Sabtu, 20 Julai 2013

Tabung Haji pastikan jemaah selesa

MADINAH - Tabung Haji (TH) akan memastikan jemaah haji Malaysia tahun ini akan dapat beribadat dalam keadaan selesa walaupun kota Mekah menjalani proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan.
  
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismee Ismail berkata TH kini telah bersiap sedia dengan tempat tinggal jemaah haji di Mekah dan Madinah selain persiapan makanan untuk para jemaah yang akan tiba awal September ini.
  
Katanya bagi penginapan di Madinah, jemaah akan tinggal di tempat penginapan dalam jarak 150 meter dari Masjid Nabawi manakala di Mekah, yang kerja-kerja pembangunan sedang pesat dijalankan, jemaah akan tinggal dalam jarak 600 hingga 950 meter dari Masjidil Haram.
  
"Kita cuba elakkan jemaah untuk tinggal di hotel lebih satu kilometer. Ketika ini banyak kerja pembangunan dijalankan di Kota Mekah dan banyak bangunan dan hotel berdekatan masjid dirobohkan tetapi kita masih dapat kekalkan dalam jarak tak lebih 950 meter," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya seperti tahun-tahun lepas, 800 petugas TH terlibat pada tahun ini termasuk petugas yang menjaga kebajikan dan perubatan bagi memastikan keselesaan para jemaah.

"Kita akan kekalkan jumlah itu walaupun terdapat pengurangan jemaah tahun ini (oleh kerajaan Arab Saudi). Kita ambil peluang kekurangan jemaah untuk beri lebih keselesaan kepada jemaah," katanya.
 
Ismee berkata jemaah turut dimaklumkan tentang kerja-kerja pembangunan yang sedang dijalankan di Mekah yang memungkin keadaan lebih sesak dan berhabuk, memerlukan jemaah mengambil langkah lebih berhati-hati dan memakai topeng muka.
  
Mengulas mengenai keputusan kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji jemaah Malaysia 20 peratus daripada 27,900 kepada 22,320, katanya TH  akur dan menerima keputusan itu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan