Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)
Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu
Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan
daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan
itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.
"Lalu Baginda membaca firman
Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang
tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang
mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang
mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan
diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat
mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui,
Lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya." (Surah Luqman: 34)
Ertinya dalam hadis ini Nabi
s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib
yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.
Pertama ialah tentang bilakan
berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak
akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan
berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah
s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.
Kedua, tentang kekuasaan Allah
menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana
sahaja yang Dia kehendaki.
Ketiga, Dialah sahaja yang
mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk
berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.
Keempat, Dialah jua yang
mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama
ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku
kepadanya esok hari.
Kelima, Dia sahaja yang
mengetahui di manakah bumi tempat matinya seseorang manusia, bagaimanakah
keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk
yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui
segala-galanya.
Sementara itu sebuah hadis
daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang
manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w.
bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu
Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya
melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud,
"Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat."
(Surah Luqman: 34)."
Seterusnya Allah berfirman yang
bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut."
(Surah al-An'am: 59)
Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi
segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada siapa pun
yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan-Nya walaupun sebesar
zarah sama ada ia berada di bumi atau di langit.
Seorang penyair menyebut:
"Tidak tersembunyi daripada-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat
dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."
Firman Allah yang bermaksud,
"Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya."
(Surah al-An'am: 59)
Sumber : Blog Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan