DI dalam Al-Quran, terkandung
ayat-ayat yang mengajar manusia mengenai sains dan teknologi, contohnya
kejadian manusia di dalam Surah Al-Alaq (kejadian) dan penggunaan besi di dalam Surah Al-Hadid (besi). Menjadi
kewajipan umat Islam memahami intipati Al-Quran yang merupakan kalam Pencipta
(Allah) kepada kejadian yang dicipta (manusia) sebagai panduan hidup yang
meliputi segala bidang, termasuklah bidang kejuruteraan kimia.
Ayat 7 dan 8 di dalam Surah Al-
Zalzalah (gempa bumi) berbunyi: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat
zarah, nescaya akan melihat (pahalanya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat
zarah, nescaya akan melihat balasannya."
Ia memberikan gambaran kepada
manusia bahawa mereka akan menjalani hisab dan jaza' (pembalasan) sebelum
dimasukkan sama ada ke syurga atau neraka di atas kebaikan dan kejahatan yang
mereka lakukan semasa di dunia walaupun perbuatannya sebesar zarah. Perkataan
'zarah' ini dalam istilah kimia merujuk sama ada kepada molekul, atom ataupun
ion yang terlalu seni (kecil) yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata
dan terhad untuk dilihat dengan peralatan saintifik yang canggih serta kompleks
seperti Transmission Electron Microscopy (TEM) dan Nuclear Magnetic Resonance
(NMR).
Saiz satu zarah boleh bermula
dengan pengukuran terkecil Angstrom meter (x10-10m). Manusia mempercayai
kewujudan molekul, atom dan ion yang abstrak (pada saiz Angstrom meter)
walaupun tidak dapat dilihat, disentuh dan dirasa.
Apabila molekul, atom dan ion
membentuk atau bergabung menjadi sebatian bahan, barulah sifat-sifatnya dapat
dilihat, disentuh dan dirasai. Contoh sifat-sifat tersebut seperti warna,
bentuk, fasa, kebolehlarutan, menghakis dan sebagainya. Konsep ini sama dengan
konsep ketuhanan, yang tidak dapat dilihat, didengar, dirasa dan disentuh,
tetapi masih ada manusia yang tidak mempercayai kewujudan Penciptanya.
Apabila manusia mula mempercayai
kewujudan zarah, muncullah bidang pengajian asas kimia sehinggalah ia
berkembang menjadi bidang kejuruteraan kimia bagi pembangunan dan perkembangan
kehidupan manusia seterusnya. Teori awal kewujudan atom telah dikesan oleh ahli
falsafah Greek iaitu Democritus dan seterusnya telah dimodenkan lagi konsepnya
dan teorinya oleh John Dalton sekitar 1803.
Di dalam ayat Al-Zalzalah ini,
Allah swt menerangkan bahawa besarnya impak perkara baik dan buruk yang kita
lakukan semasa di dunia akan memberi kesan kepada kehidupan manusia dan alamnya
walaupun sebesar zarah. Konsep impak yang besar ini walaupun sebesar zarah
perlulah diambil perhatian oleh seorang jurutera kimia dalam menjalankan
tugasnya mengawal proses kimia harian dalam bidang industri.
Sifat-sifat zarah ini perlu
difahami serta dihalusi dengan teliti agar tidak memberi kemudaratan dan
permasalahan di dalam sesuatu proses kimia yang berskala atau bersaiz besar.
Sifat-sifat zarah seperti kebolehlarutan, potensi kimia, corak taburan cas,
daya tarikan, daya tolakan, saiz molekul, keelektronegatifan, kebolehan
membentuk ikatan kimia seperti ikatan hidrogen pada skala mikroskopik antara
yang akan mempengaruhi sifat proses kimia pada skala mikroskopik seperti
kebolehaliran, ketumpatan, termodinamik, perubahan fasa dan kebolehcampuran.
Antara contoh yang ketara kenapa
sifat dan kelakuan molekul perlu difahami ialah pembentukan pepejal hidrat
semasa proses pengeluaran gas hidrokarbon dari telaga simpanan gas dan minyak.
Campuran gas hidrokarbon-air itu mempunyai gas lain juga seperti NOx, SOx yang
menyebabkan molekul NOx, H2S, SOx lebih tertarik kepada molekul air bagi
membentuk ikatan hidrogen yang kuat dan banyak.
Lama-kelamaan apabila kepekatan
(bilangan molekul) campuran air, NOx, SOx makin bertambah, titik supersaturasi
akan dicapai untuk memacu perubahan fasa gas kepada pepejal yang bersaiz nano.
Pepejal bersaiz nenometer
(x10-9m) ini kemudian akan semakin besar membentuk kerak pada dinding pada
aliran paip. Kerak ini akan lebih membesar seperti yang berlaku pada paip
singki di dapur kita yang akan menyebabkan aliran bendalir tersumbat.
Seterusnya, ia akan menyebabkan operasi pengeluaran tergendala serta
menyebabkan kerugian kos beratus juta ringgit.
Di negara maju seperti Amerika
Syarikat, Britain dan Jerman, para saintis dan jurutera dari syarikat terkemuka
seperti Shell, BP, BASF, GlaxoSmithKlime dan Pfizer telah lama mengkaji dan
memahami sifat asal zarah dalam peringkat pembangunan proses dan produk
industri kimia mereka agar dapat dikawal dengan baik bermula daripada peringkat
molekul.
Sebagai kesimpulan, jurutera
kimia perlulah mula melakukan anjakan ilmu untuk memahami proses yang mereka kendalikan
bermula dari peringkat molekul yang sejajar dengan saranan Al-Quran kepada
manusia.
Jurutera kimia juga haruslah
berpegang teguh dalam mengamalkan etika profesyen kejuruteraan yang betul
kerana setiap tindakan yang dilakukan akan memberikan impak yang besar kepada
manusia dan alam sekeliling kita.
Nota: Penulis pensyarah di
Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Pahang.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan