UCAPAN "Assalamualaikum" boleh jadi asing bagi segelintir masyarakat. Mungkin kerana sudah terbiasa mengucapkan hai dan bye-bye apabila bertemu dan berpisah sehingga ucapan salam yang mulia dipinggirkan. Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa.
Namun perlu difahami betapa ucapan salam yang disyariatkan mempunyai impak yang sangat besar dalam memelihara hubungan ukhuwah sesama manusia. Malah ucapan tersebut dinilai sebagai ibadah dalam konteks mempraktikkan sunnah warisan agung tinggalan Rasulullah SAW.
Dalam sebuah hadis baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda dengan maksudnya: "Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta-mencintai. Apakah kamu ingin kukhabarkan tentang amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai?" Para sahabat menjawab ya wahai Rasulullah. Nabi SAW pun bersabda "Sebarkanlah salam di kalangan kamu". (Hadis riwayat Muslim)
Selain daripada itu ucapan salam yang disertai perbuatan berjabat tangan juga merupakan sunnah yang dituntut. Walaupun demikian ia masih tertakluk kepada hukum bersentuhan antara bukan mahram yang perlu dipelihara. Yang mana dewasa ini amalan berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi seolah-olah menjadi perkara biasa walhal ia merupakan perbuatan dosa yang semestinya dijauhi.
Justeru jangan mudah menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan sesiapa sahaja kecuali setelah dipastikan segala ketetapan agama dipatuhi sepenuhnya. Ataupun jika terdesak untuk berjabat tangan, berusahalah untuk mengelak dengan cara yang bijaksana tanpa menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain.
Membongkokkan badan sambil berjabat tangan juga merupakan perbuatan terlarang. Ini bagi mengelak wujudnya unsur-unsur syirik penyembahan kepada sesama makhluk. Ada pun perbuatan saling berpelukan dan berciuman ketika bertemu adalah diharuskan terutama apabila seseorang pulang daripada musafir yang jauh seperti ketika menyambut kepulangan jemaah haji yang selamat pulang ke tanah air.
Perbuatan berdiri untuk mengagungkan seseorang yang lain juga adalah tidak disukai oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Justeru para sahabat tidak berdiri apabila melihatnya.
Lalu timbul pula persoalan tentang bagaimanakah ucapan salam yang sebenar-benarnya disyariatkan. Jawapan kepada persoalan ini boleh dirujuk kepada sebuah riwayat lain yang menyatakan "bahawa telah bertandang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW seraya mengucapkan Assalamualaikum. Nabi SAW bersabda "sepuluh kebaikan." Kemudian datang yang lain pula sambil mengucapkan "Assalamualaikum warahmatullah." Nabi SAW bersabda "Dua puluh kebaikan." Kemudian datang yang lain lagi dan mengucapkan "Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh." Baginda Nabi SAW bersabda "Tiga puluh." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Memandangkan betapa hebatnya ucapan salam dan pahala yang disediakan untuknya umat Islam diseru tidak lagi memandang remeh amalan baik mengucapkan salam ketika bertemu dengan saudaranya yang lain. Malah yang terbaik di kalangan mereka adalah yang mula-mula mengucapkan salam. Ucapan ini juga merupakan hak dan tanggungjawab seorang Muslim dengan Muslim lain yang perlu dilunaskan.
Dalam masa yang sama janganlah pula kita terlalu mengagung-agungkan ungkapan-ungkapan lain yang tidak bersesuaian dengan kehendak syariat mahupun budaya kesopanan masyarakat Timur. Begitu juga amalan masyarakat di Barat yang saling berpelukan dan berciuman antara lelaki dan perempuan ketika bertemu misalnya adalah tidak kena sama sekali untuk dipraktikkan di negara ini.
Umat Islam juga perlu memahami bahawa suruhan untuk mengucapkan salam dan menjawabnya hanya sesuai ditujukan kepada sesama saudara Islam sahaja. Kalaupun ada di kalangan orang kafir yang mengucapkannya ia perlu di balas dengan ungkapan baik yang lain selain ucapan salam yang mulia.
Diriwayatkan bahawa sekelompok orang Yahudi datang menemui Rasulullah SAW sambil mengucapkan "Assaamu alaikum" yang bermaksud racun untuk kamu. Lalu dijawab oleh Nabi SAW "alaikum".
Saidatina Aisyah r.a kemudian menambah lagi "Bahkan racun dan laknat buat kamu. Nabi SAW kemudian bersabda lagi. "Wahai Aisyah sesungguhnya Allah SWT mencintai kelembutan dalam segala hal. Aisyah r.a membalas, "Apakah tuan tidak mendengar apa yang mereka ucapkan". Nabi SAW menjawab lagi sambil berkata aku telah membalasnya dengan mengucapkan "alaikum" yang bermaksud untuk kamu juga." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Masanya sudah tiba untuk setiap individu Muslim kembali mempraktikkan segala ajaran agama dalam kehidupan seharian mereka. Ini boleh dilaksanakan dengan mula menyebarluaskan ucapan salam di mana-mana sahaja. Dengan melaksanakan amalan ini juga umat Islam akan sentiasa dilindungi dan dirahmati kerana saling mendoakan antara satu sama lain.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan