Ahad, 16 September 2012

Antara musibah, ujian dan sial


Oleh : FATHUL BARI

Wujud satu stigma dalam masyarakat yang membuat andaian bahawa jika seseorang itu ditimpa musibah atau kesusahan, ia dikaitkan dengan tuduhan seperti pernah melakukan perkara tidak elok. Adakah musibah yang ALLAH berikan itu kerana kesalahan dan dosa kita atau adakah ia ujian daripada ALLAH SWT?

Dalam Islam wujud istilah kaffarah, yakni penghapus dosa. Dalam hadis-hadis Nabi SAW memang Nabi menyebut apabila seseorang ditimpa kesakitan, walaupun terkena duri, dengan terkena duri itu diampunkan dosanya yang lalu. Sabda Nabi, “Tiada seorang Muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, kecuali ALLAH mencatat baginya kebaikan dan menghapus darinya dosa.” (riwayat Imam al-Bukhari)

Cuma dosa mana yang diampunkan kita tidak tahu. Kita buat banyak dosa. Selain ujian dan musibah, ada banyak lagi amalan yang disebutkan oleh Nabi sebagai penghapus dosa. Antaranya berwuduk, sepertimana disebutkan Nabi dalam sebuah hadis bermaksud;

“Mahukah kalian aku tunjukkan tentang sesuatu amalan yang dengannya ALLAH menghapuskan dosa-dosa, dan mengangkat darjat?” Mereka berkata, “Mahu, wahai Rasulullah!” Baginda bersabda, “Amalan itu adalah menyempurnakan wuduk’ di waktu yang tidak kamu sukai.” (riwayat Imam Muslim, no.586).

Abul Hasan As-Sindiy rahimahullah menjelaskan amalan-amalan yang terdapat dalam hadis ini, “Amalan-amalan ini akan menutup pintu-pintu syaitan daripada dirinya, menahan jiwanya daripada nafsu syahwatnya, permusuhan jiwa, dan syaitan sebagaimana hal ini tak lagi samar. Inilah jihad besar yang terdapat pada dirinya. Jadi, syaitan adalah musuh paling berat baginya”. (lihat; Hasyiyah As-Sindiy ala Sunan An-Nasa’iy, 1/114).

Demikian juga, dosa-dosa kecil boleh diampunkan dengan umrah. Nabi bersabda yang bermaksud, “Antara satu umrah ke satu umrah yang lain menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.” (riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim).

Kita terima dan percaya bahawa ia sebagai pengampunan dosa tetapi kita tidak mengetahui dosa mana diampunkan, yang pasti ia adalah pengampunan dosa kecil. Para ulama sepakat bahawa hadis seperti ini membicarakan tentang pengampunan dosa kecil. Adapun dosa besar yang dilakukan perlu kembali kepada taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak ada kriteria tertentu cuma ia merupakan satu taubat dinamakan nasuh sebab wujud di sana beberapa syarat seperti melahirkan rasa bersalah dalam diri, memohon pengampunan ALLAH SWT dan berjanji untuk tidak mengulanginya, serta sudah semestinya dilakukan secara ikhlas kerana ALLAH SWT dan bukan kerana paksaan.

ALLAH menguji manusia untuk memberi ruang pengampunan dosa bagi hamba-hamba-Nya. Orang sakit memang diampunkan dosanya. Sebab itu Nabi SAW memberikan khabar gembira bagi orang yang sakit.

Saya pernah berkhidmat di IJN dan melihat masyarakat kita ada yang percaya kepada sial, contohnya mengatakan perkara ini berlaku sebab terlanggar biawak atau sebagainya. Perkara seperti ini dinamakan Ath-Thiarah yakni percaya kepada sial. Kata Nabi dalam hadis,  maksudnya: “Percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik.” (riwayat Imam Abu Daud).

Perkataan Thiarah itu dipetik daripada perkataan at-thair yang bererti burung. Orang Arab jahiliah dahulu sebelum keluar rumah mereka akan melepaskan burung. Mereka mempercayai sekiranya burung itu terbang ke arah kanan bererti nasib pada hari itu baik dan jika ke kiri menunjukkan nasib buruk atau sial dan tidak boleh keluar rumah pada hari itu. Ini asal kepercayaan kepada sial.

Unsur-unsur seperti ini turut meresap dalam masyarakat Melayu seperti kepercayaan melanggar binatang, anjing hitam melintas perlu patah balik dari perjalanan, biawak melintas, kupu-kupu masuk rumah, kemalangan berlaku disebabkan hal-hal seumpama itu, maka dia melihat keburukan yang berlaku kepadanya disebabkan perkara-perkara ini.

Ini dinamakan percaya kepada sial dan dalam Islam ia membawa kepada kesyirikan.

Ini perkara serius kerana kita seharusnya beriman bahawasanya ALLAH SWT menguji dan menentukan baik buruk dalam kehidupan manusia untuk memastikan siapakah di kalangan hamba-Nya memiliki amal perbuatan terbaik seperti ALLAH sebut dalam surah Al-Mulk, maksudnya: “(Dia) Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah di antara kalian yang mempunyai amal terbaik.” (Surah Al Mulk, ayat 2).

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 13 September 2012

Indahnya kasih sayang ALLAH


Oleh : Prof Dr SIDEK BABA

Sifat orang-orang yang beriman menyayangi ALLAH dalam erti kata yang luas memberi dorongan kepada warga umat menyayangi sesama seaqidah. Jiwa taqarrub Ilallah atau kedekatan kita kepada ALLAH mempunyai pengertian yang amat istimewa bahawa hubungan hamba dan Khaliq tidak saja dalam batas kepercayaan dan keyakinan, tetapi juga dalam batas amalan dan dukungan akhlak karimah.

Kesayangan warga umat terhadap aqidah tauhid umpamanya menghindarkan kita daripada sifat syirik yang tidak menunjuk jalan ke arah wehdah atau kesatuan. Hikmah daripadanya menghubungkan manusia dengan ALLAH dan membawa kesan tentang hubungan ilmu dan kejadian sesuatu dengan ALLAH.

Kesayangan warga umat terhadap syariat misalnya memberikan pedoman kepada warga umat bahawa manusia memerlukan peraturan yang tidak saja ditentukan oleh akal fikir manusia, tetapi ada panduan Ilahi supaya ketertiban yang hakiki terjadi, pematuhan hukum berjalan dan ia memberi kesejahteraan kepada hidup insan.

Justeru,  sayangnya kita kepada ALLAH memberikan natijah sayangnya kita sesama insan. ALLAH yang bersifat Rahman dan Rahim melimpahkan rahmah dan nikmah dalam berbagai bentuk kepada hamba-Nya. Rezeki dalam bentuk makanan dan sumber dianugerahkan kepada manusia supaya menjadi orang yang bersyukur.

Ruh dipinjamkan kepada kita membolehkan manusia berfikir, kalbu dimiliki tidak akan memiliki cita rasa sekiranya tiada dukungan ruh dan daya yang membolehkan manusia bergerak dan melakukan sesuatu tidak akan terjadi tanpa dukungan ruh milik Allah ini.

Maksud kesayangan kita kepada ALLAH sebenarnya berhikmah kembali kepada manusia. ALLAH menganjurkan orang-orang beriman supaya jujur, amanah. adil, tulus dan dan telus umpamanya, tidak saja baik bagi manusia tetapi baik juga bagi orang lain.

Bercakap jujur dan benar umpamanya diberi ganjaran ALLAH kerana ia adalah amalan yang baik. Amalan yang baik ini juga memberi faedah kepada manusia lain.

Bayangkan sekiranya sesama insan kita berdusta dan menipu ia akan memberi kesan tidak baik sesama manusia dan ia boleh menyebabkan permusuhan terjadi.

Sifat amanah umpamanya adalah tuntutan ALLAH terhadap hamba-Nya supaya sesuatu yang diuruskan berlaku dalam keadaan baik dan diredhai ALLAH. Sekiranya amanah terhadap diri berlaku, amanah terhadap orang lain terjadi dan amanah terhadap jawatan dan pekerjaan mengambil tempat, ia akan membawa kebaikan sesama insan.

Sifat adil adalah pancaran daripada sifat ALLAH. ALLAH mengurniakan rezeki melimpah ruah kepada manusia. Sekiranya rezeki itu diterima secara adil, dimanfaatkan dengan keadilan jua maka ia adalah baik sesama insan.

Sekiranya harta dan pembahagian tidak berlaku secara adil, ia bakal menyebabkan hilang rasa percaya dan boleh menghasilkan permusuhan.

Oleh itu keadilan adalah kunci untuk menjaga kesejahteraan manusia. Apabila sifat adil itu ada pada insan, ia menyebabkan nilai-nilai suruhan ALLAH itu berkembang dalam kehidupan manusia dan bakal menimbulkan suasana yang baik.

Contohnya Islam mengharamkan riba’. Riba’ dalam maksud yang luas melibatkan amalan eksploitasi, diskriminasi dan dasar beza membeza yang menyebabkan manusia ditindas, dianiaya dan tidak mendapat keadilan pada dirinya.

Limpahan rahmah ALLAH kepada manusia adalah atas asas kesejahteraan. Melakukan eksploitasi dan penindasan tidak membawa kebaikan sesama insan. Mematuhi syariat ALLAH ini membawa kesayangan kita kepada hukum ALLAH dan membawa kebaikan sesama manusia. Mengasihi perintah ALLAH ini menyebabkan kasih sayang sesama insan terjadi.

Oleh itu kasih sayang sesama insan adalah pedoman daripada ALLAH. Mematuhinya ibarat kesayangan kita kepada nilai-nilai baik untuk kesejahteraan manusia. Apabila kita menyayangi nilai-nilai baik daripada ALLAH itu hikmahnya kembali kepada manusia semula.

Sebab itu orang-orang yang tidak jujur, tidak amanah dan tidak berlaku adil kepada orang lain adalah orang-orang yang tidak sayang kepada ALLAH. Akibatnya dari sudut Islam, orang seperti ini akan dapat balasan setimpal kerana perbuatannya menyalahi titah-perintah ALLAH untuk mewujudkan keadilan sesama insan.

Justeru kasih sayang kita kepada ALLAH ialah menjadikan ajaran dan suruhan-Nya membawa kesejahteraan kepada manusia supaya manusia dapat hidup dengan baik dan saling memahami.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/