Bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpahan nikmat serta diberi kesempatan kepada kita menikmati kehidupan dengan aman dan harmoni di tanahair tercinta ini.
Seringkali apabila kedatangan tahun baru hijrah, terlintas di benak dan fikiran saya akan firman Allah SWT di dalam surah Al-Taubah ayat 20 yang bermaksud "(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah SWTdengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT(daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".Inilah sumber inspirasi untuk saya terus menggerakkan usaha dakwah biarpun cacian dan herdikan yang terpaksa saya terima saban waktu.
Bila ditelusuri peristiwa dan impak penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah, maka ia diperakui oleh para cendekiawan Islam sebagai peristiwa yang cukup besar erti dan maknanya dalam sejarah Islam.Perkara ini telah pun disepakati di dalam muktamar para sahabat yang mulia, dipengerusikan oleh Saidina Umar al-Faruq.Al Imam Ibnu Kathir di dalam Sirah al-Nabawiyyah merakamkannya ketika para sahabat radiallahu alaihim bertemu bagi membincangkan asas tahun dalam taqwim Islam, ada dikalangan para sahabat mencadangkan asas tahun Islam bermula dari tahun kelahiran Baginda. Ada juga mencadangkan tarikh bi'thah(kebangkitan) kerasulan Baginda, malah ada juga sahabat mencadangkan tarikh kewafatan Baginda dijadikan asas tahun Islam. Namun akhirnya, Allah SWT menetapkan pada pendirian Saidina Umar r.a dan disepakati oleh para sahabat, " Kita tetapkan tarikh taqwim Islam ini, pada tahun Hijrah Baginda SAW!".
Signifikan
Mengapa tahun hijrah ini yang dijadikan asas taqwim Islam? Apakah signifikan dan besarnya peristiwa hijrah? Dalam hal ini, teringat saya ungkapan seorang pemikir Islam yang terkenal iaitu Syed Abul Hassan al-Nadwi yang menyatakan bahawa, "Apabila tarikh Islam tidak bermula dengan kemenangan Islam dalam peperangan, begitu juga dengan kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW serta turunnya Wahyu. Tarikh Islam bermula dengan Hijrah, atau pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia sebenarnya satu pilihan yang diilhamkan oleh Tuhan. Allah SWT ingin mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal abadi. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama."
Memang benar, hijrah adalah puncak pengorbanan Rasul SAW dan para sahabat. Kesedihan dan pengorbanan ketika meninggalkan kota Mekah yang dicintai bererti meninggalkan tanah tumpah darah, sanak saudara dan harta demi satu matlamat iaitu demi Islam. Kecintaan Baginda terhadap Mekah dan seisinya diketepikan atas arahan Allah SWT, hingga BagindaSAW menitiskan air matanya yang mulia, seraya berkata : "Sesungguhnya kamu adalah negeri yang paling saya cinta, jika penduduk kamu tidak mengusirku nescaya aku tidak akan keluar".
Namun,apa yang ada disebaliknya pengorbanan ini? Mengapa Baginda Nabi SAW sebagai kekasih Allah SWTdan para sahabat yang diiktiraf sebagai generasi terbaik ini dituntut oleh Allah SWT memberikan pengorbanan demi pengorbanan yang tak kunjung padam. Indahnya ungkapan Dr. Aidh Abdullah al-Qarni dalam Qissatul Risalah " Untuk mendapatkan kemuliaan darjah kenabian secara haq, untuk menaiki tangga kesempurnaan yang sebenar dan menjadikan Baginda pemimpin orang-orang yang diberi cubaan dengan kemampuan yang dimiliki serta menjadi imam bagi orang yang sabar tanpa dapat disaingi. Engkau, wahai para pendakwah, jika kamu dihadapkan dengan kata nista dan cacian, maka ketahuilah tauladan kamu Nabi Muhammad SAW telah dilontarkan kepadanya beratus kata yang menyakitkan dan melukakan hati, jiwa dan perasaan Baginda SAW. Seratus kata, malah seribu kata yang lebih dahsyat jika dibandingkan dengan libasan pedang dan lontaran anak panah. Ini semua untuk harga demi diri, kemuliaan dan kesuciannya.'
"Janganlah berdukacita, sesungguhnya Allah SWT bersama kita"
Inilah kata-kata keramat yang mengiringi perjalanan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar r.a sepertimana yang telah difirman Allah SWT dalam surah Al-Taubah ayat 40 yang bermaksud : "..Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah SWTbersama kita.."
Imam Ibn Kathir rahimahullah membawa sebuah hadis riwayat dari Imam Ahmad dari Anas bahawa Abu Bakar r.a berkata : 'Seandainya mereka melihat bekas tapak kaki kita, pasti mereka akan temui kita.' Tetapi dijawab oleh Baginda SAW" Wahai Abu Bakar, jangan kamu sangka kita hanya berdua, sesungguhnya Allah SWT adalah yang ketiga ( bersama-sama kita )". Inilah kata-kata yang mententeramkan hati saidina Abu Bakar r.a yang mendapat gelaran "Al-Siddiq" yang bermaksud, " membenarkan". Kepercayaan mutlak dan kefahamannya kepada ayat-ayat Allah SWT tiada taranya di kalangan para sahabat.Sememang beliau sangat layak digelar dengan gelaran tersebut.
Perjalanan
Sememangnya perjalanan hijrah itu adalah perjalanan suci yang bermula kerana Allah SWT dan untuk Allah SWT. Oleh kerana itulah, perjalanan Baginda di penuhi keyakinan kepada jaminan dan perlindungan Allah SWT. Bermula dari konspirasi jahat dan kepungan pahlawan-pahlawan Quraisy yang mahu membunuh Baginda, gerak kerja yang diilhamkan Allah SWT kepada si merpati yang hinggap membuat sarang di gua Tsur sehingga tersungkurnya Suraqah ibnu Malik yang berkeinginan membolot sejumlah kemewahan dan ganjaran. Semuanya itu adalah bukti perjalanan suci ini mendapat jaminandan lindungan dari Allah SWT.
Maka tanyakan pada diri kita, adakah perjalanan kita yang panjang di muka bumi ini bermula kerana Allah SWT dan untuk Allah? Berapa kalikah di saat kita kesempitan dan kekurangan tiba-tiba datang pertolongan Allah SWT?.Berapa banyak musibah dan ujian Allah didatangkan kepada kita lantas kita memohon pertolongan Allah SWT? Berapa kalikah perpecahan Melayu Islam berlaku kita seru dan laungkan semula untuk bersatu atas nama Allah SWT? Demikianlah Hijrah datang untuk bertanya soalan demi soalan saban tahun untuk kita jawab.
Halangan dalam menghayati roh hijrah
Sebagai penerus kesinambungan perjuangan para rasul dan salafussoleh dalam merealisasikan roh dan semangat "hijrah", sudah pasti kita mengatur dan menyusun perancangan agar kerja-kerja agama ataupun seumpamanya seiring dengan semangat dan ruh hijrah. Namun, saya menyedari bahawa halangan terbesar adalah kegagalan kita menangani gangguan makhluk Allah SWT yang bernama iblis dan syaitan yang senantiasa menggagalkan usaha murni kita terhadap agama. Semangat yang berkobar-kobar untuk agama boleh tersekat dek kerana makhluk Allah SWT yang dilaknat ini. Apakah kita lupa firman Allah SWT dalam surah An Nisa' ayat 117 yang bermaksud "Yang dilaknati Allah SWT dan syaitan itu mengatakan saya benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan (untuk saya), dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata. Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka".
Hijrah secara realitinya sudah tidak berlaku, namun semangat dan ruhnya mesti dipertahankan oleh umat Islam keseluruhannya.Ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al Imam AlBukhari dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi SAW bersabda pada saat hari Pembebasan Mekah "Tidak ada lagi hijrah, akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka bila kamu diperintahkan berangkat (berperang) maka berangkatlah". Ini bereti bahawa sebarang bentuk penghijrahan dari Mekah ke Madinah sudah tidak lagi diwajibkan, namun yang diwajibkan adalah roh dan semangat hijrah itu sahaja. Umat Melayu Islam di tanah air tercinta ini mesti berjihad mempertahankan Islam sepertimana yang tercatat dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan " Islam agama bagi Persekutuan, mana-mana agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan".Perkara ini telah menawarkan posisi yang cukup istimewa kepada Islam.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan