Oleh : FATHUL BARI
Wujud satu stigma
dalam masyarakat yang membuat andaian bahawa jika seseorang itu ditimpa musibah
atau kesusahan, ia dikaitkan dengan tuduhan seperti pernah melakukan perkara
tidak elok. Adakah musibah yang ALLAH berikan itu kerana kesalahan dan dosa
kita atau adakah ia ujian daripada ALLAH SWT?
Dalam Islam wujud
istilah kaffarah, yakni penghapus dosa. Dalam hadis-hadis Nabi SAW memang Nabi
menyebut apabila seseorang ditimpa kesakitan, walaupun terkena duri, dengan
terkena duri itu diampunkan dosanya yang lalu. Sabda Nabi, “Tiada seorang
Muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, kecuali ALLAH mencatat baginya
kebaikan dan menghapus darinya dosa.” (riwayat Imam al-Bukhari)
Cuma dosa mana yang
diampunkan kita tidak tahu. Kita buat banyak dosa. Selain ujian dan musibah,
ada banyak lagi amalan yang disebutkan oleh Nabi sebagai penghapus dosa.
Antaranya berwuduk, sepertimana disebutkan Nabi dalam sebuah hadis bermaksud;
“Mahukah kalian aku
tunjukkan tentang sesuatu amalan yang dengannya ALLAH menghapuskan dosa-dosa,
dan mengangkat darjat?” Mereka berkata, “Mahu, wahai Rasulullah!” Baginda
bersabda, “Amalan itu adalah menyempurnakan wuduk’ di waktu yang tidak kamu
sukai.” (riwayat Imam Muslim, no.586).
Abul Hasan
As-Sindiy rahimahullah menjelaskan amalan-amalan yang terdapat dalam hadis ini,
“Amalan-amalan ini akan menutup pintu-pintu syaitan daripada dirinya, menahan
jiwanya daripada nafsu syahwatnya, permusuhan jiwa, dan syaitan sebagaimana hal
ini tak lagi samar. Inilah jihad besar yang terdapat pada dirinya. Jadi,
syaitan adalah musuh paling berat baginya”. (lihat; Hasyiyah As-Sindiy ala
Sunan An-Nasa’iy, 1/114).
Demikian juga,
dosa-dosa kecil boleh diampunkan dengan umrah. Nabi bersabda yang bermaksud,
“Antara satu umrah ke satu umrah yang lain menghapuskan dosa di antara
keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.”
(riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim).
Kita terima dan
percaya bahawa ia sebagai pengampunan dosa tetapi kita tidak mengetahui dosa
mana diampunkan, yang pasti ia adalah pengampunan dosa kecil. Para ulama
sepakat bahawa hadis seperti ini membicarakan tentang pengampunan dosa kecil.
Adapun dosa besar yang dilakukan perlu kembali kepada taubat nasuha.
Taubat nasuha tidak
ada kriteria tertentu cuma ia merupakan satu taubat dinamakan nasuh sebab wujud
di sana beberapa syarat seperti melahirkan rasa bersalah dalam diri, memohon
pengampunan ALLAH SWT dan berjanji untuk tidak mengulanginya, serta sudah
semestinya dilakukan secara ikhlas kerana ALLAH SWT dan bukan kerana paksaan.
ALLAH menguji
manusia untuk memberi ruang pengampunan dosa bagi hamba-hamba-Nya. Orang sakit
memang diampunkan dosanya. Sebab itu Nabi SAW memberikan khabar gembira bagi
orang yang sakit.
Saya pernah
berkhidmat di IJN dan melihat masyarakat kita ada yang percaya kepada sial,
contohnya mengatakan perkara ini berlaku sebab terlanggar biawak atau
sebagainya. Perkara seperti ini dinamakan Ath-Thiarah yakni percaya kepada
sial. Kata Nabi dalam hadis, maksudnya:
“Percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada
sial itu syirik.” (riwayat Imam Abu Daud).
Perkataan Thiarah
itu dipetik daripada perkataan at-thair yang bererti burung. Orang Arab
jahiliah dahulu sebelum keluar rumah mereka akan melepaskan burung. Mereka
mempercayai sekiranya burung itu terbang ke arah kanan bererti nasib pada hari
itu baik dan jika ke kiri menunjukkan nasib buruk atau sial dan tidak boleh
keluar rumah pada hari itu. Ini asal kepercayaan kepada sial.
Unsur-unsur seperti
ini turut meresap dalam masyarakat Melayu seperti kepercayaan melanggar
binatang, anjing hitam melintas perlu patah balik dari perjalanan, biawak
melintas, kupu-kupu masuk rumah, kemalangan berlaku disebabkan hal-hal seumpama
itu, maka dia melihat keburukan yang berlaku kepadanya disebabkan
perkara-perkara ini.
Ini dinamakan
percaya kepada sial dan dalam Islam ia membawa kepada kesyirikan.
Ini perkara serius
kerana kita seharusnya beriman bahawasanya ALLAH SWT menguji dan menentukan
baik buruk dalam kehidupan manusia untuk memastikan siapakah di kalangan
hamba-Nya memiliki amal perbuatan terbaik seperti ALLAH sebut dalam surah
Al-Mulk, maksudnya: “(Dia) Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji
kalian, siapakah di antara kalian yang mempunyai amal terbaik.” (Surah Al Mulk,
ayat 2).
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan