Khamis, 28 Julai 2011

Tingkat ibadat sunat persiapan hadapi Ramadan

Oleh Amran Zakaria

Ummah kena bersedia laksana perintah wajib elak menyesal

BERDEPAN suasana yang berlaku dalam negara memungkinkan kita terlupa kehadiran Ramadan beberapa hari lagi. Saat itu memang dinanti kerana Ramadan bulan anugerah Allah yang luar biasa keberkatan dan rahmatnya.

Mereka yang diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sewajarnya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi peluang meneruskan kehidupan pada bulan mulia yang penuh rahmat.


Sesungguhnya Ramadan benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang sudah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada dua perkara perlu diberi perhatian sebelum Ramadan. Pertama, persiapan menyambut dan mengimarahkannya. Jangan ambil mudah soal ini selepas hampir setahun kita meninggalkannya.

Apabila tidak bersedia dibimbangi kita meremehkan perintah wajib. Akibatnya sangat besar iaitu kelemahan menjalankan kewajipan hingga tersekat keredaan Allah atas kelalaian sendiri.

Keduanya, apakah kita akan berjaya memenuhi piawaian Ramadan yang dituntut mengisinya dengan mengerjakan amal ibadat. Yakinlah ganjaran berganda yang diperuntukkan. Bagaimanapun, dugaan tetap menanti.

Sebagai persiapan menyambut kehadiran Ramadan, sebaiknya membuat persiapan awal supaya tidak ada cacat celanya yang membawa kepada penyesalan selepas berlalunya sambutan itu.

Melakukan puasa sunat sebelum Ramadan adalah salah satu cara melatih dan membiasakan diri menghadapi Ramadan. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang sebaik-baiknya kepada ummah apabila Baginda memperbanyakkan puasa sunat pada Syaaban.

Kita juga hendaklah sentiasa memperbaharui taubat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Ramadan juga menguji ketaatan sekali gus membiasakan diri dengan amal ibadah sehingga jiwa terdidik untuk melaksanakan segala perintah Allah. Sehubungan itu, mukmin digalakkan memperbanyakkan iktikaf di masjid untuk beribadah kepada Allah.

Segala virus penyakit mazmumah yang membiak dalam hati seperti angkuh, sombong, riak, pemarah, pendendam dan sebagainya dapat dihapuskan melalui amalan iktikaf. Gantikan dengan usaha mempererat silaturahim kerana ia tanda seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musa bin Imran pernah berkata: Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan-Mu? Allah menjawab: Barang siapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Banyak kelebihan bagi orang yang memaafkan kesilapan orang lain, bukan hanya ketenangan hidup di dunia malah akan mendapat kelebihan di akhirat. Apa yang lebih penting, sikap memberi maaf dan memohon maaf ini menjadi rimbunan menyejukkan jiwa untuk melaksanakan solat dan puasa.

Atta bin Abdullah Khurasani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berjabat tanganlah antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Hadis riwayat Muwatta Imam Malik)

Untuk menambah kerinduan dan semangat kita membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan, hendaklah kita mengingat dan merenung kembali pesanan Rasulullah SAW yang pernah Baginda sampaikan pada akhir bulan Syaaban.

Salman al-Farisi menyatakan Rasulullah SAW pernah berkhutbah pada akhir Syaaban: “Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan penuh berkat, bulan yang dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai suatu kewajipan dan solat malamnya sebagai sunnah. Siapa saja yang bertaqarrub di dalamnya dengan sebuah kebajikan, ia seperti melaksanakan kewajipan pada bulan yang lain. Siapa saja yang melaksanakan satu kewajipan di dalamnya, ia seperti melaksanakan 70 kewajipan pada bulan lainnya. Ramadan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan penglipur lara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Sahabat berkata: Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meskipun dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Merancang Pengisian Ramadan

CUBA kembalikan ingatan kita pada hari-hari terakhir Ramadan lalu. Bawakan diri kita pada saat itu. Bayangkan diri kita berada dalam suasana hari-hari terakhir Ramadan tersebut.

Ingatkah betapa hiba dan sayunya perasaan kita kerana Ramadan bakal pergi? Bagi yang benar-benar menghayati bulan mulia itu, terasa betapa Ramadan cepat berlalu. Terasa begitu banyak yang tidak sempat dilakukan. Terasa betapa banyak peluang membersihkan diri dan mendapat pahala dari Allah SWT, yang tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Akibatnya, ramai di antara kita berharap dapat bertemu semula dengan Ramadan. Kita berharap dipanjangkan umur untuk mengecap nikmat keberkatan Ramadan yang akan datang. Kita berazam, jika peluang itu diberikan, kita akan menggunakannya sebaik mungkin. Kita akan mengisinya dengan perkara mulia. Kita akan mengambil pengajaran dari ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam ini.

Itulah azam kita pada Ramadan lalu dan kini dengan izin-Nya, Ramadan itu datang lagi. Jadi, bersediakah kita melaksanakan azam yang kita pahatkan itu? Pastinya, perkara pertama yang harus dilakukan umat Islam adalah mensyukuri kedatangan bulan ini. Kita bersyukur kerana masih berpeluang bertemu Ramadan agar dapat menikmati keberkatan dan kemuliaan yang terkandung dalam bulan tersebut.

Seterusnya, adalah juga wajar bagi kita untuk mula merancang pengisian tertentu sempena bulan Ramadan. Namun, mungkin ada yang bertanya, kenapa perlu merancang? Kenapa kita tidak boleh melakukan seperti biasa dilakukan di bulan itu? Mungkinkah kita hanya melakukan apa sahaja yang orang lain lakukan? Bukankah itu lebih mudah?

Secara luarannya, sememangnya kita boleh membuat apa sahaja yang orang lain buat. Maknanya, kita lalui Ramadan itu dengan pengisian tertentu berdasarkan apa yang biasa dibuat. Namun, untuk memaksimumkan manfaat bulan tersebut sewajarnya kita mempunyai rancangan sendiri. Melaluinya, ibadat-ibadat yang ingin dilakukan dapat dijalani secara tersusun dan dilihat apa yang perlu ditambah atau diperbaiki.

Manfaat perancangan ini bukan sahaja dari sudut ibadat tetapi sebagai manusia yang serba lemah dan banyak terikat dengan hal-hal keduniaan, perancangan ini dapat menyeimbangkan manfaat duniawi dan akhirat. Sekurang-kurangnya, dengan perancangan itu, kita sudah dapat melihat tanggungjawab duniawi yang perlu dilaksanakan dan dalam masa sama, dapat juga melihat aspek-aspek peningkatan kerohanian yang ingin dijayakan. Tanpa perancangan, mungkin kesibukan melaksanakan tanggungjawab keduniaan akan menghakis kesungguhan mengejar keberkatan bulan Ramadan.

Apakah pula pengisian yang perlu ada dalam senarai semakan "Rancangan Memaksimumkan Manfaat Ramadan" itu? Isi kandungan perancangan itu sewajarnya meliputi perkara-perkara seperti menjalani puasa dengan sebaik mungkin, lebih banyak membaca al-Quran, memahami isi kandungannya, banyak berzikir, meningkatkan kualiti solat wajib dan kuantiti solat sunat, rajin bersolat malam, rajin bersedekah, menunaikan zakat, lebih banyak melakukan ibadah bersama keluarga, banyakkan bertaubat, beriktikaf di masjid dan sebagainya.

Selain, pengisian penting di atas, pengisian lain yang tidak kurang pentingnya ialah bersederhana dalam soal makan, menjaga mulut dari perkataan sia-sia, elakkan membazir, banyakkan membaca bahan bacaan yang baik, rajin membantu orang lain, bersangka baik sesama manusia, memerhati dan merenung alam dengan niat mensyukuri nikmat Ilahi, berusaha menjaga hak makhluk Allah SWT lain, muhasabah diri dan lain-lainnya.

Setelah menyenaraikan semua yang dirancang, satu keperluan lain perlu ada ialah keazaman untuk mengikuti rancangan yang telah dibuat. Ini amat penting kerana perancangan tanpa ada tindakan hanyalah sia-sia.

Apa yang lebih merugikan, manfaat yang cuba dicapai akan berlalu begitu saja. Maka, jadilah kita tergolong dalam kalangan orang yang rugi seperti sabda Rasulullah SAW: "Sungguh rugilah seseorang yang menyambut Ramadan kemudian melepaskannya, sedang dosa-dosanya belum diampuni" (HR Tirmidzi). Bukan sahaja kerugian tetapi kita sebenarnya menzalimi diri kerana peluang memperbaiki diri sudah di tangan tetapi dilepaskan begitu sahaja.

Dalam perancangan ini, sewajarnya kita memikirkan bukan sahaja manfaat untuk diri sendiri tetapi melibatkan manfaat yang boleh diberikan kepada orang lain.

Misalnya, dalam soal beribadat, yang wajib mahupun sunat, jangan lupa melakukan secara bersama dengan ahli keluarga mahupun rakan-rakan rapat.

Adalah lebih mulia kita mencapai sesuatu yang baik secara bersama, apatah lagi jika kebersamaan itu melibatkan ahli keluarga mahupun rakan-rakan atau saudara-mara yang rapat.

Diharapkan, semoga dengan perancangan yang dibuat, kita lebih bersemangat untuk melangkahkan kaki ke bulan Ramadan. Dalam masa sama, semoga dengan perancangan itu, kita bakal meninggalkan Ramadan dengan jiwa, minda dan tingkahlaku yang kekal mulia dan terdidik.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 21 Julai 2011

Pendekatan agama beri kekuatan perangi maksiat

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Tanggungjawab didik anak mesti berterusan demi kecemerlangan generasi masa depan

MAKSIAT atau perbuatan yang menyebabkan dosa besar bukan saja musuh kepada agama dan umat Islam tetapi juga menjadi halangan yang akan merencatkan pembangunan insan dalam sebuah negara membangun.

Maksiat yang berlaku dalam pelbagai bentuk seperti rasuah, salah guna kuasa, penipuan, judi, zina, arak dan sebagainya sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat hari ini.


Ia bermula dengan hilangnya rasa malu dan takut kepada azab Allah sehinggalah kerana tamakkan dunia dan isinya. Orang yang tega melakukan maksiat sanggup menjauhkan dirinya daripada cinta Allah semata-mata untuk melampiaskan nafsunya yang sementara di dunia ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar, dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.” (Surah Saad, ayat 26)


Orang yang melakukan maksiat juga tiada kewarasan akal dalam menghitung untung dan rugi menyekutukan amalan agama dengan ketaatan kepada syaitan durjana.


Mereka hilang pedoman, sehingga sanggup memburukkan nama sendiri dan keturunan, malah seolah-olah mencabar kuasa Allah yang menjanjikan neraka jahanam buat mereka yang melanggar perintah-Nya.


Hari ini, tidak ramai orang yang mampu melihat perbuatan maksiat sebagai najis yang kotor dan jijik. Orang yang melakukan maksiat juga tidak merasai keaiban sepatutnya kerana perbuatan mereka tidak diperangi dalam struktur sosial, budaya dan agama secara konsisten serta menyeluruh.

Justeru, maksiat yang sudah menjadi wabak di kalangan umat Islam hari ini wajar diperangi melalui pelbagai usaha dan cara supaya tidak menjadi madu yang akan terus dihisap rakus oleh mereka yang sering kali lalai atau lupa.


Apabila racun menjadi madu, ia bukan saja sukar ditolak, tetapi sering diidam oleh sesiapa saja, hatta mereka yang cuba sedaya upaya menjauhi larangan agama.


Apabila seseorang sudah tidak mampu menolak maksiat kepada Allah kerana segumpal darah yang disebut ‘hati’ dalam dirinya tidak lagi suci, tugas mengembalikan mereka ke pangkal jalan sudah tentulah terbeban di bahu ibu bapa.


Sebab itulah tanggungjawab mendidik anak tidak akan terhenti walaupun mereka sudah meningkat usia atau bergelar orang ternama. Bukankah anak adalah amanah Allah ke atas setiap ibu bapa?


Apabila ibu bapa mula selesa dengan ‘aliran semasa’ yang melepaskan tanggungjawab daripada menasihati anak dengan alasan mereka sudah dewasa atau tidak menunjukkan model tarbiah terbaik mengikut kacamata agama untuk teladani, ia amat membimbangkan.


Perlu ditekankan, selain sistem sokongan lain yang akan membimbing setiap individu sama ada secara langsung atau tidak langsung, peranan ibu bapa sebagai guru pertama dan sehingga akhirnya tidak boleh dikesamping.


Selain ibu bapa, pendidik perlu menanam rasa benci terhadap maksiat kepada pelajar sama ada di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Garis panduan agama yang jelas membuat sempadan antara yang hak dan batil harus diserapkan dalam setiap modul pengajaran dan pembelajaran.


Ia sepatutnya menjadi salah satu objektif pembelajaran yang wajib diadaptasi mengikut kesesuaian mata pelajaran diajar. Secara tidak langsung, proses pendidikan bukan saja mengajar pelajar, juga mengingatkan pendidik peranan sebagai murabbi.


Pemimpin pula haruslah menjadi model ikutan terbaik kerana mereka harus bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpin. Setiap pemimpin adalah ibu bapa dan pendidik, memegang amanah lebih berat memastikan setiap ahli mengikut aturan hukum yang mutlak.


Justeru, jika ibu bapa, pendidik atau pemimpin sendiri melakukan maksiat kepada Allah, ia adalah ancaman baru dalam dunia hari ini, dan wabak ini tidak boleh dibiar tanpa pembersihan jiwa secara tegar. Wabak maksiat perlu diperangi dan ia harus bermula dari dalam diri sendiri.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 10 Julai 2011

Manusia perlu tangkis 10 perangkap syaitan

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

ALLAH berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (An-Nisa: 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itu sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada syaitan menapak dalam diri.

Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap menguasai tunjang dalam badan manusia.

Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:

Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan.

Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu orang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik Allah pada bila-bila masa saja. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (an-Nahl:23)

Keempat – sifat khianat. Khianat dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah selalu menasihati sahabat Baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan keempat daripada kalangan manusia dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering “ (Riwayat Bukhori dan Muslim).

Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu berasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil.” (Riwayat Muslim).

Kelapan – melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi amat malas berusaha memperolehnya.

Kesepuluh dan terakhir – melalui sifat buruk sangka. Seseorang suka menuduh orang lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itu sebenarnya sudah rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/