Isnin, 31 Januari 2011

Berhati-hati pilih jersi pasukan bola

Contoh-contoh lambang pasukan bola sepak yang terang-terang ada lambang salib.


Oleh Muhammad Asyraf

Islam beri panduan berpakaian termasuk larangan guna lambang agama lain


RAMAI meminati pasukan bola sepak tertentu dan sokongan dizahirkan dengan memiliki jersi pasukan berkenaan. Namun, disebabkan terlalu minat dan ingin dilihat sebagai sebahagian daripada pasukan terkenal itu, ada antara kita terlepas pandang beberapa aspek yang perlu dipelihara.

Ini termasuk soal pemilihan pakaian menurut Islam hingga jersi yang mempunyai simbol keagamaan seperti lambang salib kita pakai ke sana sini sehingga membawa ke tikar solat.

Menurut Ibn Abbas seperti dinukilkan daripada Tafsir Ibn Kathir, orang pertama memperkenalkan seksaan ke atas manusia dengan kaedah menyalib ialah Firaun. Sehingga pada zaman Nabi Isa, ia dipercayai oleh orang Yahudi dan Nasrani bahawa Nabi Isa disalib.

Rentetan peristiwa itu, maka salib dijadikan lambang keagamaan bagi Nasrani. Disebabkan itu juga, antara tugas yang akan dilaksanakan dengan kebangkitan Isa al-Masih pada akhir zaman ialah menghancurkan salib.

Sahih Bukhari dalam bab kisah para nabi, Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Rabb yang jiwaku ini di tangan-Nya, sungguh sudah dekat saat turunnya (Isa) anak Maryam kepada kalian sebagai hakim yang adil. Dia akan menghancurkan salib, membunuh khinzir, menghapus jizyah dan akan melimpah ruah harta benda (disebabkan keadilannya) sehingga tidak seorang pun mahu menerimanya dan sehingga satu kali sujud lebih baik baginya daripada dunia dan seisinya.”

Islam menggariskan beberapa panduan berpakaian dan ada lapan syarat digariskan ulama berdasarkan penelitian mereka berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah untuk dipatuhi iaitu menutup aurat serta tidak jarang sehingga menampakkan kulit tubuh (khususnya bahagian aurat).
Pakaian juga tidak sendat sehingga menampakkan bentuk aurat, tidak menyerupai pakaian perempuan bagi lelaki dan sebaliknya bagi perempuan, tidak berlebihan atau menzahirkan kesombongan, bukan diperbuat daripada material diharamkan dan tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasik.

Imam Bukhari dalam bab al-Libas (pakaian) memasukkan hadis Nabi SAW daripada Aisyah katanya: “Rasulullah tidak pernah membiarkan sesuatu yang bersalib dalam rumahnya melainkan beliau menghancurkannya.”

Memakai jersi yang mempunyai lambang salib atau lambang agama lain adalah satu penyerupaan dalam menzahirkan pakaian orang kafir. Ia dilarang keras dalam Islam berdasarkan kisah disampaikan Ali.

Katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah kamu daripada memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukan daripadaku.” (Riwayat Imam ar-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat)

Memakai jersi tidak menyerupai pakaian orang kafir secara khusus, namun kewujudan lambang salib pada jersi itu yang menimbulkan penyerupaan kerana salib sudah sedia dikenali sebagai lambang agama Kristian.

Seorang Muslim amat membenci kekufuran, dosa dan maksiat. Justeru, ia tidak akan reda sebarang lambang kufur atau pelaku dosa dan kaki maksiat untuk berada pada badannya atau dilihat pada pakaiannya.

Ini jelas kerana kita diminta membenci sebarang bentuk kekufuran dan kemaksiatan. Antara doa diajar Nabi SAW ialah: “Ya Allah, jadikanlah kami kasih kepada iman, hiasilah iman itu dalam hati kami, tanamkanlah dalam diri kami kebencian kepada kekufuran, kefasikan dan maksiat. Jadikanlah kami di kalangan orang yang mendapat petunjuk.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari ‘Abid bin Fifa’ah az-Zarqi)

Perbuatan meredai kekufuran adalah dilarang, apatah lagi kita mempromosikannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jangan tolong-menolong dalam perkara dosa dan pelanggaran.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Begitu juga Imam al-San’ani dalam kitabnya Subul al-Salam memasukkan hadis diriwayatkan Abu Ya’la daripada hadis Ibnu Mas’ud katanya: “Siapa yang reda dengan perbuatan suatu kaum, maka orang itu termasuk di kalangan mereka.”

Bahkan ada sebahagian ulama menyatakan larangan lebih keras kerana perbuatan itu melambangkan ada sembahan setanding dengan Allah seperti dinyatakan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis riwayat Bukhari berkenaan pemakaian baju mempunyai lambang salib ketika solat.

Kesimpulannya, setiap Muslim perlu menanggalkan pakaian itu malah, tidak dibolehkan baginya mengambil salib baik untuk digantungkan atau tidak digantungkan, dipasang atau tidak dipasang. Juga tidak boleh baginya menampakkan syiar itu di jalan kaum muslimin, tempat umum atau khusus dan tidak menampalkan di bajunya.

Diriwayatkan daripada ‘Adi bin Hatim, aku mendatangi Nabi SAW sementara di leherku ada salib daripada emas. Maka Baginda bersabda: “Buanglah berhala itu daripadamu.” (Al Mausu’ah al Fiqhiyah)

Ada yang akan mengatakan, setiap perbuatan itu berdasarkan niat masing-masing atau kami hanya mengenakan jersi pasukan kegemaran kerana terlalu meminati pasukan itu dan bukan untuk bermegah dengan lambang salib.

Namun, niat tidak menghalalkan perbuatan yang jelas zahirnya menyimpang daripada ketetapan agama. Apatah lagi membabitkan persoalan akidah kerana tidak semestinya tidak memakai pakaian mempunyai lambang salib menghalang anda daripada meminati pasukan itu.

Bukankah cintakan Allah itu melebihi cinta kita kepada yang selain-Nya. Atau, atas alasan ‘minat’ dan ‘sokong’ maka kita meleraikan janji setia cinta kita kepada Sang Pencipta.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 25 Januari 2011

Tiru perbuatan orang kafir, fasik haram

BERTINDIK anggota badan selain telinga haram kerana perbuatan itu meniru orang kafir dan memudaratkan kesihatan.

Remaja bertindik selain anggota telinga, bertatu bertentangan dengan tatasusila Muslim


HUKUM asal bagi perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. Ini berdasarkan dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Salah satu contoh perhiasan yang diamalkan ialah menindik anggota badan dengan meletakkan barang perhiasan, sama ada berbentuk emas, perak dan berlian. Amalan bertindik menjadi kecenderungan remaja masa kini.

Kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia sejak dulu mengenali amalan bertindik hanya terbatas di bahagian telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh budaya luar membuatkan semakin ramai bertindik di bahagian selain telinga, seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ia sudah mula melarat kepada golongan lelaki.

Sebenarnya perbuatan bertindik adalah amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Abbas katanya: “Pada suatu hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal.”

Dalam hadis berkenaan, isyarat yang diberikan wanita (sahabiyyah) berkenaan adalah anting-anting. Ia perhiasan diketahui umum sejak dari zaman awal Islam dan perhiasan ini khusus kepada golongan wanita.
Disebabkan itulah golongan lelaki dilarang daripada menindik telinga mereka kerana ia dengan jelas menyalahi kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Lelaki yang menyerupai wanita dengan mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang dalam Islam.

Itu permasalahan menindik telinga. Bagaimana pula mereka yang menindik di kawasan selain telinga? Perbuatan menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan salafussaleh. Namun ia bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini.

Walaupun tidak dibincangkan secara khusus dalam nas jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad ulama semasa.

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat).

Jelasnya, amalan bertindik selain anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim. Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa membawa manfaat jelas.

Tambahan, menyeksa diri dan dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan mampu mendekatkan pelaku dengan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B.

Permasalahan mengenai tindik sudah dijelaskan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang menyatakan perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

Selain bertindik, remaja kini juga gemar bertatu dan melihat perbuatan itu seolah-olah tidak menjadi kesalahan dari sudut pandang agama. Mengukir badan sendiri dengan melakarkan corak atau bentuk tertentu sehinggakan kesakitan dianggap satu kepuasan.

Bahkan ada yang berbangga memiliki tatu di badan dengan mempertontonkan kepada orang ramai sedangkan ia membawa imej seorang Muslim.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan, bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW.

Bagi yang sudah tergelincir dan ingin kembali ke pangkal jalan, timbul pula persoalan untuk menghilangkan tatu yang ada. Ada segelintir yang menyeksa tubuh badan mereka semata-mata untuk menghilangkan tatu. Malah, ada yang menggunakan seterika.

Memang benar taubat dapat menghapuskan dosa, namun taubat juga perlu bertepatan dengan caranya.

Jika menanggalkan tatu itu mendatangkan kemudaratan atau membuatkan anggota badan nampak jelik, maka harus membiarkannya dan memadai dengan taubat (baik lelaki mahupun wanita).

Ini pandangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari. Pandangan ini juga dinukilkan dari ulama semasa iaitu Dr Muzzamil dan bekas Mufti Kerajaan Saudi, Syeikh Abd Aziz bin Baz dalam fatwa beliau.

Pandangan ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Namun, tatu itu tetap wajib ditanggalkan jika ada teknologi yang dapat menanggalkannya dengan mudah dan tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Tidak kira zaman mana pun kita, etika berhias terbaik adalah pakaian takwa. Semoga dengan mengikut suri teladan terbaik iaitu Baginda Nabi SAW, membuatkan kita terselamat daripada segala kecintaan melebihi dari cinta kepada Baginda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 22 Januari 2011

Akhlak Islam : Mencontohi tabiat, cara makan Rasulullah

Pemakanan Seimbang

Oleh Mohd Amri Abdullah

Diet seimbang, amalan pemakanan sihat pelihara Muslim daripada serangan penyakit

KESEMPURNAAN Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah tiada tolok banding yang menjadi ikutan Muslim sedunia termasuk diet makanan Baginda.

Rahsia Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang."

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan gaya hidup mewah masa kini (makan makanan tinggi lemak dan kurang bersenam) menyebabkan peningkatan penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, diabetes dan kanser.

Pertubuhan Jantung Amerika Syarikat menyarankan, semua kanak-kanak dan orang dewasa perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal sederhana pada kebanyakan hari atau sebaik-baiknya setiap hari dalam seminggu.

Daripada Aisyah, “Bala yang pertama sekali berlaku kepada umat ini sesudah kepergian Nabi SAW ialah kekenyangan perut, sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan bermaharajalela syahwatnya.” (Hadis riwayat Bukhari ).

Selain menjaga kebersihan, Rasulullah SAW makan makanan seimbang, makan perlahan-lahan, sederhana dan berkongsi makanan. Rasulullah SAW suka makan susu, buah-buahan, tamar, daging, madu, sayur dan bubur kerana makanan itu mempunyai khasiat yang tinggi.

Susu adalah makanan lengkap, kaya dengan protien, kalsium, vitamin A dan B, zat protien berkualiti tinggi penting untuk membina dan membaiki tisu badan serta membentuk antibodi melawan jangkitan penyakit.

Zat kalsium dalam susu mudah diserap oleh badan, penting untuk elak ‘osteoporosis’. Susu juga mengandungi zat fosforus, magnesium, potassium, Vitamin B2 (riboflavin) dan Vitamin D. Susu lembu mempunyai 87 peratus air dan 13 peratus pepejal.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang yang meminumnya.” (Surah An-Nahl, ayat 66)

Buah kurma (serasi dengan tubuh badan manusia), anggur, zaitun, delima mengandungi serat semula jadi yang tinggi (penting untuk mengelak sembelit), Vitamin A (penting untuk mata/penglihatan), gula, berbagai vitamin dan mineral serta air penting bagi kesihatan badan.

Siti Maryam menggoncangkan pohon kurma selepas melahirkan anaknya Nabi Isa untuk dijadikan ubat berkhasiat dan memulihkan tenaga.

Firman Allah bermaksud: “Dan goyangkanlah pangkal pokok kurma itu ke arah mu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenanglah kamu.” (Surah Maryam, ayat 25)

Daging juga menjadi sumber zat protien yang utama untuk tumbesaran manusia, membekal lemak, vitamin dan mineral (zat besi dan zink). Lantaran itu Rasulullah SAW menggemari makanan rendah lemak dan kolesterol.

Sementara, madu kaya dengan gula, sedikit air, vitamin dan mineral penting untuk kesihatan. Selepas subuh, Rasulullah SAW memulakan sarapannya dengan segelas air dicampur sesenduk madu asli. Di tinjau dari ilmu kesihatan, madu berfungsi membersihkan lambung, mengaktifkan usus, menyembuhkan sembelit dan peradangan.

Masuk waktu dhuha, Rasulullah SAW selalu makan tujuh biji kurma ajwa’ untuk menghindari keracunan. Ketika seorang wanita Yahudi meletakkan racun dalam makanan Rasulullah ketika perang Khaibar, bisa racun itu kembali tawar oleh zat-zat terkandung dalam kurma. Sebab itu Rasulullah SAW mengibaratkan orang yang rumahnya tiada kurma sebagai orang miskin.

Rasulullah SAW tidak makan dua jenis makanan panas atau dua jenis makanan dingin secara bersamaan. Beliau juga tidak makan ikan dan daging dalam satu waktu dan tidak tidur selepas makan kerana tidak baik untuk jantung.

Jika terlalu banyak makan daging akan memberi kesan kepada sendi dan ginjal. Saidina Umar memperingatkan: “Jangan kau jadikan perutmu sebagai kuburan bagi haiwan ternak.”

Rasulullah SAW melarang (makruh) meniup atau menghembus nafas ke dalam bekas air kerana akan berlaku tindak balas yang merubah kadar kealkalian (pH) air itu.

Sayur-sayuran menjadi pilihan Rasulullah SAW kerana secara umumnya sayur-sayuran memiliki kandungan zat dan fungsi memperkuat daya tahan tubuh dan melindungi daripada serangan penyakit serta mencegah penyakit berpunca daripada gula.

Rasulullah SAW makan cuka dan minyak zaitun yang dicampurkan dengan makanan asasi seperti roti. Ia bermanfaat mencegah lemah tulang, melancarkan sembelit, menghancurkan kolestrol, melancarkan pencernaan dan menjaga suhu tubuh pada musim sejuk.

Baginda melebihkan makanan berasaskan bijirin dan ubi kerana ia membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin, mineral dan serat. Mengikut piramid makanan, kita disarankan mengambil 8 hingga 12 hidangan makanan berasaskan bijirin dan ubi dalam sehari.

Ini bermakna Rasulullah SAW meninggalkan tatacara makanan yang lengkap untuk diteladani. Namun, umat Islam masih dibelenggu pelbagai penyakit yang menyebabkan perbelanjaan orang Islam dihabiskan untuk perubatan serta makanan tambahan.

Oleh itu, untuk membentuk kesinambungan generasi Islam, maka tabiat dan cara makan harus mencontohi Rasulullah SAW.

Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis riwayat Huzaifah).

Hukama’ ada berkata: “Kesihatan itu adalah mahkota di atas kepala orang yang sihat dan ia tidak dapat dilihat melainkan orang yang sakit dan perut adalah kepala segala penyakit dan pencegahan itu adalah kepala segala ubatan.”

Penulis ialah Penolong Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/