Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my
imlanadabi@bharian.com.my
Generasi muda ketepi propaganda murahan kerana mahukan masa depan lebih dinamik
RUSUHAN berdarah 13 Mei 1969 memberi impak besar terhadap gerakan Islam di Malaysia. Jika sebelumnya urusan agama dianggap sekadar warisan keluarga, kejadian yang berlaku pada masa singkat memberi kesedaran betapa Islam cara hidup terbaik dan menjadi penyelesai masalah ummah.
Ketika kemuncak rusuhan, ada bangsa Melayu yang menjadi golongan minoriti di Kuala Lumpur berlindung di Masjid Negara dan masjid Kampung Baru yang dianggap kawasan selamat. Mereka yakin pertolongan Allah di samping mengharapkan tindakan segera pasukan keamanan.
Siswa di institusi pengajian tinggi tempatan juga mula menjadikan aktiviti agama sebagai sebahagian daripada aktiviti harian. Keadaan ini amat berbeza sebelumnya kerana cara hidup yang disemai oleh penjajah hampir mengubah kehidupan segelintir Melayu di bandar, khususnya yang mendapat didikan sekular.
Jika kita membaca karya Asas 50 dan menonton filem Melayu era Studio Jalan Ampas, cara hidup Islam kurang ketara. Watak utama yang menghidupkan budaya Islam agak terbatas. Watak wanita bertudung dan menutup aurat hampir tidak menonjol. Tema yang mengutamakan cara hidup ummah hampir tiada. Ia berlanjutan sehingga dekad 60-an dan keadaan jauh berubah pada 1970-an, apabila gerakan Islam sejagat memberikan impak besar terhadap generasi muda di Malaysia.
Di negara Arab, gerakan Islam muncul mendadak selepas Perang Arab-Israel pada 1967. Generasi muda yang mendapat pendidikan Barat menggunakan disiplin keilmuwan di Barat untuk menggerakkan perjuangan di negara sendiri.
Mereka meneladani perjuangan Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, An Nahdah dan Mili Salamat untuk mencabar sistem sekular yang sudah lama bertapak di negara umat Islam. Perjuangan Sheikh Abdul Qader al-Jazair (Algeria), Sheikh Umar Mukhtar (Libya), Sheikh Uthman Den Fodio (Nigeria), Sultan Hassanuddin dan Imam Diponegoro (Indonesia), Hassan Munas (Tok Janggut) dan Abdul Rahman Limbong (Tanah Melayu) menjadi inspirasi menggerakkan ummah. Jika pejuang sebelumnya menuntut kemerdekaan, generasi 70-an pula menjadi pendesak idea penubuhan negara Islam yang masih terbengkalai.
Perjuangan Sheikh Muhammad Abduh, Jamaluddin al Afghani dan Rashid Ridho menjadi idola reformis Islam. Kebangkitan pemikiran Hassan al Banna yang menggerakkan Ikhwaanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada 1928 menjadi inspirasi penubuhan persatuan belia Islam di seluruh dunia. Mereka mula mendesak dan bersuara selepas menyedari ideologi ciptaan manusia gagal menyelesaikan isu sejagat. Sistem komunisme, sosialisme, nasionalisme dan liberalisme gagal menyelesaikan masalah ummah. Mereka mengkaji jati diri Islam yang menjadi penyelesai masalah universal.
Revolusi Iran pada 1978 menyemarakkan kesan perjuangan generasi muda sejagat. Kehidupan mewah Shah Iran terdedah dengan pelbagai variasi siasah. Gerakan Islam menjadikan perjuangan dan kejayaan golongan mullah di Teheran sebagai alternatif kepada sistem monarki sekular.
Di Malaysia pula, perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memberikan kesan tersendiri. Jika sebelumnya pertubuhan belia tidak lebih daripada sekadar penganjuran majlis sukaria dan penganjuran lawatan, ABIM meletakkan gerakan belia sebagai wadah pembentukan generasi pemimpin masa depan. Beberapa tokoh ABIM menjadi penggerak parti politik utama. UMNO, PAS dan BERJASA pernah dibayangi gerakan ABIM.
Pusat pengajian tinggi juga tidak terkecuali dengan gerakan ABIM yang tentunya lebih menjadi cabaran kepada persatuan siswa yang agak liberal sebelum ini.
Ketika gerakan pelajar pada 1974, pengaruh gerakan Islam mewarnai ruang kampus dan medan siasah. Malahan, pembentukan Akta Universiti dan Kolej (AUKU) juga dikaitkan dengan perjuangan pelajar yang didakwa militan.
Mereka juga dikaitkan sebagai kabel gerakan komunis antarabangsa walaupun pada dasarnya Islam dan komunisme dua ideologi saling bercanggah. Pada hari ini gerakan belia dan Islam tidak dapat dipisahkan. Teknologi maklumat dan media baru menjadi perayaan sejagat yang dimanfaatkan generasi muda. Ketika media tradisional semakin terpinggir, media baru menjadi wadah terkuat untuk menyuarakan hasrat generasi muda. Jika insiden 13 Mei 1969 dikaitkan sebagai perjuangan perbezaan antara dua kelas ekonomi yang dibentuk oleh ras dan agama, kini gerakan belia Islam menjadi medan alternatif terhadap sistem yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat.
Cara berfikir dan bersiasah mengikut acara lama sudah ketinggalan. Generasi muda Islam lebih melihat kepada masa depan yang lebih dinamik. Mereka mengharapkan suasana hidup yang lebih selesa dan suara propaganda murahan perlu diketepikan.
Jika ada dalam kalangan kita yang mengabaikan suara yang tercatat pada laman blog, Facebook, Twitter dan e-mel, sesuatu yang drastik mungkin terjadi.
Gerakan anak muda dan gerakan Islam semakin mewarnai suasana politik di seluruh dunia. Merekalah pelengkap siasah sejagat masa kini.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan