(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SEMBAHYANG secara berjama'ah
berbanding sembahyang bersendirian atau seorang diri, sama ada bagi lelaki
mahupun perempuan, mempunyai kelebihannya serta menjanjikan fadhilat yang
sangat menguntungkan. Antaranya ganjaran pahala sebanyak 27 (dua puluh tujuh)
darjat. Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Umar
Radhiallahu 'anhuma, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Sembahyang
berjama'ah lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh
darjat."
(Hadits riwayat Muslim)
Menurut pendapat yang al-azhhar
(lebih kuat), yang dimaksudkan dengan darjat itu ialah sembahyang. Manakala
dalam sesetengah riwayat menyebutkan maksud darjat itu sebagai gandaan.
Jama'ah Yang Ramai Lebih Afdhal Berbanding Yang Sedikit
Dalam keadaan tertentu,
sembahyang secara berjama'ah dengan bilangan yang banyak adalah lebih afdhal
daripada sembahyang secara berjama'ah dengan bilangan yang sedikit. Telah
diriwayatkan daripada Ubay bin Ka'b Radhiallahu 'anhu Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Dan sesungguhnya
sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik
daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) seorang diri. Dan sembahyangnya (yang
dikerjakan) bersama dua orang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada
sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama (hanya) seorang lelaki. Dan mana-mana
yang lebih banyak, maka itu adalah lebih disukai di sisi Allah Ta'ala."
(Hadits riwayat Abu Daud) Dalam
hadits di atas, maksud 'sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain)
adalah lebih baik' ialah kerana mendapat pahala yang lebih. Manakala maksud 'mana-mana
yang lebih banyak' ialah sembahyang yang banyak bilangan jama'ah di dalamnya
adalah lebih disukai di sisi Allah Ta'ala berbanding jama'ah yang sedikit
bilangannya.
Telah disebutkan dalam kitab
al-Majmu' dalam Bab hai'at al-jumu'ah bahawa sesiapa yang sembahyang
bersama-sama 10 ribu orang jama'ah, maka baginya ganjaran 27 darjat dan sesiapa
yang sembahyang bersama-sama dua orang jama'ah dia juga mendapat ganjaran 27
darjat. Bagaimanapun darjat-darjat orang yang sembahyang dalam keadaan pertama
(yang lebih banyak bilangannya) adalah lebih akmal atau sempurna.
Perkara ini telah dibayangkan
dalam bab yang sama mengenai ganjaran bagi mereka yang datang ke masjid pada
hari Jumaat pada awal waktu berbanding mereka yang datang pada akhir waktu.
Kedua-dua kumpulan ini sama-sama berhasil mendapat ganjaran yang asal, iaitu
seekor unta ataupun lembu atau selain keduanya, akan tetapi unta yang
diperolehi oleh mereka yang datang pada awal waktu itu lebih sempurna
berbanding unta bagi mereka yang datang pada akhir waktu. Demikian pula, bagi
mereka yang datang pada waktu pertengahan, maka mereka mendapat unta yang
sederhana atau pertengahan.
Memperoleh Fadhilat Berjama'ah
Menurut para ulama, fadhilat
berjama'ah itu diperolehi dengan memperolehi sembahyang berjama'ah bersama
imam. Antara caranya ialah seorang yang mengikut imam dengan mengikuti atau
menyertai imam sejurus imam mengangkat takbiratul ihram, maka dia akan memperolehi
sembahyang berjama'ah dan fadhilat berjama'ah. Selain itu, dia juga memperolehi
fadhilat berjama'ah sekiranya dia sempat menyertai atau mengikut imam pada
mana-mana bahagian dan rakaat dalam sembahyang imam. Sama ada pada permulaan
sembahyang atau pertengahan, malahan sepanjang masa sembahyang dilaksanakan
sekalipun sebentar sahaja, selama mana imam belum selesai memberi salam (yang
pertama) dalam sembahyang, kecuali dalam sembahyangfardhu Jumaat sebagaimana
yang akan dijelaskan kemudian.
Maksud imam belum selesai
mengucapkan salam ialah imam belum sampai kepada huruf 'mim' pada lafaz
'alaikum'. Oleh yang demikian, sekiranya makmum tersebut mengangkat takbiratul
ihram serentak dengan permulaan imam memberi salam dan sebelum imam sampai ke
huruf 'mim' seperti yang dijelaskan di atas, maka dalam situasi ini dia
memperolehi jama'ah bersama imam.
Para ulama juga memberikan
gambaran bahawa seseorang memperolehi fadhilat berjama'ah selama mana imam
belum selesai memberi salam, sekalipun dia tidak sempat duduk bersama-sama
imam. Sebagai contoh, sebaik-baik sahaja dia sempurna mengangkat takbiratul
ihram, imam pun memberi salam.
Di sini dapat difahami bahawa
sesiapa yang menyertai imam, sama ada daripada awal sembahyang imam,
pertengahan ataupun penghujungnya, kesemua mereka (makmum) memperolehi fadhilat
berjama'ah dan ganjaran pahala yang dijanjikan. Bagaimanapun, perlu diketahui
bahawa mereka yang telah mengikuti imam dari awal sembahyang imam tersebut akan
mendapat kelebihan atau kebaikan yang lebih banyak dan ganjaran pahala yang
lebih sempurna berbanding mereka yang terkemudian mengikut imam atau mengikut
imam cuma pada sebahagian sembahyang imam sahaja.
Perkara ini adalah berdasarkan
sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu bahawa sesiapa yang sembahyang
bersama-sama sepuluh ribu orang jama'ah ataupun bersama-sama dua orang jama'ah,
masing-masing memperolehi ganjaran 27 darjat. Bagaimanapun, darjat-darjat orang
yang sembahyang dalam bilangan jama'ah yang banyak adalah lebih akmal atau
sempurna berbanding bilangan jama'ah yang sedikit.
Memperoleh Fadhilat Berjama'ah Dalam Sembahyang Jumaat
BAGI seseorang memperolehi
sembahyang berjama'ah bersama imam pada sembahyang fardhu Jumaat, maka
kedudukannya adalah berbeza daripada sembahyang fardhu lima waktu. Secara
ringkas, mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat secara berjama'ah merupakan
fardhu 'ain. Sembahyang fardhu Jumaat disyaratkan dikerjakan secara berjama'ah
dengan mencukupkan bilangan 40 orang jama'ah yang sah Jumaatnya (mukallaf,
lelaki, merdeka dan bermastautin), dan bilangan ini termasuklah imam Jumaat itu
sendiri.
Untuk membolehkan seorang makmum
yang masbuk mendapati sembahyang fardhu Jumaat, maka hendaklah dia mengikut
imam sembahyang fardhu Jumaat paling kurang satu rakaat. Inilah antara
perbezaan sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang fardhu Jumaat.
Oleh yang demikian, dalam
sembahyang fardhu Jumaat, sekiranya seorang makmum sempat mengikut imam yang
akan ruku' pada rakaat yang kedua atau imam yang sedang ruku' pada rakaat yang
kedua beserta thuma'ninah, maka dia memperolehi sembahyang fardhu Jumaat, iaitu
memperolehi satu rakaat. Setelah imam selesai memberi salam, maka makmum yang
masbuk itu hendaklah bangun untuk menyempurnakan satu rakaat lagi dan kemudian
memberi salam.
Sekiranya seorang makmum hanya
sempat mengikut imam setelah imam selesai ruku' pada rakaat kedua ataupun
ketika imam sujud pada rakaat kedua dalam sembahyang fardhu Jumaat, maka dalam
keadaan ini dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Bagaimanapun sah
dia mengikut imam tersebut, malahan dia memperolehi fadhilat berjama'ah,
sekalipun dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Oleh yang demikian,
makmum tersebut meneruskan sembahyang fardhu Jumaat yang dikerjakannya dan
setelah imam sembahyang fardhu Jumaat memberi salam, hendaklah dia
menyempurnakannya menjadi empat rakaat sembahyang fardhu Zohor, kemudian
diakhiri pada rakaat ke empat dengan salam.
Berimamkan Seorang Makmum
Melihat kepada ganjaran dan
kelebihan sembahyang berjama'ah sebagaimana yang disebutkan dalam hadits di
atas dan pandangan para ulama yang telah disebutkan terdahulu, maka tidak
hairanlah kenapa sesetengah orang melazimkan sembahyang secara berjama'ah serta
tidak mahu melepaskan peluang untuk merebut ganjaran tersebut.
Mengenai sembahyang berjama'ah
dan mengikut imam ini, timbul pula satu persoalan, iaitu apakah hukumnya jika
seseorang yang hendak menunaikan sembahyang secara berjama'ah dengan menjadikan
atau mengikut seorang makmum yang masbuk sebagai imam? Penjelasan ringkas
mengenainya seperti berikut.
Untuk melakukan sembahyang secara
berjama'ah, perlu ada seorang imam dan jama'ah. Sembahyang berjama'ah itu
terhasil dengan dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum, ataupun
lebih. Antara syarat sah mengikut seorang imam atau menjadikannya imam ialah
imam tersebut hendaklah bukan terdiri daripada seorang makmum dan tidak pula
ada syak atau keraguan sama ada dia seorang imam ataupun makmum.
Persoalannya bagaimanakah yang
dimaksudkan berimamkan seorang makmum itu? Sebagai contoh, Ahmad mendapati
sekumpulan orang sedang sembahyang berjama'ah mengikut seorang imam, lalu dia
menjadikan salah seorang daripada makmum itu sebagai imam, sedangkan makmum
tersebut masih atau sedang menjadi makmum kepada imam yang sedia ada. Dalam
keadaan ini, ulama sepakat (ijma') mengatakan bahawa kedudukan sembahyang Ahmad
dengan berimamkan seorang makmum tersebut adalah tidak sah. Ini kerana
seseorang itu tidak boleh menjadi imam dan juga makmum dalam satu masa yang
sama. Dengan kata lain, orang yang hendak diikuti itu tidak boleh mengikut
orang lain ataupun sedang berimamkan orang lain.
Bagaimanapun maksud 'tidak sah
mengikut seorang makmum' itu tidaklah termasuk jika makmum itu sudah terputus
daripada mengikut imam.
Sebagai contoh, Ahmad mendapati
sekumpulan orang sedang mengikut seorang imam sembahyang berjama'ah, bukan
dalam sembahyang Jumaat. Apabila imam selesai memberi salam, salah seorang
makmum yang masbuk pun seterusnya berdiri untuk menambah dan menyempurnakan
bilangan rakaatnya. Pada ketika ini, jika Ahmad menjadikan makmum yang masbuk
itu sebagai imam, maka hukum sembahyang Ahmad adalah sah.
Inilah pendapat Imam Ibn Hajar
Rahimahullah bahawa hukum sembahyang seseorang dengan cara yang disebutkan di
atas adalah sah dan tidak dihukumkan makruh.
Berniat Menjadi Imam Pada Pertengahan Sembahyang Dan Caranya
Pada dasarnya, niat imamah atau
niat menjadi imam, melainkan dalam sembahyang fardhu Juma'at, bukanlah suatu
syarat yang menentukan sahnya sembahyang berjama'ah atau sebaliknya. Bagaimanapun
berniat menjadi imam dalam sembahyang adalah sunat. Perkara ini disunatkan agar
dia (yang menjadi imam) juga mendapat fadhilat berjama'ah. Oleh yang demikian,
walaupun dia (yang menjadi imam) tidak berniat menjadi imam, sembahyang
berjama'ah itu tetap sah melainkan dalam sembahyang Jumaat.
Oleh kerana itu, seorang yang
sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, apabila datang orang lain
menyertainya sebagai makmum untuk mengerjakan sembahyang secara berjama'ah,
maka sunat bagi orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu
berniat menjadi imam.
Pada pendapat al-Qadhi Husain
Rahimahullah, apabila seorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara
bersendirian, lalu datang orang lain menyertainya sebagai makmum, sedangkan dia
(orang yang dijadikan imam) tidak mengetahui akan perkara ini (berjama'ah),
maka dia mendapat fadhilat berjama'ah kerana mereka (para makmum) memperolehi
fadhilat jama'ah tersebut disebabkan olehnya (orang yang dijadikan imam).
Sekiranya dia (orang yang dijadikan imam) mengetahui bahawa niat mereka yang
menyertainya adalah untuk berjama'ah dengannya, akan tetapi dia tidak berniat
(memasang niat) sebagai imam, maka dalam situasi ini dia tidak memperolehi
fadhilat berjama'ah tersebut.
Selain itu, perlu juga diketahui
bahawa imam sembahyang berjama'ah akan mendapat pahala sembahyang secara
berjama'ah bermula daripada ketika dia berniat menjadi imam. Adapun mengenai
cara memasang niat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyang, maka
memadailah seseorang itu berniat di dalam hatinya untuk menjadi imam.
Walau bagaimanapun hukum niat
berjama'ah atau mengikut imam bagi makmum adalah berbeza. Antara syarat sah
sembahyang seseorang yang mengikut imam ialah niat mengikut imam, atau niat
berjama'ah atau niat menjadi makmum. Bagi makmum, niat mengikut imam itu
dilakukan pada ketika mengangkat takbiratul ihram.
Sebagai kesimpulan, peluang untuk
melaksanakan sembahyang secara berjama'ah itu janganlah dilepaskan dan
disia-siakan begitu sahaja melihat kepada fadhilat yang menguntungkan yang
bakal diraih. Di samping itu, dianjurkan melaksanakan sembahyang berjama'ah itu
dalam bilangan yang lebih banyak kerana ia lebih disukai di sisi Allah Ta'ala
dan adalah lebih afdhal dengan mendapat pahala yang berganda.
Demikian juga, sesesorang yang
mengikut imam (berjama'ah) dari awal sembahyang imam akan mendapat kelebihan
yang banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding seseorang yang
mengikut imam cuma dalam sebahagian sembahyang sahaja.
Sembahyang berjama'ah itu
terhasil dengan hanya dua orang ataupun lebih. Antara syarat sah sembahyang
berjama'ah hendaklah orang yang dijadikan imam itu bukan seorang makmum.
Bagaimanapun jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imamnya,
umpamanya imam selesai memberi salam dalam sembahyang dan makmum tersebut
bangkit lagi untuk menambah dan menyempurnakan rakaatnya, maka hukum berimamkan
makmum (yang masbuk) dalam keadaan sedemikian adalah sah.
WALLAHUA'LAM
Artikel asal oleh Ustazah Norliha ( Sumber : http://www.pelitabrunei.gov.bn/)