Islam agama syumul yang mendidik
umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan
duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang
perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat
fizikal.
Umat Islam tanpa mengira usia dan
kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan
untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal
ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.
Rasulullah SAW sentiasa
mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang
penyakit memudaratkan. Hal ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan
dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil
kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda,
maksudnya: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah
berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)
Banyak hadis menyebut mengenai
acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah,
menunggang kuda serta berenang.
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat
Muslim)
Sunnah dan Faedah Memanah,
Berkuda, Berenang
1. Memanah
Rasulullah SAW juga sentiasa
menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara
membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, Baginda pernah menyertai sahabat
yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.
Bersabda Rasulullah SAW,
maksudnya: “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik
permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari
mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan ketika sahabat sedang memanah.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang
pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu
kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu
berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada
bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Kebaikan Memanah termasuklah
melatih emosi dan fizikal untuk menumpukan pada sasaran. Memanah sangat menitik
beratkan keseimbangan badan. Maka, jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan
amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang
dan menstabilkan emosi.
Individu yang tidak tenang,
gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi
pemanah yang baik.
Perbuatan melenturkan anak panah
di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga
satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.
2. Berkuda
Sesungguhnya Rasulullah SAW
pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.
“Demi Allah! Sungguh Rasulullah
SAW pernah bertaruh terhadap suatu kuda yang disebut sabhah (kuda pacuan), maka
dia dapat mengalahkan orang lain, Baginda SAW sangat tangkas dalam hal itu dan
menghairankannya.” (Riwayat Ahmad)
Taruhan yang dibenarkan, atau
yang dimaksudkan ialah suatu upah (hadiah) yang dikumpulkan bukan dari
orang-orang yang menunggang saja atau dari salah satunya saja, tetapi dari
orang-orang lain juga.
Adapun hadiah yang dikumpulkan
daripada penunggang, kemudian siapa yang unggul itulah yang mengambilnya, maka
hadiah seperti itu termasuk judi yang dilarang. Dan Nabi sendiri menamakan
tunggangan kuda seperti itu, iaitu yang disediakan untuk berjudi, dinamakan
Kuda Syaitan. Harganya adalah haram, makanannya haram dan menungganginya juga
haram.
Dan Rasulullah SAW bersabda,
kamsudnya: “Kuda itu ada tiga jenis: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan.
Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah,
maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa
kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang digunakan untuk berjudi atau
untuk dibuat pertaruhan, dan kuda manusia pula, adalah kuda yang diikat oleh
manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi
keperluannya.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim
Berkuda amat baik untuk kesihatan
manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal
hingga mental akan mendapat manfaatnya.
Bentuk lekuk badan belakang kuda
– tempat di tunggang - baik untuk merawat segala masalah tulang belakang
manusia.
Semasa pergerakan galloping iaitu
cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang
manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang
saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar
chiropraktik pun tidak mampu berbuat
seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.
Seluruh anggota - tulang rangka,
otot-otot, organ-organ viseral – termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, sistem voluntary mahupun involuntary,
organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang
secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat
selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau tergelumang dengan
tabiat-tabiat seks yang di luar tabie. Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat
ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.
3. Berenang
Rasulullah SAW bersabda,
“Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”. (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Rasulullah SAW bersabda,
maksudnya: “Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah berarti permainan dan
kelalaian, kecuali empat perkara: Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran
(untuk memanah); Seorang yang mendidik kudanya; Bermain-mainnya seseorang
dengan isterinya; Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)
Semasa berenang, mental, fizikal,
segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi
antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meransang stamina (
sistem kardiovaskular).
Berenang juga memberi peluang
manusia untuk menguasai air serta menjadi berani.
Sumber : http://detikislam.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan