Sabtu, 9 April 2011

PERBEZAAN MASYARAKAT - HADAPI SECARA SIMBIOSIS

Oleh Ahmad Sufyan Che Abdullah

Mengapa `burung gembala kerbau' dinamakan sedemikian rupa? Ya, kerana burung itu sentiasa berada di atas belakang kerbau seolah-olah penggembala kerbau. Mengapa burung itu berada di atas kerbau, adakah ia benar-benar mahu menjadi penggembala kerbau? Tentunya tidak, ia berada di atasnya kerana ada makanan di atas kerbau itu, iaitu serangga kecil dan kutu. Satu lagi soalan perlu ditanya: Tidakkah kerbau merasa marah kerana burung itu sentiasa hinggap di atas belakangnya? Memang kerbau tidak marah kerana burung itu membantu menghilangkan serangga dari tubuhnya, bahkan berterima kasih pula. Tetapi mungkin kita tidak dapat memahami bagaimana kerbau mengucapkan terima kasih kepada burung itu.

Itulah satu contoh interaksi dinamakan `simbiosis' antara organisma dalam sebuah populasi hidupan. Simbiosis adalah satu keadaan apabila organisma yang berbeza jenis saling membantu, memberi manfaat antara satu sama lain dalam sebuah populasi. Jika simbiosis sudah dapat difahami dengan sempurna, marilah luangkan masa menelusuri apa yang akan diperkatakan seterusnya.

Cukuplah realiti harian menjelaskan perbezaan ini. Antara kita dan rakan taulan sudah ada perbezaan terutama cita rasa pakaian, makanan atau genre muzik. Memang manusia dijadikan berbeza. Apa lagi kalau yang berbeza itu ialah bangsa, budaya, agama dan ideologi. Bermula daripada cita rasa makanan sehinggalah kepada perbezaan mazhab, daripada rentak muzik sehinggalah parti politik, kita dapat melihat kepelbagaian cara penerimaan dan cara berfikir dalam satu populasi manusia. Firman Allah lagi: Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah kejadian langit dan bumi, serta kejadian kamu yang berbeza bahasa dan warna kulit. Sesungguhnya itu adalah tanda kebesaran-Nya bagi mereka yang mempunyai pengetahuan. (Ar-Rum: 22)

Sebagai pelajar, di tempat belajar pun ada pelajar yang bermacam kelas. Ada yang pintar, ada genius, ada separa pintar, ada yang kurang pintar. Jelas sekali terdapat perbezaan kecerdasan antara kita. Apabila di padang bola, sekali lagi dapat dilihat, terdapat perbezaan kelincahan dan kecergasan. Sebenarnya perbezaan ini adalah satu kepelbagaian yang mewarnai dunia dengan keceriaan dan ia perlu diterima dengan baik. Perbezaan adalah bukan alasan untuk kita berpecah belah. Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya Kami menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan wanita, dan Kami jadikan pula kamu pelbagai bangsa dan puak untuk kamu berkenalan dan berkasih sayang antara kamu. Dan orang yang paling mulia di sisi Allah dari kalangan kamu ialah yang paling tinggi takwanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Bijaksana. (Al-Hujurat: 13)

Bagi mereka yang tidak memahami Islam, perbezaan yang wujud dijadikan alasan kepada perpecahan. Perbezaan fikrah atau aliran pemikiran dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh wujud. Mereka cuba menafikan realiti dan fitrah kemanusiaan. Rentetan itu, wujudnya suara-suara sumbang yang cuba menafikan kewujudan empat mazhab utama dalam agama Islam (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali). Bahkan ada yang mahu agar hanya wujud satu mazhab sahaja!! Sudah tentu mustahil. Sekali pun kita merujuk kepada al-Quran dan as-sunah yang satu, tetapi al-Quran dan sunah meninggalkan ruang yang luas kepada para sarjana Islam untuk melakukan ijtihad mengikut apa yang mereka fikirkan sesuai dengan situasi, masa dan adat setempat mereka.

Sekali pun dalam Islam wujud pelbagai mazhab, mereka tetap bersatu kerana Islam menyediakan cara untuk bersatu: Akidah dan kasih sayang. Dalam banyak hadis yang sahih, iman dan kasih sayang sering kali dirangkaikan sekali gus di antaranya ialah hadis daripada Anas bin Malik r.a., sabda Rasulullah: Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri. (Muttafaq Alaih). Bahkan dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. menyifatkan perbuatan membuang halangan daripada mengganggu masyarakat dari jalanan adalah serendah-rendah iman!

Kalau hukum fikah boleh diimplimentasikan dalam pelbagai cara mengikut kesesuaian tempat dan masa, akidah Islam hanya satu, iaitu beriman kepada Allah, para malaikat, rasul-Nya, kitab-kitab yang diturunkan, Hari Kiamat dan ketentuan dan pelaksanaan Allah. Oleh itu, al-Quran dan as-sunah tidak memberi peluang kepada para cendekiawan untuk berselisih pendapat dalam soal ini. Dalam soal akidah, ayat-ayat yang diturunkan dalam al-Quran adalah bersifat kata putus yang jelas maksudnya, serta melalui hadis Rasulullah yang mutawatir yang sudah tidak dapat dipertikaikan lagi kesahihannya bahkan jelas maksudnya.

Dalam hal berkaitan dengan kehidupan seharian, kasih sayang dijadikan kunci perpaduan. Kasih sayang antara umat Islam adalah seperti saudara sendiri seibu dan sebapa. Sekalipun kita berbeza dari segi pendapat, tetapi kita mesti berkasih sayang dan menghormati pendapat orang lain.

Umat Islam bahkan disaran supaya tidak menzalimi dan menghormati penganut agama lain, selagi mereka tidak memerangi Islam. Tiada paksaan untuk memeluk agama Islam. Biarlah masyarakat bukan Islam melihat sendiri keindahan Islam dan biarlah mereka masuk dengan penuh kerelaan. Orang yang memeluk Islam secara paksa, iman, akidah dan Islam mereka adalah tidak sah di sisi Islam. Begitu sekali Islam menjaga perbezaan yang wujud.

Firman Allah dalam al-Quran: Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah, (kitab Allah) dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah akan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu, tatkala kamu dahulu dalam keadaan bermusuhan, lalu Allah melembutkan hati-hati kamu, maka dengan nikmat Allah itu jadilah kamu bersaudara. (Ali Imran:103)

Perpecahan umat Islam merupakan kelemahan utama mereka. Musuh-musuh Islam seperti para syaitan dan para musyrikin amat menyukai hal ini. Mereka tidak jemu melakukan kerja-kerja mengadu-domba untuk mengapi-apikan mazmumah yang merupakan pencetus perpecahan.

Bagi mengelakkan perpecahan, langkah pertama ialah dengan menghapuskan sifat mazmumah dalam hati setiap orang Islam. Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi, sifat ego, akan menutup kebenaran dan sifat berkepentingan diri, akan menghalang kemenangan.

Sabda Rasulullah: Orang mukmin itu ibarat satu binaan yang saling mengukuhkan. (Muttafaq Alaih). Dalam sebuah binaan, tidak semuanya bahan yang digunakan ialah papan. Tetapi bahan-bahan binaan terdiri daripada simen, papan, kayu, paku, besi dan lain-lain. Semua ini akan saling mengukuhkan walaupun ciri asasnya adalah berbeza.

Besi tidak boleh mendabik dada dengan kukuh strukturnya kerana tanpa simen dan konkrit yang membalutnya, ia hanya sebuah besi yang tidak berguna. Sifat ego dan berkepentingan diri ini mesti dihapuskan. Lantas sifat mazmumah ini hendaklah digantikan dengan sifat rendah diri dan ikhlas. Sifat rendah diri akan membuka pintu kebenaran dan sifat ikhlas akan menganugerahkan kemenangan kepada umat Islam.

Langkah kedua ialah dengan mengamalkan kehidupan secara simbiosis (seperti mana haiwan?). Jika antara kerbau dan burung yang tidak berakal itu boleh saling menolong, apatah lagi manusia. Perbezaan budaya, adat resam, cita rasa, pemikiran, parti politik atau sebagainya hendaklah dijadikan medium untuk bersatu.

Satu kumpulan yang memperjuangkan kebenaran dan syariah dalam masyarakat, tidak boleh mengakui bahawa kumpulan itu adalah lengkap dan tidak memerlukan kumpulan lain. Mungkin kita mempunyai kelebihan dan mungkin juga kita mempunyai kekurangan. Dan mungkin kelemahan kita dapat ditampung oleh kumpulan yang satu lagi. Begitulah satu kehidupan simbiosis.

Andainya dunia boleh berkata-kata, sudah tentu dunia akan selalu mengungkapkan rasa jemunya melihat perpecahan yang berpanjangan di kalangan umat manusia. Dunia mahukan umat Islam kembali bersatu untuk menuju zaman kegemilangan kali kedua. Islam dijanjikan akan bangkit pada akhir zaman dan saat itu sudah menghampiri. Dan ia semakin menghampiri jika dihampiri. Zaman kegemilangan Islam hanya akan berlaku jika umat Islam bersatu.

Buanglah perasaan picisan, segala bentuk dengki, ego dan kepentingan diri, jika ingin melihat Islam menguasai persada dunia. Sebelum Islam menjadi raja dunia, lantiklah mahmudah supaya menjadi raja hati. Jatuhkan mazmumah dan bunuhlah ia. Apabila mahmudah merajai hati, barulah agenda penyatuan dapat direalisasikan dengan cara memahami bagaimana kita boleh bersatu melalui perbezaan. Umpama sang kerbau dengan seekor burung, sesekali, manusia berakal perlu ditempelak sinis; contohilah cara hidup haiwan!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan