Oleh : A RAZAK MUTHALIB
PENGUMUMAN pembubaran parlimen
oleh Perdana Menteri tanggal 3 April yang lalu telah menghentikan seribu satu
tanda tanya dan keresahan di hati rakyat. Pengumuman tersebut ibarat tiupan
semboyan bahawa “peperangan” akan bermula.
Pilihan raya umum ke-13 (PRU13)
ini dianggap “peperangan” yang paling mendebarkan. Maka, seluruh jentera parti
yang berhasrat untuk bertanding di dalam pilihan raya ini ditingkatkan
persiapan dan gerak kerjanya. Masing-masing dengan satu tujuan yang sama.
Berlawan untuk menang!
Peperangan memerlukan strategi.
Memasuki medan peperangan tanpa strategi ibarat menghulurkan leher kepada musuh
untuk dipancung. Begitu juga dengan “peperangan” di dalam medan PRU13 ini.
Semua parti pasti mempunyai strategi tersendiri.
Justeru, dalam keghairahan ingin
meraih kemenangan, hal yang penting dan tidak boleh diabaikan ialah pastikan
juga untuk meraih keberkatan dalam kemenangan.
Keberkatan
Antara faktor yang membuka pintu
keberkatan ialah bersikap jujur, amanah dan menyatakan kebenaran. Kempen yang
dijalankan dengan jujur, disampaikan pula fakta-fakta yang benar, inilah kempen
yang mengundang keberkatan.
Manakala kempen yang diseliputi
dengan pendustaan, fitnah, membuka keaiban peribadi, penafian hak,
penyalahgunaan kuasa dan sebagainya merupakan kekotoran yang mencemarkan
keberkatan.
Apa ertinya jika kemenangan yang
diraih hasil daripada penipuan dan fitnah yang ditaburkan. Apa nilainya sesuatu
kemenangan ,tetapi ia sangat jauh dari rahmat dan keberkatan Tuhan.
Kepada semua parti politik yang akan
bertanding, elakkan kempen anda dicemari dengan fitnah dan kata-kata dusta.
Fitnah dan dusta merupakan dua
elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Islam yang
sentiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara
ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan.
Sekiranya dua unsur perosak ini
dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan
suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.
Fitnah ialah mengatakan sesuatu
atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak
lain.
Secara umumnya, fitnah dan
berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai
persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada
Abu Hurairah, Rasulullah SAW ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka
Rasulullah menjawab: ”Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu
sesuatu yang tidak disukainya”.
Sahabat bertanya: “Bagaimana jika
perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”.
Baginda menjawab: ”Jika perkara
tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya,
dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah
memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya”. (Hadis hasan sahih, riwayat
al-Tirmizi).
Syaikh Muhammad ibn Soleh
al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini
kepada dua bahagian:
Pertama: Dusta terhadap ALLAH SWT
dan Rasul-Nya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman
ALLAH SWT (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang
yang berdusta terhadap ALLAH SWT untuk menyesatkan manusia dengan tidak
berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada
kaum yang zalim)) (al-An’am:144).
Pendustaan
Dusta terhadap ALLAH SWT dan
Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:
Menyandarkan kepada ALLAH SWT
atau kepada Rasulullah SAW sesuatu yang bukan daripada firman-Nya atau pun
sabda Baginda SAW. - Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.
Mentafsirkan sesuatu ayat
al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang salah lagi menyimpang daripada
apa yang dikehendaki oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya.
Rasulullah SAW memberikan suatu peringatan dan ancaman yang
berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang
bermaksud: (Sesiapa yang melakukan dusta ke atasku siapkanlah tempat duduknya
di dalam api neraka).(Muttafaqun’alaihi).
Cukuplah amaran ALLAH SWT dan
Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.
Ada juga yang menjadikan
hadis-hadis Nabi sebagai hujah untuk membenarkan kata mereka. Perkara ini jika
dilihat secara kasar adalah amat baik, malahan sangat dituntut. Tetapi,
malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis
tersebut dengan tidak memastikan terlebih dahulu tahap kesahihannya.
Maka, digunakan hadis-hadis daif dan palsu sebagai hujah dan
disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka
diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan
mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.
Kedua: Dusta terhadap manusia.
Dusta terhadap manusia ini juga boleh berlaku dalam dua keadaan. Pertama;
seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman,
beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir
yang tidak bersikap sedemikian.
Golongan inilah yang digelar
sebagai munafik. ALLAH SWT menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: ((Dan
di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada ALLAH SWT dan
kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman)).(Al-Baqarah:8)
Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu
mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu dalam
kalangan masyarakat.
Di dalam hadis yang diriwayatkan
oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah
SAW menerangkan tentang empat perkara jika terdapat pada seseorang, maka dia
tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Di antara empat sifat
tersebut adalah apabila bercakap dia berbohong.
Sesungguhnya perbuatan
menyebarkan fitnah dan berita palsu ini merupakan suatu sifat yang terkeji lagi
terkutuk. Perbuatan ini merupakan punca berlakunya perselisihan pendapat yang
tidak diizinkan, pertelingkahan, terputusnya hubungan silaturahim, malahan
boleh membawa kepada pembunuhan.
Tetapi fenomena yang berlaku hari
ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Fitnah dan
dusta ditaburkan kepada masyarakat sama ada melalui percakapan, ceramah, media
massa, tulisan dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada oleh individu tertentu
demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih
sokongan dan mendapat kemenangan.
Maka disebarkanlah berita-berita
palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Harapannya supaya
kepercayaan terhadap pihak tersebut akan terhakis. Kedudukannya akan tergugat.
Dakwahnya tersekat. Perjuangannya akan singkat.
Kempen pilihan raya akan semakin
meriah dan bertambah rancak. Berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah
dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di
dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya.
ALLAH SWT berfirman (bermaksud): ((Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan
(atau perbuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang
sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)). (Qaaf: 18)
Berkempenlah mengikut landasan
syariat kerana yang kita mahukan bukanlah kemenangan dan pangkat, tetapi rahmat
dan berkat agar kita selamat di akhirat.
Penulis ialah Perunding
Latihan & Motivasi di RK Training & Management dan Pensyarah di
International Islamic College
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan