Khamis, 19 Ogos 2010

Mengembalikan kegemilangan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu


Oleh : Prof Dr. Zaini Ujang

SETIAP kali Ramadan, masjid di seluruh dunia bertukar suasana. Meriah dan penuh dengan acara. Selain majlis berbuka puasa dan solat tarawih, masjid juga menjadi kunjungan untuk bertadarus al-Quran, tazkirah dan qiamulail. Ada juga masjid yang memainkan peranan sebagai pusat kegiatan masyarakat sepanjang Ramadan, daripada penyediaan juadah berbuka puasa sehinggalah program ziarah pesakit di hospital.


Memang masjid mempunyai peranan penting dalam sejarah Islam. Sebelum tiba di Madinah, dalam rangka hijrah, Rasulullah SAW telah mendirikan Masjid Quba. Semua pusat pendidikan, perdagangan dan pentadbiran sepanjang sejarah Islam berligar di sekitar masjid. Barangkali tidak salah untuk merumuskan bahawa institusi masjid mencetuskan perkembangan peradaban Islam.

Peradaban Islam melonjak dalam bidang ilmu sains dan teknologi; perdagangan dan keadilan sosial sehinggalah mewarnakan norma dan tata budaya zaman bermula abad kelapan masihi. Hal ini menarik warga sezaman dari Timur dan Barat untuk menimba ilmu dan kepakaran di pusat ilmu yang ketika itu dikenali sebagai madrasah, maktab atau jamiah yang semuanya berpusat di masjid di serata negara Islam. Sebahagiannya pulang berbekal ilmu pengetahuan yang dikembangkan menerusi epistemologi dan peradaban Islam dalam bidang matematik, falsafah, perubatan, kimia, fizik, kejuruteraan, perundangan dan lain-lain.

Kegemilangan peradaban ilmu ini diungkapkan oleh Herbert A Davies: Orang Muslim telah mendirikan universiti besar selama beberapa abad jauh mengatasi Eropah Kristian. Perpustakaan besar dibangunkan, berisi beratus ribu jilid buku yang terdaftar dan tersusun rapi. Ramai orang Kristian belajar di Universiti Cordova membawa ilmu dan kebudayaan ke negeri asal mereka.

Sempena Ramadan mulia ini marilah kita berfikir. Bagaimanakah sejarah itu boleh kita ulangi? Bagaimanakah universiti di negara Islam kembali menjadi pusat kecemerlangan ilmu termaju mendahului saingannya di Timur dan Barat? Apakah sekadar kita berpuas hati dengan catatan nostalgia bahawa masjid pernah menjadi pusat pembangunan peradaban Islam?

Sehubungan itu saya menyarankan lima langkah perlu difahami dan dihayati.

Pertama: Seluruh umat Islam khususnya golongan pelajar dan pendidik perlu memurnikan niat, meningkatkan komitmen dan penghayatan ilmu. Makna penghayatan ilmu bukan sekadar memencil diri membaca, menekuni, memahami dan meluahkan kembali mantra ilmu di atas kertas untuk memenuhi tuntutan mendapatkan segulung ijazah. Bagi umat Islam, penghayatan ilmu bermakna berusaha memaju dan merealisasikan ilmu dalam konteks amalan, pekerjaan, perniagaan, pentadbiran dan pembangunan ummah.

Kedua: Kita juga perlu meningkatkan minat dan amalan membaca bahan ilmu. Membaca adalah arahan pertama wahyu Ilahi. Membaca adalah kaedah untuk mendapatkan ilmu. Maka pada Ramadan yang mulia ini, marilah bersama-sama kita memulakan langkah memperbanyakkan membaca dan memahami al-Quran sebagai sumur ilmu utama disamping bahan ilmiah lain.

Ketiga: Marilah kita bersama memperkasakan potensi ilmu dalam kehidupan seharian dengan memanfaatkan kewujudan pusat ilmu seperti universiti, kolej, maktab, sekolah dan masjid. Universiti perlu berperanan penyubur kecemerlangan dan budaya ilmu menerusi aktiviti formal dan tidak formal.

Keempat: Marilah kita merealisasi dan menghayati ilmu dengan melaksanakan apa yang kita fahami. Kita juga perlu menggunakan hasil penyelidikan dan inovasi yang dilakukan termasuk warga kampus untuk manfaat umat sejagat.

Kelima: Kita perlu terus berinovasi untuk menghadapi cabaran dan saingan sejagat, selari inisiatif kerajaan menjadikan 2010 sebagai Tahun Inovasi.
Inovasi bukan hanya untuk golongan intelektual, karyawan dan seniman semata-mata. Inovasi boleh dan perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam dalam bidang kepakaran, pekerjaan dan minat masing-masing.

Sesungguhnya masjid adalah simbol kegemilangan Islam. Maka Ramadan seharusnya mengingatkan kita supaya masjid terus dimakmurkan.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan