Selasa, 31 Januari 2012

MENGENALI WALI SONGO


SALAH seorang Wali Songo yang terkenal ialah Sheikh Maghribi. Beliau juga dikenali dengan nama Maulana Malik Ibrahim, Sunan Gresik juga dikenal dengan nama Maulana Maghribi (Syeikh Maghribi) kerana beliau dikatakan berasal dari wilayah Maghribi (Afrika Utara).

Namun hingga kini tidak diketahui secara pasti sejarah tentang tempat dan tahun kelahirannya.

Beliau dikatakan lahir sekitar pertengahan abad ke-14. Beliau berasal dari keluarga Islam yang taat beragama, dan beliau mempelajari agama Islam sejak kecil, namun tidak diketahui siapa gurunya, hingga beliau kemudiannya menjadi seorang ulama.

Sunan Gersik


Sunan Gersik diyakini sebagai pelopor penyebaran agama Islam di Jawa. Beliau berdakwah secara intensif dan bijaksana. Sunan Gresik bukan orang Jawa, namun beliau mampu memahami keadaan masyarakat yang dihadapinya dan menerapkan kaedah dakwah yang tepat untuk menarik perhatian masyarakat kepada Islam.

Usaha menghilangkan sistem kasta dalam masyarakat pada masa itu menjadi objek dakwah Sunan Gresik. Cita-cita dan perjuangannya menyebarkan Islam di Jawa kemudian diteruskan oleh anaknya, Sunan Ampel.

Sunan Giri

Sunan Giri ialah putera Maulana Ishak. Nama asalnya Radin Paku. Beliau ditugaskan oleh Sunan Ampel untuk menyebarkan agama Islam di Blambangan. Sunan Giri pernah belajar di Pesantren Ampel Denta.

Setelah dewasa, dalam perjalanan menunaikan haji bersama-sama Sunan Bonang, beliau singgah di Pasai untuk mendalami ilmu agama.

Sekembalinya ke Jawa, Sunan Giri membina pondok pengajian agama di daerah Giri. Beliau banyak menghantar pendakwah ke Bawean (Madura), bahkan juga ke Lombok, Ternate dan Tidore di Maluku. Makam Sunan Giri atau Raden Paku terletak di Bukit Giri, dekat Gresik, Jawa Timur.

Syarif Hidayatullah

Nama asal Sunan Gunung Jati ialah Syarif Hidayatullah. Beliau adalah cucu raja Pajajaran yang lahir di Mekah. Setelah dewasa, beliau memilih untuk berdakwah di Jawa. Di Jawa, beliau bertemu bapa saudaranya, Raden Walangsungsang (Pangeran Cakrabuana).

Setelah bapa saudaranya meninggal dunia, beliau menggantikan bapa saudaranya dan Berjaya menjadikan Cirebon sebagai kerajaan Islam pertama di Jawa Barat.

Beliau juga adalah pengasas Kesultanan Banten yang bermula dengan puteranya, Sultan Maulana Hasanuddin. Atas inisiatif Sunan Gunung Jati, Sunda Kelapa diserang diserang pada 1527 di bawah pimpinan Fatahillah, panglima perang Kesultanan Demak yang juga menantu Sunan Gunung Jati.

Sunan Muria

Sunan Muria ialah salah seorang Wali Songo yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di kawasan desa. Putera Sunan Kalijaga ini suka menyendiri dan tinggal di desa bersama-sama rakyat biasa.

Dalam menyebarkan Islam, Sunan Muria selalu menjadikan desa terpencil sebagai tempat dakwahnya.

Sinom dan Kinanti

Seperti para Wali Songo yang lain, Sunan Muria juga menggunakan kesenian sebagai cara berdakwah. Dua puisi yang diciptanya dan sangat terkenal ialah puisi Sinom dan Kinanti.

Puisi Sinom umumnya menggambarkan suasana ramah-tamah dan mengandungi nasihat. Puisi Kinanti pula bernada gembira dan digunakan untuk menyampaikan ajaran agama, nasihat dan falsafah hidup.

Sunan Drajat

Sunan Drajat dikenal sebagai seorang wali yang berjiwa sosial tinggi. Beliau banyak memberikan pertolongan kepada yatim piatu, fakir miskin, orang sakit dan orang susah.

Perhatiannya yang besar terhadap masalah sosial sangat tepat pada masa itu kerana beliau hidup pada masa keruntuhan Kerajaan Majapahit (sekitar 1478).

Rakyat pada ketika itu dalam keadaan kacau-bilau dan menyedihkan. Sunan Drajat juga menggunakan media kesenian semasa berdakwah. Untuk itu, beliau mencipta puisi Jawa yang hingga kini masih digemari, iaitu puisi Pangkur.

Sunan Kudus

Sunan Kudus atau Jaafar Sadiq digelar wali al-'ilmi (orang berilmu luas) oleh para Wali Songo kerana mempunyai keahlian khusus dalam bidang agama.

Oleh sebab kepakarannya itu, beliau banyak dikunjungi oleh para penuntut dari pelbagai wilayah.

Beliau juga diamanahkan untuk mengendalikan pemerintahan di daerah Kudus. Beliau menjadi pemimpin agama dan juga pemerintah di wilayah itu.

Masjid Menara Kudus

Sebagai permulaan untuk menyebarkan Islam, Sunan Kudus membina sebuah masjid di daerah Loran pada 1549. Masjid itu diberi nama Masjid al- Aqsa atau al-Manar.

Wilayah sekitarnya disebut Kudus, nama yang diambil daripada nama kota al-Quds (Baitulmaqdis di Palestin) yang pernah dikunjunginya.

Masjid itu kemudian dikenal dengan nama Masjid Menara Kudus kerana di sebelahnya terdapat menara tempat beduk masjid. Masjid yang dibina oleh Sunan Kudus ini juga merupakan salah satu masjid tertua di Indonesia.

Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga berasal dari suku Jawa asli. Beliau berdakwah dengan cara berkelana. Dengan wawasan yang luas dan pemikiran yang tajam, Sunan Kalijaga tidak hanya disukai oleh rakyat, tetapi juga oleh cendekiawan dan pemerintah. Raden Fatah dari Kesultanan Demak sering kali meminta nasihatnya.

Dandanggula


Sunan Kalijaga juga dikenal sebagai budayawan dan seniman (seni suara, ukir dan busana). Beliau mencipta aneka cerita wayang yang berunsur Islam, Sunan Kalijaga memperkenalkan sejenis wayang yang diperbuat daripada kulit kambing (wayang kulit), kerana pada masa itu wayang selalunya dilukis pada seperti kertas lebar (wayang beber). Dalam seni suara, beliau ialah pencipta lagu Dandanggula. Sebahagian dari lirik lagu Dandanggula ciptaan Sunan Kalijaga adalah tentang rukun iman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 28 Januari 2012

Facebook, Twitter antara punca cerai


Oleh Lokman Ismail
bhagama@bharian.com.my


Perhatian, penuh kasih sayang, setia elak perangkap cinta siber

KADAR perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Kes perceraian membabitkan pasangan semua peringkat taraf pendidikan, kekayaan, status dan usia perkahwinan. Golongan kaya dan selebriti yang dianggap menikmati kehidupan ‘sempurna’ di mata masyarakat turut tidak terlepas mengalami keruntuhan rumah tangga.

Soal nikah dan cerai tidak boleh dipandang mudah kerana memberi kesan yang besar kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Perceraian ialah perkara halal paling dibenci dalam Islam, yakni perkara perlu dielak daripada berlaku melainkan untuk mencari keadilan dan menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam rumah tangga.

Hidup berumah tangga banyak cabarannya, umpama melayari bahtera di lautan gelora dan luas tanpa tepian. Justeru, setiap pasangan suami isteri perlu menggunakan pendekatan berhemah dan berlapang dada dalam mendepani rencah kehidupan berumah tangga.

Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang. Semua makhluk berhak mendapat kehebatan erti kasih sayang jika mereka benar-benar memahami anugerah yang Allah SWT berikan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan daripada golongan kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram. Dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Tanpa perasaan kasih sayang, kekayaan tidak dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Banyak pasangan bertaraf jutawan mengakhiri perkahwinan dengan perceraian. Selepas perceraian, harta pula menjadi rebutan sehingga dibawa kes tuntutan ke mahkamah.

Hal ini berlaku akibat terlalu terpengaruh dengan budaya masyarakat Barat yang mana apabila berlaku perceraian, soal pembahagian harta menjadi agenda utama.

Satu fenomena baru melanda masyarakat sekarang hingga menyebabkan perceraian ialah suami atau isteri mempunyai hubungan ‘pasangan maya’ di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Ledakan rakan maya menyebabkan banyak individu teruja dan ’lupa diri.’ Golongan ini asyik berhubung melalui alam siber khususnya berborak di laman sembang berjam-jam setiap hari.

Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Bagi individu belum berkahwin, ada yang bertemu jodoh dengan rakan maya dan kekal bahagia. Masalahnya bagi mereka yang telah berkahwin menjalin cinta gelap dengan rakan maya menjadi punca keretakan rumah tangga.

Rakan maya mudah mesra, kononnya tidak ada sekatan perasaan malu kerana tidak perlu melafazkan kata-kata. Malah reaksi wajah atau gerak badan tidak diperlukan. Medium menjadi penghubung adalah bait kata yang tertera di skrin komputer atau telefon.

Dalam hubungan itulah, ada yang mengambil kesempatan atau terperangkap dengan cinta maya. Perkara ini lazimnya mudah berlaku membabitkan bekas kekasih, rakan lama dan tidak kurang dengan mereka yang sememangnya menjadikan ruang siber untuk berlagak Romeo mahupun Juliet.

Hubungan maya ini dikesan menjadi punca perceraian apabila suami atau isteri mengetahui pasangan mereka mempunyai hubungan cinta lain.

Tidak kurang juga mereka sanggup meminta cerai daripada pasangan apabila terlalu yakin dan sayang kepada pasangan maya yang dirasakan lebih sesuai dan mencintainya.

Untuk mencegah perkara ini, persahabatan maya perlu ada batasannya. Bagi mereka yang telah bergelar suami atau isteri, perlu bijak menilai tahap hubungan dengan rakan maya berlainan jantina.

Haram bagi isteri menjalin ‘hubungan mesra’ dengan lelaki lain biarpun hanya dalam alam maya. Suami perlu tegas melarang isteri jika perkara itu terjadi. Dayus jika suami mengetahui perkara itu tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mencegahnya.

Riwayat Tabrani, dari Ammar Yasir berkata: “Dia mendengar dari Rasulullah bersabda: Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.”

Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?”

Lalu Rasulullah bersabda lagi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Setia kepada pasangan dan sentiasa menyimpan hasrat untuk kekal hidup bersama sehingga ke akhir hayat amat penting dalam rumah tangga.

Jangan biarkan rumah tangga dilanda badai sehingga menggagalkan impian yang diikat ketika akad nikah dilakukan.

Sesungguhnya pahala amat besar bagi isteri yang mentaati suaminya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang isteri solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga daripada sebarang pintu yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Suami dan isteri boleh mencegah hubungan jika masing-masing memberi perhatian dan mengambil berat.

Hubungan maya biasa terjadi disebabkan terasa diabaikan oleh pasangan. Bermula suka-suka dan mengisi masa lapang, akhirnya mereka terjebak dengan cinta maya yang mengundang masalah dalam rumah tangga.

Sebab itu amat penting cinta dan kasih sayang suami isteri sentiasa dipupuk dan dijaga agar tidak terdorong melakukan perkara yang dilarang agama.

Langkah JAKIM ingin menganjurkan kursus pasca perkahwinan adalah satu langkah proaktif untuk membendung gejala perceraian termasuk dalam kalangan mereka yang telah lama berumah tangga.

Tentunya satu perkara amat malang jika perkahwinan yang telah berlangsung puluhan tahun berakhir dengan perceraian berpunca perkara kecil yang sebenarnya boleh dielak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 23 Januari 2012

Bina budaya keluarga cintakan al-Quran


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ANTARA ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW itu, kita sewajarnya mentransformasikan hati supaya sentiasa rindu untuk mempelajari serta membacanya.
Jika selama ini kita sudah terbiasa dengan amalan wajib membaca akhbar setiap pagi, apa salahnya kita jadikan membaca al-Quran pula sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Bina satu slogan peribadi, ‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’. Tampal dalam rumah supaya kita dan seluruh ahli keluarga dapat menatapnya setiap masa.

Keuntungan seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti.

Rasulullah SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Seperkara lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi.

Justeru, bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran.

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka disebut Allah dalam kalangan malaikat.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Berdasarkan apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin yang dicintai Allah.

Malah, Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW: “Yang paling utama dari ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Membina keluarga dengan budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal.

Membentuk jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana kesannya amat buruk.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” (Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi)

Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang.

Kesungguhan kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya kerahmatan Allah.

Baca dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Justeru, dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 14 Januari 2012

Besar fadilat tunai solat dhuha

Bersama Ustaz Zahazan
bhagama@bharian.com.my


BERKENAAN dengan solat dhuha ada sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah masing-masing setiap pagi bersedekah untuk persendian (ruas tulang) tubuh badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih (Subhanallah) itu sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, setiap bacaan tahlil (Lailahaillallah) itu sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu sedekah, amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan) itu sedekah, dan sebagai ganti itu semua, cukuplah mengerjakan solat dhuha dua rakaat.”

Solat dhuha waktunya iaitu selepas matahari sudah naik tinggi segalah dan berakhir ketika tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur). Mudahnya solat dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk. Namun disunatkan melaksanakannya pada waktu matahari naik agak tinggi dan panas agak terik. Hal ini seperti hadis riwayat Ahmad dan Muslim, daripada Zahid bin Arqam RA, beliau berkata:
“Nabi SAW keluar menuju tempat ahli Quba. Pada ketika itu mereka sedang menunaikan solat dhuha. Baginda bersabda: Ini adalah solat orang yang kembali kepada Allah (Awwabiin), iaitu di waktu anak-anak unta telah bangun kerana kepanasan waktu dhuha.

Sekurang-kurangnya solat dhuha ini adalah dua rakaat seperti hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata yang bermaksud: “Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepada saya supaya berpuasa tiga hari tiap-tiap bulan dan solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur.”
Boleh juga dibuat empat rakaat seperti hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah RA beliau berkata: “Rasulullah SAW biasa melaksanakan solat dhuha empat rakaat, dan kadang-kadang melebihi dari itu sekehendak Allah”.

Boleh juga dibuat lapan rakaat dan setiap dua rakaat satu salam seperti hadis riwayat Abu Daud, yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW mengerjakan solat dhuha sebanyak lapan rakaat dan tiap-tiap dua rakaat bersalam. Sehinggalah kepada 12 rakaat dan sesiapa yang mengerjakan solat dhuha 12 rakaat, nescaya dia akan mendapat istana di syurga”. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, daripada Anas r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat dhuha 12 rakaat, nescaya Allah dirikan untuknya istana di syurga.”

Dalam kitab fiqah I’aanatuth Thalibin, jilid 1 muka surat 225 dinyatakan bahawa jika dikerjakan dua rakaat, disunatkan pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah, membaca surah “Wasy-Syamsi waduhaaha..” dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah “Wadhuhaa wal-Laili izaa saja.”

Jika dikerjakan lebih daripada dua rakaat, maka disunatkan tiap-tiap dua rakaat salam. Surah yang dibaca adalah seperti yang telah disebutkan, manakala rakaat selebihnya membaca surah al-Kafirun (Qul yaa ayyuhal kafirun) dan surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad).

Cara yang terbaik apabila mengerjakan solat dhuha dua rakaat ialah pada rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, membaca ayat Kursi sebanyak 10 kali dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali juga. Hal ini seperti hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melaksanakan solat dhuha, bacalah pada rakaat pertama surah al-Fatihah dan ayat Kursi 10 serta pada rakaat yang kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali, pasti ia mendapat keredaan yang terbesar daripada Allah. Demikianlah, wallahualam.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 7 Januari 2012

Apakah terlarang bercinta sebelum kahwin?



DR MOHD ASRI

Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga dalam banyak jemputan, dijemput bersama "spouses" and "partners". Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal; penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi.

Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan cinta agak abstrak. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta ALLAH, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan. Maka ahli fekah pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji, bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya.

Cinta pasangan mendambakan seks; itu benar. Persoalannya; keinginan untuk melakukan seks semasa bila? Jika mengidamnya sebelum kahwin, itu salah. Jika mengidamnya selepas kahwin, itu pahala. Cinta atau kasih, bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal. Cuma yang rumit, bagaimana mengawal dan menguruskan cinta.

Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan. Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta zaman mudanya.

Anticinta


Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman.

Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram, punca syaitan dan budaya Barat maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda. Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih yang diidami sebagai isteri. Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata:

“Kahwin teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja, belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama Juga yang sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin, maka tentu mereka semua hambar.

Jatuh cinta


Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang ALLAH dan Rasul-NYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta antara jantina yang berbeza adalah fitrah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman ALLAH mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami: (maksudnya) “dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). ALLAH mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)

Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, ALLAH memerintahkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan.

Rayuan cinta


Bahkan Nabi SAW pernah bersimpati dengan Mughith bekas suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya mendapat simpati Nabi SAW. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya: “Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi SAW berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): “Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.

Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?

Dua kekasih


Nabi SAW tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi SAW, baginda bersabda: “Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).

Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini: “Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh: Maktab al-Imam al-Syaifii’).

Justeru itu, Nabi SAW memberikan pilihan untuk isteri memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci. “Seorang gadis dara datang kepada Nabi SAW memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).

Haram


Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitrah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapkan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang?

Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, - walaupun dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitrah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.

Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mengharamkan mendekati zina!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 4 Januari 2012

ZIKRULLAH TUNJANG KEKUATAN MUKMIN


Oleh MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB

AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seorang Muslim. Segala saranan yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran wajar dan wajib untuk bersama kita tekuni dan mengamalkannya dengan sepenuh hati.

Antara saranan yang sering diulangi dalam al-Quran adalah suruhan sentiasa berzikir kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Pastinya banyak kelebihan yang bakal diperoleh oleh sesiapa yang sentiasa berzikir kepada-Nya kerana terdapat banyak rahsia dan kelebihan di sebalik amalan berzikir.

Tidak seperti ibadah-ibadah yang lain, amalan berzikir tidak terikat dengan apa-apa syarat dalam melaksanakannya. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan keadaan malah amat digalakkan untuk memperbanyakkannya.

Zikir menjadi talian terus seorang hamba untuk mengadu, merayu dan berhubung terus kepada Tuhannya. Setiap mukmin yang sentiasa mengingati Allah maka pastilah Allah juga akan sentiasa mengingatinya.

Dari segi bahasa, zikir bermaksud sebut dan ingat manakala dalam sudut istilah yang difahami umum adalah sebutan yang berulang-ulang tentang nama-nama Allah dan juga sifat-sifat-Nya.

Zikir yang biasa dilakukan secara umum oleh umat Islam merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, membaca al-Quran dan sebagainya. Namun intipati kepada semua zikir-zikir tersebut adalah ingatan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

Perintah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya berzikir dengan banyak boleh dilihat di dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. (al-Ahzab: 41)

Maka daripada ayat ini, dapat difahami bahawa zikir boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu berzikir dengan sebutan (zikir lisan) dan juga berzikir dengan ingatan (zikir hati). Kedua-dua jenis zikir ini mampu mendekatkan diri seorang Mukmin kepada Tuhannya dengan sedekat-dekatnya.

Di dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, terdapat satu hadis yang menjelaskan berkaitan kedua-dua jenis zikir ini. Aku berdasarkan keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya sekiranya dia ingat kepada-Ku, sekiranya dia ingat kepada-Ku dalam hatinya (secara bersembunyi), Aku juga ingat kepadanya dalam diri-Ku (secara sembunyi/sir), dan sekiranya dia ingat kepada-Ku di kalangan manusia ( secara terang-terangan/ jahr), Aku juga ingat kepadanya di kalangan yang lebih mulia daripada mereka (para malaikat).

Amalan yang agung

Amalan berzikir kadang-kadang dilihat sebagai amalan yang ringan dan remeh namun hakikatnya ia merupakan antara amalan yang mulia dan agung. Kedudukan amalan berzikir sangat tinggi berbanding amalan-amalan lain yang disyariatkan di dalam Islam dan boleh dianggap sebagai amalan yang agung.

Ketinggian dan keagungan amalan berzikir jelas di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45)

Secara hakikatnya, zikir ialah ingatan yang tulus kepada Allah SWT dan juga segala makna-makna yang berkaitan dengan-Nya. Ia boleh dicapai melalui sebutan yang diungkapkan oleh mulut atau ingatan yang mendalam di dalam minda dan pemikiran.

Tumpuan yang mendalam harus diberikan ketika berzikir agar matlamat berzikir iaitu mendekati Allah SWT dapat dicapai.

Firman Allah di dalam surah bermaksud: Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan. (al-Muzammil: 8)

Maka dengan tumpuan yang mendalam dan zikir yang berterusan ini akan mampu menghasilkan mukmin yang terbaik serta mempunyai kekuatan fizikal dan mental. Mereka adalah golongan yang sentiasa menjadikan Allah SWT sebagai teman di dalam hati sepanjang masa dan dalam semua keadaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (ali-Imran: 191)

Dalam keadaan dunia yang penuh dengan rintangan, cabaran dan dugaan, maka perlu bagi setiap orang Islam berusaha mempertahankan diri daripada hanyut di dalam arus dunia yang sentiasa mengajak manusia ke arah kebinasaan.

Setiap orang Islam harus memiliki hati yang kuat yang mampu menahan segala cabaran yang mendatang dan pada masa yang sama membantu umat Islam yang lain daripada terpesong daripada landasan agama Islam yang benar.

Maka zikir berperanan besar dalam membantu manusia dalam memiliki hati yang kukuh imannya, kuat menghadapi arus deras dunia dan mampu membimbing diri sendiri dan juga orang lain agar kembali kepada Allah SWT.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/