Isnin, 16 September 2013

RAHSIA KAABAH


PADA keseluruhannya Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu`jam al-Kabir daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menyatakan: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah, setiap hari 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya.”

Bagaimanapun, ada beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran kelebihannya.

Hajarul Aswad

Hajarul Aswad adalah sepotong batu yang berasal dari syurga. Warna asalnya adalah lebih putih daripada susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang mengucupnya. Pelbagai peristiwa sejarah dilalui oleh Hajarul Aswad. Hinggalah ke hari ini yang masih tinggal daripada Hajarul Aswad adalah sebanyak lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu.

Rukun Yamani

Rukun Yamani adalah penjuru Kaabah yang bertepatan dengan Rukun Hajarul Aswad bagi orang yang sedang tawaf. Ia adalah salah satu daripada dua rukun yang didirikan di atas asas binaan Nabi Ibrahim. Rasulullah SAW menyentuh rukun itu ketika tawaf.

Hijr Ismail

Pada asalnya kawasan Hijr Ismail termasuk dalam binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Ia dikeluarkan dari Kaabah ketika binaan Quraisy. Justeru, solat di dalamnya menyamai solat di dalam Kaabah.

Multazam

Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa. Menurut sebahagian riwayat orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.

Mizab

Mizab adalah pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab berdoa.

Syazarwan

Syazarwan adalah jubin yang dibina di bahagian bawah dinding Kaabah. Tingginya lebih kurang dua kaki. Ia diletakkan untuk menandakan saiz asal Kaabah yang dikurangkan ketika binaan Quraisy berbanding binaan Nabi Ibrahim. Justeru, ia adalah sebahagian daripada Kaabah. Bertawaf di atasnya atau sebahagian anggota badan di atasnya menyebabkan tawaf tidak sah.

Kiswah

Kiswah adalah kelambu atau kain yang menutupi Kaabah. Diriwayatkan orang pertama yang meletakkan kiswah Kaabah adalah Tubba al Himyariyy As`ad Abi Karb. Kiswah Kaabah diperbuat daripada 658 kilogram sutera mentah yang ditenun. Ukurannya selepas siap ditenun adalah 658 meter persegi. Kos pembuatannya adalah 17 juta Riyal Arab Saudi. Kiswah akan diganti dengan yang baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wuquf) setiap tahun.

Makam Ibrahim

Makam Ibrahim adalah batu yang ada kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim. Batu itu sekarang ini diikat dengan perak dan diletakkan di dalam sebuah tempat yang diperbuat daripada tembaga berwarna keemasan. Menunaikan solat di sisi Makam Ibrahim adalah suatu yang mempunyai kelebihan yang besar. Allah berfirman bermaksud : “Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah sebagai tempat berhimpun bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat.” (Surah al-Baqarah, ayat 125)

Telaga Zamzam

Telaga Zamzam adalah sebuah telaga di hadapan Kaabah di kawasan di antara Hajarul Aswad dan Multazam. Ia dikatakan terbit daripada terjahan kaki Nabi Ismail. Ada riwayat yang menyatakan ia terbit hasil pukulan sayap Jibrail. Kelebihan air dari Telaga Zamzam ini dinyatakan di dalam beberapa hadis.

MAKAM IBRAHIM

Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana dugaan atau pendapat sebahagian orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu dan di atas batu itulah Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya.

Di sini kita dituntut berdoa selepas melakukan
sembahyang sunat tawaf 2 rakaat. ::)

Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat.

Atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbasi di sekeliling batu makam Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung.

KISAH ASAL USUL BEKAS TAPAK KAKI NABI IBRAHIM A.S (MAQAM)

Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah S.W.T menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.

Ada dua riwayat yang mengatakan bahwa Allah S.W.T meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.

Satu riwayat lagi mengatakan bahwa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah S.W.T yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, “Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah S.W.T sebaik saja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah S.W.T.

Apabila agama Islam datang, Allah S.W.T mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman Allah yang bermaksud, “Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang.” (surah al-Baqarah ayat 125).

Telaga Zamzam

Telaga Zamzam (atau Zamzam Well, atau Zamzam; B. Arab: زمزم) ialah telaga biasa yang terletak di dalam Masjidil Haram di Makkah, hampir dengan Kaabah, tempat paling suci dalam Islam.

Telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di Mekah satu ketika dahulu. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zamzam ini untuk air wuduk dan perubatan.

Mata air telaga Zamzam

Sejarah

Umat Islam percaya telaga zam-zam dibina oleh Siti Hajar isteri kedua Nabi Ibrahim a.s dan ibu kepada anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail.Siti Hajar dan anak kecilnya Nabi Ismail kehausan di kawasan gurun kering kontang . Lantaran itu Siti Hajar berlari anak 7 kali antara Safa dan Marwa untuk mendapatkan air untuk anak kecilnya itu.Allah menghantar malaikai Jibrail untuk mengeluarkan air suci dari tengah-tengah padang pasir itu. Lokasinya ialah tempat Nabi Ismail menghentak-hentak kaki dan menangis. Siti Hajar mengepong kawasan mata air itu dengan batu-batu dan memanggil zamzam yang bermaksud ‘kepung air’. Ketika itu Mekah belum ada penduduk.

Datuk Nabi Muhamad s.a.w bernama Abdul Muttalib telah menjaga, mengurus dan menjaga keselamatan satu-satunya sumber air di kota Mekah zaman pra Islam.

Riwayat mengatakan sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah. Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah (ibu Nabi Ishaq) dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).

Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.

Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;
Hendak kemanakah engkau Ibrahim?”
Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini?”.

Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.

Siti Hajar bertanya lagi;

Adakah ini memang perintah dari Allah?”

Barulah Nabi Ibrahim menjawab, “ya”.

Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.

Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, ” Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya”.

Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, ” Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit “. Riwayat – At Tabrani dan Ibnu Hibban.

Perkataan “zamzam” dipercayai berasal daripada ungkapan “zomk-zomk” bermakna “berhenti mengalir” – yang diluahkan oleh Siti Hajar dalam percubaannya menakung air yang berhamburan keluar.

Menurut hadis, Abu Tharr Al-Ghifari, sahabat Nabi Muhammad S.A.W, berkata semasa beliau mula-mula tiba di Mekah pada zaman permulaan Islam, beliau hidup dengan meminum air zamzam selama sebulan.


Maklumat fizikal

Telaga zamzam dalamnya 30 meter sahaja dan kedalaman air hanya 3.32 meter. Dapat bayangkan. Ada beberapa punca mata air di bawah 13 meter.

Ujian mengeluarkan air pada kelajuan 8000 liter/second selama tempoh 24 jam menunjukkan paras air surut dari para 3.23 meter kepada 12.72 meter dan kemudian 13.39 meter selepas itu. Paras air kembali normal ke paras 3.9 meter selepas 11 minit.

Semasa ibadah umrah dan haji, para jemaah telah meniru larian Siti Hajar dari Safa ke Marwa sebanyak 7 kali yang dikenali ebagai ibadah Sae’i. Air zamzam dapat mengubat penyakit mental. Jenazah yang meninggal dunia dimandikan dengan air zamzam.

Jabatan Geologi Arab Saudi telah membuat kajian tentang cara pengurusan air zamzam dan menambah jumlah air bagi menampung keperluan jemaah semasa menunaikan haji, membawa balik untuk saudara-mara dan pelbagai tujuan lain.

Kajian menunjukkan air zamzam mengandungi pelbagai mineral seperti kalsium, magnesium dan fluorida. 

Sudah semestinya air Zamzam adalah terbaik didunia.

Ahad, 8 September 2013

Amanat pengurusan LTH


Oleh  : DATUK SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN

IBADAT haji merupakan ibadat yang perlu dilaksanakan bagi setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa.

Hampir 3.5 juta umat Islam seluruh dunia berkumpul setiap tahun untuk melaksanakan ibadat ini. Mereka datang dari pelbagai pelosok dunia, bangsa dan budaya berhimpun pada satu waktu di Mekah al-Mukarramah.

Kepelbagaian budaya dan adat resam inilah menuntut keimanan yang tinggi, kesabaran yang jitu dan sifat pengorbanan serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain lahir daripada ketakwaan seseorang Muslim itu.

Kepada bakal haji yang terpilih bagi menunaikan haji, ini merupakan jemputan daripada Allah SWT sebagai tetamu-Nya.

Justeru, bakal-bakal haji perlulah membuat persediaan sama ada dari segi ilmu, rohani, jasmani dan spiritual. Bakal haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah melalui kursus dan bahan penerbitan TH.

Selain memahami proses-proses urusan haji di Tanah Suci dan menyediakan keperluan, sama ada daripada segi pakaian, peralatan dan memperoleh maklumat berhubung keadaan di Mekah dan Madinah agar dapat melakukan ibadat haji dalam keadaan tenang dan mengharapkan keredaan Allah.

Apabila bakal-bakal haji menjejakkan kaki di sana, mereka perlulah mengikut panduan dan arahan yang diberikan oleh petugas-petugas haji bagi memudahkan pergerakan mereka.

Bakal-bakal haji hendaklah mengambil berat akan maklumat yang disampaikan oleh petugas-petugas TH demi melancarkan pergerakan dan keselamatan jemaah haji.

Bergeraklah secara berkumpulan serta sentiasa memakai gelang dan lencana pengenalan haji sebagai pengenalan diri jika ada berlaku kesulitan seperti tersasar, sakit dan lain-lain.

Jika bakal haji ada keraguan tentang ibadat haji dan umrah pula, rujuklah pada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) supaya segala ibadat haji dapat dilaksanakan dengan betul dan sempurna sebelum kembali ke Tanah Air.

Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada jemaah haji daripada segi penyelesaian kemusykilan hukum-hakam ibadah haji, TH telah menyediakan satu Talian Ibadat di Tanah Suci atau ringkasnya TAIB dengan talian 02-5706161.

Talian ini memberi kemudahan kepada bakal-bakal haji untuk membuat pertanyaan mengenai hukum-hakam ibadat haji dan umrah melalui talian telefon pada ketika permasalahan timbul, tidak kira di mana mereka berada.

Selain itu, TH turut menyediakan Pusat Bantuan Tanah Suci. Jemaah haji boleh memohon bantuan jika menghadapi kesulitan dengan menghubungi Pusat Bantuan Tanah Suci di talian 02-5704433. TH dengan barisan petugas mereka yang ada akan cuba membantu para jemaah haji berkenaan.

Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan nama baik negara kerana jemaah dari Malaysia sangat dipandang tinggi oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji contoh.

Mereka hendaklah sentiasa mengikut peraturan dan nasihat daripada TH serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik negara seperti demonstrasi dan melanggar peraturan Kerajaan Arab Saudi.

Semasa berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina, jemaah haji hendaklah sentiasa bersabar, bertolak-ansur dan tolong-menolong sesama jemaah haji. Ilmu kendiri dan pengurusan diri amatlah berguna semasa di Masya'ir. Ini kerana pergerakan hampir 3.5 juta manusia pada masa yang sama dan menuju ke destinasi yang sama tentunya akan menyebabkan berlaku kesesakan di jalan raya dan masalah-masalah lain. Jemaah perlu berdoa agar perjalanan hajinya dapat dilakukan dengan sempurna dan dipermudahkan.

Di samping itu, kemudahan yang terhad di Mina memerlukan kesabaran, sikap bertolak-ansur dan pengurusan kendiri yang baik. Selain itu semasa aktiviti melontar, jemaah haji hendaklah keluar melontar mengikut jadual yang ditentukan oleh Kementerian Haji. Bergeraklah dalam kumpulan dan mengikut panduan daripada pengurus-pengurus maktab agar ia dapat berjalan dengan baik dan selamat.

Bagi mereka yang ingin menghantar barang mereka ke tanah air selain bersama dengannya dalam kapal terbang, jemaah haji boleh menggunakan kemudahan khidmat bagasi yang disediakan oleh syarikat-syarikat yang dilantik oleh TH.

Akhir kata, bakal haji perlulah bersiap sedia dengan maklumat perjalanan, barang-barang keperluan dan buku-buku panduan sebagai persediaan menghadapi perjalanan haji ini. Ingatlah perjalanan ini adalah perjalanan ibadat bukan perjalanan lawatan pelancongan. Satu perjalanan menuju Ilahi.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menunaikan haji. Semasa kembalinya tuan-tuan dan puan-puan nanti ke tanah air seolah-olah kembalinya itu seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya, suci bersih dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.


PENULIS ialah Pengurus Besar Kanan (Haji)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/


Kejuruteraan kimia dalam Al-Quran


Oleh : AL-MUHANDISAH

DI dalam Al-Quran, terkandung ayat-ayat yang mengajar manusia mengenai sains dan teknologi, contohnya kejadian manusia di dalam Surah Al-Alaq (kejadian) dan penggunaan besi  di dalam Surah Al-Hadid (besi). Menjadi kewajipan umat Islam memahami intipati Al-Quran yang merupakan kalam Pencipta (Allah) kepada kejadian yang dicipta (manusia) sebagai panduan hidup yang meliputi segala bidang, termasuklah bidang kejuruteraan kimia.

Ayat 7 dan 8 di dalam Surah Al- Zalzalah (gempa bumi) berbunyi: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan melihat (pahalanya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan melihat balasannya."

Ia memberikan gambaran kepada manusia bahawa mereka akan menjalani hisab dan jaza' (pembalasan) sebelum dimasukkan sama ada ke syurga atau neraka di atas kebaikan dan kejahatan yang mereka lakukan semasa di dunia walaupun perbuatannya sebesar zarah. Perkataan 'zarah' ini dalam istilah kimia merujuk sama ada kepada molekul, atom ataupun ion yang terlalu seni (kecil) yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan terhad untuk dilihat dengan peralatan saintifik yang canggih serta kompleks seperti Transmission Electron Microscopy (TEM) dan Nuclear Magnetic Resonance (NMR).

Saiz satu zarah boleh bermula dengan pengukuran terkecil Angstrom meter (x10-10m). Manusia mempercayai kewujudan molekul, atom dan ion yang abstrak (pada saiz Angstrom meter) walaupun tidak dapat dilihat, disentuh dan dirasa.

Apabila molekul, atom dan ion membentuk atau bergabung menjadi sebatian bahan, barulah sifat-sifatnya dapat dilihat, disentuh dan dirasai. Contoh sifat-sifat tersebut seperti warna, bentuk, fasa, kebolehlarutan, menghakis dan sebagainya. Konsep ini sama dengan konsep ketuhanan, yang tidak dapat dilihat, didengar, dirasa dan disentuh, tetapi masih ada manusia yang tidak mempercayai kewujudan  Penciptanya.

Apabila manusia mula mempercayai kewujudan zarah, muncullah bidang pengajian asas kimia sehinggalah ia berkembang menjadi bidang kejuruteraan kimia bagi pembangunan dan perkembangan kehidupan manusia seterusnya. Teori awal kewujudan atom telah dikesan oleh ahli falsafah Greek iaitu Democritus dan seterusnya telah dimodenkan lagi konsepnya dan teorinya oleh John Dalton sekitar 1803.

Di dalam ayat Al-Zalzalah ini, Allah swt menerangkan bahawa besarnya impak perkara baik dan buruk yang kita lakukan semasa di dunia akan memberi kesan kepada kehidupan manusia dan alamnya walaupun sebesar zarah. Konsep impak yang besar ini walaupun sebesar zarah perlulah diambil perhatian oleh seorang jurutera kimia dalam menjalankan tugasnya mengawal proses kimia harian dalam bidang industri.

Sifat-sifat zarah ini perlu difahami serta dihalusi dengan teliti agar tidak memberi kemudaratan dan permasalahan di dalam sesuatu proses kimia yang berskala atau bersaiz besar. Sifat-sifat zarah seperti kebolehlarutan, potensi kimia, corak taburan cas, daya tarikan, daya tolakan, saiz molekul, keelektronegatifan, kebolehan membentuk ikatan kimia seperti ikatan hidrogen pada skala mikroskopik antara yang akan mempengaruhi sifat proses kimia pada skala mikroskopik seperti kebolehaliran, ketumpatan, termodinamik, perubahan fasa dan kebolehcampuran.

Antara contoh yang ketara kenapa sifat dan kelakuan molekul perlu difahami ialah pembentukan pepejal hidrat semasa proses pengeluaran gas hidrokarbon dari telaga simpanan gas dan minyak. Campuran gas hidrokarbon-air itu mempunyai gas lain juga seperti NOx, SOx yang menyebabkan molekul NOx, H2S, SOx lebih tertarik kepada molekul air bagi membentuk ikatan hidrogen yang kuat dan banyak.

Lama-kelamaan apabila kepekatan (bilangan molekul) campuran air, NOx, SOx makin bertambah, titik supersaturasi akan dicapai untuk memacu perubahan fasa gas kepada pepejal yang bersaiz nano.

Pepejal bersaiz nenometer (x10-9m) ini kemudian akan semakin besar membentuk kerak pada dinding pada aliran paip. Kerak ini akan lebih membesar seperti yang berlaku pada paip singki di dapur kita yang akan menyebabkan aliran bendalir tersumbat. Seterusnya, ia akan menyebabkan operasi pengeluaran tergendala serta menyebabkan kerugian kos beratus juta ringgit.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman, para saintis dan jurutera dari syarikat terkemuka seperti Shell, BP, BASF, GlaxoSmithKlime dan Pfizer telah lama mengkaji dan memahami sifat asal zarah dalam peringkat pembangunan proses dan produk industri kimia mereka agar dapat dikawal dengan baik bermula daripada peringkat molekul.

Sebagai kesimpulan, jurutera kimia perlulah mula melakukan anjakan ilmu untuk memahami proses yang mereka kendalikan bermula dari peringkat molekul yang sejajar dengan saranan Al-Quran kepada manusia.

Jurutera kimia juga haruslah berpegang teguh dalam mengamalkan etika profesyen kejuruteraan yang betul kerana setiap tindakan yang dilakukan akan memberikan impak yang besar kepada manusia dan alam sekeliling kita.

Nota: Penulis pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Pahang.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/