Jumaat, 12 Oktober 2012

Kealpaan Umat Islam Dan Kepentingan Al-Aqsa


KUALA LUMPUR : Isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia dan tidak hanya terletak di atas bahu umat Islam Palestin sahaja tetapi menjadi kewajipan dan tanggungjawab ke atas semua umat Islam di dunia.

Perunding 'Aman Malaysia', Dr Zainur Rashid berkata, Solahuddin Al-Ayubi yang telah membebaskan Palestin pada 1187, bukanlah seorang rakyat Palestin dan bukan juga seorang yang berketurunan Arab, tetapi beliau ialah seorang yang berketurunan Kurdi.

"Namun kerana beliau memahami haknya sebagai seorang Islam ke atas bumi Palestin dan dari sudut agama, beliau telah meninggalkan segala kemewahannya demi membebaskan Palestin," katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Solahuddin Al-Ayubi telah mengambil kembali tanah suci Palestin daripada tentera Salib dari Eropah. Dalam kalangan tentera Salib, beliau dikenali sebagai 'Saladin'.

Bagaimanapun, Dr Zainur turut meluahkan rasa kesalnya dengan memberikan satu fakta penting, yang turut dikongsi oleh pengasas pergerakan umat Islam "Palestine 48" Sheikh Raed Solah, yang menggambarkan tahap kesedaran dan kefahaman umat Islam terhadap tanggungjawab dan kewajipan mereka ke atas isu Palestin.

Sheikh Raed Solah menghadiri seminar "Selamatkan Masjid Al-Aqsa DaripadaAncaman Zionis" di Putrajaya, dekat sini baru-baru ini.

Dr Zainur berkata, terdapat hanya 17 juta orang Yahudi berbanding 1.7 bilion orang Islam di dunia.

"Jadi persoalan yang timbul sekarang adalah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh diperlekehkan oleh mereka?

"Jawapannya ialah kealpaan umat Islam itu sendiri terhadap kesatuan umat dan tanggungjawab terhadap Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis," jelas Dr Zainur yang juga pakar perunding obstetrik dan ginekologi di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Kepada orang Islam, Al-Quds atau Baitulmuqadis ialah tanah suci yang ketiga selepas Mekah dan Madinah.

Kealpaan umat Islam sendiri, menurut beliau, telah menjadikan isu negara Palestin dan Masjid Al-Aqsa hanya mendapat perhatian apabila berlaku serangan-serangan yang besar ke atas Gaza dan Tebing Barat, menjadikan ia isu bermusim.

Kelicikan Yahudi menggunakan senjatanya yang paling ampuh iaitu media, dengan menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai isu Palestin dan sekalipun mereka memaparkannya, ia akan ditonjolkan mengikut sudut pandangan mereka yang akhirnya melalaikan umat Islam.

Kealpaan umat Islam juga berpunca daripada umat Islam sendiri yang tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu mengenai isu Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa.

Contoh yang diberikan oleh Dr Zainur adalah ketika bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon memasuki Masjidil Aqsa, di mana akhbar-akhbar Arab menyatakan yang Sharon tidak memasuki Masjidil Aqsa tetapi hanya sekadar berada di perkarangan Masjid.

Ini kerana berdasarkan pemahaman mereka, Masjidil Aqsa adalah masjid yang kubahnya berwarna hijau tua sedangkan Masjid Al-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan tersebut termasuklah dua buah masjid yang berada di dalamnya.

Jadi, yang mana satukah Masjidil Aqsa sebenar?

Masjidil Aqsa dan penjelasannya

Menurut Dr Zainur yang telah pun menjejakkan kaki ke bumi Palestin, MasjidAl-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan yang luas, yang mana di dalamnya terdapat tiga buah masjid.

Pertama adalah Masjid Qubbat As-Sakhrah (Dome of Rock) atau umat Islam di Palestin memangilnya Masjid An-Nisa’ kerana kaum wanita bersolat di dalamnya, yang telah dibina oleh Khalifah Malik bin Marwan pada tahun 69 hingga 75 hijrah.

Masjid Qubbat As-Sakhrah atau Masjid Batu ini juga dikenali dengan warna kubahnya yang berwarna kuning keemasan, berada di tengah-tengah kawasan Masjidil Aqsa.

Kedua adalah masjid yang kubahnya berwarna hijau tua iaitu Masjid Qibli, yang merujuk kepada qiblat pertama umat Islam atau juga dipanggil Masjid Juma’ah.

"Di hadapannya adalah Masjid Umar di mana Saidina Umar Al-Khattab bersolat di situ.

"Jadi kesimpulannya ialah ketiga-tiga masjid ini adalah sebahagian daripada Masjid Al-Aqsa," jelas beliau.

Apakah yang sedang berlaku ke atas Al-Aqsa?

"Pada waktu kini, Zionis sedang giat menjalankan aktiviti yang dinamakan Projek Pengyahudian Masjid Al-Aqsa," kata Dr Zainur.

Menurut Dr Zainur, apa yang sedang berlaku ke atas Masjidil Aqsa ialah pihak Yahudi telah membina terowong yang banyak di bawah Masjidil Aqsa dan pembinaan terowong-terowong tersebut bersandarkan kepada dakwaan bahawa di bawahnya terdapat runtuhan Kuil Solomon.

"Mereka telah menjalankan aktiviti pembinaan terowong-terowong tersebut selama kira-kira 45 tahun dan sehingga ke hari ini, mereka gagal menemui sebarang kesan runtuhan Kuil Solomon.

"Agenda sebenar mereka ialah untuk melemahkan struktur binaan Al-Aqsa denganharapan agar masjid-masjid berkenaan akan runtuh bagi membolehkan mereka membina pula Kuil Solomon di atasnya," katanya.

Antara kejahatan lain yang dilakukan ke atas Masjidil Aqsa adalah mengubah ciri-ciri keIslaman di masjid itu kepada ciri-ciri keYahudian, menganjurkan pesta-pesta maksiat dan menghalang orang Islam daripada memperbaiki bahagian masjid yang rosak.

Mereka juga pernah menjalankan percubaan untuk membakar Masjidil Aqsa beberapa kali dan antara percubaan terbesar yang pernah dilakukan ialah pada 21 Ogos 1969, selain percubaan untuk mengebom masjid berkenaan.

Mengapa pentingnya Masjidil Aqsa kepada umat Islam?

Mengenai kunjungan Sheikh Raed Solah ke Malaysia, Dr Zainur berkata, permasalahan paling besar dan utama yang cuba disampaikan oleh Sheikh Raed ialah isu Masjid Al-Aqsa, yang mana menurut beliau begitu penting kepada seluruh umat Islam berdasarkan enam fakta yang utama.

Pertama, Masjid Al-Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam selama 17 bulan.

Kedua, ia adalah masjid kedua yang dibina di atas muka bumi ini 40 tahun selepas pembinaan Masjidil Haram.

Ketiga, Masjid Al-Aqsa adalah masjid suci yang ketiga di sisi Allah SWT selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Keempat, di Masjid inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana Masjidil Aqsa adalah tempat persinggahan terakhir Baginda Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda diangkat ke langit.

Kelima, Masjidil Aqsa ini dikelilingi oleh bumi para nabi (Bumi Ambia’) menjadikan Baitulmaqdis sebagai bumi yang istimewa di sudut akidah umat Islam.

Yang terakhir ialah bumi Palestin ini dikenali dengan panggilan "Bumi Perjuangan.

Terdapat juga hadis yang meriwayatkan bahawa pahala menunaikan solat dalam Masjidil Aqsa adalah 500 kali ganda. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan