Sabtu, 26 Mac 2011

Mohd. Syahriansyah Apin, Juara Akademi al-Quran musim kelima (AQ5)


Mohd. Syahriansyah Apin


Mohd. Syahriansyah Apin, 25, berasal dari Sabah muncul juara pertandingan akhir program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran musim kelima (AQ5) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Mohd. Syahriansyah membawa pulang wang tunai RM30,000 dan senaskhah al-Quran bertinta emas.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini turut membawa pulang pakej pelancongan ke Syria, perabot jati, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper dan sebuah trofi yang bernilai kira-kira RM150,000.

Mohd. Syahriansyah turut mendapat tajaan biasiswa bagi melanjutkan pengajiannya ke mana-mana cawangan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU).

Sementara itu, ketiga-tiga peserta lain, Mohamad Husaini Mahmur, 19, Suhailah Zulkifly, 22, dan Muhamad Nasir Muhamad Salleh, 21, membawa pulang sagu hati berupa wang tunai RM2,000, biasiswa menyambung pengajian di MEDIU, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper serta trofi.

Hadiah pemenang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Johan Jaafar.

AQ merupakan program realiti TV tempatan pertama yang memerlukan peserta memperdengarkan bacaan al-Quran mengikut kaedah tertentu.

Semua hadiah adalah tajaan daripada TV9, Yayasan Restu, MEDIU, Gemilang Travels & Tour, Al-Fajr Travel, Wan Manang, Jatimas, TH Global, Hiraq Marketing & Trading.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan