Oleh : Abu Bakar Bin Yang
MASA begitu pantas berlalu, begitu juga dengan bulan Ramadan sudah pun hampir ke penghujungnya. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaan ini sudah pun hampir meninggalkan kita dengan meninggalkan pelbagai pertanyaan di manakah letaknya kedudukan puasa yang kita lalui, mantap atau lemah iman yang kita miliki.
Sejauh manakah keprihatinan kita terhadap masyarakat yang kita sayangi dan juga di tahap manakah tingkatan takwa kita ini? Sebenarnya puasa yang bersungguh-sungguh sehingga ke tahap khusus-ul-khusus seperti mana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali akan melahirkan benih takwa dan kasih sayang kepada sesama manusia.
Intipati pendidikan Ilahi melalui ibadah puasa ini juga adalah untuk menanam dan mengukuhkan kesedaran yang sedalam-dalamnya akan kehadiran (omnipresence) Allah SWT dalam setiap saat kehidupan manusia. Kesedaran inilah yang melandasi ketakwaan yang mana ia turut membimbing seseorang ke arah tingkah laku yang baik dan terpuji. Maka menerusi ibadah puasa selama sebulan ini diharapkan akan terbina dan tampil seorang yang berbudi pekerti luhur dan berakhlak karimah serta menjadi seorang yang mantap takwanya sesuai dengan natijah puasa iaitu 'mudah-mudahan kamu bertakwa.'
Sehubungan dengan itu juga al-Quran menyatakan bahawa tiada jaminan mereka yang berpuasa pasti akan mencapai ketakwaan. Ia adalah sebuah harapan yang menagih kesungguhan agar segala syarat dan peraturannya dipenuhi. Maka dengan itu, perlumbaan adalah terbuka bagi sesiapa sahaja untuk mencapai takwa.
Jika dilihat dari segi sejarah dan tamadun Islam, kemunculan manusia yang bertakwa datang daripada pelbagai latar belakang. Bagi mereka yang sudah sekian lama terkurung dalam cara hidup jahiliyah yang mengongkong, tiba-tiba diberi peluang terbuka untuk sama-sama mencapai kemuliaan diri dengan kehadiran Islam, maka peluang ini diterima dan digarap dengan sebaik-baiknya.
Maka muncullah peribadi-peribadi unggul seperti Bilal ibn Rabah yang cuma seorang hamba, Ammar ibn Yasir dan Zaid ibn Harithah yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pembantu baginda. Malah nama Zaid ibn Harithah sendiri memang tercatat di dalam surah al-Azhab, suatu penghormatan yang tidak diperolehi oleh golongan bangsawan Mekah ketika itu.
Begitulah juga halnya ketika Islam tiba di alam Melayu sekitar abad ke-13, pandangan hidup Islam inilah yang memikat umat Melayu sebagai jalan melepaskan diri daripada kongkongan cara hidup yang menindas dan zalim kepada ruang lingkup kehidupan yang bebas dan aman di bawah naungan takwa.
Takwa adalah nilai Ilahiyyah yang melebihi pangkat dan darjat. Sehubungan dengan ini, al-Quran turut menyatakan bahawa tidak akan ada kemuliaan buat mereka yang telah dipandang sepi oleh Tuhannya, walaupun mereka begitu disanjung orang dan memiliki sejumlah gelaran duniawi yang tidak punya jaminan di akhirat. Ini adalah kerana mereka telah tertipu dengan nilai-nilai palsu duniawi dan meletakkan nafsu sebagai asas untuk melayari landasan kehidupan ini.
Maka dalam hal ini, puasa amat berperanan untuk membentuk insan yang mulia dengan melihat dunia ini sebagai bekalan untuk kehidupan yang lebih utama di akhirat, dan bukannnya matlamat yang perlu dilayani segala keperluannya. Untuk itu, takwa adalah asasnya dan mereka yang berjaya adalah mereka yang benar dan sah takwanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT bahawa semulia-mulia dikalangan manusia itu ialah mereka yang paling bertakwa.
Lanjutan daripada itu juga, mereka yang berjaya ialah mereka yang benar-benar menghayati Ramadan seutuhnya sebagai satu ibadah yang selengkapnya, iaitu yang mampu membawa kesan takwa yang terpancar menerusi akhlak mulia dan berupaya pula mengawal nafsu yang sering memburu kelazatan jasmaniah.
Bagi mereka yang berusaha keras dan bersungguh-sungguh menjaga dan memelihara puasanya, maka puasanya merupakan pembersihan rohaniah daripada daki cintakan dunia (hubbud-dunya). Puasanya juga berupaya untuk mendidiknya daripada menjadi rakus terhadap dunia seperti gila kuasa dan pangkat, bakhil, gelojoh, lupa diri, sombong, tamak, pembazir dan suka bermewah-mewah.
Seperti mana puasa itu dapat mendidik supaya lebih bertanggungjawab dan mengangkat kemuliaan diri, maka puasa itu juga mengubah cita rasa, budaya dan minda; dengan menguatkan kepedulian terhadap masyarakat menerusi iltizam dan pengorbanan untuk manusia lain melalui amalan infaq atau sedekah. Banyak ayat al-Quran yang menyentuh mengenai budaya infaq ini yang mana ia mempunyai kaitan yang sangat erat dengan takwa.
Infaq memerlukan persediaan minda yang bukan sedikit dan amalan infaq juga tidak dapat dibudayakan tanpa pemerkasaan nilai-nilai takwa di dalam diri seseorang Muslim. Oleh yang demikian, amalan infaq itu sekali gus merupakan persediaan budaya, minda dan rohaniah. Iaitu keinsafan kepada hakikat-hakikat abadi yang lebih agung dan suci, yang pastinya melebihi kesibukan dan hal-hal remeh keduniaan.
Seperti mana halnya solat yang difardukan kepada setiap orang Islam adalah perhubungan tetap antara hamba dengan Tuhannya, dan juga mi'raj orang-orang yang beriman. Sekiranya longgar perhubungan dengan Tuhan, maka longgarlah hubungan dan ikatannya dengan alam ketuhanan dan alam kemanusiaan ini. Maka solat sekali gus merupakan tarbiyyah dan ibadah peribadi dan kemasyarakatan yang memberi bentuk dan watak rabbani kepada pandangan hidup seorang Muslim berserta dengan perasaan dan tingkah lakunya sama ada terhadap diri sendiri ataupun kepada masyarakat.
Begitulah juga halnya dengan puasa. Dengan sempurnanya amalan puasa, maka amalan infaq akan membudaya tanpa dipaksa-paksa dan dibuat-buat. Seseorang Muslim itu akan mengakuri kurniaan rezeki dari Ilahi, bahawa Tuhan adalah Pemilik Mutlak dan bahawa manusia hanyalah pemegang amanah yang mentadbirnya.
Memang manusia disuntik dengan rasa pelbagai macam keinginan terhadap dunia. Maka untuk mengawalnya, manusia perlu dididik tentang wujudnya sesuatu yang lebih baik daripada kesemua rasa kecintaan dunia, iaitu apa yang disediakan di akhirat itu adalah lebih sempurna dan abadi.
Pengalaman hidup telah membuktikan bahawa gara-gara berebut hartalah, maka manusia sanggup berbunuhan dan berpecah belah. Oleh yang demikian, lantaran pelbagai cabaran inilah maka tidak mudah untuk manusia melakukan infaq secara rela dan insaf. Kejayaan melawan sifat kikir dan bakhil ini merupakan kejayaan yang amat bererti pada menjalani ibadah puasa ini.
Malah, pahlawan Muslim yang sejati adalah mereka yang berjaya mengawal runtunan nafsu dan berinfaq secara ikhlas ketika senang ataupun susah. Inilah yang diterangkan oleh al-Quran akan segolongan manusia yang dipuji oleh Allah SWT. Kerana subur budaya infaqnya iaitu mereka yang membelanjakan harta mereka pada siang dan malam harinya secara sembunyi atau secara terbuka.
Inilah antara pengajaran yang dibawa oleh ibadah puasa, iaitu manusia dihargai dalam pandangan Allah SWT menurut amal perbuatan berdasarkan takwanya, iaitu suatu penegasan tentang pencapaian amalan yang ikhlas dan mulia. Iaitu dalam pengertian bahawa penghargaan kepada seseorang didasarkan kepada apa yang dapat dibuat dan dicapai oleh seseorang.
Malah, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa perbuatan makruf dapat menghakiskan kejahatan, sedekah atau infaq yang disumbangkan secara sembunyi boleh memadam murka Tuhan dan menghubungkan silatur rahim boleh memanjangkan umur.
Atas dasar keinsafan itu, hendaknya kita tidak menjalani hidup ini dengan santai dan angan mudah, melainkan dengan penuh kesungguhan dan keprihatinan. Sebab apa-apa pun yang kita perbuat kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Khaliq suatu masa nanti.
Penulis ialah Felo, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan