Jumaat, 15 April 2011

Integriti, kualiti pemimpin penentu jatuh bangun negara


Pemerintah beriman pastikan amanah rakyat terlaksana

KEMAJUAN sesebuah negara bergantung kepada urus tadbir yang ada hubung kait dengan ketepatan memilih pemimpin benar-benar berfungsi sebagai seorang pemimpin dan pentadbir.

Kepakaran, kemahiran serta perwatakan peribadi mempengaruhi corak kepemimpinan dan menentukan jatuh bangun sesebuah negara. Ketepatan memilih pemimpin dapat menjamin kehidupan yang harmoni dan memastikan segala sistem kehidupan dilaksanakan dengan berkesan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Rasulullah SAW juga berpesan kepada umat perlunya ada kalangan mereka yang menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi atau masyarakat demi melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan apabila ada tiga orang keluar mengembara maka salah seorang daripadanya hendaklah dilantik menjadi ketua. Ini bertujuan jika berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan mereka, maka satu keputusan dapat dibuat melalui perlantikan seorang ketua.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Ulama terkenal, Dr Abdul Aziz Izat al-Khayyat dalam kitabnya an-Nuzum as-Siyasi fi al-Islam menyatakan: “Adalah menjadi keperluan asas bagi sesebuah masyarakat untuk mewujudkan pemerintah yang menjaga hal ehwalnya serta mentadbir urusan kehidupan anggotanya.

Jika tidak wujud kuasa yang membelanya nescaya kehidupan manusia akan menjadi kucar-kacir dengan yang kuat menelan dan menguasai yang lemah dan tak berdaya. Budaya ini berdasarkan tabiat semula jadi manusia yang sentiasa cenderung kepada permusuhan dan melakukan kezaliman.

Memimpin sebuah negara adalah suatu taklif (mandat) bukannya tasyrif (kemuliaan) yang diberikan Allah. Mereka yang diberi taklif, tanggungjawab serta amanah ini perlu tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al- Sultaniyyah menyatakan, pemerintahan adalah satu amanah dan disyariatkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama serta mentadbir urusan dunia umat Islam.

Katanya, ijmak ulama menetapkan, melantik pemerintah yang mampu melaksanakan tanggungjawab pemerintah dalam kalangan umat Islam hukumnya wajib.

Begitu juga pandangan Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syarieyyah, perlu diketahui tanggungjawab memerintah adalah sebahagian daripada kewajipan agama yang paling besar, malah agama tidak dapat ditegakkan tanpa pemerintah.

Pemilihan pemimpin ataupun khalifah adalah satu ikatan kontrak yang dipersetujui dengan rakyat sama ada melalui proses penyerahan kuasa atau pilihan raya. Berdasarkan itu, kedaulatan dan kuasa yang ada pada pemimpin adalah satu kontrak sosial yang disepakati antara pemerintah dengan rakyat.

Untuk menjamin kuasa ini dilaksanakan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan demi kebaikan rakyat, pemimpin yang berkeupayaan sama ada dari segi jasmani dan rohani perlu dipilih. Mereka juga perlu menguasai ilmu siasah dan pentadbiran, berketurunan baik serta adil melaksanakan tugasan diamanahkan.

Menurut al-Mawardi lagi, pemimpin dikehendaki ialah mereka yang tinggi budi pekerti dan akhlak merangkumi ciri takwa, warak, bercakap benar, amanah, bersih diri dari perkara haram dan meragukan, sentiasa tenang, kualiti maruahnya dihayati dalam semua urusan agama serta dunia.

Sehubungan itu, Islam menekankan kepemimpinan berintegriti, cemerlang, berkualiti dan terbukti unggulnya. Kepemimpinan semestinya didukung keimanan kepada Allah, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW.

Ciri kepemimpinan ini memberi kesan kepada masyarakat, mereka akan menghormati dan menyanjungi kepemimpinan diberikan.

Kepemimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi juga perjanjian dengan Allah. Kepemimpinan hendaklah mementingkan integriti dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Sebagai pemimpin yang dipilih, hendaklah sedar dan insaf bahawa tugasan ini satu taklif bukannya tasyrif. Ingatlah, mengkhianati amanah kepemimpinan adalah dosa besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikutmu daripada orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Surah asy- Syu’araa’, ayat 215-217)

Khutbah JAKIM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan