Khamis, 14 Mac 2013

Indahnya wahdah, ukhuwah Islam


Oleh : PROF DR. SIDEK BABA

ALLAH itu indah dan suka akan keindahan. Islam itu agama indah dan bernaung di bawahnya menjadikan hidup ini indah. Kunci keindahan itu adalah wahdah dan ukhuwah Islami.

Al-Quran memberikan kita pertunjuk bahawa “umat Islam itu bersaudara” (innamal mukminu nai’khwah). Asas ini adalah penting dalam kehidupan Islam kerana tanpanya sengketa dan konflik boleh terjadi.

Ramai kalangan warga umat terdedah dengan hasutan iblis dan syaitan. Memfitnah sesama seagama, sangka buruk tanpa hujung pangkal, tidak mempunyai jiwa pemaaf, enggan menyantuni yang bermasalah, memiliki dendam kesumat dan kebencian tinggi kerana salah faham dan salah tanggap menyebabkan binaan wahdah dan ukhuwah menjadi kabur dan lesu.

Islam tidak menegah warga umat berada dalam perbezaan pendapat, pemikiran malah tafsiran asal saja ia akhirnya memberi manfaat. Rasulullah SAW menganggap bahawa perbezaan pandangan itu adalah suatu rahmah kerana daya kreativiti menjadi subur dan menghasilkan manfaat lebih baik.

Ia harus didukung dengan keinsafan bahawa adanya batas terhadap perbezaan itu. Perbezaan yang terizin didukung dengan etika adab al-ikhtilaf mampu menjadi warga umat mempunyai daya tasamuh yang tinggi dan menyebabkan ukhuwah tidak terhakis.

Dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan fikirkan dulu kebaikannya untuk umat secara jangka pendek dan panjang. Jangan biarkan nafsu amarah mendukung pendirian kerana boleh membawa akibat tidak baik. Menghindarkan bencana bagi umat adalah dituntut. Kebijaksanaan dan kematangan adalah kata kunci yang amat penting dipertahankan.

Islam amat mendukung warga umatnya yang berfikiran waras dan rasional serta mampu menjangkau akibat hari depan akan apa yang dipilihnya. Fikirkan tentang nasib Islam dan umat serta generasi penerus yang menuntut warga umat membuat keputusan yang betul.

Gagal berbuat demikian dibimbangi akibatnya adalah besar. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Jangan jadi kata pepatah , “dah terantuk baru nak tengadah” kerana apabila “nasi menjadi bubur” menyebabkan kita “sesal tak sudah”.

Wahdah dan ukhuwah sewajarnya menjadi agenda utama membangunkan umat Islam kini kerana perpecahan dalam pendirian dan pertimbangan boleh memberi kesan buruk terhadap kelangsungan umat. Lebih-lebih lagi apabila keputusan dibuat berasaskan nafsu amarah yang tinggi dan ghairah inginkan kuasa sehingga menyebabkan umat Islam terpinggir.

Atas nama wahdah dan ukhuwah umat Islam harus bijak membaca senario di hadapan mata. Jangan kita dihanyutkan impian yang belum tentu jadi dan janji-janji manis yang pada hakikatnya payah untuk terjadi.

Reflektif terhadap apa yang dicapai pada masa lalu, insafi apa sedang terjadi sekarang dan futuristik terhadap apa bakal berlaku pada masa depan menjadi pedoman terbaik untuk membuat pertimbangan dan keputusan.

Keindahan Islam ialah warga umatnya adalah matang dalam membuat keputusan. Meski ada perkara tidak puas hati terjadi namun ia menjadi bijaksana bagi menentukan Islam terus berada dalam paras yang boleh dikembangkan lagi.

Malaysia umpamanya ibarat rumah Islam yang memerlukan perlindungan daripada warganya. Kealpaan melindungi rumah ini boleh membawa tersingkirnya warga umat dari rumah itu. Meski terdapat kekurangan pada rumah ini tetapi telah sekian lama kita dapat berteduh dan mengharapkan anak cucu kita akan dapat berteduh juga.

Di sini penting kedewasaan dan kematangan membuat keputusan supaya satu-satunya rumah dimiliki tidak terlepas ke tangan orang lain. Warga umat telah sekian lama memiliki rumah ini dan menjadi tuan rumahnya yang bersedia untuk berkongsi dengan orang lain.

Politik adalah kuasa dan politik adalah penentu dasar negara. Sekiranya warga umat berpecah jumlah yang tidak dominan bakal menyebabkan keterpinggiran tadi. Sekali keputusan sudah dibuat ia bakal menentukan hari depan umat kerana sesama umat tidak ada kesediaan langsung untuk mencari kejernihan dan permuafakatan. Natijah akhirnya warga umat akan pecah dan kita akan kehilangan sesuatu yang amat berharga iaitu wahdah dan ukhuwah yang membawa kepada kehilangan maruah dan kehilangan wibawa Islam itu sendiri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan