Selasa, 25 Januari 2011

Tiru perbuatan orang kafir, fasik haram

BERTINDIK anggota badan selain telinga haram kerana perbuatan itu meniru orang kafir dan memudaratkan kesihatan.

Remaja bertindik selain anggota telinga, bertatu bertentangan dengan tatasusila Muslim


HUKUM asal bagi perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. Ini berdasarkan dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Salah satu contoh perhiasan yang diamalkan ialah menindik anggota badan dengan meletakkan barang perhiasan, sama ada berbentuk emas, perak dan berlian. Amalan bertindik menjadi kecenderungan remaja masa kini.

Kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia sejak dulu mengenali amalan bertindik hanya terbatas di bahagian telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh budaya luar membuatkan semakin ramai bertindik di bahagian selain telinga, seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ia sudah mula melarat kepada golongan lelaki.

Sebenarnya perbuatan bertindik adalah amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Abbas katanya: “Pada suatu hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal.”

Dalam hadis berkenaan, isyarat yang diberikan wanita (sahabiyyah) berkenaan adalah anting-anting. Ia perhiasan diketahui umum sejak dari zaman awal Islam dan perhiasan ini khusus kepada golongan wanita.
Disebabkan itulah golongan lelaki dilarang daripada menindik telinga mereka kerana ia dengan jelas menyalahi kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Lelaki yang menyerupai wanita dengan mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang dalam Islam.

Itu permasalahan menindik telinga. Bagaimana pula mereka yang menindik di kawasan selain telinga? Perbuatan menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan salafussaleh. Namun ia bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini.

Walaupun tidak dibincangkan secara khusus dalam nas jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad ulama semasa.

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat).

Jelasnya, amalan bertindik selain anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim. Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa membawa manfaat jelas.

Tambahan, menyeksa diri dan dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan mampu mendekatkan pelaku dengan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B.

Permasalahan mengenai tindik sudah dijelaskan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang menyatakan perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

Selain bertindik, remaja kini juga gemar bertatu dan melihat perbuatan itu seolah-olah tidak menjadi kesalahan dari sudut pandang agama. Mengukir badan sendiri dengan melakarkan corak atau bentuk tertentu sehinggakan kesakitan dianggap satu kepuasan.

Bahkan ada yang berbangga memiliki tatu di badan dengan mempertontonkan kepada orang ramai sedangkan ia membawa imej seorang Muslim.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan, bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW.

Bagi yang sudah tergelincir dan ingin kembali ke pangkal jalan, timbul pula persoalan untuk menghilangkan tatu yang ada. Ada segelintir yang menyeksa tubuh badan mereka semata-mata untuk menghilangkan tatu. Malah, ada yang menggunakan seterika.

Memang benar taubat dapat menghapuskan dosa, namun taubat juga perlu bertepatan dengan caranya.

Jika menanggalkan tatu itu mendatangkan kemudaratan atau membuatkan anggota badan nampak jelik, maka harus membiarkannya dan memadai dengan taubat (baik lelaki mahupun wanita).

Ini pandangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari. Pandangan ini juga dinukilkan dari ulama semasa iaitu Dr Muzzamil dan bekas Mufti Kerajaan Saudi, Syeikh Abd Aziz bin Baz dalam fatwa beliau.

Pandangan ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Namun, tatu itu tetap wajib ditanggalkan jika ada teknologi yang dapat menanggalkannya dengan mudah dan tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Tidak kira zaman mana pun kita, etika berhias terbaik adalah pakaian takwa. Semoga dengan mengikut suri teladan terbaik iaitu Baginda Nabi SAW, membuatkan kita terselamat daripada segala kecintaan melebihi dari cinta kepada Baginda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan