Oleh Khairunneezam Mohd Noor
Generasi muda mesti diasuh supaya faham hak tetangga dalam hidup bermasyarakatKEHARMONIAN hidup berjiran adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun tembok konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh dengan adanya sifat mengambil berat dan menghormat.i
Pepatah Melayu juga ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk pentingnya hidup bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur sesama manusia. Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran.
Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk dalam kalangan anak kecil kerana pada usia itu mereka mudah menyerap sebarang pendidikan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian, ibarat melentur buluh daripada rebungnya.
Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana perkara yang silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul pula dijadikan panduan semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah SWT.
Anak juga perlu tahu jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaan tersendiri. Menurut hadis Rasulullah SAW, kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran.
Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula, jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, memiliki tiga hak iaitu hak jiran, Islam dan kekeluargaan.
Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.
Sejak usia kecil, jika anak-anak faham kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini mereka akan dapat memupuk nilai murni hidup bermasyarakat seperti disyariatkan Islam.
Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh ibu bapa terapkan kepada anak erti kemanisan hidup berjiran antaranya menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga.
Ia selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperilaku baik terhadap jiran tetangganya.” ( Hadis Mutafaqun ’alaih)
Menegah anak berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan cepat mempercayai atau menyebarkan berita buruk berkaitan jiran demi menjaga maruah mereka.
Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami sejelasnya oleh anak kerana ada masa tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.
Mendidik anak menjadi ‘ringan tulang’ membantu jiran yang memerlukan pertolongan. Menegah anak mengganggu dan merosakkan dan hak jiran seperti membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.
Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis bertadarus dan bertahlil, kenduri serta gotong-royong. Dengan cara ini barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling rapat untuk meminta bantuan serta berkongsi suka dan duka kehidupan.
Jika berlaku sebarang masalah ataupun percanggahan pendapat, anak perlu dilatih melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.
Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh dalam kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak perlu juga menyuburkan sifat bertolak-ansur dan mudah memaafkan apa juga kesalahan pihak lain terhadap mereka.
Apa yang lebih penting, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak turut mengikut tindak tanduk negatif kita.
Penulis ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan