Memaparkan catatan dengan label Mutiara Hadis Pilihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mutiara Hadis Pilihan. Papar semua catatan

Rabu, 1 September 2010

Banyakkan Amalan Di Hari Yang Kesepuluh Terakhir Ramadan

Hadith :

Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

1. Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar.

2. Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir.

3. Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina sentisa aman dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Selasa, 24 Ogos 2010

KEWAJIPAN MEMBAYAR ZAKAT FITRAH

Hadis:

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

(Riwayat Abu Daud)

Huraian:

1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang Islam.

2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadan.

3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram).

4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah).

5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Catatan : Kaunter Zakat Fitrah dibuka pada setiap malam di Masjid Perkampungan Sg Isap Fasa 111. Amil yang dilantik ialah Tuan Haji Yassin Jaafar dan kadar zakat fitrah pada tahun ini sebagai mana ditetapkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Pahang ialah RM 7.00 seorang.

Khamis, 12 Ogos 2010

Puasa Yang Berkat


Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Riwayat Ibnu Majah

Huraian

Pengajaran Hadis:


i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.

ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:

a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.

b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, caci maki dan menyinggung perasaan orang lain.

c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.

d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.

iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.

v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Isnin, 9 Ogos 2010

TAZKIRAH RAMADHAN

PUNCA AMALAN RAMADHAN SIA-SIA:

ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.”

Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.


EMPAT ZIKIR SEPANJANG RAMADHAN:

NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka.


LIMA KEISTIMEWAAN RAMADHAN:

IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.”

Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.