat-sifat rohani yang kental inilah yang diperlukan untuk mendapatkan jiwa yang merdeka.

Perjuangan bagi memiliki jiwa merdeka ini harus berterusan generasi ke generasi kerana tidak ada gunanya merdeka jika jiwa masih terjajah dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan agama. Jangan kita biarkan sejarah penjajahan berulang kembali dalam pelbagai bentuk.

Umat Islam masih jauh ketinggalan berbanding umat yang lain. Mereka seringkali dianggap mundur, miskin, lemah, kurang berdaya saing dan lain-lain. Pada peringkat antarabangsa pula umat Islam dilabel sebagai pengganas dan ramai dihina dan ditindas di luar negara.

Maka gunakanlah peluang madrasah Ramadan ini bagi menyuburkan sifat-sifat rohani yang kental dan mempunyai daya ketahanan diri agar umat Islam memiliki jiwa yang merdeka dan tidak mudah dijajah sewenang-wenangnya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/