Sabtu, 14 Mei 2011

Wahai ibu, engkaulah ratu hatiku!

oleh MASHITAH IBRAHIM

"Ibu, engkaulah ratu hatiku”... demikian sebaris lagu Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Lagu ini mengingatkan kita akan jasa dan kedudukan ibu. Kasih sayang ibu terhadap anak adalah kurniaan Allah. Ayat 14 surah Lukman bermaksud: “Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu kepada-Ku tempat kembali”.

Kejadian tragis di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan minggu lalu adalah satu bukti. Ibu malang Allahyarhamah Rafidah Ismail, 36, berlari masuk ke dalam rumah yang sedang marak terbakar untuk mengeluarkan tiga anak yang masih kecil. Anak-anaknya selamat, tetapi si ibu maut dalam kejadian menyayat hati itu. Rashidah Illyana Zamri, 7; Zaim Shahrul, 6; dan Zaim Iqbal, 2, mungkin belum memahami namun bila lebih dewasa nanti mereka akan mengerti nilai kasih sayang dan pengorbanan ibu mereka.

Dalam Islam, ibu mempunyai kedudukan yang tinggi. Hadis sahih Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah saw, lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati? Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu kembali bertanya: Kemudian siapa? Nabi menjawab: Ibumu. Lelaki itu terus bertanya: Kemudian siapa? Nabi menjawab lagi: Ibumu. Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.

Rasulullah meletakkan tingginya kedudukan seorang ibu sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda. Sebagai anak, kita mesti menghormati ibu untuk mendapat keredaan Allah. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad ada bersabda, keredaan Allah bergantung pada keredaan kedua-dua ibu bapa. Ini bermakna jika ibu bapa suka kepada kita, Allah turut meredai kita. Sebaliknya, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut memurkai kita. Benarlah syurga di telapak kaki ibu.

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu bapa. Hakikat ini perlu kita insafi. Oleh itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Semasa mereka masih hidup, layanlah mereka dengan sebaik mungkin. Jagalah mereka dengan baik, kasih sayang dan hormat. Jangan bersuara tinggi atau keras, atau membantah. Imam Al-Ghazali menyebut satu hadis berbunyi “Berbuat kebajikan kepada kedua ibu bapa lebih utama daripada solat, puasa, haji, umrah dan jihad fisabilillah.”

Ibu bapa wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati kedua-duanya jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis. Ingatlah firman Allah: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang di antara keduanya telah mencapai usia tua, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya ‘cis’ dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanya dengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah mempelakukan dengan penuh kasih sayang semasa aku kecil.” (Al-Isra’: 23-24).

Menderhaka kepada ibu bapa berdosa besar dan tidak akan mencium bau syurga, meskipun banyak beribadat. Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibu bapa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Riwayat Nasa’i, Bazzar dan al-Hakim).

Ambillah iktibar daripada kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah semoga kita insaf dan tidak menjadi anak derhaka. Hanya kerana anaknya melebihkan isteri daripada dirinya, ibu Alqamah tidak mahu memaafkan anaknya hingga tertahan ketika sakratul maut. Rasulullah kemudian menyatakan sekiranya si ibu tidak mahu memaafkan anaknya yang sedang nazak itu, maka anak itu akan dibakar hidup-hidup. Membayangkan kesengsaraan anaknya yang akan dibakar hidup-hidup, hati si ibu menjadi luluh dan cair. Seterusnya, memaafkan dosa dan kesalahan anaknya. Akhirnya, Alqamah meninggal dunia dengan mendapat kemaafan ibunya dan mati dalam husnu al-khatimah.

Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan bila tiba giliran, kita akan jadi ibu atau bapa pula. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita.

Sebagai membalas jasa mereka, kita perlu sentiasa mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Kasihlah ibu tanpa berbelah bagi, kerana kasih sayang terhadap ibu itu dan sebaliknya akan membawa anda ke syurga. Tapi andainya ibu sudah tiada, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu. Selamat menyambut Hari Ibu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan