Jumaat, 10 Ogos 2012

Qiamullail hidupkan malam Ramadan

Oleh : Rosmidzatul Azila Mat Yamin
 
Hari ini genap 21 hari kita menjalani ibadah puasa. Justeru, masih berbaki sembilan hari lagi untuk kita sempurnakan ibadah puasa dengan memanfaatkan sebaik mungkin sisa-sisa hari yang masih tinggal.

Ramadan awalnya adalah rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka sewajarnya disempurnakan dengan melunaskan ibadah wajib serta memperbanyakkan lagi ibadah sunat bagi meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda. Pada fasa sepuluh terakhir Ramadan, Allah SWT menyediakan malam yang lebih mulia berbanding seribu bulan iaitu lailatulqadar. Pada malam inilah al-Quran diturunkan untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman bagi seluruh umat Islam mengemudi bahtera kehidupan di dunia.

"Carilah lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki taujuh malam terakhir"

Sebahagian ulama berpendapat al-Qadar bermaksud pengagungan. Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat, melimpah rahmat dan keampunan serta pada malam itu Allah SWT ammenganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah.

Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah melakukan ibadah sepanjang Ramadan, pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam lebih mulia daripada seribu bulan ini.

Baginda SAW bersabda: “Carilah lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” (Hadis riwayat Muslim)

Melewati sepuluh terakhir Ramadan, Rasulullah SAW akan mencari lailatulqadar dan menyeru sahabat Baginda supaya turut serta mencarinya dengan menghidupkan malam berkenaan beribadah (qiamullail).
Bahkan, Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya dengan harapan supaya dapat memperoleh lailatulqadar yang penuh keistimewaan dan keberkatan.

Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Ummul Mukminin Saidatina Aishah berkata: “Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila Baginda sakit atau keletihan, Baginda bersolat dalam keadaan duduk.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan Saidina Umar al-Khattab mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau mengejutkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 daripada surah Taha yang bermaksud: “Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”

Sewajarnya teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda dalam menghayati Ramadan serta sepuluh malam terakhir dijadikan pedoman kepada seluruh umat Islam hari ini.

Pedoman ditunjukkan Baginda jelas memberi gambaran betapa tinggi dan bernilai detik terakhir Ramadan yang sedang kita lewati saat ini. Mudah-mudahan masih belum terlambat untuk kita terus beristiqamah melaksanakan ibadah hingga ke penghujung Ramadan bagi memperoleh lailatulqadar.

Penulis pegawai penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 9 Ogos 2012

Di sebalik Nuzul Quran & Lailatulqadar



Oleh : IBRAHIM ABDULLAH

PARA ulama sependapat bahawa peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan, malam Jumaat, tahun ke-41 daripada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ memberi makna turun atau berpindah dari atas ke bawah iaitu al-Quran itu diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia) dengan sekali gus dan bukan beransur-ansur.

Al-Quran bermakna ‘bacaan’ yang di dalamnya terkandung ayat-ayat (tanda-tanda) yang menjelaskan segala perkara meliputi persoalan tauhid, ibadat, jinayah, muamalat, sains, teknologi, tatanegara dan sebagainya. Ahli tafsir memberi pengertian dengan bacaan itu ialah merenung dan memperhatikan segala penciptaan ALLAH SWT di langit dan di bumi yang meliputi alam semesta ciptaan-Nya.

Al-Quran merupakan mukjizat teragung dan terbesar di sepanjang zaman yang dianugerahkan ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman. Al-Quran dapat dipegang, dibaca, dilihat oleh semua manusia untuk panduan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan membaca isi kandungan al-Quran banyak orang mendapat petunjuk terutama dalam kalangan masyarakat Barat.

Manakala ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah surah al-’Alaq, ayat 1 hingga ayat 5 yang bermaksud : “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang belum diketahuinya.”

Hubungan Nuzul al-Quran dan Lailatulqadar amatlah rapat antara satu sama lain sebagaimana diterangkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Firman ALLAH dalam surah al-Qadar (rujuk ayat 1-5).

Dalam hadis, Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan. Para ulama menyatakan malammalam ganjil itu ialah 21, 23, 25, 27 dan 29. Namun malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh ALLAH agar setiap umat Islam menghayati 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Oleh sebab itu sama-samalah kita menghayati peristiwa Nuzul al-Quran sebagai suatu peristiwa besar dan malam Lailatulqadar yang penuh makna dan hikmah itu. Semestinya kita melihat al- Quran sebagai ‘kitab suci’ dan ummul kitab (ibu segala kitab) di bawah kolong langit ini yang memberi panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan dan menyatupadukan ummah manusia seluruhnya.

Memajukan umat Islam daripada perpecahan sesama sendiri, memajukan bidang ekonomi dan pembangunan sejagat, melalui penguasaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi sebagaimana yang diajarkan oleh al-Quran.

Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan menjadi alat dan perkara utama dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan pembangunan bangsa dan negara.

Di samping membaca al-Quran sebagai ibadat, boleh ditingkatkan lagi dengan membaca al-Quran kepada menganalisis, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan dan kajian yang akhirnya memajukan dunia ini, terutama untuk memajukan umat Islam daripada penindasan dan kekejaman dari semua pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Lailatulqadar ganjaran amal seribu bulan


Lailatulqadar adalah malam berlaku pada Ramadan, malam penuh keberkatan kerana Allah SWT mencucuri pelbagai rahmat, keampunan serta keberkatan kepada mereka yang beramal dengan khusyuk, penuh ikhlas.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. (Surah ad-Dukhan, ayat 3) Firman-Nya lagi: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan. (Surah al-Qadr, ayat 1).

Mereka yang beramal pada malam itu, Allah SWT berikan ganjaran kebaikan yang sama nilai dengan beramal seribu bulan. Firman Allah SWT: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah al-Qadr, ayat 3)

Ada beberapa laporan menceritakan sebab Allah SWT menurunkan malam al-Qadar untuk Nabi Muhammad SAW. Menurut Imam Malik, Rasulullah SAW mendapati umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka.

Peluang umat beramal

Baginda SAW memohon kepada Allah SWT memberi peluang umatnya supaya dapat beramal sama nilainya dengan amalan umat sebelum mereka. Berdasarkan permohonan inilah Allah SWT menurunkan lailatulqadar.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat malam itu diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana al-Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan Nabi-Nya bagi menyeru manusia kepada agama dan melepaskan mereka daripada segala kerosakan.

Pendapat ulama

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun.

Ertinya apabila tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, jadi tahun akan datang pada malam berbeza. Hal sama dikatakan Ibn Hazim, lailatulqadar ada kalanya malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Menurut jumhur ulama, malam lailatulqadar berlaku pada malam sama setiap Ramadan iaitu malam 27 Ramadan berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Ubai bin Kaab yang dilaporkan Tirmizi dan hadis daripada Muawiyah yang dilaporkan Abu Daud, Saya mendengar Rasulullah berkata: Carilah lailatulqadar itu pada malam 27 Ramadan.

Namun, dalil paling kuat mengenai lailatulqadar ialah hadis daripada Aisyah yang dilaporkan Imam Bukhari, Carilah sedaya upaya kamu lailatulqadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah kenyataan tidak ada satu dalil jelas menunjukkan bila malam itu berlaku tetapi sepakat dengan hadis daripada Aisyah, ia berlaku pada malam ganjil akhir Ramadan.

Sumber: Buku Adab Ramadan

Selasa, 7 Ogos 2012

Ramadan pencetus budaya Iqra



Oleh : Dr Sidek Baba


Al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 menyatakan Ramadan adalah bulan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan batil. Ia memberi maksud yang sungguh hebat untuk difahami dan dimengerti.

Tentu ada hikmah yang besar Allah SWT menurunkan wahyunya pada bulan Ramadan. Al-Quran terkandung petunjuk, pernyataan mengenai hal akidah, ibadah, syariah dan akhlak sebagai sesuatu yang amat utama. Al-Quran juga terkandung prinsip, kisah, pedoman dan peringatan supaya ia menjadi sumber rujuk untuk mendapatkan bimbingan dari Allah.

Bimbingan ini amat perlu bagi manusia lantaran dengan kekuatan akal manusia ia sangat terbatas. Keterbatasan akal manusia mengetahui atau memahami sesuatu menyebabkan penerimaan makna tidak berlaku.

Al-Quran sebagai hudan linnas

Al-Quran dihubungkan sebagai hudan linnas petunjuk untuk manusia dan hudan lil muttaqeen, petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Begitulah hebatnya al-Quran tidak saja kebaikan ajarannya adalah untuk semua manusia tetapi secara khusus adalah untuk orang yang muttaqeen.

Sebab itu, Islam dihubungkan sebagai rahmah alamiah kerana prinsip dan ajarannya memberi kebaikan kepada umat manusia. Al-Quran memberi keutamaan kepada kepentingan ilmu yang benar dan ilmu yang bermanfaat umpamanya adalah baik untuk manusia dan baik juga untuk orang yang bertaqwa.

Al-Quran menganjurkan orang yang bertaqwa supaya mendukung yang makruf dan menghindarkan kemungkaran. Apabila yang bertaqwa memiliki jiwa tulus dan telus, amanah dan adil ia baik untuk semua manusia. Inilah kekurangan manusia pada hari ini mementingkan diri sendiri, tamak dan bakhil, berpura-pura, oportunis, menzalimi diri dan orang lain dan tidak telus dalam melakukan sesuatu.

Petunjuk yang datangnya dari al-Quran, tidak sekadar maklumat dan ilmu, prinsip dan pedoman, ia adalah hidayah dan barakah Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih. Hudan atau petunjuk bukan sekadar memberi pedoman sesuatu yang zahir tetapi juga batini menghubungkan sesuatu dengan Allah supaya hikmah memahami sesuatu sentiasa dalam reda-Nya.

Sekiranya manusia bertahan dengan kekuatan akalnya saja, ia tidak boleh menjawab persoalan ghaibiyyat yang ada pada agama. Al-Quran sebagai wahyu Allah membolehkan manusia melalui proses tadabbur tidak saja mampu berbicara mengenai yang nyata dan dapat menghubungkannya dengan yang ghaib iaitu Allah.

Membangun budaya Iqra’

Surah yang awal diturunkan dalam bulan Ramadan terhubung dengan budaya iqra’ atau baca yang memberi makna penerokaan terhadap ilmu. Membangun budaya iqra’ bermaksud bagi manusia dengan potensi akliahnya membangun kekuatan berfikir sekali gus dengan potensi rohaniahnya membangun kekuatan iman dan ihsan terhadap Pencipta.

Ilmu adalah suluh bagi manusia. Ia tidak saja memperjelaskan proses ingin tahu manusia terhadap sesuatu tetapi ia juga memberi kefahaman terhadap sesuatu itu dan natijah akhirnya menerima makna akan sesuatu itu. Al-Quran memberi fokus kepada rijal sebagai aspek pembangunan yang paling utama bukan teknologi dan kebendaan. Rijal penting dibangunkan budaya iqra’ ini supaya ia memiliki kualiti ihsan dan insan agar pengurusan dan pembangunan terhadap sesuatu berlaku dalam kerangka amanah dan kesejahteraan untuk manusia.

Sebab itu, iqra dalam konteks al-Quran bukan sekadar harfiah sifatnya untuk maksud pahala semata-mata apabila dibaca, tetapi kandungan tekstual (kitab) itu perlu terhubung secara kontekstual (realiti) supaya pemahaman terhadap realiti hidup, sejarah dan budaya menyebabkan kehidupan manusia terbimbing dan terpedoman.

Al-Quran antara tekstual dan kontekstual

Al-Quran terkandung hikmah yang membimbing manusia terhadap kebijaksanaan. Pembangunan rijal dan sistem tidak saja dirujuk kepada nas, berlaku khulasah dan tafsir tetapi ia diolah dalam kerangka syariah dan fekah supaya sistem dapat diaturkan terus berada dalam acuan syariat.

Ia mampu menjana ilmu dan pemikiran, pendekatan dan strategi, masalahah dan yang aula atau lebih utama supaya umat Islam mampu merancang dengan bijaksana, tidak gopoh terhadap situasi, memiliki daya tawakal yang tinggi, bersyukur dengan apa yang diterima, berusaha untuk terus maju dan memiliki daya kompetensi tinggi dan akhirnya menemui al-falah atau kemenangan secara istiqamah dan bijaksana.

Al-Quran mencela kelompok mustakjilun atau gopoh dengan retorik yang mengapi-apikan emosi dan kehendak atau kelompok pelampau yang tidak memahami waqi’ atau realiti lebih-lebih lagi kelompok yang cetek dan tumpul pembacaannya terhadap senario yang ada dan akhirnya terjebak dalam kemelut inginkan perubahan tetapi tidak memiliki daya untuk mengisi perubahan itu sendiri.

Oleh itu, amat penting dilakukan perimbangan yang bijak supaya yang dikejar itu dapat dan yang dikendung itu tidak berciciran. Emosi dan kehendak yang tidak terkawal dan kegopohan melaksanakan hasrat dan cita-cita sering menimbulkan fitnah dan sengketa sesama umat.

Al-Quran merintis pembangunan Tamadun

Bayangkan Ramadan yang dilalui sebagai sekolah rohhiyyah yang melatih daya kawal diri insan dan disiplin rohaniah yang tinggi, keupayaan mengawal lidah dan nafsu, menjadikan amal - buat contoh teladan yang menjadi sumber ikutan , para abid yang terpancar jiwa ihsan yang tinggi adalah gambaran warga muttaqeen yang mampu mencetuskan zaman dan keadaan ke arah perubahan.

Justeru Ramadan yang dilalui, binaan rohaniah yang dialami dan mengembalikan insan kepada acuan fitrah yang tinggi membolehkan adab dan peradaban lahir. Dunia dan kehidupan hari ini amat memerlukan warga umat yang tidak saja berilmu tetapi amat peka dengan kualiti kemanusiaan tinggi dan akhlak mulia supaya sistem dan negara dapat dibina berasaskan acuan yang fitrah.

Bila Rasulullah SAW mengungkapkan , Addabani rabbi faahsana taa,dibi - Yang Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik ia menggambarkan betapa pentingnya adab diri diperkasa bersumberkan kekuatan hati yang kental dengan rohaniah yang mantap.

Adab yang membawa kepada disiplin diri (ketangkasan berfikir) dan disiplin hati (keupayaan rohaniah yang tinggi) dan disiplin amal (kehebatan amal sebagai contoh ikutan) bakal mencetuskan kehebatan sistem yang tidak saja menawarkan kesejahteraan kepada manusia tetapi kekentalan hubungan dengan Khaliq sebagai Pencipta dan sumber ke atas segala.

Seperti juga lahirnya tamadun Islam yang bertahan berabad-abad berakibat eratnya hubungan ulama dan umara’ seperti berlaku di zaman al-Makmun, al-Mansor, Harun Ar Rashid dan Omar Ab.Aziz yang dicatat oleh zaman sebagai penyumbang tamadun unggul yang seharusnya menjadi sumber reflektif yang tinggi terhadap warga umat yang terkemudian.

Ilmu di zaman itu amat integratif iaitu kesepaduan antara ilmu al-Quran dan akal yang melahirkan warga pendukung tamadun seperti Ibn Suyuti, Ibn Sina, al Khawarizmi, Ibn Khaldun, Imam al Ghazali , Abu Qasim Az Zahrawi dan lain-lain dan menghasilkan peta zaman yang terukir dengan ilmu-ilmu diniah yang tinggi dan memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang.

Lahirnya tradisi kecendekiawan dalam bentuk karya dan penyelidikan hingga menghasilkan kitab besar seperti Qanun ibn Sina, Ihya Ulumuddin Imam al Ghazali, al Muqaddimah Ibn Khaldun dan banyak lagi yang memberikan rintisan kajian dan keilmuan dan tersohor sepanjang zaman.

Sikap terbuka di kalangan ilmuan Islam mengambil faedah berbanding dari budaya dan tamadun lain yang bermanfaat dan dengan daya saring yang tinggi dan diletakkan tasawwur ilmu itu dalam acuan yang Islami. Ilmuan seperti al Biruni menjelajah ke India memanfaatkan ilmu berbanding dalam disiplin matematik, sains, astronomi menggunakan kekuatan bahasa Hind yang dipelajarinya dengan baik. Itulah lambang kehebatan silam yang sepatutnya menjadi sumber teladan pada masa kini.

PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/