Sabtu, 31 Disember 2011

TIDAK RAMAI MUHASABAH DIRI


Oleh Maulana Arrif

HARI ini 1 Januari 2012, satu titik permulaan tahun baru yang merangkumi 365 hari. Bagi kebanyakan manusia, genapnya setahun adalah satu jangka masa penilaian segala pencapaian yang lalu dan merancang apa yang hendak dicapai selanjutnya.

Kebanyakan manusia menilai apa yang dicapainya dari sudut duniawi, sama ada kejayaan dalam karier, bisnes, sosial dan sebagainya. Tidak ramai yang muhasabah diri dari sudut agama. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman dalam satu surah pendek mengandungi tiga ayat yang lazimnya dibaca pada akhir majlis.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran,”. - Al Ashr

Walaupun pendek, surah ini membawa pengertian yang amat besar. Betapa manusia, tidak kira miskin atau kaya, apa jua warna kulitnya dan status sosial, mereka akan sentiasa dalam kerugian selama hidup di dunia. Hanya orang yang beriman dan beramal soleh sahaja tidak menanggung kerugian.

Dan mereka ini hendaklah juga menyeru orang lain supaya menjalani kehidupan dengan berpandukan kepada Quran dan sunah Rasulullah SAW. Mereka juga dituntut bersabar dan menyeru orang lain supaya turut bersabar dalam menghadapi apa jua ketentuan Allah.

Allah menjanjikan kehidupan yang kekal di syurga kepada golongan yang beruntung ini. Di sana manusia tidak perlu lagi bekerja untuk mendapat segala kenikmatan yang disediakan. Dan mereka juga tidak akan dilanda kesusahan, sakit dan penyakit, sebagaimana dalam kehidupan dunia. Segalanya disediakan dan selama-lamanya menggembirakan.

Tetapi tidak ramai manusia yang percaya kepada janji Allah ini. Anehnya perangai manusia. Di dunia ini mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kesenangan yang sedikit dan tidak kekal. Ada yang bekerja bermati-matian sehingga mengorbankan kesihatan untuk mengumpul kekayaan. Tidak kurang juga yang sanggup menipu, merompak dan membunuh untuk memburu kesenangan yang amat terhad ini.

Sebaliknya syarat-syarat yang Allah tetapkan untuk mendapat kehidupan akhirat yang tiada tolok bandingnya dengan kehidupan di dunia tidaklah terlalu sukar - beriman, beramal soleh, berdakwah dan bersabar menghadapi segala ujian-Nya.

Kepercayaan kepada kehidupan di akhirat ini adalah salah satu rukun iman. Jika ditanya, semua orang Islam akan menjawab bahawa mereka percaya kepada kehidupan di akhirat. Tetapi tidak pula mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya jika dibandingkan dengan usaha mereka untuk mencari kesenangan sementara yang sedikit di dunia. Mereka hanya percaya di mulut.

Ramai juga yang berpendapat bahawa mereka sudah beriman dengan hanya sekadar beragama Islam. Sekadar Islam belum tentu lagi kita beriman. Dalilnya adalah firman berikut ini.

Orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman.” Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk (Islam)', kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sesungguhnya orang yang beriman itu hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar. - Al Hujuraat (14): 14 dan 15.

Jika seseorang itu beriman, tentulah sedikit pun tiada keraguan di hati mereka mengenai Allah, malaikat-malaikat, kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kebangkitan dan ketentuan Allah. Tetapi kebanyakan manusia yang mengaku beriman hanya memiliki iman pinggiran.

Sebilangan mereka ini beribadat hanya kerana takut kalau-kalau benar ada hari pembalasan, mereka takut dimasukkan ke dalam neraka. Maka dengan hati yang agak 50-50, mereka pun menunaikan solat dan ibadat lain sekadar untuk mengelak daripada masuk neraka (kalau-kalau benar ada hari pembalasan).

Berlaku jujur

Sebab itu jugalah lebih ramai orang Islam hanya menunaikan solat lima waktu dan berpuasa setelah umur semakin tua. Ketika itu barulah datang kesedaran bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Lalu hati tertanya-tanya, selepas mati apakah yang akan terjadi kepada diri mereka. Adakah terus mati dan tidak bangkit lagi?

Oleh kerana tiada kepastian, apa salahnya melakukan sesuatu sekalipun dengan keyakinan hanya 50 peratus. Lagi pun melakukan solat tidak perlukan apa-apa modal. Begitu juga berpuasa yang sekadar perlu menyediakan juadah untuk berbuka. Maka ramailah yang kelihatan warak apabila usia semakin tua. Sudah tiada pilihan lagi walaupun keyakinan hanya 50-50.

Tetapi apabila dituntut ‘‘berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah’' mulailah rasa berat mendakap hati mereka. Usahkan berjihad dengan nyawa seperti umat Islam terdahulu, berjihad dengan harta pun mereka sangat kedekut. Kekayaan yang ada hanyalah jadi bahan kemegahan.

Malah jika ada mana-mana kelompok orang Islam yang sanggup mengorbankan jiwa untuk mempertahankan agama, mudah sekali mereka dilabel sebagai pelampau oleh orang Islam sendiri. Itulah juga label yang digunakan oleh musuh-musuh Islam terhadap semua pejuang Islam. Memang ada golongan yang melampau, tetapi tidak semua pejuang yang menentang musuh-musuh Islam itu pelampau.

Apabila Iraq diserang kerana dituduh memiliki senjata pemusnah besar yang tidak wujud, tidakkah itu lebih melampau? Apabila banyak masyrakat dan negara Islam dicabuli dengan perang dan kekerasan, tidakkah itu juga lebih melampau.

Tetapi disebabkan iman semakin terhakis di kalangan umat Islam, maka kesanggupan untuk berjihad dengan harta dan jiwa juga hilang. Malah tidak ramai yang sanggup berhadapan dengan musuh-musuh Islam kerana takut mati. Anehnya mereka tergamak berbunuh sesama sendiri. Apabila ini berlaku, maka jawabnya kita tidak lagi layak untuk memenuhi kriteria ‘beriman dan mengerjakan amal soleh’ yang Allah gariskan dalam surah Al Ashr itu.

Akhirnya dengan sekadar bersolat lima waktu dan menunaikan ibadat-ibadat wajib yang lain, kita menyangka diri kita bukan lagi orang yang akan rugi di sisi Allah. Rupa-rupanya andaian kita itu hanyalah satu fatamorgana yang menipu diri sendiri.

Sempena tahun baru 2012, marilah kita berlaku jujur kepada diri sendiri. Berlaku jujur kepada diri sendiri, bermakna kita jujur dengan Allah kerana Dia mengetahui segala yang berdetik di hati manusia lantaran Dia lebih dekat dengan kita daripada diri kita sendiri.

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. - Qaaf (50): 16.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan