MURSHID adalah perkumpulan
asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang
Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat
Islam dalam kehidupan mereka. Bertitik tolak daripada kesedaran para ilmuwan merupakan guru dan
pembimbing masyarakat, MURSHID terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi
menjelang PRU-13 sebagai sebahagian daripada usaha mendidik dan menasihati masyarakat.
Berpegang kepada prinsip-prinsip
fundamental yang telah digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah
sallaallahu’alaihi wasallam berkaitan politik, kepimpinan, hak warga yang
dipimpin dan juga peranan segenap anggota masyarakat seumpama:
1. Prinsip Amanah
Al-Quran: “Allah telah
memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan
apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa
(4): 58).
Al-Quran (Ali Imran, (3): 103):
“Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”
Rasulullah sallaallahu’alaihi
wasallam juga berpesan: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu
bertanggungjawab ke atas gembalaanmu” (HR al-Bukhari)
2. Prinsip ‘Adl wal Ihsan
“Allah telah memerintahkan kamu
agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di
antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58)
Rasulullah Sallaallahu’alaihi
wasallam, di antara lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku
ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (HR Muslim)
Di dalam hadis lain, baginda juga
ada menyebutkan: “Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada
saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (HR Muslim);
Rasulullah sallaallahu’alaihi
wasallam juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hurayrah:
“Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada
kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu
kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan
bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di
akhirat.” (HR Muslim);
3. Prinsip Amar Ma’ruf Nahy
Munkar (Mengajak kepada kebaikan melarang kemungkaran)
“Kamu (wahai umat Muhammad)
adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana)
kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala
perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah
(dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu
beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi
mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka:
orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);
Rasulullah sallaallahu’alaihi
wasallam yang menyentuh persoalan tersebut, antaranya: “Barangsiapa yang nampak
kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan, dan jika dia tidak mampu,
maka hendaklah dia menggunakan lisannya, dan jika tidak mampu hendaklah dia
merubahnya dengan hatinya, maka itu adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim.)
Di dalam hadis yang lain pula,
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ketua para syuhada di syurga
ialah Hamzah, dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim
dan menasihatinya, dan kemudian dia dibunuh” (Hadis riwayat al-Hakim.)
Baginda juga menyatakan di dalam
makna yang sama: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan
pemimpin yang zalim” (Hadith riwayat al-Tarmidhi, Abu Daud dan Ibn Majah)
4. Prinsip Islah
“Dan demikianlah (sebagaimana
Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat
Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pertengahan), supaya kamu layak
menjadi orang yang menjadi Syuhada (saksi dan pemberi keterangan) kepada umat
manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (al-Baqarah (2): 143)
Islah juga merupakan tema asasi
perutusan para Nabi dan Rasul. Pendekata, Islam sepertimana yang telah
diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan
Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah
di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tawhid mereka. Tanpa
Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun
temurun .
5. Prinsip Akhlak Mulia
Allah SWT menegaskan:
“Bantu-membantulah kamu di dalam hal kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah
kamu bantu-membantu di dalam hal maksiat dan permusuhan…” (Al-Maidah (5): 2)
Rasulullah sallaallahu’alaihi
wasallam: “Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang
mulia (makarim al-akhlaq)” (Riwayat Malik b. Anas.)
Rasulullah sallaallahu’alaihi
wasallam kepada Abu Bazrah ketika ia berkata kepada baginda : Wahai Rasululah,
ajarkanlah kepadaku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepadaku.’
Baginda bersabda: “Lihatlah sesuatu yang menyakiti manusia, maka singkirkanlah
daripada jalan mereka.” (Riwayat Ahmad di dalam Musnad.)
Bertitik tolak daripada kesedaran
dan prinsip-prinsip yang telah disebutkan, maka MURSHID menyeru:
1) Kepada Para Warga Malaysia
Muslim Yang Layak Mengundi, agar:
a) Menjalankan tanggungjawab
mengundi dan hak yang dijamin oleh perlembagaan untuk memilih pemimpin pilihan
anda melalui saluran demokrasi yang ada.
b) Membuat pilihan yang tepat
berdasarkan maklumat yang lengkap dan adil terhadap calon-calon, parti-parti
yang bertanding serta manifesto mereka.
c) Tidak menjadikan sentimen,
fitnah, kebencian dan juga hasutan sebagai asas di dalam membuat pilihan ketika
membuang undi.
d) Mengeji dan mengelakkan diri
daripada memberikan sebarang sokongan kepada usaha meraih undi melalui cara siaran
gambar atau video berunsur lucah dan tidak bermoral sama ada ia melibatkan ahli
atau pemimpin daripada apa parti sekalipun. Dilarang juga menyebarluaskan video dan
gambar terbabit hatta kalau ia benar sekalipun. Pihak berkuasa yang terlibat
juga boleh membuat siasatan seadilnya berdasarkan undang-undang. Hal ini
terpakai kepada seluruh warga Malaysia daripada semua parti dan bangsa.
e) Memilih mereka yang mempunyai
ciri-ciri pemimpin yang boleh menunaikan amanah, bersikap mesra-Islam dan juga
mempunyai ciri-ciri pemimpin yang telah disebutkan di atas.
f) Memilih parti yang boleh
memartabatkan Islam, berusaha ke arah tadbir urus yang baik (good governance),
keadilan dan juga amalan politik yang sihat.
g) Memilih calon yang kuat
berpegang dengan agama dan tinggi moralnya, hatta dalam kalangan bukan Islam
sekalipun, kerana pegangan agama dan moral akan lebih menjamin keadilan, amanah
dan integriti.
h) Mempertahankan harga diri
dengan tidak mengambil rasuah politik, sama ada, duit, material dan dalam bentuk
seumpamanya.
i) Berusaha mencari keyakinan
terhadap seseorang calon yang bertanding, partinya dan gabungan bersamanya itu
mampu dari sudut 'track record' untuk membawa lebih manfaat lebih baik kepada
kebajikan awam. 'Track record' adalah faktor penting bagi menilai kebolehan dan
skill calon, parti dan gabungannya untuk mentadbir negara Malaysia.
j) Memahami konteks politik di
Malaysia yang mana terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, parti dan juga memahami
jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan di Malaysia
adalah 112 kerusi parlimen dari 222 seluruh kerusi parlimen. Justeru, pengundi
disarankan agar tidak membazirkan undi masing-masing kepada parti atau calon
yang kurang faedah kepada penubuhan kerajaan yang baik dan ditegah daripada
sengaja merosakkan undi.
k) Menjauhkan diri daripada terjebak
dalam aktiviti kafir mengkafir secara spesifik kepada orang Islam tertentu, ini
kerana klasifikasi murtad atau jatuh kafir secara pasti tidak layak diberikan
oleh orang awam tanpa perbicaraan yang lengkap.
l) Menggesa agar semua pengundi
yang berbeza kecenderungan politik dan parti yang disokong agar tidak
(sekiranya tercipta) memanjangkan 'permusuhan', 'sengketa' dan dendam ingin
memusnah kepada pihak yang berbeza. Sebaliknya, kembali berbaik dan hidup
harmoni sebagai rakyat Malaysia.
Sehubungan itu juga, MURSHID juga
ingin mengingatkan para pengundi sekalian bahawa pilihan yang anda lakukan akan
dipersoalkan oleh Allah SWT di padang Mahsyar. Maka, pastikan pilihan anda itu
bertitik tolak daripada keimanan dan ketaqwaan.
2) Kepada Parti-Parti Yang
Bertanding, agar:
a) Tidak berbohong, fitnah, keji,
mencaci, politik kebencian dan kotor.
b) Tidak merasuah dan tidak
mengamalkan politik wang untuk mendapatkan undi dan kuasa.
c) Tidak menyalahgunakan hak
rakyat, wang pembayar cukai, fasiliti milik rakyat yang sepatutnya bukan milik
parti, media dan pengaruh sepanjang kempen pilihanraya.
d) Meletakkan calon yang terbaik,
berkarisma, mempunyai ciri-ciri yang disebutkan pada (1.e, f dan g) dan
meletakkan sifat beragama sebagai asas, hatta di kalangan bukan Islam.
e) Meletakkan kepentingan agama,
negara, masyarakat dan alam sekitar sebagai matlamat mendapatkan kuasa dan
bukannya demi keuntungan individu, parti ataupun sesetengah kaum dan bangsa
semata-mata.
f) Menawarkan tawaran dan
manifesto kepada rakyat Malaysia yang mampu dilaksanakan secara realistik.
Sehubungan dengan itu, MURSHID
juga ingin mengingatkan parti-parti yang bertanding bahawa kuasa adalah amanah,
tanggung jawab dan bebanan, anda akan dipersoalkan di akhirat nanti. Maka,
pastikan tindakan anda semuanya dan bertitik tolak daripada keimanan dan ketaqwaan.
3) Kepada Pihak Media
Penyiaran Dan Media Cetak, agar:
a) Bersikap adil dan memberikan
hak dan peluang yang sama kepada setiap parti tanpa pilih kasih serta tidak
menzalimi pihak yang lain.
b) Mengamalkan sikap
bertanggungjawab dan jurnalisme beretika dengan menjauhi segala fitnah dan adu
domba samada untuk tujuan pemasaran mahupun untuk memberikan kelebihan kepada
satu pihak dengan menzalimi pihak yang lain.
c) Mengamalkan sikap
profesionalisme yang tinggi dan merealisasikan jurnalisme berhemah serta
menjaga akhlak dan moral yang tinggi di dalam membuat liputan, laporan dan juga
penilaian.
d) Menjadi mata, telinga dan juga
suara rakyat sepanjang membuat liputan mengenai pilihanraya, serta mendahulukan
kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti-parti tertentu.
Sehubungan dengan itu, MURSHID
juga ingin mengingatkan pihak media bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat
nanti atas apa yang anda laporkan. Maka, pastikan tindakan anda semuanya
bertitik tolak daripada keimanan dan ketaqwaan.
4) Kepada Pihak Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR), agar:
a) Menjalankan tugas dan amanah
yang telah diberikan oleh rakyat dengan adil, bertanggungjawab, penuh
integriti, telus dan bersih.
b) Tidak berpihak, hatta kepada
parti yang berkuasa dan sentiasa ingat bahawa akauntabiliti anda adalah kepada
rakyat dan bukannya kepada parti yang memerintah sebelum parlimen dibubarkan.
c) Mengutamakan masa depan
negara, kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia dan bukannya pihak-pihak
tertentu sahaja.
d) Melakukan perkara-perkara yang
patut seperti pembersihan senarai pemilih dan bersikap responsif terhadap
tuntutan rakyat demi memperbaiki kredebiliti
dan imej SPR yang semakin calar dan dipertikaikan.
e) Bertanggungjawab untuk menggembeleng
segala usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada fungsi asal SPR yang
bukan sekadar tidak berpihak, tetapi juga wajib dilihat sebagai tidak berpihak.
Sehubungan dengan itu, MURSHID
juga ingin mengingatkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa anda akan dipersoalkan
di akhirat nanti atas tanggungjawab yang
anda jalankan. Maka, pastikan perlaksanaan tugas anda semuanya bertitik tolak
daripada keimanan dan ketaqwaan.
Daripada Kami :
Tuan Guru Dr Abdul Basit Abdul
Rahman (Pengerusi Shura)
Dr Zaharuddin Abd Rahman
(Presiden & Ahli Shura)
Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri (Ahli Shura)
Dr Zahazan Mohamed (Ahli Shura)
Ustaz Roslan Mohamed (Timbalan
Presiden & Ahli Shura)
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul
Rahman (Naib Presiden)
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
(Setiausaha Agung)
Ust Muhd Ramadhan Fitri Ellias
(Bendahari Agung)
Ahli Jawatankuasa
Dr Maszlee Malik
Dr Ahmad Wifaq Mokhtar
Dr Mohd Sukki Othman
Ustaz Mohd Asyraf Mohd Ridzuan
Ustaz Fauwaz Fadzil
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Ustaz Mohd Aizam Mas’od
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd
Kassim
Ustaz Mohd Zamri bin Haji Mohd
Zainuldin
Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan
Padang
Xifu Abdul Naser Abdul Rahman
13 April 2013
Sumber : http://www.zaharuddin.net/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan