Soalan:
Saya ada satu kemusykilan mengenai solat sunat qabliah dan bakdiah
pada waktu Jumaat. Baru-baru ini saya mendapat tahu ada seorang ustaz
mengatakan tidak ada solat sunat qabliah dan bakdiah pada waktu jumaat kerana
pada zaman Nabi SAW tidak ada. Pada zaman Nabi SAW cuma ada satu azan sahaja
bukan dua seperti sekarang, sebab apabila Nabi SAW datang ke masjid dia terus
naik ke atas mimbar dan bilal pun terus azan selepas itu Nabi SAW terus
berkhutbah. Jadi tidak ada solat sunat tersebut.
Jadi solat sunat apakah yang dikerjakan selepas azan pertama
sebelum khatib naik keatas mimbar untuk berkhutbah.
Ini menyebabkan saya jadi keliru sebab melalui pembacaan
saya dalam buku-buku agama ada menyatakan ada solat sunat tersebut jadi mana
satu yang betul, adakah boleh kita mengerjakan solat sunat tersebut.
Mohon pencerahan daripada Ustaz
Jawapan:
Diriwayatkan dari as-Sa’ib bin Yazid, ia berkata,
“Sesungguhnya azan pada hari Jumaat pada awalnya ketika imam duduk di atas
mimbar pada hari Jumaat, iaitu pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar, dan Umar
r.anhuma. Pada zaman khalifah Utsman RA (ketika jumlah mereka semakin ramai),
dia memerintahkan untuk mengumandangkan azan kedua (iaitu azan tambahan) pada
hari Jumaat. Ia memerintahkan untuk mengumandangkan azan dari atas az-Zaura’,
lalu hal itu terus berlangsung dan tidak ada seorang pun yang mencelanya. Padahal
mereka telah mengkritiknya (sebelumnya), ketika dia menyempurnakan solat di
Mina.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 916, Abu Daud, no. 1087, at-Tirmidzi,
no. 516, an-Nasa’i, 3/101, dan Ibnu Majah, no. 1135)
Dapat difahami melalui hadis ini bahawa:
1 – Azan pada hari Jumaat dilakukan ketika imam duduk di
atas mimbar.
2 – Disunnahkan satu kali azan pada hari Jumaat, iaitu
ketika imam duduk di atas mimbar.
Diriwayatkan dari Jabir, ia berkata, “Seorang laki-laki
masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat (ketika Nabi SAW sedang berkhutbah),
maka beliau bertanya, “Apakah engkau sudah solat?” Ia menjawab, “Belum”. Beliau
SAW berkata, “Kalau begitu, solatlah dua rakaat”.” (Diriwayatkan oleh
al-Bukhari, no. 930, dan Muslim, no. 875)
Menurut Abu Malik Kamal di dalam Kitabnya, Sahih Fiqh
Sunnah:
“Tidak ada solat sunnah qabliyah sebelum solat Jumaat. Jika
azan telah dikumandangkan, maka tidak boleh seorang pun bangkit mengerjakan
solat. (Kecuali jika dia datang setelah azan dikumandangkan, maka ia boleh
mengerjakan solat sunnah Tahiyatul Masjid, kemudian duduk. Ataupun ia lupa
solat Tahiyatul Masjid, maka dia boleh bangun untuk mengerjakannya) Ini adalah
pendapat ulama yang paling sahih. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Abu
Hanifah, Malik, asy-Syafi’i dan majoriti sahabatnya (kecuali imam Nawawi) serta
inilah pendapat yang masyhur dari mazhab Ahmad. (al-Fatawa al-Kubra, Sheikhul
Islam, 2/433, dan Tharh at-Tatsrib, 3/41) Inilah yang selaras yang bertepatan
dengan sunnah. Kerana Rasulullah SAW keluar dari rumahnya, menuju ke masjid,
dan setelah beliau naik ke mimbar, Bilal memulai azan Jumaat. Setelah azan
selesai, Nabi terus sahaja berkhutbah tanpa ada pemisah. Hal ini (situasi ini)
disaksikan dengan jelas, jadi, bilakah masanya mereka mengerjakan solat sunnah
(Qabliyah Jumaat)? Oleh itu, barangsiapa mendakwa bahawa mereka semua (para
sahabat di hadapan nabi ketika berkhutbah – tamb.) berdiri untuk mengerjakan
solat dua rakaat, setelah Bilal selesai mengumandangkan azan, maka ia adalah
orang yang tidak melihat kepada sunnah.
Malah hal ini dikuatkan lagi dengan hadis Ibnu Umar, ia
berkata, “Aku solat bersama Rasulullah SAW dua rakaat sebelum Zohor, dua rakaat
sesudah Zohor, dua rakaat setelah maghrib, dua rakaat setelah Isya’, dan dua
rakaat setelah Jumaat.” Ini adalah nas yang sangat jelas bahawa solat Jumaat
adalah berbeza dengan solat Zohor. Kerana tidak disebutkan bahawa solat Jumaat
memiliki solat sunnah, kecuali setelahnya, maka diketahui bahawa tidak ada
solat sunnah Qabliyah Jumaat. (Shahih Fiqih Sunnah, jil. 2, m/s. 310)
Imam asy-Syafi’e rahimahullah menyatakan berkenaan hal ini,
“Maka setelah matahari tergelincir dan imam telah duduk di atas mimbar, serta
mu’azzin mengumandangkan azan, maka tidak ada lagi ruku’ (solat). Maka
janganlah seseorang ruku’ (solat), melainkan seseorang yang datang (ke masjid)
dalam keadaan belum ruku’ (solat), maka hendaklah dia ruku’ (solat Tahiyatul
masjid).” (al-Umm, jil. 1, m/s. 202)
Berkata Ibnu Taimiyah rahimahullah:
Adapun Nabi SAW tidak pernah mengerjakan solat Qabliyah
Jumaat atau apa-apa pun selepas azan Jumaat. Tidak pernah dinukil berkenaannya
walaupun walaupun dari seorang. Sesungguhnya di zamn Nabi SAW tidak pernah
dikumandangkan azan kecuali setelah baginda di atas mimbar. Setelah Bilal azan,
Rasulullah lantas meneruskan dengan dua khutbah. Setelah itu Bilal iqamah, maka
Nabi SAW bersolat bersama sekalian manusia (yang ada). Oleh halnyang demikian,
maka tidak mungkin Baginda dan juga walau salah seorang dari kaum muslimin yang
solat Jumaat dengan Baginda SAW melakukan solat selepas azan. Tidak pernah
seorang pun menukil bahawa Baginda solat di rumahnya sebelum keluar ke masjid
di hari Jumaat.” (Majmu’ al-Fatawa, jil. 24, m/s. 188)
Berkata ‘Abdullah ‘Abdur Rahman al-Bassam, “Tidak ada sunnah
untuk solat Jumaat sebelumnya (Qabliyatul Jumaah). Itulah kata-kata ulama dan
dengannyalah petunjuk sunnah.” (Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, 2/345)
Katanya lagi, “Tidak ada sunnah rawatib sebelum solat Jumaat, sesungguhnya Nabi
SAW setelah keluar dari rumahnya terus naik ke mimbar, lantas Bilal terus
mengumandangkan azan, setelah sempurna azan, Nabi SAW terus berkhutbah tanpa
berlengah.” (Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, 2/345)
Solat Sunnah Qabliyah Jumaat Menurut Mazhab asy-Syafi’e
Di sisi al-Imam asy-Syafi’e rahimahullah (204H) sendiri,
menurutnya tidak ada solat sunat Qabliyah Jumaat. Pendapat beliau dalam bab ini
adalah selari dengan sunnah Rasulullah SAW, di mana beliau berkata:
Aku menyukai apabila azan pada hari Jumaat dilaungkan ketika
imam sudah memasuki masjid dan beliau duduk pada tempat yang beliau berkhutbah
di atasnya dengan posisi yang agak tinggi seperti kayu atau pelepah kurma,
mimbar, pelantar atau selainnya, atau di atas tanah itu sendiri. Apabila (imam
telah) melakukan (sedemikian), muazin melaungkan azan. Apabila telah selesai,
imam berdiri lalu menyampaikan khutbah. Tidak ada tambahan ke atas itu. (al-Umm
(Tahqiq: Ahmad Badr al-Din; Dar al-Qutaibah, 1996), jld. 3, m/s. 60)
Sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan
dipraktikkan oleh para sahabat, al-Imam asy-Syafi’e juga menyukai agar
orang-orang yang sampai awal ke masjid melaksanakan solat-solat sunat mutlak
sehinggalah imam menaiki mimbar. Setelah menerangkan kelebihan orang yang pergi
awal ke masjid sempena solat Jumaat, beliau berkata:
Apabila orang ramai pergi melaksanakan solat Jumaat,
hendaklah mereka bersolat sehinggalah imam menaiki mimbar. Apabila imam berada
di atas mimbar, mereka yang mendirikan solat dua rakaat dan berkata-kata
hendaklah berhenti supaya imam dapat memulakan khutbah. Apabila imam
berkhutbah, mereka diam memerhatikannya. (al-Umm, jil. 3, m/s. 73)
Al-Hafiz Abu Syamah rahimahullah (665H) menerangkan:
Bahawa kebiasaan Nabi SAW ketika keluar dari rumahnya pada
hari Jumaat, maka baginda terus naik ke mimbar lalu muazzin melaungkan azan.
Setelah muazzin selesai melaungkan azannya, maka baginda terus menyampaikan
khutbahnya. Seandainya pada solat Jumaat tersebut wujud solat sunat qabliyah,
tentu sesudah azan selesai dilaungkan baginda akan menyuruh para sahabat
mendirikan solat sunat tersebut. Bahkan baginda sendiri akan mendirikannya
terlebih dahulu sebelum menyuruh para sahabatnya. Pada zaman Nabi SAW, tidak
dikenali solat sunat pada hari Jumaat yang didirikan setelah azan dilaungkan
dan didirikan di hadapan khatib. (Bid‘ah yang Dibungkus Dengan Hadits Palsu
(Judul Asli: al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, Tahqiq: Basyir
Muhammad Uyun),Terbitan Pustaka Azzam, m/s. 225-226)
al-Hafiz al-‘Iraqi rahimahullah (806H):
Yang sedemikian adalah kerana tidak dilaungkan azan pada
hari Jumaat kecuali di hadapan baginda dan baginda pada ketika itu di atas
mimbar. Maka tidaklah baginda bersolat untuknya (sesudah azan). Dan demikian
juga para sahabat radhiallahu 'anhum, di mana apabila keluarnya imam mereka
terus memberhentikan solat. (Tharh al-Tsarib fi Syarh al-Taqrib (Muassasah
al-Tarikh al-‘Arabi, Beirut, 1996), jil. 3, m/s. 41)
Adapun yang dimaksudkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi sebagai solat
yang dihentikan oleh para sahabat ketika keluarnya imam, ia adalah solat-solat
sunat mutlak seperti solat sunnah Tahiyatul Masjid, dan selainnya.
Berkata Abu Syamah lagi, Sesungguhnya solat-solat sunnah
adalah solat yang dinukil (diterima) dari Rasulullah SAW, melalui perkataan
atau amalan, namun solat Qabliyatul Jumaat (solat sebelum Jumaat) tidak pernah
terdapat walau satu pun riwayat dari Nabi SAW yang membuktikan bahawa ia
perbuatan sunnah.” (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, m/s. 195)
Kemusykilan Dan Pencerahannya
Kemusykilan Satu:
Di antara setiap dua azan ada solat, di antara setiap dua
azan ada solat (kemudian baginda bersabda pada kali ketiga):
“Kepada sesiapa yang mengingininya.” (Sahih al-Bukhari,
Kitab al-Azan, hadis no. 627)
Pencerahan:
Hadis di atas memang dijadikan hujah oleh para imam Mazhab
al-Syafi’e yang mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Al-Hafiz Ibn Hajar
al-‘Asqalani membongkar hakikat ini:
Yang paling kuat dijadikan pegangan bagi mensyari‘atkan
(solat sunat) dua rakaat sebelum Jumaat adalah keumuman daripada apa yang
disahihkan oleh Ibn Hibban daripada hadis ‘Abd Allah bin al-Zubair secara
marfu’: “Tidak ada solat fardhu melainkan ia didahului oleh dua rakaat”, juga
hadis semisal daripada ‘Abd Allah bin Mughaffal dalam bab “Waktu Maghrib”: “Di
antara setiap dua azan ada solat.” (Fath al-Bari, jil. 3, ms. 96)
Kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar di atas bukanlah untuk
membenarkan penggunaan dua hadis tersebut sebagai dalil, sebaliknya
mengisyaratkan kelemahannya. Isyarat ini dapat ditangkap daripada perkataan
beliau “…adalah keumuman daripada apa yang…”, kerana dalil yang umum tidak
boleh digunakan bagi mengkhususkan sesuatu amalan jika amalan itu sendiri telah
dinafikan oleh dalil khusus yang lain.
Di antara yang berhujah dengan hadis ‘Abd Allah bin
Mughaffal ialah al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) dimana beliau berkata:
Dan adapun sunat sebelumnya (qabliyah Jumaat) maka asasnya
adalah hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal yang telah disebut dalam perbincangan
sebelum ini: “Di antara setiap dua azan ada solat” dan juga diqiyaskan kepada
solat Zohor. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Tahqiq: M. Najib; Dar al-Ihya’
al-Turath al-‘Arabi, Beirut, 2001), jil. 3, ms. 349)
Menggunakan hadis di atas sebagai dalil adalah tidak tepat.
Selain daripada sifatnya yang umum, ia juga dipandang tidak tepat kerana:
1 - Yang dimaksudkan dengan “dua azan” bukanlah dua azan
solat Jumaat sebagaimana yang wujud sekarang. Hal ini kerana pada zaman
Rasulullah SAW, hanya ada satu azan bagi solat Jumaat. Maka yang dimaksudkan
sebagai “dua azan” ialah azan dan iqamat. Demikian jelas al-Hafiz Ibn Hajar
al-‘Asqalani: “Maksudnya ialah azan dan iqamah. Tidak sah mengambil (kefahaman)
hadis ini secara zahir.” (Fath al-Bari, jil. 2, ms. 315)
2 - Azan dan iqamat berlaku pada zaman Rasulullah SAW ketika
melaksanakan solat Jumaat. Akan tetapi – sebagaimana yang dijelaskan sebelum
ini – tertib perlaksanaan solat Jumaat pada zaman baginda tidak memungkinkan
perlaksanaan solat sunat qabliyah Jumaat.
Oleh itu pendapat al-Imam al-Nawawi di atas telah ditolak
oleh Al-Hafiz al-Busyiri rahimahullah (840H):
Dan di antara yang terbaik yang dijadikan dalil dengannya
(dalam bab solat sunat qabliyah Jumaat) ialah apa yang sabit daripada dua kitab
sahih daripada hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal daripada Nabi qabliah: “Di antara
setiap dua azan ada solat”.
Padahal ini mustahil berlaku pada solat (Rasulullah) SAW
kerana sesungguhnya baginda di antara azan dan iqamat berkhutbah, maka tidak
ada solat pada ketika itu di antara kedua-duanya (azan dan iqamat).
Benar, bahawa sesudah itu Utsman (ibn ‘Affan radhiallahu
'anh) mengadakan azan di atas al-Zawra (sebagai azan pertama manakala azan
kedua di dalam masjid), memungkinkan solat sunat Jumaat sebelum keluarnya imam
untuk berkhutbah. (Mishbah al-Zujajah fi Zawa‘id Ibn Majah, Tahqiq: Kamal
Yusuf; Dar al-Jinan, Beirut, 1986), jil. 1, ms. 213)
Oleh itu, tidaklah tepat menggunakan hadis “Di antara setiap
dua azan ada solat” sebagai dalil kerana tertib perlaksanaan solat Jumaat pada
zaman Rasulullah qabliah, khasnya dari azan hingga iqamat, tidak memiliki
selang masa untuk melaksanakan solat sunat qabliyah Jumaat.
Kemusykilan Kedua:
Apakah boleh mengqiyaskan solat sunat qabliyah Jumaat kepada
solat sunat qabliyah Zohor sebagaimana kata-kata al-Imam al-Nawawi yang dinukil
di atas?
Pencerahan:
Kata-kata atau pendapat al-Imam Nawawi untuk menggunakan
kaedah qiyas dalam persoalan ini telah ditolak oleh seorang tokoh Mazhab
al-Syafi’e yang sezaman dengan beliau, iaitu al-Hafiz Abu Syamah:
Alasan tidak adanya solat sunat qabliyah Jumaat adalah bahawa
yang dimaksudkan dengan solat sunat dalam pandangan kami adalah solat yang
didasarkan kepada petunjuk Rasulullah SAW, sama ada petunjuk itu dalam bentuk
ucapan mahupun perbuatan. Berkenaan solat sunat qabliyah Jumaat, tidak ada satu
petunjuk jua daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa solat tersebut
disunnahkan. Disamping itu tidak dibenarkan melakukan qiyas dalam menetapkan
dalil syar‘i yang berkenaan dengan solat. (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa
al-Hawadits, m/s. 224)
Sebenarnya terdapat banyak perbezaan antara solat Jumaat dan
solat Zohor. Di antaranya, solat Jumaat wajib berjamaah manakala solat Zohor
hanya sunat muakad, wajib meninggalkan jual beli apabila dilaungkan azan
Jumaat, solat Jumaat adalah dua rakaat manakala solat Zohor adalah empat rakaat,
solat Jumaat didahului dengan khutbah manakala solat Zohor tidak, bacaan surah
dalam solat Jumaat adalah kuat manakala dalam solat Zohor adalah perlahan dan
sebagainya. Perbezaan-perbezaan ini menutup pintu yang membolehkan perhubungan
antara solat Jumaat dan solat Zohor melalui jalan qiyas. Bahkan dalam bab ini
terdapat dalil yang menunjukkan perbezaan solat-solat sunat bagi solat Zohor
dan Jumaat. Dalil tersebut ialah hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma
dimana beliau berkata:
Bahawasanya Rasulullah SAW bersolat sebelum zohor dua rakaat
dan sesudah zohor dua rakaat, sesudah Maghrib dua rakaat di rumahnya dan
sesudah Isya’ dua rakaat. Dan baginda tidak bersolat sesudah Jumaat sehinggalah
meninggalkan masjid dan baginda bersolat dua rakaat. (Sahih al-Bukhari, Kitab
al-Jumuah, hadis no. 937)
Perhatikan bahawa apabila Ibn ‘Umar menerangkan solat-solat
sunat Rasulullah, beliau membezakan antara solat Zohor dan solat Jumaat. Dua
perbezaan yang paling nyata adalah:
1 - Solat Zohor memiliki sunat qabliyah dan ba’diyah
manakala solat Jumaat hanya memiliki sunat ba’diyah.
2 - Sunat ba’diyah Zohor dilaksanakan di masjid manakala
sunat ba’diyah Jumaat dilaksanakan di dalam rumah.
Justeru pendapat al-Imam al-Nawawi untuk menggunakan kaedah
qiyas dalam bab ini adalah pendapat yang lemah. Hal ini kerana peranan qiyas
adalah menghubungkan satu persoalan baru dalam kehidupan manusia kepada
persoalan asal yang sudah sedia wujud hukumnya pada zaman Rasulullah
berdasarkan kesamaan illat (sebab di sebalik hukum). Adapun ibadah, maka tidak
boleh ada satu jua ibadah yang baru melainkan apa yang sudah disyari‘atkan oleh
Allah dan Rasul-Nya. Dengan itu, qiyas tidak memiliki peranan untuk mewujudkan
hukum ibadah yang baru, seperti mewujudkan ibadah “solat qabliyah Jumaat” dan
menghukumnya sebagai “sunat”.
Lebih dari itu, syarat utama bagi qiyas ialah wujudnya sebab
yang sama antara kedua-dua persoalan yang ingin dihubungkan. Syarat ini tidak
dapat dipraktikkan dalam persoalan ibadah kerana manusia tidak mampu mengetahui
“sebab di sebalik” sesuatu ibadah untuk dikaitkan kepada ibadah yang lain.
Sebab di sebalik semua ibadah adalah ketaatan kepada Allah semata-mata. Namun,
dikatakan boleh mengamalkan qiyas untuk ibadah, ia tetap tidak boleh digunakan
dalam persoalan solat sunat qabliyah Jumaat kerana terdapat banyak perbezaan
antara solat Jumaat dan solat Zohor sepertimana yang diterangkan di atas.
Kemusykilan Ketiga:
Jika dikaji semua hadis dalam bab ini, ditemui bahawa
sebahagian sahabat ada yang melaksanakan solat sunat sebelum solat Jumaat.
Kenapakah hadis ini tidak dijadikan dalil bagi solat sunat qabliyah Jumaat?
Pencerahan:
Benar bahawa terdapat hadis yang menerangkan bahawa para
sahabat melaksanakan solat sunat sebelum solat Jumaat. Namun solat sunat
tersebut bukanlah solat sunat qabliyah Jumaat tetapi adalah solat sunat mutlak
semata-mata.
Ringkasnya, solat sunat (tathawwu’) terdiri daripada dua
jenis:
1 - Solat sunat mutlak, ia adalah solat-solat sunat yang
didirikan secara bebas.
2 - Solat sunat khusus, ia adalah solat-solat sunat yang
terikat dengan peraturan syari‘at. Contohnya ialah solat Id al-Adha, solat Id
al-Fitri, solat Jenazah, solat Witir, solat Dhuha, solat Istikharah dan
sebagainya.
Solat sunat sebelum atau selepas sesuatu solat wajib juga
duduk di dalam kategori ini.
Maka, yang dilakukan oleh para sahabat, ia adalah solat
sunat mutlak. Ia bukan solat sunat qabliyah Jumaat yang duduk di dalam kategori
solat sunat khusus yang sedang kita bincang dalam pencerahan ini. Para pembaca
sekalian perlu membezakan antara dua bentuk solat sunat ini dengan pembezaan
yang sejelas-jelasnya, umpama siang dengan malam. Hal ini kerana banyak
kekeliruan timbul dalam bab ini, termasuk di kalangan sebahagian tokoh dan
ilmuwan, disebabkan kegagalan untuk membezakan dua bentuk solat sunat ini.
Al-Hafiz Abu Syamah
berkata:
Solat sunat tersebut dibolehkan dan tidak dikategorikan
sebagai perbuatan mungkar jika dilihat dari sudut ibadah solat. Namun
kemungkaran ibadah tersebut terletak pada keyakinan orang-orang di antara
mereka dan sebahagian orang yang memiliki pengetahuan, yang menganggap solat
tersebut sebagai solat sunat qabliyah Jumaat, seperti solat sunat qabliyah
Zohor. (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, m/s. 223)
Adapun melaksanakan solat sunat secara mutlak sebelum
Jumaat, maka ia disunnahkan oleh hadis berikut daripada Salman al-Farisi
radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Tidaklah seseorang itu mandi pada hari Jumaat dan bersuci
semampu dirinya, meminyakkan rambut atau menyapu minyak wangi dari rumahnya,
kemudian keluar (menuju ke masjid) dan dia tidak memisahkan dua orang (yang
telah sedia duduk di saf hadapan masjid), kemudian dia bersolat menurut apa
yang ditentukan oleh Allah baginya (yakni sekadar mampu), kemudian dia diam
apabila imam berkata-kata (berkhutbah), kecuali diampunkan baginya (dosa-dosa)
antara Jumaat itu dan Jumaat berikutnya. (Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jumuah,
hadis no. 883)
Maka berdasarkan hadis di atas, para sahabat berusaha untuk
pergi awal ke masjid dalam keadaan berseri-seri. Kemudian mereka melaksanakan
solat-solat sunat mutlak sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW
sehinggalah masuknya waktu solat Jumaat. Solat sunat mutlak yang dilaksanakan
oleh para sahabat berbeza-beza jumlah rakaatnya, semuanya bergantung kepada
kemampuan masing-masing.
Penjelasan al-Hafiz Abu Syamah sekali lagi menjadi rujukan:
Abu Bakar al-Munzir berkata: “Kami telah meriwayatkan
daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau biasa mendirikan solat sunat sebelum Jumaat
sebanyak 12 rakaat. Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau biasa
mendirikan solat sunat (sebelum Jumaat) sebanyak 8 rakaat.”
Keterangan di atas menjadi dalil bahawa solat sunat yang
dilaksanakan oleh mereka (para sahabat) adalah semata-mata solat sunat (mutlak)
menurut pandangan mereka sendiri dan bukan didasarkan kepada petunjuk (yakni
contoh praktikal daripada) Nabi SAW. Demikian juga dengan jumlah rakaat yang
diriwayatkan daripada mereka, yakni jumlah rakaatnya berbeza-beza. Hal ini semata-mata
sebagai solat sunat (mutlak) tanpa dikaitkan dengan solat Jumaat.
Selanjutnya berkenaan waktu perlaksanaannya, bahawa para
sahabat sebagaimana yang disebut di atas, mendirikan solat tersebut sebelum
dilaungkan azan dan sebelum masuknya waktu solat Jumaat. Ini kerana mereka
datang ke masjid pada pagi hari sebelum imam tiba (sebagaimana yang dianjurkan
oleh hadis Salman al-Farisi di atas), maka mereka biasa mendirikan solat sunat
(mutlak).
Solat sunat (mutlak) seperti ini biasa juga mereka dirikan
pada solat Id (Hari Raya) padahal mereka juga mengetahui bahawa dalam solat Id
tidak ada solat sunat qabliyah dan ba’diyahnya. (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’
wa al-Hawadits, m/s. 223)
Al-Hafiz al-‘Iraqi turut menjelaskan:
Terdapat kemusykilan di dalam masalah ini, disebabkan oleh
satu bab yang disusun oleh (al-Imam) Ibn Abi Syaibah di dalam (kitab)
al-Musannafnya, iaitu “Bab solat sebelum Jumaat” dimana di dalamnya terdapat
riwayat daripada ‘Abd Allah ibn Mas‘ud bahawanya beliau bersolat empat rakaat
sebelum Jumaat, daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau mengasingkan diri pada hari
Jumaat untuk bersolat dengan panjang sebelum keluarnya imam, daripada ‘Umar bin
Abd al-Aziz iaitu beliau bersolat sebelum Jumaat sebanyak 10 rakaat, daripada
Ibrahim al-Nakha’e dimana beliau bersolat sebelum Jumaat empat rakaat, daripada
Abi Majlazin bahawa beliau bersolat dirumahnya dua rakaat pada hari Jumaat dan
daripada Thawus dimana beliau tidak akan mendatangi masjid pada hari Jumaat
sehinggalah beliau bersolat di rumahnya dua rakaat.
Tidaklah daripada semua itu menjadi dalil ke atas solat
sunat (sebelum) Jumaat kerana yang sedemikian dilaksanakan sebelum gelincir
matahari (sebelum masuk waktu Jumaat). (Tharh al-Tsarib, jil. 3, ms. 43)
Kesimpulan:
1 - Solat Qabliyah sebelum perlaksanaan solat Jumaat adalah
tidak sunnah dan tiada contohnya dari Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat yang
lainnya.
2 - Apa yang ada selepas atau sebaik sahaja selepas azan
Zohor pada hari Jumaat (ketika di masjid), hanyalah solat sunnah mutlak atau
pun Tahiyatul Masjid iaitu bagi mereka yang belum melaksanakannya.
Sumber : http : //www.harakahdaily.com.my/
Solat sunat ba'diyah selepas Jumaat tidak jelas Sama Ada Ada atau tidak
BalasPadamTajuk perbahasan adalah tentang solat sunat qabliyah, mungkin tentang sunat ba'diyah boleh dijelaskan pada artikel lain.
Padam