Sabtu, 3 Mei 2014

Makmum yang masbuk dijadikan Imam


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

SEMBAHYANG secara berjama'ah berbanding sembahyang bersendirian atau seorang diri, sama ada bagi lelaki mahupun perempuan, mempunyai kelebihannya serta menjanjikan fadhilat yang sangat menguntungkan. Antaranya ganjaran pahala sebanyak 27 (dua puluh tujuh) darjat. Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Umar Radhiallahu 'anhuma, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Sembahyang berjama'ah lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat."

(Hadits riwayat Muslim)

Menurut pendapat yang al-azhhar (lebih kuat), yang dimaksudkan dengan darjat itu ialah sembahyang. Manakala dalam sesetengah riwayat menyebutkan maksud darjat itu sebagai gandaan.

Jama'ah Yang Ramai Lebih Afdhal Berbanding Yang Sedikit

Dalam keadaan tertentu, sembahyang secara berjama'ah dengan bilangan yang banyak adalah lebih afdhal daripada sembahyang secara berjama'ah dengan bilangan yang sedikit. Telah diriwayatkan daripada Ubay bin Ka'b Radhiallahu 'anhu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Dan sesungguhnya sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) seorang diri. Dan sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama dua orang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama (hanya) seorang lelaki. Dan mana-mana yang lebih banyak, maka itu adalah lebih disukai di sisi Allah Ta'ala."

(Hadits riwayat Abu Daud) Dalam hadits di atas, maksud 'sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik' ialah kerana mendapat pahala yang lebih. Manakala maksud 'mana-mana yang lebih banyak' ialah sembahyang yang banyak bilangan jama'ah di dalamnya adalah lebih disukai di sisi Allah Ta'ala berbanding jama'ah yang sedikit bilangannya.

Telah disebutkan dalam kitab al-Majmu' dalam Bab hai'at al-jumu'ah bahawa sesiapa yang sembahyang bersama-sama 10 ribu orang jama'ah, maka baginya ganjaran 27 darjat dan sesiapa yang sembahyang bersama-sama dua orang jama'ah dia juga mendapat ganjaran 27 darjat. Bagaimanapun darjat-darjat orang yang sembahyang dalam keadaan pertama (yang lebih banyak bilangannya) adalah lebih akmal atau sempurna.

Perkara ini telah dibayangkan dalam bab yang sama mengenai ganjaran bagi mereka yang datang ke masjid pada hari Jumaat pada awal waktu berbanding mereka yang datang pada akhir waktu. Kedua-dua kumpulan ini sama-sama berhasil mendapat ganjaran yang asal, iaitu seekor unta ataupun lembu atau selain keduanya, akan tetapi unta yang diperolehi oleh mereka yang datang pada awal waktu itu lebih sempurna berbanding unta bagi mereka yang datang pada akhir waktu. Demikian pula, bagi mereka yang datang pada waktu pertengahan, maka mereka mendapat unta yang sederhana atau pertengahan.

Memperoleh Fadhilat Berjama'ah

Menurut para ulama, fadhilat berjama'ah itu diperolehi dengan memperolehi sembahyang berjama'ah bersama imam. Antara caranya ialah seorang yang mengikut imam dengan mengikuti atau menyertai imam sejurus imam mengangkat takbiratul ihram, maka dia akan memperolehi sembahyang berjama'ah dan fadhilat berjama'ah. Selain itu, dia juga memperolehi fadhilat berjama'ah sekiranya dia sempat menyertai atau mengikut imam pada mana-mana bahagian dan rakaat dalam sembahyang imam. Sama ada pada permulaan sembahyang atau pertengahan, malahan sepanjang masa sembahyang dilaksanakan sekalipun sebentar sahaja, selama mana imam belum selesai memberi salam (yang pertama) dalam sembahyang, kecuali dalam sembahyangfardhu Jumaat sebagaimana yang akan dijelaskan kemudian.

Maksud imam belum selesai mengucapkan salam ialah imam belum sampai kepada huruf 'mim' pada lafaz 'alaikum'. Oleh yang demikian, sekiranya makmum tersebut mengangkat takbiratul ihram serentak dengan permulaan imam memberi salam dan sebelum imam sampai ke huruf 'mim' seperti yang dijelaskan di atas, maka dalam situasi ini dia memperolehi jama'ah bersama imam.

Para ulama juga memberikan gambaran bahawa seseorang memperolehi fadhilat berjama'ah selama mana imam belum selesai memberi salam, sekalipun dia tidak sempat duduk bersama-sama imam. Sebagai contoh, sebaik-baik sahaja dia sempurna mengangkat takbiratul ihram, imam pun memberi salam.

Di sini dapat difahami bahawa sesiapa yang menyertai imam, sama ada daripada awal sembahyang imam, pertengahan ataupun penghujungnya, kesemua mereka (makmum) memperolehi fadhilat berjama'ah dan ganjaran pahala yang dijanjikan. Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa mereka yang telah mengikuti imam dari awal sembahyang imam tersebut akan mendapat kelebihan atau kebaikan yang lebih banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding mereka yang terkemudian mengikut imam atau mengikut imam cuma pada sebahagian sembahyang imam sahaja.

Perkara ini adalah berdasarkan sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu bahawa sesiapa yang sembahyang bersama-sama sepuluh ribu orang jama'ah ataupun bersama-sama dua orang jama'ah, masing-masing memperolehi ganjaran 27 darjat. Bagaimanapun, darjat-darjat orang yang sembahyang dalam bilangan jama'ah yang banyak adalah lebih akmal atau sempurna berbanding bilangan jama'ah yang sedikit.

Memperoleh Fadhilat Berjama'ah Dalam Sembahyang Jumaat

BAGI seseorang memperolehi sembahyang berjama'ah bersama imam pada sembahyang fardhu Jumaat, maka kedudukannya adalah berbeza daripada sembahyang fardhu lima waktu. Secara ringkas, mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat secara berjama'ah merupakan fardhu 'ain. Sembahyang fardhu Jumaat disyaratkan dikerjakan secara berjama'ah dengan mencukupkan bilangan 40 orang jama'ah yang sah Jumaatnya (mukallaf, lelaki, merdeka dan bermastautin), dan bilangan ini termasuklah imam Jumaat itu sendiri.

Untuk membolehkan seorang makmum yang masbuk mendapati sembahyang fardhu Jumaat, maka hendaklah dia mengikut imam sembahyang fardhu Jumaat paling kurang satu rakaat. Inilah antara perbezaan sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang fardhu Jumaat.

Oleh yang demikian, dalam sembahyang fardhu Jumaat, sekiranya seorang makmum sempat mengikut imam yang akan ruku' pada rakaat yang kedua atau imam yang sedang ruku' pada rakaat yang kedua beserta thuma'ninah, maka dia memperolehi sembahyang fardhu Jumaat, iaitu memperolehi satu rakaat. Setelah imam selesai memberi salam, maka makmum yang masbuk itu hendaklah bangun untuk menyempurnakan satu rakaat lagi dan kemudian memberi salam.

Sekiranya seorang makmum hanya sempat mengikut imam setelah imam selesai ruku' pada rakaat kedua ataupun ketika imam sujud pada rakaat kedua dalam sembahyang fardhu Jumaat, maka dalam keadaan ini dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Bagaimanapun sah dia mengikut imam tersebut, malahan dia memperolehi fadhilat berjama'ah, sekalipun dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Oleh yang demikian, makmum tersebut meneruskan sembahyang fardhu Jumaat yang dikerjakannya dan setelah imam sembahyang fardhu Jumaat memberi salam, hendaklah dia menyempurnakannya menjadi empat rakaat sembahyang fardhu Zohor, kemudian diakhiri pada rakaat ke empat dengan salam.

Berimamkan Seorang Makmum

Melihat kepada ganjaran dan kelebihan sembahyang berjama'ah sebagaimana yang disebutkan dalam hadits di atas dan pandangan para ulama yang telah disebutkan terdahulu, maka tidak hairanlah kenapa sesetengah orang melazimkan sembahyang secara berjama'ah serta tidak mahu melepaskan peluang untuk merebut ganjaran tersebut.

Mengenai sembahyang berjama'ah dan mengikut imam ini, timbul pula satu persoalan, iaitu apakah hukumnya jika seseorang yang hendak menunaikan sembahyang secara berjama'ah dengan menjadikan atau mengikut seorang makmum yang masbuk sebagai imam? Penjelasan ringkas mengenainya seperti berikut.

Untuk melakukan sembahyang secara berjama'ah, perlu ada seorang imam dan jama'ah. Sembahyang berjama'ah itu terhasil dengan dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum, ataupun lebih. Antara syarat sah mengikut seorang imam atau menjadikannya imam ialah imam tersebut hendaklah bukan terdiri daripada seorang makmum dan tidak pula ada syak atau keraguan sama ada dia seorang imam ataupun makmum.

Persoalannya bagaimanakah yang dimaksudkan berimamkan seorang makmum itu? Sebagai contoh, Ahmad mendapati sekumpulan orang sedang sembahyang berjama'ah mengikut seorang imam, lalu dia menjadikan salah seorang daripada makmum itu sebagai imam, sedangkan makmum tersebut masih atau sedang menjadi makmum kepada imam yang sedia ada. Dalam keadaan ini, ulama sepakat (ijma') mengatakan bahawa kedudukan sembahyang Ahmad dengan berimamkan seorang makmum tersebut adalah tidak sah. Ini kerana seseorang itu tidak boleh menjadi imam dan juga makmum dalam satu masa yang sama. Dengan kata lain, orang yang hendak diikuti itu tidak boleh mengikut orang lain ataupun sedang berimamkan orang lain.

Bagaimanapun maksud 'tidak sah mengikut seorang makmum' itu tidaklah termasuk jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imam.

Sebagai contoh, Ahmad mendapati sekumpulan orang sedang mengikut seorang imam sembahyang berjama'ah, bukan dalam sembahyang Jumaat. Apabila imam selesai memberi salam, salah seorang makmum yang masbuk pun seterusnya berdiri untuk menambah dan menyempurnakan bilangan rakaatnya. Pada ketika ini, jika Ahmad menjadikan makmum yang masbuk itu sebagai imam, maka hukum sembahyang Ahmad adalah sah.

Inilah pendapat Imam Ibn Hajar Rahimahullah bahawa hukum sembahyang seseorang dengan cara yang disebutkan di atas adalah sah dan tidak dihukumkan makruh.

Berniat Menjadi Imam Pada Pertengahan Sembahyang Dan Caranya

Pada dasarnya, niat imamah atau niat menjadi imam, melainkan dalam sembahyang fardhu Juma'at, bukanlah suatu syarat yang menentukan sahnya sembahyang berjama'ah atau sebaliknya. Bagaimanapun berniat menjadi imam dalam sembahyang adalah sunat. Perkara ini disunatkan agar dia (yang menjadi imam) juga mendapat fadhilat berjama'ah. Oleh yang demikian, walaupun dia (yang menjadi imam) tidak berniat menjadi imam, sembahyang berjama'ah itu tetap sah melainkan dalam sembahyang Jumaat.

Oleh kerana itu, seorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, apabila datang orang lain menyertainya sebagai makmum untuk mengerjakan sembahyang secara berjama'ah, maka sunat bagi orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu berniat menjadi imam.

Pada pendapat al-Qadhi Husain Rahimahullah, apabila seorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, lalu datang orang lain menyertainya sebagai makmum, sedangkan dia (orang yang dijadikan imam) tidak mengetahui akan perkara ini (berjama'ah), maka dia mendapat fadhilat berjama'ah kerana mereka (para makmum) memperolehi fadhilat jama'ah tersebut disebabkan olehnya (orang yang dijadikan imam). Sekiranya dia (orang yang dijadikan imam) mengetahui bahawa niat mereka yang menyertainya adalah untuk berjama'ah dengannya, akan tetapi dia tidak berniat (memasang niat) sebagai imam, maka dalam situasi ini dia tidak memperolehi fadhilat berjama'ah tersebut.

Selain itu, perlu juga diketahui bahawa imam sembahyang berjama'ah akan mendapat pahala sembahyang secara berjama'ah bermula daripada ketika dia berniat menjadi imam. Adapun mengenai cara memasang niat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyang, maka memadailah seseorang itu berniat di dalam hatinya untuk menjadi imam.

Walau bagaimanapun hukum niat berjama'ah atau mengikut imam bagi makmum adalah berbeza. Antara syarat sah sembahyang seseorang yang mengikut imam ialah niat mengikut imam, atau niat berjama'ah atau niat menjadi makmum. Bagi makmum, niat mengikut imam itu dilakukan pada ketika mengangkat takbiratul ihram.

Sebagai kesimpulan, peluang untuk melaksanakan sembahyang secara berjama'ah itu janganlah dilepaskan dan disia-siakan begitu sahaja melihat kepada fadhilat yang menguntungkan yang bakal diraih. Di samping itu, dianjurkan melaksanakan sembahyang berjama'ah itu dalam bilangan yang lebih banyak kerana ia lebih disukai di sisi Allah Ta'ala dan adalah lebih afdhal dengan mendapat pahala yang berganda.

Demikian juga, sesesorang yang mengikut imam (berjama'ah) dari awal sembahyang imam akan mendapat kelebihan yang banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding seseorang yang mengikut imam cuma dalam sebahagian sembahyang sahaja.

Sembahyang berjama'ah itu terhasil dengan hanya dua orang ataupun lebih. Antara syarat sah sembahyang berjama'ah hendaklah orang yang dijadikan imam itu bukan seorang makmum. Bagaimanapun jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imamnya, umpamanya imam selesai memberi salam dalam sembahyang dan makmum tersebut bangkit lagi untuk menambah dan menyempurnakan rakaatnya, maka hukum berimamkan makmum (yang masbuk) dalam keadaan sedemikian adalah sah.


WALLAHUA'LAM

Artikel asal oleh Ustazah Norliha ( Sumber : http://www.pelitabrunei.gov.bn/)

Tiada ulasan:

Catat Komen