Sabtu, 27 Oktober 2012

Hikmah di sebalik ibadah korban


Oleh : FATHUL BARI

Orang-orang yang beriman akan selalu merindukan Kota Suci Makkah, tanah tumpah darah pembawa agama ini yakni Nabi Muhamad SAW. Setiap Muslim yang baligh, berakal, merdeka dan mampu, disyariatkan untuk menjejakkan kaki mereka ke tanah haram ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi menunaikan ibadah haji.

Firman ALLAH TAALA yang bermaksud, “Sesungguhnya rumah pertama kali dibangunkan untuk (tempat beribadah) manusia ialah Baitullah, berada di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi seluruh manusia. Padanya terdapat tanda-tanda nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barang siapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap ALLAH, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya ALLAH Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Ali ‘Imran: 96-97)

Setiap tahun lebih 20,000 umat Islam dari negara kita akan pergi ke sana menyertai jutaan umat Islam dari seluruh dunia untuk menyahut seruan haji. Ada yang menaiki kapal terbang, kapal laut, bahkan berjalan kaki. Ada yang berdikit-dikit menghimpun duit sejak usia remaja demi mencukupkan bekal haji pada hari tua.

Namun di sebalik keghairahan dan kegembiraan jemaah haji menunaikan ibadah dan mendulang pahala berganda di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi; ramai juga umat Islam lain terpaksa memendam rasa lantaran tidak terpilih menjadi tetamu ALLAH pada ketika ini.

Walaupun tidak terpilih, umat Islam masih boleh mendapatkan keutamaan yang banyak melalui ibadah lain yang disyariatkan pada bulan Zulhijah. Salah satu yang tidak kalah besar pahala dan keutamaannya ialah ibadah korban.

Antara hikmah ibadah korban termasuklah bersyukur kepada ALLAH atas nikmat kehidupan yang diberikan.

Keduanya ialah untuk meniru teladan Nabi Ibrahim as yang diperintahkan agar menyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail. Ini dikisahkan dalam firman ALLAH bermaksud;

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur yang mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata, ‘Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!’ Ia menjawab, ‘Hai ayahku, kerjakanlah apa diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar’. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia, ‘Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu’, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar” (surah As-Soffat : 102-107)

Dalam penyembelihan korban terdapat upaya menghidupkan sunnah ini dan menyembelih sesuatu daripada pemberian ALLAH kepada manusia sebagai ungkapan rasa syukur kepada Pemilik dan Pemberi kenikmatan.

Ketiga, agar setiap mukmin mengingat kesabaran Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as, yang ini membuahkan ketaatan pada ALLAH dan kecintaan pada-Nya lebih dari diri sendiri dan anak. Pengorbanan seperti inilah menyebabkan lepasnya ujian sehingga ALLAH menukarkan Ismail menjadi seekor kambing.

Keempat, berkongsi nikmat dan rezeki yang ALLAH berikan dengan orang lain pada Hari Raya Aidiladha. Ketika seorang Muslim menyembelih korbannya, maka dia telah berkongsi nikmat bersama keluarganya dengan memakan sebahagian daging tersebut. Dan ketika memberi sedekah bahagian yang lain untuk jiran-tetangga dan kerabatnya, maka dia telah berkongsi nikmat dan rezeki dengan mereka.

Kelima, ibadah korban lebih baik daripada sedekah wang yang sama nilai dengan haiwan korban.

Melihat kepada besar faedah dan manfaat kepada orang yang menunaikan ibadah korban, maka selayaknya setiap Muslim berusaha sedaya-upaya untuk melaksanakannya setiap tahun. Sebilangan ulama menyatakan ia sebagai wajib, namun dalam Mazhab Syafii ia merupakan ibadah sunat yang sangat dituntut.

Syaikh Muhammad Al Amin Asy Syinqithi mengatakan, “Janganlah meninggalkan ibadah korban jika seseorang mampu untuk menunaikannya kerana Nabi SAW sendiri memerintahkan, “Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu kepada perkara tidak meragukanmu.”

Selayaknya bagi mereka yang mampu agar tidak meninggalkan korban.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 23 Oktober 2012

ISLAM AGAMA KETAMADUNAN


OLEH : Prof Dr SIDEK BABA

Banyak salah faham mengenai status Islam itu sendiri. Al-Quran memberi pedoman, “Innaddeen ‘indallah hil Islam" - agama yang diredai ALLAH ialah agama Islam - bukan sekadar suatu sistem kepercayaan, tetapi cara hidup. Agama-agama lain ada sistem kepercayaan masing-masing tetapi tidak memiliki cara hidup.

Agama-agama lain memiliki etika dan nilai-nilai tertentu dalam bentuk falsafah dan kepercayaan. Dalam Islam sistem kepercayaan memberi asas aqidah dan ibadah supaya terbina iman dan takwa. Islam juga menentukan jalur syariah supaya amalan dan cara hidup terpandu dan terpedoman.

Islam amat memberi keutamaan kepada binaan akhlak. Ia adalah puncak kepada binaan rijal atau manusia. Rasulullah SAW dihantar kepada manusia untuk menyempurnakan akhlaknya. Al-Quran diturunkan kepada manusia kerana kaitannya dengan binaan akhlak.

Saidatini Aishah bila ditanyakan oleh para sahabat mengenai akhlak Rasulullah SAW menghubungkannya sebagai khuluq al-Quran atau akhlak al-Quran.

Rasulullah SAW tidak saja mendidik kita dengan asas aqidah dan rohaniah yang tinggi tetapi melakukan manifestasi aqidah dan rohaniah supaya produktiviti amal juga meningkat sama. Dakwah yang dilakukan, jihad yang dikerjakan, sirah dan sunnah yang ditinggalkan adalah gambaran jelas mengenai maksud Islam itu sendiri.

Konsep tauhidik itu sifatnya harus merentasi supaya ia dirasai dalam sistem kepercayaan dan diamalkan dalam sistem ilmu dan amalan. Keindahan Islam tidak hanya terlihat pada lafaz dan niat tetapi kehebatan Islam itu tercermin kepada peribadi, watak dan amali.

Seorang Islam yang berilmu dan berketerampilan memiliki upaya untuk menterjemahkan Islam dalam model dan sistem. Dengan semangat jihadnya yang tinggi, ia mampu menterjemahkan Islam dalam praktis dan aplikasi serta memberi manfaat kepada manusia.

Sebab itu umat Islam perlukan ilmu-ilmu yang berteraskan tasawwur Islami yang sifatnya menyeluruh dan penguasaan ilmu berbanding yang bermanfaat kemudian diolah dengan bijaksana supaya ia menjadi sebahagian daripada rangkaian ilmu yang memberi manfaat.

Usaha integrasi dan Islamisasi ilmu amat penting dilakukan dalam sistem keilmuan dan pendidikan kita supaya jenis sumber daya insan terbangun dengan tasawwur atau pandangan semesta yang menyeluruh dan melihat ilmu dan pendidikan itu dalam suatu kesatuan.

Kesatuan tasawwur yang berpaksikan tauhid mampu mencerna sistem ilmu dan pendidikan sehingga ia menjadi wadah amat berkesan membangunkan rijal yang akhirnya memiliki potensi untuk merealisasikan Islam sebagai suatu cara hidup.

Tamadun Islam yang terbangun pada zaman Abasiyyah, Andalusia, Uzbekistan, Othmaniah memperlihatkan kehebatan integrasi ilmu berlaku dan menghasilkan ulama serta ilmuwan yang tidak saja hebat dalam ilmu diniah atau agamanya tetapi hebat dalam ilmu-ilmu Matematik, Sains, teknologi, astronomi, perubatan dan lain-lain.

Oleh itu umat Islam tidak hanya sekadar nostalgik mengenai kecapaian silam, tapi harus reflektif dengan jatuh bangun tamadun dan mengambil iktibar daripadanya. Bersifat nostalgik semata-mata tidak memadai untuk membangkitkan suatu kesedaran baru untuk merintis jalan ke arah tamadun baru yang Islami.

Ia harus mendorong ilmuwan terkini meneliti keperluan zaman dan cabaran lingkungan. Ada asas-asas kukuh kecapaian silam dikaji dan diteliti dan terdapat asas-asas kecapaian kini dikaji dan diteliti dengan kritis dan kreatif.

Hasilnya, wujudkan simbiosis supaya berlaku sinergi akan sumber kekuatan silam dan manfaat berbanding yang terdapat kini. Sinergi ini amat penting dicari supaya olahan ilmu berada dalam kerangka tasawwur yang Islami atau tidak bercanggah dengan maqasid syariah kita.

Justeru,  menampilkan Islam melepasi batasan ritual dan rohaniah adalah sesuatu yang amat dituntut. Ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem harus berjalan seiring. Kekuatan akal, hati dan jasad harus dibangunkan dengan ilmu mengurus diri seperti aqidah , ibadah, syariah dan akhlak. ALLAH kurniakan sumber rahmah dan nikmah yang banyak seperti hasil bumi yang kaya. Sekiranya ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi dikuasai, ia bakal melengkapi lagi binaan sistem ke arah sebuah tamadun.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 12 Oktober 2012

Kealpaan Umat Islam Dan Kepentingan Al-Aqsa


KUALA LUMPUR : Isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia dan tidak hanya terletak di atas bahu umat Islam Palestin sahaja tetapi menjadi kewajipan dan tanggungjawab ke atas semua umat Islam di dunia.

Perunding 'Aman Malaysia', Dr Zainur Rashid berkata, Solahuddin Al-Ayubi yang telah membebaskan Palestin pada 1187, bukanlah seorang rakyat Palestin dan bukan juga seorang yang berketurunan Arab, tetapi beliau ialah seorang yang berketurunan Kurdi.

"Namun kerana beliau memahami haknya sebagai seorang Islam ke atas bumi Palestin dan dari sudut agama, beliau telah meninggalkan segala kemewahannya demi membebaskan Palestin," katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Solahuddin Al-Ayubi telah mengambil kembali tanah suci Palestin daripada tentera Salib dari Eropah. Dalam kalangan tentera Salib, beliau dikenali sebagai 'Saladin'.

Bagaimanapun, Dr Zainur turut meluahkan rasa kesalnya dengan memberikan satu fakta penting, yang turut dikongsi oleh pengasas pergerakan umat Islam "Palestine 48" Sheikh Raed Solah, yang menggambarkan tahap kesedaran dan kefahaman umat Islam terhadap tanggungjawab dan kewajipan mereka ke atas isu Palestin.

Sheikh Raed Solah menghadiri seminar "Selamatkan Masjid Al-Aqsa DaripadaAncaman Zionis" di Putrajaya, dekat sini baru-baru ini.

Dr Zainur berkata, terdapat hanya 17 juta orang Yahudi berbanding 1.7 bilion orang Islam di dunia.

"Jadi persoalan yang timbul sekarang adalah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh diperlekehkan oleh mereka?

"Jawapannya ialah kealpaan umat Islam itu sendiri terhadap kesatuan umat dan tanggungjawab terhadap Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis," jelas Dr Zainur yang juga pakar perunding obstetrik dan ginekologi di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Kepada orang Islam, Al-Quds atau Baitulmuqadis ialah tanah suci yang ketiga selepas Mekah dan Madinah.

Kealpaan umat Islam sendiri, menurut beliau, telah menjadikan isu negara Palestin dan Masjid Al-Aqsa hanya mendapat perhatian apabila berlaku serangan-serangan yang besar ke atas Gaza dan Tebing Barat, menjadikan ia isu bermusim.

Kelicikan Yahudi menggunakan senjatanya yang paling ampuh iaitu media, dengan menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai isu Palestin dan sekalipun mereka memaparkannya, ia akan ditonjolkan mengikut sudut pandangan mereka yang akhirnya melalaikan umat Islam.

Kealpaan umat Islam juga berpunca daripada umat Islam sendiri yang tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu mengenai isu Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa.

Contoh yang diberikan oleh Dr Zainur adalah ketika bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon memasuki Masjidil Aqsa, di mana akhbar-akhbar Arab menyatakan yang Sharon tidak memasuki Masjidil Aqsa tetapi hanya sekadar berada di perkarangan Masjid.

Ini kerana berdasarkan pemahaman mereka, Masjidil Aqsa adalah masjid yang kubahnya berwarna hijau tua sedangkan Masjid Al-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan tersebut termasuklah dua buah masjid yang berada di dalamnya.

Jadi, yang mana satukah Masjidil Aqsa sebenar?

Masjidil Aqsa dan penjelasannya

Menurut Dr Zainur yang telah pun menjejakkan kaki ke bumi Palestin, MasjidAl-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan yang luas, yang mana di dalamnya terdapat tiga buah masjid.

Pertama adalah Masjid Qubbat As-Sakhrah (Dome of Rock) atau umat Islam di Palestin memangilnya Masjid An-Nisa’ kerana kaum wanita bersolat di dalamnya, yang telah dibina oleh Khalifah Malik bin Marwan pada tahun 69 hingga 75 hijrah.

Masjid Qubbat As-Sakhrah atau Masjid Batu ini juga dikenali dengan warna kubahnya yang berwarna kuning keemasan, berada di tengah-tengah kawasan Masjidil Aqsa.

Kedua adalah masjid yang kubahnya berwarna hijau tua iaitu Masjid Qibli, yang merujuk kepada qiblat pertama umat Islam atau juga dipanggil Masjid Juma’ah.

"Di hadapannya adalah Masjid Umar di mana Saidina Umar Al-Khattab bersolat di situ.

"Jadi kesimpulannya ialah ketiga-tiga masjid ini adalah sebahagian daripada Masjid Al-Aqsa," jelas beliau.

Apakah yang sedang berlaku ke atas Al-Aqsa?

"Pada waktu kini, Zionis sedang giat menjalankan aktiviti yang dinamakan Projek Pengyahudian Masjid Al-Aqsa," kata Dr Zainur.

Menurut Dr Zainur, apa yang sedang berlaku ke atas Masjidil Aqsa ialah pihak Yahudi telah membina terowong yang banyak di bawah Masjidil Aqsa dan pembinaan terowong-terowong tersebut bersandarkan kepada dakwaan bahawa di bawahnya terdapat runtuhan Kuil Solomon.

"Mereka telah menjalankan aktiviti pembinaan terowong-terowong tersebut selama kira-kira 45 tahun dan sehingga ke hari ini, mereka gagal menemui sebarang kesan runtuhan Kuil Solomon.

"Agenda sebenar mereka ialah untuk melemahkan struktur binaan Al-Aqsa denganharapan agar masjid-masjid berkenaan akan runtuh bagi membolehkan mereka membina pula Kuil Solomon di atasnya," katanya.

Antara kejahatan lain yang dilakukan ke atas Masjidil Aqsa adalah mengubah ciri-ciri keIslaman di masjid itu kepada ciri-ciri keYahudian, menganjurkan pesta-pesta maksiat dan menghalang orang Islam daripada memperbaiki bahagian masjid yang rosak.

Mereka juga pernah menjalankan percubaan untuk membakar Masjidil Aqsa beberapa kali dan antara percubaan terbesar yang pernah dilakukan ialah pada 21 Ogos 1969, selain percubaan untuk mengebom masjid berkenaan.

Mengapa pentingnya Masjidil Aqsa kepada umat Islam?

Mengenai kunjungan Sheikh Raed Solah ke Malaysia, Dr Zainur berkata, permasalahan paling besar dan utama yang cuba disampaikan oleh Sheikh Raed ialah isu Masjid Al-Aqsa, yang mana menurut beliau begitu penting kepada seluruh umat Islam berdasarkan enam fakta yang utama.

Pertama, Masjid Al-Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam selama 17 bulan.

Kedua, ia adalah masjid kedua yang dibina di atas muka bumi ini 40 tahun selepas pembinaan Masjidil Haram.

Ketiga, Masjid Al-Aqsa adalah masjid suci yang ketiga di sisi Allah SWT selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Keempat, di Masjid inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana Masjidil Aqsa adalah tempat persinggahan terakhir Baginda Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda diangkat ke langit.

Kelima, Masjidil Aqsa ini dikelilingi oleh bumi para nabi (Bumi Ambia’) menjadikan Baitulmaqdis sebagai bumi yang istimewa di sudut akidah umat Islam.

Yang terakhir ialah bumi Palestin ini dikenali dengan panggilan "Bumi Perjuangan.

Terdapat juga hadis yang meriwayatkan bahawa pahala menunaikan solat dalam Masjidil Aqsa adalah 500 kali ganda. - BERNAMA