Jumaat, 16 Mac 2012

Nama anak bukan eskperimen ibu bapa


RAMAI pasangan yang bakal menjadi ibu bapa tercari-cari nama bersesuaian untuk si permata hati. Ada yang gemar menggabungkan nama dan tidak kurang juga menggunakan nama panjang, asal sedap dipanggil biar berjela-jela pun tidak mengapa.

Islam menitikberatkan pemilihan nama kepada bayi yang baru dilahirkan kerana nama adalah lambang identiti seseorang dan akan digalasnya sepanjang hayat sehingga akhirat nanti.

Tanggungjawab ibu bapa

Naib Yang Dipertua (1) Persatuan Ulama Malaysia (Pum), Prof Madya Dr Fauzi Deraman berkata, nama adalah terjemahan kepada perkataan al-Ism daripada akar kata al-Wasm yang bermaksud tanda, akan diketahui dan dikenali seseorang serta menjadi tanda banginya. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal daripada perkataan al-Sumuz yang bermaksud tinggi sekali gus memberi gambaran ketinggian dan keluhuran empunya nama.

"Memberikan nama yang baik kepada bayi antara kewajipan kedua ibu bapa terhadap anaknya, nama menjadi hak milik anak yang mesti dipenuhi sang ayah. "Dalam satu kisah di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khatab, seorang anak datang menemui beliau dan bertanya mengenai hak anak ke atas bapanya dan Umar menjelaskan memilih ibunya, memperelokkan namanya dan mengajar mengenai al-Quran," katanya.

Abu Darda turut meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-namamu”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Menurutnya, Rasulullah sendiri apabila dikurniakan anak daripada salah seorang isterinya, Juwairiyyah al-Qibtiyyah telah berkata: “Saya telah dikurniakan seorang anak lelaki semalam lalu saya namakan dengan nama bapa saya, Ibrahim.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maksud yang baik

Nama dikategorikan elok dan indah ialah nama yang sedap disebut, mempunyai pengertian yang baik, ianya terhindar daripada makna dan sifat yang dilarang Islam atau sekurang-kurangnya nama-nama asing serta mengelirukan.

Fauzi berkata, panggilan yang baik memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemiliknya untuk berkelakuan baik. Walaupun nama itu lebih kepada aspek maknawi, tetapi pengaruhnya terhadap luaran juga besar. Ada sesetengah orang sanggup menjaga dan mempertahankan namanya lebih daripada menjaga harta supaya tidak terjejas namanya.

“Timbul persoalan apabila berdepan dengan individu yang memiliki nama, tetapi mempunyai pengertian buruk dan tidak elok, adakah perlu dia menukar nama tersebut?

Berdasarkan apa yang dilakukan Rasulullah, Baginda telah menukar nama yang tidak baik. Aishah berkata: “Rasulullah telah menukar nama-nama yang buruk (Riwayat Tirmizi).

Ibn Umar berkata: Anak perempuan Umar dinamakan dengan nama Asiah (wanita yang derhaka), lalu dinamakan oleh Rasulullah dengan Jamilah. (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah).

“Ada kes berlaku di zaman Rasulullah , Baginda menukar nama seorang yang bernama Abdul Hajar (hamba batu) kepada Abdullah. Ada yang bernama Asi (yang derhaka) lalu ditukar kepada Muti` (yang taat),” tambah beliau lagi.

Garis panduan


Dalam pemilihan nama terdapat garis panduan yang perlu diikuti kerana ia adalah hak seseorang. Dengan itu ia perlu dilakukan sebaiknya. Jangan bertindak sesuka hati tanpa sebarang panduan. Jika perlu dapatkan penjelasan daripada mereka yang mempunyai pengetahuan.

Perkara sedemikianlah dilakukan sahabat Rasulullah, mereka merujuk perkara tersebut kepada Baginda. Rasulullah bersabda: “Berikanlah nama dengan nama para nabi, dan nama yang paling disukai ALLAH iaitu Abdullah dan Abdul Rahman.”(Hadis riwayat Abu Daud dan al-Nasaii)

“Nama bukanlah faktor yang menyebabkan seorang itu menjadi baik. Ia hanya langkah pertama dan permulaan yang disusuli dengan langkah seterusnya iaitu mendidik anak dengan pendidikan yang sebaiknya.

“Tugas ibu bapa tidak selesai dengan memberi nama yang baik sahaja. Ia hanyalah permulaan yang disusuli dengan asuhan dan didikan yang berpanjangan. Persekitaran keluarga dan masyarakat yang kondusif juga mempunyai pengaruh yang besar. Tidak berbangkit soal nama itu berat atau ringan!,” katanya.

Menurutnya, tradisi memberi nama timangan terkenal sejak awal Islam lagi, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya bertajuk Tarbiah al-Awlad menyebut beberapa kebaikan daripada nama timangan ini, antaranya untuk memulia dan menghargai yang empunya diri, mengembangkan personalitinya dan melihatkan kegembiraan untuknya bila dipanggil dengan nama timangan selain melatih untuk berinteraksi dengan orang yang lebih tua.

Nabi pernah memangil Abu Hurairah dengan gelaran Aba Hir, Aishah dengan Aishi, Usamah dengan Usaim, Miqdad dengan Qudaim dan sebagainya, namun ia tiada kaitan dengan nama itu berat untuk dirinya.

Beliau berpandangan, ditegah menamakan bayi dengan nama yang dilarang seperti nama khusus bagi ALLAH atau sembahan-sembahan lain. Abdul Rahaman bin Auf berkata, nama saya sebelum Islam ialah Abdul Ka`bah lalu ditukar oleh Nabi kepada Abdul Rahman, begitu juga nama mereka yang melambangkan kekufuran dan yang terkenal dengan kejahatannya, nama-nama yang memberikan maksud tidak baik. Seperti nama-nama yang tidak beridentitikan Islam.

“Perubahan kepada yang baik dan lebih baik adalah digalakkan. Mungkin hasil daripada kesedaran kedua ibu bapa betapa mustahaknya nama-nama yang baik. Apalah maknanya kombinasi nama ibu dan bapa kalau ia tidak memberikan apa-apa makna. Nama anak bukanlah eksperimen yang kononnya lambang kasih sayang suami dan isteri dengan mengabadikan sebahagaian daripada nama mereka.

“Gambarkanlah situasi di mana semua orang berhimpun di Padang Mahshar nanti dengan menyebut nama yang tidak diketahui usul asalnya. Ada baiknya jika ibu dan bapa menyebut nama anaknya dengan penuh dan bukan ringkas atau nama manja, lebih malang jika diringkaskan dengan menggunakan panggilan-panggilan asing,” akhiri beliau lagi.

(Sumber: http://pum.org.my/)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan