Jumaat, 25 Mac 2011

Vandalisme manifestasi tak mensyukuri nikmat


Oleh : Wan Muhamad Ruzlan Wan Omar

SETIAP tahun kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk menyediakan pelbagai prasarana. Namun, pada setiap tahun jugalah banyak peruntukan terpaksa dikeluarkan untuk membaik pulih segala kemudahan yang dirosakkan sesetengah golongan.

Budaya vandalisme adalah perlakuan gejala sosial yang mengakibatkan kesusahan kepada masyarakat dan perlu dibendung.


Islam menggariskan panduan akhlak luhur dan ini termasuk tidak melakukan perbuatan menyusahkan orang lain. Ini sebahagian didikan akhlak yang difokuskan dalam Islam. Masyarakat yang sentiasa tertanam rasa bersyukur atas segala nikmat dikurniakan Allah pastinya tidak akan melakukan kerosakan di muka bumi ini, lebih-lebih lagi apabila kerosakan itu akan menyebabkan orang lain menanggung kesukaran.

Mukmin yang bersyukur pasti akan terkesan pada perbuatannya. Nikmat dikurniakan pancaindera tidak akan disalahgunakan ke arah memudaratkan orang lain. Jadi, dalam hal vandalisme itu perlu dibendung dengan didikan rasa syukur kepada Allah.

Dalam Surah Ibrahim ayat 7 Allah menegaskan yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” Ini satu amaran Allah kepada setiap hamba-Nya supaya mengelak daripada perbuatan mengingkari nikmat yang dikurniakan-Nya. Rasa syukur adalah akhlak hati yang mulia, tetapi ia seharusnya diterjemahkan melalui perbuatan nyata.


Justeru, dalam menghargai dan menjaga segala kemudahan prasarana yang disediakan juga terangkum dalam ruang lingkup erti mensyukuri nikmat Allah dan apabila kita dapat memanfaatkannya dengan baik serta tidak menyalahgunakan atau merosakkannya dianggap hamba Allah berakhlak syukur yang tinggi.

Orang yang merosakkan harta benda awam atau terjebak dengan budaya vandalisme adalah golongan kufur nikmat dan tidak mempunyai nilai rasa malu kepada Allah. Atas sebab itulah Islam meletakkan nilai malu di puncak akhlak seseorang mukmin. Dalam Islam malu adalah cabang iman yang mesti sentiasa dipelihara setiap umatnya.

Dalam memperkatakan aspek malu ini, Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya di syurga, sedangkan buruk akhlak itu bahagian daripada kekerasan hati dan tempatnya di neraka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi )

Nabi kita berpesan yang bermaksud: “Malu dan iman kedua-duanya tidak terpisah. Jika salah satu daripada kedua-duanya terangkat, maka yang lain pun terangkat.” (Hadis riwayat Hakim)
Oleh demikian, orang mukmin yang kental rasa malunya kepada Allah sudah tentu tidak tergamak untuk merosakkan harta benda kemudahan orang ramai kerana mereka tahu apa saja yang dilakukan diperhatikan Allah. Mungkin manusia tidak nampak apa kita lakukan, tetapi akhlak buruk tidak terlepas daripada pandangan Allah.

Sebenarnya apabila seseorang itu sudah tercabut rasa malu kepada Allah, ia satu azab dunia yang ditimpa ke atas hamba-Nya itu. Ini kerana dengan sebab tiada lagi perasaan malu dengan mudahnya mereka lupa kepada Allah dan tidak lagi dapat menzahirkan akhlak yang baik. Maka akan berlakulah pelbagai gejala negatif seperti budaya vandalisme itu.

Seseorang mukmin yang beriman pasti takut pada apa saja perbuatan yang dilakukannya di dunia ini kerana apa saja yang dilakukan akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Tidak ada satu perbuatan yang dilakukan anggota tubuh kita yang akan terlepas daripada perhitungan Allah di akhirat. Ingatlah peringatan Allah dalam Surah Yasin ayat 65 bermaksud: “Pada hari itu Kami tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dulu mereka usahakan.”

Jadi, bagaimana dengan salah laku merosakkan harta awam sehingga menyusahkan masyarakat untuk menggunakannya? Tidakkah ini juga dipersoalkan dan dibalas dengan azab Allah?

Seseorang yang cermat menggunakan segala kemudahan yang disediakan dengan niat kerana Allah agar ia dapat digunakan orang lain adalah amal soleh yang mulia. Inilah amalan hati yang baik yang diterjemahkan melalui anggota zahir.

Kita jangan memandang ringan aspek berbuat kebaikan kerana Rasulullah berpesan kepada kita setiap kebaikan akan diberikan 10 kali ganda pahala di sisi Allah. Justeru, apabila menggunakan prasarana yang disediakan dengan niat untuk memelihara daripada rosak juga terangkum dalam pengertian amal kebaikan.


Demikian juga sebaliknya, kita dianggap melakukan kemungkaran akhlak kerana menyebabkan kesusahan kepada pihak lain. Ingatlah pesanan Rasulullah: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melapangkan manusia dengan harta kamu, maka lapangkanlah mereka dengan keceriaan wajah dan kebaikan akhlak.” (Hadis riwayat Al-Haitsami dan Abu Ya’la )

Oleh itu, dengan pembinaan akhlak yang baik akan mampu menjana kehidupan sejahtera. Mukmin yang beriman mampu mempamerkan watak hati dan zahir dengan akhlak baik yang akan menyenangkan orang lain. Ingatlah segala amal perbuatan baik adalah busana hati orang beriman. Jadi, lakarkanlah panorama sahsiah yang cemerlang.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

1 ulasan: