Oleh : Prof Dr SIDEK BABA
Sifat orang-orang yang beriman
menyayangi ALLAH dalam erti kata yang luas memberi dorongan kepada warga umat
menyayangi sesama seaqidah. Jiwa taqarrub Ilallah atau kedekatan kita kepada
ALLAH mempunyai pengertian yang amat istimewa bahawa hubungan hamba dan Khaliq
tidak saja dalam batas kepercayaan dan keyakinan, tetapi juga dalam batas
amalan dan dukungan akhlak karimah.
Kesayangan warga umat terhadap
aqidah tauhid umpamanya menghindarkan kita daripada sifat syirik yang tidak
menunjuk jalan ke arah wehdah atau kesatuan. Hikmah daripadanya menghubungkan manusia
dengan ALLAH dan membawa kesan tentang hubungan ilmu dan kejadian sesuatu
dengan ALLAH.
Kesayangan warga umat terhadap
syariat misalnya memberikan pedoman kepada warga umat bahawa manusia memerlukan
peraturan yang tidak saja ditentukan oleh akal fikir manusia, tetapi ada
panduan Ilahi supaya ketertiban yang hakiki terjadi, pematuhan hukum berjalan
dan ia memberi kesejahteraan kepada hidup insan.
Justeru, sayangnya kita kepada ALLAH memberikan natijah
sayangnya kita sesama insan. ALLAH yang bersifat Rahman dan Rahim melimpahkan
rahmah dan nikmah dalam berbagai bentuk kepada hamba-Nya. Rezeki dalam bentuk
makanan dan sumber dianugerahkan kepada manusia supaya menjadi orang yang
bersyukur.
Ruh dipinjamkan kepada kita
membolehkan manusia berfikir, kalbu dimiliki tidak akan memiliki cita rasa
sekiranya tiada dukungan ruh dan daya yang membolehkan manusia bergerak dan
melakukan sesuatu tidak akan terjadi tanpa dukungan ruh milik Allah ini.
Maksud kesayangan kita kepada
ALLAH sebenarnya berhikmah kembali kepada manusia. ALLAH menganjurkan
orang-orang beriman supaya jujur, amanah. adil, tulus dan dan telus umpamanya,
tidak saja baik bagi manusia tetapi baik juga bagi orang lain.
Bercakap jujur dan benar
umpamanya diberi ganjaran ALLAH kerana ia adalah amalan yang baik. Amalan yang
baik ini juga memberi faedah kepada manusia lain.
Bayangkan sekiranya sesama insan
kita berdusta dan menipu ia akan memberi kesan tidak baik sesama manusia dan ia
boleh menyebabkan permusuhan terjadi.
Sifat amanah umpamanya adalah
tuntutan ALLAH terhadap hamba-Nya supaya sesuatu yang diuruskan berlaku dalam
keadaan baik dan diredhai ALLAH. Sekiranya amanah terhadap diri berlaku, amanah
terhadap orang lain terjadi dan amanah terhadap jawatan dan pekerjaan mengambil
tempat, ia akan membawa kebaikan sesama insan.
Sifat adil adalah pancaran
daripada sifat ALLAH. ALLAH mengurniakan rezeki melimpah ruah kepada manusia.
Sekiranya rezeki itu diterima secara adil, dimanfaatkan dengan keadilan jua
maka ia adalah baik sesama insan.
Sekiranya harta dan pembahagian
tidak berlaku secara adil, ia bakal menyebabkan hilang rasa percaya dan boleh
menghasilkan permusuhan.
Oleh itu keadilan adalah kunci
untuk menjaga kesejahteraan manusia. Apabila sifat adil itu ada pada insan, ia
menyebabkan nilai-nilai suruhan ALLAH itu berkembang dalam kehidupan manusia
dan bakal menimbulkan suasana yang baik.
Contohnya Islam mengharamkan
riba’. Riba’ dalam maksud yang luas melibatkan amalan eksploitasi, diskriminasi
dan dasar beza membeza yang menyebabkan manusia ditindas, dianiaya dan tidak
mendapat keadilan pada dirinya.
Limpahan rahmah ALLAH kepada manusia
adalah atas asas kesejahteraan. Melakukan eksploitasi dan penindasan tidak
membawa kebaikan sesama insan. Mematuhi syariat ALLAH ini membawa kesayangan
kita kepada hukum ALLAH dan membawa kebaikan sesama manusia. Mengasihi perintah
ALLAH ini menyebabkan kasih sayang sesama insan terjadi.
Oleh itu kasih sayang sesama
insan adalah pedoman daripada ALLAH. Mematuhinya ibarat kesayangan kita kepada
nilai-nilai baik untuk kesejahteraan manusia. Apabila kita menyayangi
nilai-nilai baik daripada ALLAH itu hikmahnya kembali kepada manusia semula.
Sebab itu orang-orang yang tidak
jujur, tidak amanah dan tidak berlaku adil kepada orang lain adalah orang-orang
yang tidak sayang kepada ALLAH. Akibatnya dari sudut Islam, orang seperti ini
akan dapat balasan setimpal kerana perbuatannya menyalahi titah-perintah ALLAH
untuk mewujudkan keadilan sesama insan.
Justeru kasih sayang kita kepada
ALLAH ialah menjadikan ajaran dan suruhan-Nya membawa kesejahteraan kepada
manusia supaya manusia dapat hidup dengan baik dan saling memahami.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan